Isnin, 19 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Peniaga berat berpindah

Posted:

Peniaga berat berpindah

Peniaga berat berpindah

Oleh SITI AISHAH YUSOFFkota@utusan.com.my


KEADAAN di Bazaria Pantai di Pantai Dalam yang masih lengang walaupun ramai peniaga sudah menerima kunci sejak Jun lalu. - UTUSAN/Hafiz Johari


KUALA LUMPUR 19 Sept. - Walaupun fasa pertama penyerahan kunci kepada 81 orang peniaga di Pusat Penjaja Bazaria Pantai, Pantai Dalam sudah dilakukan tetapi pusat penjaja itu masih kelihatan lengang sehingga ke hari ini.

Sejak menerima kunci pada Jun lalu, hanya beberapa buah gerai sahaja yang sudah memulakan operasi masing-masing dan masih ramai peniaga dilihat masih berniaga di tapak lama mereka iaitu di tepi Jalan Bukit Angkasa.

Melihat kepada kemudahan yang disediakan di bazaria itu, selain suasana yang lebih selesa, sukar difahami mengapa masih ramai peniaga enggan berpindah ke situ.

Tinjauan Utusan Malaysia ke atas peniaga-peniaga yang terlibat mendapati beberapa isu yang menjadi punca mereka enggan memulakan perniagaan di tempat baru itu.

Peniaga buah-buahan, Muhammad Baldun, 61, berkata, gerainya di tepi jalan itu lebih luas berbanding dengan gerai yang ditawarkan oleh DBKL di bazaria itu.

"Tidak dinafikan tempat baru itu lebih selesa tetapi ia terlalu sempit dan tidak mampu untuk memuatkan kesemua barang jualan saya tetapi saya akan pindah jika semua berpindah ke situ," katanya.

Tambah Muhammad, dia memohon dua gerai daripada DBKL supaya dia dapat berniaga dengan selesa tetapi dia diberitahu, setiap peniaga hanya diperuntukkan satu gerai sahaja.

Peniaga gerai makan, Omar Mat Arat, 50, pual berkata, walaupun sudah 20 tahun berniaga di bahu jalan itu tetapi dia bersedia berpindah ke gerai yang baru disediakan itu.

"Memang bagus kami diberikan gerai di bazaria tersebut walaupun keluasannya lebih kecil berbanding gerai sekarang. Saya akan berpindah dalam masa terdekat ini, namun saya juga risau apakah sambutan orang ramai terhadap perniagaan di bazaria itu nanti," jelasnya.

Sementara itu, seorang peniaga gerai makan, Mustafa Dahlan, 57, yang berpindah ke gerai baru itu pada bulan puasa lepas berkata, dia agak bimbang perniagaan di situ kurang mendapat sambutan tetapi dia yakin jika semua peniaga berpindah, sambutan orang ramai akan sama seperti dahulu.

"Lebih baik saya berpindah kerana tempat ini lebih selesa dan banyak kemudahan disediakan berbanding dengan gerai lama yang terletak di tepi jalan yang membahayakan dan kurang bersih," katanya.

Peniaga barangan runcit, Maznah Masri, 52, berkata, dia sudah mula berniaga di bazaria tersebut sejak satu bulan lalu dan sambutan agak memuaskan.

Katanya, memang tidak dinafikan gerai di situ agak sempit dan tidak muat untuk meletakkan banyak barangan tetapi kawasan ini jauh lebih selesa dan kemudahannya lebih baik," katanya.

Penginapan di RMH hanya RM5 semalam

Posted:

Penginapan di RMH hanya RM5 semalam

Penginapan di RMH hanya RM5 semalam

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Keluarga pesakit yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini tidak perlu risau mengenai soal penginapan kerana mereka boleh menginap di Rumah Ronald McDonald (RMH) dengan bayaran hanya RM5 sehari.

Pengerusi RMH-PPUKM, Datin Fadilah Othman berkata, kemudahan yang ditawarkan itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan ahli keluarga pesakit berulang-alik ke hospital.

"Berbanding hotel atau rumah tumpangan, kos penginapan di RMH jauh lebih murah, malah lokasinya yang terletak dalam pekarangan PPUKM memudahkan ibu bapa memantau anak mereka yang dirawat di pusat perubatan berkenaan," katanya.

Beliau berucap pada majlis meraikan anak yatim dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras anjuran McDonald's Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, McDonald's Malaysia turut menyumbangkan RM3,000 untuk perpustakaan rumah anak yatim tersebut.

Sementara itu, kata Fadilah, semenjak pembukaan RMH pada 1999, sebanyak 400 kanak-kanak telah mendapat bantuan dan keselesaan ketika menjalani rawatan dengan ditemani oleh keluarga masing-masing.

"Di dalam rumah tersebut, penghuni boleh menggunakan pelbagai kemudahan seperti dapur dan bilik komputer.

"Ibu bapa pesakit yang pernah menginap di sini amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh McDonald's," ujarnya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga pesakit, Majid Makai, 45, berkata, kemudahan itu dapat mendekatkan antara ibu bapa dan anak ketika menjalani rawatan.

"Saya dapat memantau perkembangan kesihatan anak di samping berada di sisi ketika sesi rawatan dijalankan. Ini dapat membantu keluarga yang susah kerana penginapan di luar, kosnya terlalu mahal," kata nya.

Nirvana disamun lagi

Posted:

Nirvana disamun lagi

Nirvana disamun lagi

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Sekumpulan lapan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menjadikan pusat pengurusan mayat, Nirvana Memorial Centre di Jalan Sungai Besi di sini sebagai sasaran samun dalam kejadian awal pagi ini.

Suspek yang dipercayai penjenayah sama yang merompak pusat pengurusan mayat itu tahun lalu mengikat tiga orang kakitangan di situ termasuk pengawal keselamatan sebelum menggeledah tempat itu pada kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata, jumlah kerugian belum dapat dipastikan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian sudah diperoleh.

Dalam kejadian yang berlaku pada 10 Oktober tahun lalu, penjenayah melarikan wang tunai RM300,000 yang disimpan di pusat pengurusan mayat itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved