Jumaat, 30 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Fah Shiun ‘sifu’ chef muda

Posted:

Fah Shiun 'sifu' chef muda

Fah Shiun 'sifu' chef muda

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar ABDUL RAZAK LATIF


Tong Fah Shiun (kanan) tidak jemu-jemu memberi tunjuk ajar kepada chef muda seperti Syed Nor Aidid.


BERBEZA agama dan bangsa bukan halangan bagi Ketua Chef di Restoran My Chef, Tong Fah Shiun dan Sous Chef, Syed Nor Aidid membina hubungan rapat di antara satu sama lain.

Malah kedua-duanya turut berkongsi hobi dan kerjaya yang sama iaitu memasak.

Tong Fah Shiun berkata, sebagai seorang chef yang berpengalaman sudah tentu dia memerlukan seorang pembantu yang boleh dipercayai.

"Ketika bekerja saya tidak pernah anggap yang pembantu saya sebagai seorang pembantu kerana bagi saya lebih mudah untuk kita bekerjasama jika kita anggap dia seumpama saudara kita.

"Apabila kita rapat sudah tentu ia akan melancarkan lagi kerja-kerja seharian lebih-lebih lagi jika bekerja dalam bidang masakan seperti saya," katanya ketika ditemui di restoran My Chef, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi ilmu masakan

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan, Fah Shiun sentiasa terkenang pengalaman lalu ketika beliau bersama 'sifu' (guru) masakannya.

"Hubungan antara 'sifu' dan 'perantis' ini umpama roda dan ia sentiasa berubah-ubah. Kalau dulu orang banyak mengajar saya kini sudah tiba masanya untuk saya mengajar orang lain pula agar ilmu yang ada pada saya semakin berkembang dan boleh disampaikan kepada generasi baru.

"Selain itu sebagai chef juga kami perlu menjaga hubungan di antara satu sama lain kerana ia pastinya memudahkan kita bekerja dalam satu kumpulan," jelasnya.

Sebagai chef paling berpengalaman di restoran itu, Fah Shiun umpama 'sifu' bertanggungjawab mengajar chef-chef muda cara memasak dengan betul.

"Saya mula bekerja dalam bidang ini sejak berusia 15 tahun lagi iaitu selepas tamat tingkatan tiga.

"Pada masa itu, keluarga saya susah dan saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan bekerja di restoran. Kini siapa sangka saya boleh jadi salah seorang ketua chef yang terdapat di Malaysia.

"Sebab itu saya faham apa yang dirasai orang lain dan bila ada tenaga baru masuk ke dapur saya pasti akan memberi tunjuk ajar kepada mereka.

"Kalau mereka hendak menambah sesuatu dalam resipi masakan saya tidak pernah menghalang tetapi dia perlulah tahu apa yang dia masak agar rasa keaslian masakan tersebut dapat dikekalkan," ujarnya.

Sementara itu sebagai salah seorang 'anak didik' Fah Shiun, Syed Nor Aidid mengakui 'sifu'nya itu sentiasa membantunya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke bahagian dapur.

"Pada hari pertama saya bekerja dalam bidang masakan, saya hanya tahu cara-cara masakan yang mudah tetapi dengan tunjuk ajar Chef Fah Shiun kini saya mahir dalam pelbagai bidang masakan termasuk masakan Thai," katanya.

Sebagai seorang chef yang baru, beliau perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh agar dapat meningkatkan lagi kemahiran yang dimiliki.

"Saya bersyukur mempunyai seorang ketua yang memahami perasaan anak buahnya dan melalui tunjuk ajarnya banyak yang telah saya pelajari.

"Saya bukan sahaja belajar cara-cara bekerja malah saya turut mempelajari cara-cara untuk menghormati seorang ketua dan rakan setugas dengan lebih baik.

"Selain itu, hubungan kami dengan pekerja lain juga semakin bertambah baik kerana banyak yang boleh dipelajari di antara satu sama lain selain berkongsi masalah yang dihadapi," jelasnya.

Salikin cari jodoh sekampung

Posted:

Salikin cari jodoh sekampung

Salikin cari jodoh sekampung

Oleh MERAN ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Bersama-sama dua daripada tiga cahaya mata, Ajwa Saleha (kiri) dan Asila Sofia.


BANYAK bersabar merupakan kunci kepada kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga pereka fesyen tradisional tersohor tanah air Salikin Sidek.

Berkat kesabaran juga, rumahtangga yang dibina bersama-sama isteri tersayang, Anita Anuar, 37, kini telah memasuki tahun ke 10.

Salikin yang ditemui di kediamannya di Setiawangsa berkata, sebagai seorang ketua keluarga, si suami perlu banyak bersabar dan bersikap matang. Perkara-perkara remeh jangan disimpan di dalam hati dan jika berkecil hati pun lupakan sahaja.

Ini kerana akibat perkara yang remeh dan tidak penting, seseorang itu memendam rasa dan lama-kelamaan meledak dan timbullah ungkit mengungkit.

Salikin yang berasal dari Kluang, Johor bertemu jodoh dengan Anita yang berasal dari Sri Medan, Batu Pahat setelah dua kali gagal bercinta.

Pertemuan di kilang batik milik seorang rakannya menemukan Salikin dengan Anita yang boleh dikatakan sebagai cinta pandang pertama. Mereka kemudian mengikat tali pertunangan selama dua tahun sebelum diijabkabulkan pada 11 Februari 2002.

''Saya memang mencari bakal isteri yang sekampung kerana ibu saya sudah tua dan mudah bagi kami untuk selalu menjenguk ibu dan kakak-kakak saya. Anita pula kebetulan sekampung dengan datuk saudara saya yang merupakan seorang pengusaha lombong besi dan amat dikenali di kampung sebagai Haji Denan Sri Medan.

''Perkahwinan saya dan Anita merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan saudara-mara sebelah datuk saudara saya,'' ujar Salikin yang merupakan pereka Malaysia pertama yang membawa fesyen etnik Malaysia ke persada antarabangsa.

Menurut penulis buku Busana Fesyen Tradisional dan Busana Pengantin ini, apa yang membuatkan beliau jatuh hati dengan Anita ialah sikap wanita itu yang jujur, lemah-lembut dan memiliki sifat kesabaran yang tinggi.

Perkahwinan mereka diadakan secara besar-besaran di kampung Salikin dan Anita dengan dibantu oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Sememangnya perkahwinan Salikin amat dinantikan oleh penduduk kampung.

Bunga pahar pelbagai warna yang dicucuk pada batang pisang setinggi lapan kaki memeriahkan majlis.

Salikin berkata, beliau masih teringat pada hari persandingannya, beliau dan Anita mengenakan persalinan songket rekaan sendiri berwarna pucuk pisang.

Salikin dan Anita dikurniakan tiga orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua orang perempuan, iaitu Ariq Siddiq, sembilan tahun, Asila Sofia, tujuh tahun dan Ajwa Saleha, lima tahun.

Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak diserahkan kepada isterinya yang bijak menguruskan mereka sementara Salikin sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga.

''Kasih sayang akan hilang tanpa wang ringgit begitu juga sebaliknya. Kami berbincang akan peranan masing-masing dan kami setuju dengan tanggungjawab kami,'' kata Salikin yang tidak mengupah pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah.

Sementara itu, Anita yang pendiam dan nampak pemalu berkata, beliau menerima dengan reda jodohnya dengan Salikin dan amat menghormati suaminya. Selain itu, sikap Salikin yang bertanggungjawab kepada keluarganya dan pandai mengambil hati orang tua menambat hatinya.

Bertanya padanya apa yang tidak disukai oleh Salikin, kata Anita, suaminya itu amat mengutamakan kebersihan, tidak suka melihat rumah berselerak dan anak-anak tidak boleh dibiarkan bebas.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved