Utusan Online - Politik |
Posted: Malaysia dalam zon bahayaOleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM KUALA LUMPUR 19 Sept. - Malaysia akan berada dalam 'zon bahaya' sekali gus menjadi sebuah negara tidak beridentiti sekiranya rakyat memberi mandat kepada pembangkang untuk memerintah negara ini. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia berikutan kenyataan terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang. Jelasnya, dengan kenyataan itu, maka tidak hairan selepas dibenarkan memerintah, mereka akan bertindak menukar lagu Negaraku termasuk merobohkan Parlimen kerana dikatakan mirip Barisan Nasional (BN). ''Saya rasa pemikiran Manoharan masih terjajah. Dalam keadaan kerajaan serius melakukan transformasi politik, mereka masih dengan perangai lama untuk sengaja menimbulkan huru-hara dalam negara. ''Pemikiran sebegini cukup bahaya apabila semua perkara mahu diubah. Sehubungan itu rakyat yang mahukan keamanan dan mempertahankan kemerdekaan perlu menolak pemimpin seperti ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau mengulas kenyataan Manoharan menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini dan didedahkan oleh portal berita terbaru, www.mole.my semalam yang menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika menang pilihan raya umum akan datang. Secara jelas, Manoharan menulis kenyataan menerusi status dalam laman berkenaan yang berbunyi: I distributed many DAP flags today in my constituency. I refused to fly the Malaysian flag because it looks more BN than Malaysian. (Saya mengedarkan banyak bendera DAP hari ini dalam kawasan pengundian saya. Saya menolak untuk mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan seperti BN berbanding Malaysia). Bertambah biadab, Manoharan mengeluarkan pula komentar di bawahnya seperti berikut: "Copycat...AMERICA. America Syarikat atau Syarikat America. Inipun Bahasa Malaysia tak betul. LOL. Bendera Amerika Syarikat ditiru!." Pendapat Mohd. Puad itu disokong Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang menyifatkan DAP sudah ketandusan isu sehingga sehingga terpaksa membangkitkan usul untuk menukar Jalur Gemilang semata-mata mahu mengalih perhatian rakyat terhadap perkara lebih penting berkaitan pembangunan negara. Katanya, panji-panji negara telah lama berkibar di negara luar malah misi keamanan negara tidak pernah disalah anggap sebagai pasukan dari AS. ''Saya menyeru semua pihak tidak melayan cadangan gila DAP itu kerana saya yakin peluang untuk pembangkang memerintah negara ini semakin tipis,'' katanya. Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula berkata, setiap perkara yang menjadi lambang negara tidak boleh dipolitikkan kerana ia telah ditetapkan dan dipersetujui sejak merdeka. ''Ini merupakan satu pandangan berbahaya dan boleh memecah-belahkan rakyat sekali gus menggambarkan kecetekan fikiran mereka apabila tidak memahami aspirasi negara yang telah dilambangkan melalui Jalur Gemilang,'' katanya. Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu pula berkata, kenyataan biadab pemimpin DAP itu merupakan pendekatan pembangkang untuk mencetuskan kontroversi demi meraih publisiti murahan. Oleh itu, katanya, semua pihak diminta tidak terperangkap dengan permainan politik mereka yang digambarkan tidak matang dan tidak bertanggungjawab. ''Pemimpin pembangkang lain seperti Pas dan PKR diminta mengeluarkan pendirian segera berhubung kenyataan ADUN DAP itu atau menjadikannya sebagai satu manifesto pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang,'' katanya. |
Peluang Barisan Nasional rampas Selangor 50:50 Posted: Peluang Barisan Nasional rampas Selangor 50:50KUALA LUMPUR 19 Sept. - Peluang Barisan Nasional (BN) merampas kembali Selangor daripada pembangkang adalah 50:50 berbanding 47: 53 sebelum ini akibat kelemahan dan penyelewengan pembangkang kebelakangan ini. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, seperti contoh tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengiktiraf komunis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero wira sebenar adalah bercanggah dengan fakta sejarah. "Setakat ini, hakikat yang perlu diterima dijangkakan 16 kerusi akan diperoleh BN dan 16 kerusi oleh pembangkang serta baki 24 kerusi akan menjadi medan penentunya. "Selain itu, 10 hingga 12 kerusi panas di Selangor yang kalah di tangan pembangkang mempunyai perbezaan undi majoriti sedikit perlu diberi tumpuan. ''Contohnya di Ijok, kawasan Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri, hampir 30 peratus pengundi adalah beragama Hindu dan saya yakin Ijok boleh dirampas kerana MIC yang dilihat sudah kembali pulih," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai keadaan politik di Selangor dan sama ada BN berpeluang untuk merampas kembali Selangor pada pilihan raya umum akan datang di sini hari ini. Tambah Ahmad Atory, beliau juga menyokong cadangan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagi membuat manifesto sendiri bagi setiap daerah di Selangor kerana setiap kawasan mempunyai masalah yang berbeza-beza. "Selain itu, semua janji-janji yang diberikan oleh menteri perlu ditunaikan sebelum pilihan raya akan datang agar ia tidak digunakan oleh pembangkang," ujarnya. Kata beliau, calon-calon bagi Menteri Besar Selangor juga perlu ditonjolkan dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkredibiliti dari pemimpin pembangkang sekarang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan