Utusan Online - Hiburan |
Posted: Cinta singkat Ashraf MuslimOleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
BERMULA dengan perkenalan singkat di rumah bapa mertuanya, siapa sangka pelakon utama drama Ustaz Amirul ini, Ashraf Muslim,30, kini sudah bergelar suami kepada Noor Dayana Lokman, 24, pada 1 Syawal lalu di Tanah Suci, Mekah. Tanggal 17 September lalu, pasangan ini telah mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka di rumah pengantin perempuan di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Majlis yang diadakan secara sederhana itu tetap meriah dengan kehadiran rakan-rakan serta saudara mara pengantin lelki dan perempuan. Tepat pukul 1.30 petang, merpati dua sejoli ini melangkah masuk ke tempat persandingan mereka, diiringi muzik daripada bagpipies, membuatkan semua tetamu yang hadir bagaikan terpaku dengan kehadiran mereka. Persandingan yang bertemakan Inggeris moden itu kemudiannya diteruskan lagi dengan bacaan doa sebaik sahaja pasangan tersebut duduk di atas pelamin. Pada majlis tersebut, jelas terpancar cahaya kegembiraan di wajah pasangan suami isteri ini yang mengenakan persalinan rona putih dan juga ungu muda rekaan Ezuwan Ismail. Dalam majlis itu, Dayana menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak Ashraf yang berupa senaskah al-Quran, telekung, beg tangan Salvatore Ferragamo, iPhone 4, jam tangan berjenama Esprit, kek dan juga sirih junjung. Manakala Ashraf menerima 11 dulang hantaran antaranya senaskah al-Quran, jam tangan berjenama Gucci, set wangian Boss, cermin mata Prada dan juga kasut berjenama Bally. Isteri pelengkap kehidupan Bagi pelakon yang sinonim dengan watak 'orang alim' ini, kehadiran Dayana dalam hidupnya umpama satu bintang yang menjadi pelengkap kepada dirinya. "Alhamdullillah, apa yang saya doakan di depan Kaabah ketika saya mengerjakan umrah sebelum ini telah dikabulkan. "Sememangnya saya sangat bersyukur dikurniakan isteri yang solehah dan banyak membantu saya dalam kehidupan seharian. "Apa yang lebih penting, tanggungjawab sebagai suami akan saya pikul sebaiknya dan saya akan pastikan Dayana dijaga dengan baik," kata pemegang watak Ustaz Amirul ini dengan jujur. Dicuit mengenai destinasi bulan madu, Ashraf menyatakan, buat masa ini dia masih menunggu Dayana menghabiskan semester terakhirnya terlebih dahulu. "Insya-Allah, jika tiada masalah, kami akan berbulan madu di New Zealand tapi buat masa sekarang, biarlah dia (Dayana) habis belajar dulu, Lagipun saya juga sibuk dengan urusan di pusat rawatan," jelas Ashraf. Selain itu, bagi isteri kepada pelakon filem Aku Masih Dara ini juga, dia sangat memahami kerjaya yang dilalui suaminya ini. "Sepanjang berkenalan dengan Ashraf selama setahun, saya faham apa yang dilaluinya lebih-lebih lagi jika ada peminat yang ingin bergambar dengan dia," ujar Dayana. Akan terus berlakon Sebaik ditebak soalan mengenai kerjayanya sebagai pelakon, Ashraf menjelaskan, dia sememangnya tidak berniat untuk mengundurkan diri dari dunia lakonan. Namun, berdiri di atas rasa tanggungjawab unuk membantu orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Syifa' Al-Hidayah yang dikendalikan bersama bapa mertuanya, Haji Lokman itu, Ashraf terpaksa melupakan seketika niatnya untuk berlakon. "Kalau diikutkan, memang saya mahu berlakon dan saya tidak akan berhenti berlakon. "Tetapi buat masa ini saya sibuk dengan kerja di pusat rawatan. Selain itu, pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, saya akan merawat pesakit di negeri-negeri lain. "Jadi, wujud pertindasan masa jika saya ingin berlakon. Namun saya percaya, peluang dan rezeki itu ada di mana-mana. Jika ada masa yang sesuai, saya akan berlakon," ujarnya. Sementara itu, sebelum mengakhiri perbualan, Ashraf sempat memberitahu mengenai majlis resepsi pihaknya akan diadakan pada 24 September ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. | ||
Shila menangis kerana Sharnaaz Posted: Shila menangis kerana SharnaazOleh ABD. AZIZ ITAR
SHILA Amzah terus mengukuhkan namanya sebagai penyanyi selepas berjaya muncul sebagai finalis pertandingan nyanyian One In A Million beberapa tahun yang lalu. Anak penyanyi tahun 1980-an, N.D. Lala ini misalnya, tampil dengan album single terbarunya beberapa bulan lalu yang memuatkan lagu berjudul Patah Seribu dengan menampilkan pelakon Sharnaaz Ahmad sebagai model klip video lagu itu. Menurut Shila, dia memilih Sharnaaz berlakon dalam klip video itu kerana tertarik dengan karakter pelakon kacak itu biarpun baru dalam bidang lakonan. Jelas penyanyi berusia 21 tahun ini, Sharnaaz berjaya menambat hatinya selepas dia menonton telemovie berjudul Penanggal dan Unggunya Cinta yang disiarkan di Astro Prima (Saluran 105, Astro) baru-baru ini. Lakonan Sharnaaz telah mencuri perhatian Shila yang menganggapnya sebagai seorang pelakon baru yang berbakat besar dalam bidang tersebut. "Saya bukan sahaja tertarik dengan gaya lakonan Sharnaaz yang saya ingat sampai hari ini, malah saya juga menangis sewaktu menonton drama Unggunya Cinta lakonannya," katanya. Menurut Shila, kerana tertarik dengan gaya lakonan Sharnaaz, dia tidak berfikir lama dengan menjemput sendiri pelakon itu menjalani penggambaran klip video Patah Seribu yang menjalani penggambarannya pada bulan puasa lalu. "Saya yakin dengan kemampuan Sharnaaz bagi menghidupkan klip video terbaru saya itu. Pada masa sama, saya juga turut berlakon dengan Sharnaaz dalam klip video itu. Saya dan Sharnaaz berlakon dalam 10 adegan klip video arahan Michael Ang. Saya puas kerana dapat berlakon dengannya," ujarnya. Selain menggunakan khidmat Sharnaaz sebagai pelakon dalam klip video Patah Seribu, sebelum itu telah timbul gosip mengatakan Shila turut berkawan rapat dengan jejaka terbabit hingga ada yang mengatakan mereka kini sedang bercinta. Shila dikatakan pernah meletakkan gambarnya dan pelakon itu dalam telefon bimbitnya di mana ia turut disiarkan menerusi rancangan Melodi terbitan TV3 tidak lama dulu. Shila bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengatakan bertukar-tukar gambar dalam telefon bimbit adalah perkara biasa, malah pada masa sama mengakui dia masih belum mempunyai teman lelaki. Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Memori Tercipta, kini mahu memberi tumpuan kepada bidang nyanyian selepas tiga tahun bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Monkey Bone. "Sekarang ini saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Saya yang mahu menamatkan kontrak dengan mereka lebih awal kerana lebih senang bergerak secara sendirian sebagai penyanyi. "Biarpun dalam kontrak itu saya sepatutnya menghasilkan dua lagi album tetapi saya tidak menyesal. Selepas ini, kalau saya mahu merakamkan album semua perbelanjaannya saya tanggung sendiri," jelasnya. Shila yang pernah muncul dengan sebuah album bertajuk Bebaskan pada 2008 tiada masalah untuk bergerak sendirian kerana dia sentiasa mendapat sokongan daripada bapanya yang juga penyanyi popular tahun 1980-an. Dengan berbekalkan bakat menyanyi dan bermain gitar dia juga tiada masalah untuk mencipta lagu-lagu serta lirik sendiri bagi dimuatkan dalam album-album yang akan diterbitkannya pada masa akan datang. "Buat masa ini, saya telah mencipta hampir 30 buah lagu yang belum pernah dirakamkan. Kalau saya mahu merakamkan album baru, saya akan gunakan lagu-lagu itu. Saya yakin dengan kemampuan lagu-lagu ciptaan sendiri. "Buktinya, lagu Patah Seribu kini semakin mendapat sambutan ramai pendengar selepas banyak stesen radio menyiarkannya terutamanya Hot FM sejak pertengahan Ogos lalu," katanya lagi kepada Hits. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan