Utusan Online - Dalam Negeri |
- Jangan berselindung - PM
- 297 terima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011
- Najib ziarah jenazah anggota polis pengiring
Posted: Jangan berselindung - PMOleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan FAUZI JAAFAR Najib Tun Razak bersama sebahagian daripada 10,000 ahli ekonomi dan peniaga Melayu serta mahasiswa menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, malam tadi. - Bernama SERDANG 29 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Melayu abad ke-21 tidak boleh berselindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang. Sebaliknya, beliau berkata, kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada keyakinan diri, keupayaan serta kebolehan kaum Melayu pada abad tersebut. Sehubungan itu, beliau mahu orang Melayu pada abad ini melakukan perubahan dalam konteks meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka mampu bersaing. "Inilah cabaran oleh orang Melayu pada abad ke-21. Sekiranya kita mahu orang Melayu yang bermaruah dan terhormat, kita tidak boleh berselindung tetapi kita perlu ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya. "Kerana kita ada kelebihan dan inilah ciri-ciri Melayu abad ke-21 iaitu Melayu yang berjaya yang bukan dilindungi kerajaan tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri di tapak Ekspo Pertanian Malaysia di sini malam ini. Majlis pelancaran MTEM dihadiri kira-kira 10,000 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seluruh negara. MTEM merupakan sebuah platform untuk NGO ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara. Perdana Menteri berkata, realitinya cabaran abad ke-21 amat hebat dan mahu tidak mahu orang Melayu perlu menghadapinya dengan persediaan secukupnya. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang Melayu abad ke-21 perlu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan sedia ada kerana masa depan mereka berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sekarang. "Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak kaum lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada. "Sebagai contoh apabila kerajaan memutuskan projek transit aliran massa (MRT), kita putuskan 43 peratus daripada projek ini kita berikan kepada usahawan Melayu dan bumiputera," ujarnya. Beliau menambah, sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak dengan bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan kaum itu dapat diketengahkan secara lebih baik. "Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang bangkit dan bertindak sebagai barisan depan dalam menuntut apa yang perlu bangsa kita miliki," katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang juga Pengerusi MTEM, Syed Ali Alattas dan Pengerusi penganjur, Rizal Faris Mohaideen Abdul Kader. | ||
297 terima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011 Posted: 297 terima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011
PUTRAJAYA 29 Sept. - Pakar Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Tan Sri Dr. Ridzwan Abu Bakar mengetuai senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2011 yang menerima anugerah masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Melawati di sini hari ini. Beliau adalah penerima tunggal Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri, yang dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Jun lepas. Lima yang lain adalah penerima Darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk, terdiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Kelantan, Datuk Siti Jeliha Hussin, Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Prof. Datuk Dr. Abdul Kadir Taib, bekas Panglima 4 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Rosli (B), Anggota Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk M. Munusamy dan Pengurus Sukan, Majlis Sukan Negara Malaysia, Datuk M. Magendran. Empat lagi menerima Darjah Johan Mangku Negara, manakala pendakwah Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah adalah antara tujuh penerima Darjah Johan Setia Mahkota. Selain itu, seorang menerima Darjah Johan Setia Diraja, 63 menerima Darjah Kesatria Mangku Negara, 103 menerima Darjah Ahli Mangku Negara dan 113 lagi menerima Pingat Pangkuan Negara. - BERNAMA | ||
Najib ziarah jenazah anggota polis pengiring Posted: Najib ziarah jenazah anggota polis pengiringNajib Tun Razak bersalaman dengan seorang pegawai polis ketika menziarahi jenazah Sarjan Ibrahim Mat Husin di Masjid Sa'adah Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA KUALA LUMPUR 29 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menziarah jenazah anggota polis pengiring bermotosikal, Sarjan Ibrahim Mat Husin yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di sini pagi tadi. Perdana Menteri tiba di Surau As-Saadah, Taman Keramat Permai dekat sini kira-kira pukul 10 pagi dengan disambut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Ibrahim, 51, merupakan anggota polis pengiring kepada Najib sejak 2009. Sebelum ini, Allahyarham pernah bertugas sebagai anggota polis pengiring kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dan kemudian kembali bertugas di Balai Polis Trafik Pudu selepas Dr. Mahathir bersara. Ibrahim meninggalkan balu, Fakhriah Abdul Raof, 41, dan tiga orang anak berumur antara 14 dan 19 tahun. Jenazah Ibrahim kemudiannya dibawa ke kampung halamannya di Sungai Kota, Parit Buntar, Perak untuk dikebumikan. Fakhriah berkata, Allahyarham tidak sedarkan diri selepas mengadu sesak nafas dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.40 pagi. Beliau disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi. "Dia (arwah) sebenarnya dalam tempoh bercuti rehat selama seminggu dan pernah dimasukkan ke hospital minggu lepas selama satu hari, disyaki mengalami bengkak pada jantung," katanya. Rakan setugas Allahyarham, Koperal Raem Jani melahirkan rasa terkejut dengan kematian Ibrahim yang dikenalinya sejak 21 tahun lepas, semasa mereka bertugas dan menjadi anggota polis pengiring kepada Najib. "Arwah seorang yang tegas dan cepat marah tetapi sekejap sahaja. Selain itu, arwah sebenarnya seorang yang suka bergurau," katanya. Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, Allahyarham merupakan seorang anggota yang berdedikasi dalam menjalankan tugas. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan