Utusan Online - Timur |
SolarTIF rintis industri solar Posted: SolarTIF rintis industri solarOleh RADHUAN HUSSAIN Shamsul Ezan Zairi (tengah) bersama kakitangan SolarTIF menunjukkan panel solar keluaran syarikat berkenaan di Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini. - utusan/Shaifudin Mohd Nor KUALA TERENGGANU 15 Sept. - Sejajar dengan perkembangan teknologi di peringkat global dan potensi masa depannya di negara ini, SolarTIF, sebuah syarikat bumiputera di sini berusaha mendepani cabaran dengan meneroka penglibatan dalam industri berkaitan. Teknologi hijau melibatkan pembangunan dan aplikasi produk serta sistem untuk memelihara alam sekitar termasuk melalui penggunaan sumber tenaga asli di samping sumber yang boleh diperbaharui serta menjimatkan kos dengan solar sebagai cabangnya. Belum dikenali meluas, SolarTIF Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2007 dengan modal berbayar sebanyak RM1 juta, beroperasi di Taman perindustrian Cendering di sini dengan hanya ditunjangi empat orang kakitangan pada awalnya. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Ezan Zairi memberitahu, keyakinan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan geran bagi projek pembinaan terowong pengeringan berkuasa solar bagi industri memberi nafas baru kepada perkembangan syarikat. ''Komponen projek ini adalah panel solar dan kami berjaya menyiapkan dalam tempoh setahun dengan pergantungan kepada bahan-bahan yang diimport. ''Lalu kami memikirkan untuk membina sendiri peralatan ini dan berusaha mendapatkan kerjasama Institut Penyelidikan Tenaga Solar Universiti Kebangsaan Malaysia dengan memanfaatkan hasil penyelidikan mereka untuk dikomersialkan," ujar beliau. Katanya, bagi menimba teknologi lebih mendalam, dengan menggunakan khidmat perunding, pihak syarikat meninjau teknologi itu di Amerika Syarikat sehingga mengukuhkan keyakinan untuk bersaing dengan syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa. SolarTIF mencatat perkembangan memberangsangkan dalam perniagaan solar melalui pengeluaran dan pembekalan Poly-Crystalline Photovoltaic Modules bermutu tinggi kepada pelanggan dalam dan luar negara. ''Pada peringkat awal kami hanya berupaya menghasilkan kira-kira 10 keping panel solar sehari berbanding 30 keping sekarang,'' katanya. Setahun selepas beroperasi, syarikat sudah mampu mengeluarkan 2 megawatt (MW) solar setahun dan kemudiannya menghasilkan produk bertenaga 8 MW, hasil tambahan dua mesin. Pada 2009, syarikat yang beliau terajui dan dibantu Pegawai Pembangunan Perniagaan SolarTIF, Mahathir Mohamad Hilal mula mendapat pengiktirafan Jerman, negara terkehadapan di dunia dalam industri itu. Bermodal kreativiti selain sarat dengan idea untuk memajukan perniagaan di peringkat global, SolarTIF turut meneroka potensi di luar negara dengan menjadikan Bangladesh sebagai pasaran antarabangsa pertamanya. ''Melihat krisis bekalan elektrik di negara berkenaan akibat terlalu bergantung kepada sebatang sungai utama, kami mula membayangkan potensi besar untuk melabur di Bangladesh iaitu pasaran bagi sistem solar rumah terbesar di dunia. ''Biarpun terpaksa bersaing dengan produk hampir serupa dari Cina dan India, berbekalkan produk yang berkualiti tinggi selain harganya berpatutan telah berjaya menambat hati penduduk di negara itu. ''Bangladesh merupakan pasaran menggalakkan dan sambutan yang diterima sangat positif. Syarikat kini mengatur strategi perniagaannya untuk mengembangkan operasi di Indonesia awal tahun depan," ujarnya. Shamsul Ezan berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang dijalankan dan pihaknya bersetuju untuk mencari rakan strategiknya untuk bertapak di negara itu. Syarikat itu mensasarkan 30 peratus produk panel solar untuk pasaran eksport manakala 70 peratus lagi bagi keperluan domestik dengan 250,000 keping panel solar dihasilkan setahun. "Biasanya saiz paling digemari pelanggannya adalah panel yang berkapasiti 50w, 120w dan 200w. Tiga tahun dulu, 2 kw menyamai harga RM100,000 manakala sekarang, 2 kw harganya lebih murah iaitu RM70,000 hingga RM80,000 iaitu untuk sistem PV off- grid manakala on-grid kosnya sehingga serendah RM11,000 untuk setiap kW," katanya. Faktor kenaikan kadar tarif selain program Feed in Tariff (FIT) Disember tahun ini dijangka meningkatkan jumlah pelanggan yang bakal menggunakan tenaga alternatif, sekali gus membantu pengembangan sektor pengeluaran panel solar. Seiring dengan keperluan untuk melangkah lebih jauh, SolarTIF merancang membina kompleks kilang baharu di kawasan seluas 1.2 hektar di Chendering. Projek itu yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM20 juta bakal dilengkapi pelbagai prasarana dan akan dibangunkan dalam tiga fasa yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015. Sebaik sahaja kilang baharu itu siap, Shamsul Ezan berkata, pihaknya mensasarkan kira-kira 250,000 panel solar 50 megawatt (mw) dihasilkan pada 2013 manakala kira-kira 500,000 panel solar 100 mw pada 2015. ''Menyedari perkembangan teknologi hijau negara, kami berpandangan industri tenaga solar akan menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga mahir pada masa depan yang bakal menyediakan 157,000 peluang kerja menjelang 2020. ''Perkembangan ini telah mendorong SolarTIF untuk menyumbang ke arah pembangunan modal insan dan memenuhi perancangan negara. Justeru kami menubuhkan sebuah institusi di pengajian tinggi yang dinamakan Kolej Teknologi dan Inovasi KRIM (KCTI). ''KCTI telah mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi dan akan beroperasi di Wisma MBKT Jalan Pasir Panjang di sini. Dijangka ia menerima kemasukan pelajar pada akhir September atau awal Oktober depan," ujarnya. KCTI akan menawarkan Diploma Teknologi Tenaga Solar, program pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini di samping berkaitan teknologi komputer melalui Diploma Pembanguan Perisian, Diploma Animasi Digital dan Diploma Teknologi Pembangunan Permainan. ''Program pengajian yang ditawarkan disokong oleh industri di belakangnya iaitu SolarTIF manakala teknologi kreatif disokong oleh Redang Digital Sdn. Bhd. syarikat pengeluar siri animasi yang menjadi rakan kongsi syarikat," ujarnya. |
Rumah: Kelantan perlu pandang serius Posted: Rumah: Kelantan perlu pandang seriusKOTA BHARU 15 Sept. - Kerajaan Pas Kelantan didesak melakukan kajian terperinci bagi memastikan kira-kira 400,000 rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri. Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, masalah tersebut amat serius kerana ia adalah keperluan asas yang seharusnya dimiliki oleh rakyat negeri ini. Beliau berkata, situasi ini jelas menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pas gagal menyediakan keperluan tersebut kepada rakyatnya biarpun telah memerintah selama 20 tahun. "Kerajaan negeri sepatutnya melihat dengan serius perkara ini. Jumlah 400,000 itu sangat tinggi jika dinisbah dengan populasi penduduk rakyatnya yang hanya sejuta lebih. "Kalau diambil kira dari segi peratus ini bermakna 40 peratus rakyat negeri ini masih belum mempunyai rumah sendiri. Ini amat mendukacitakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Pragraduan Sesi Mei-Okt. 2011 Universiti Teknologi Mara cawangan Kelantan di sini, malam tadi. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Kajian Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Kelantan yang mendedahkan kira-kira 400,000 rakyat negeri ini masih belum memiliki rumah sendiri. Mohamad Fatmi yang juga Ketua UMNO bahagian Kota Bharu mendakwa, kerajaan Pas Kelantan dilihat lebih mementingkan pembinaan rumah-rumah mewah dengan nilai ratusan ribu diusaha secara bekerjasama dengan agensi swasta. Katanya, nilai tersebut tidak mampu bagi membantu rakyat negeri ini yang sebilangan besarnya berpendapatan rendah antara RM1,000 hingga RM2,000. Beliau berkata, sekiranya benar kenyataan tersebut adalah hasil dari kajian REHDA, beliau percaya ia adalah tepat memandangkan persatuan itu mewakili hampir semua pemaju-pemaju perumahan dan mempunyai data lengkap. "Ini kajian yang semestinya tepat oleh REHDA, tidak boleh dinafikan kerajaan Pas Kelantan dan ini sesuatu kajian yang serius," katanya. Tambahnya, kerajaan negeri tidak sepatutnya melihat situasi ini sebagai perkara kecil dalam menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhannya. Mengulas lanjut, Mohamad Fatmi berkata, rakyat perlu menilai kembali masalah itu kerana jumlah yang dinyatakan oleh REHDA itu begitu tinggi dan jika ia berterusan sudah tentu sebahagian besar rakyat Kelantan selamanya tidak akan mampu membeli rumah sendiri. "Sebab itu kita telah menyatakan keazaman jika Barisan Nasional kembali memerintah, masalah ini sudah tentu akan menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan dalam membela nasib rakyat," katanya. |
Posted: Kubur bayi digali semulaPENGKALAN KUBUR 15 Sept. - Kubur seorang bayi lelaki berusia empat bulan di Tanah Perkuburan Islam Geting Tengah di sini, terpaksa digali semula berikutan arahan mahkamah setelah keluarganya tidak melaporkan kematiannya kepada polis. Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap berkata, kerja-kerja dijalankan dengan disaksikan Majistret Pasir Mas, pegawai Jabatan Agama Islam Kelantan dan imam kampung. "Maklumat awal mendapati bayi itu menghidap lemah jantung dan sindrom down sejak lahir. Bayi itu meninggal di rumah keluarganya di Kampung Geting, pukul 12.30 tengah malam kelmarin. "Ketika kejadian, bapa bayi itu, Adam Hamid, 45, yang merupakan seorang nelayan tiada di rumah kerana pergi menangkap ikan. Sejurus pulang, lelaki itu mendapati anaknya telah dikebumikan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan