Khamis, 4 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Transformasi perundangan Islam

Posted:

Transformasi perundangan Islam

Transformasi perundangan Islam

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

MENYEBUT perundangan Islam, pasti umum terus memahaminya sebagai isu melibatkan Mahkamah Syariah semata-mata.

Tanggapan ini tidak tepat kerana perundangan Islam merangkumi aspek keseluruhan undang-undang Islam di Malaysia yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong sebagai penaungnya.

Untuk itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini mengadakan muzakarah penyelidikan ke arah memperkasakan dan membetulkan salah tanggapan berkaitan undang-undang Islam bertajuk 'Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di Malaysia'.

Muzakarah itu melibatkan penyertaan pakar-pakar bidang agama dan perundangan, jabatan agama dan kerajaan, agensi serta pihak berkuasa berkaitan yang dibahagikan kepada empat kluster mengikut bidang dan isu berbangkit.

Melalui Kluster Satu yang dipengerusikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Aidit Ghazali, isu keperluan transformasi, salah tanggapan tentang Islam di Malaysia dan pemerkasaan Kesultanan Melayu dibincangkan.

Pakar rujuk kluster ini terdiri daripada Mufti Kerajaan Negeri, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan (sivil) dan wakil Bahagian Penasihat Syariah, Jabatan Peguam Negara.

Ahlinya pula terdiri daripada Timbalan Mufti Negeri, wakil fakulti Islam universiti, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Pensyarah Jabatan Pengajian Media universiti sementara media diwakili Kumpulan Utusan, Bernama dan Berita Harian.

Isu pertama yang membincangkan keperluan kepada transformasi sistem perundangan Islam, pakar rujuk dan ahli Kluster Satu sepakat ia sesuatu yang perlu dilaksanakan segera.

Mereka juga bersetuju menggunakan istilah 'transformasi' kerana ia lebih mudah difahami dalam konteks yang lebih menyeluruh.

Isu kedua melibatkan salah tanggapan tentang kedudukan serta kedaulatan Islam di Malaysia dibincang berdasarkan sumber-sumber maklumat yang mendedahkan wujudnya kekeliruan tersebut.

Antaranya adalah hujah peguam melalui beberapa kes di mahkamah, paparan media cetak dan elektronik serta maklum balas program dan mesyuarat awam, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihadiri agensi-agensi Islam.

Selain itu, kempen di kalangan orang ramai yang menyatakan bahawa Islam hanya agama rasmi dan bukan agama Persekutuan (merujuk kepada kes yang diputuskan oleh Tun Salleh Abas, Che Omar Che Soh) dikhuatiri turut menyumbangkan kepada kekeliruan umum itu.

Permasalahan yang dikenal pasti oleh Kluster Satu membelenggu rakyat Malaysia kini melibatkan pemikiran bahawa Islam sekadar agama rasmi, Malaysia negara sekular, kedudukan Islam lebih rendah berbanding Perlembagaan (implikasi Perkara 4), kesamarataan agama, dan undang-undang 'penjajah' (sivil) lebih utama sementara perundangan Islam sekadar alternatif.

Kekeliruan lain yang dikesan melibatkan usaha memperjuangkan Islam dianggap cenderung kepada pembangkang, Islam tanggungjawab negeri sahaja dan pihak berkuasa agama negeri berada di bawah kuasa kerajaan negeri.

Kluster Satu juga mendapati ada yang beranggapan sejarah agama Islam di negara ini hanya bermula pada tahun 1957, masalah mempolitikkan Islam, pendidikan undang-undang Inggeris lebih kuat di kalangan pengamal undang-undang dan masalah kumpulan pakar Islam tidak menasihatkan ahli politik dengan baik.

Hasil analisis pakar dan ahli Kluster Satu, masalah ini dilihat berpunca daripada salah penerangan kepada masyarakat, tiada kumpulan pendesak yang boleh memberi panduan dan nasihat yang benar kepada pemimpin politik dan pendekatan politik mengatasi agama sehinggakan pertimbangan politik menyebabkan orang Islam bersikap apologetik terhadap kedudukan Islam.

Untuk itu, beberapa cadangan dikemukakan bagi membetul kekeliruan itu termasuk kesungguhan kehendak politik (political will), sentimen umat Islam dan melahirkan tokoh-tokoh berpengaruh.

Kluster Satu juga mahu tokoh sedia ada yang diberi tempat dalam media massa disemak semula supaya tidak memberi pandangan yang prejudis kepada Islam.

Media arus perdana juga dicadangkan memberi penerangan dengan tepat dan mempertingkatkan lagi tahap tanggungjawab dalam laporan tentang perkara atau isu berkaitan Islam.

Semua pihak turut disaran menghormati hak, taraf, darjat serta kelayakan institusi sistem perundangan Islam sementara Institusi Islam seperti MAIN, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Mufti serta Mahkamah Syariah perlu melakukan transformasi menyeluruh dan bukan ke atas sistem penyampaian sahaja.

Kluster Satu turut sependapat satu kumpulan pakar untuk memperjelaskan peruntukan Perlembagaan berkaitan Islam perlu diwujudkan dalam memberi huraian dan contoh-contoh yang meyakinkan.

Penubuhan satu Lembaga Kelayakan Peguam Syariah turut disarankan bagi menapis kemasukan graduan ke bidang kerjaya perundangan Islam, sementara institusi pengajian tinggi perlu memantapkan sistem pengajaran dan pembelajaran kursus undang-undang mereka.

Isu terakhir dibincangkan Kluster Satu adalah kaedah-kaedah pemerkasaan institusi Kesultanan Melayu yang kebelakangan ini semakin banyak dan berani dicabar oleh pihak yang mempunyai agenda peribadi, terutamanya melibatkan Islam.

Permasalahan itu termasuklah tindakan pihak tertentu mempersoal status peruntukan dalam Perlembagaan dan lain-lain statut sementara Sultan dan Raja Melayu tidak atau lambat memberi respons kepada tindakan kumpulan itu yang mempersoal kedudukan Islam, peranan serta kuasa institusi Islam dan kepentingan penganutnya.

Ini mungkin kerana penasihat Raja dan Sultan tidak berwibawa atau tidak memahami profil raja-raja dalam menjalankan tugas mereka.

Selain itu, masalah ini turut melibatkan ketiadaan mekanisme penyampaian tersusun dan diyakini sebagai rujukan warga media dalam melaporkan hal-hal berkaitan perundangan Islam dan Kesultanan Melayu.

Untuk itu, Kluster Satu membuat beberapa cadangan pembetulan terutama sekali mengembalikan hak-hak dan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti yang mereka pernah miliki dahulu.

Selain itu, penubuhan satu badan pemantau khusus melalui akta khas yang bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja melalui Yang di-Pertuan Agong dicadangkan dengan contoh sebuah suruhanjaya dikenali sebagai Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN).

Kluster Satu turut menegaskan keperluan mempertahankan semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain statut tentang Islam, kepentingan umat Islam serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai payung, pelindung dan pembela agama.

Akhir sekali, kluster ini memohon Raja-Raja Melayu peka dan memberi reaksi segera kepada sebarang isu yang melibatkan kepentingan agama dan orang-orang Islam di samping baginda Sultan juga perlu dinasihati dengan pandagan-pandangan yang benar dan tepat.

Hasil perbincangan keempat-empat kluster muzakarah ini seterusnya akan diperhalusi sebelum disampaikan kepada menteri berwajib dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Memaknai NKRA ke-7

Posted:

Memaknai NKRA ke-7

Memaknai NKRA ke-7

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
PENULIS ialah pemerhati sosio-politik.


Kenaikan harga barangan keperluan harian adalah antara punca kos kehidupan rakyat semakin tinggi. - Gambar hiasan


Peningkatan kos kehidupan bukan lagi perkara yang boleh dipandang mudah. Impaknya cukup jelas dan ketara. Kuasa beli kita tidak lagi seperti dahulu. Ramai teman penulis yang mengemukakan pandangan yang sama.

Pembelian keperluan mingguan di Pasar Tani, yang selalu diangkat sebagai model 'ideal', pengeluar terus kepada pengguna pun belum tentu mampu menzahirkan harga yang rendah dan berpatutan.

Apabila Ditanyakan kepada peniaga, alasan mereka mudah, "kami ambil barang pun dah mahal bang." Maka, yang terus ditekan adalah pengguna dan rakyat biasa.

Usaha mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ke-7 khusus untuk 'memerangi' kos kehidupan ini memang wajar dan tepat. Namun, ia mestilah diisi dengan inisiatif dan usaha tuntas dalam mengurangkan beban rakyat biasa.

Apa yang diungkap sebagai 'National Key Result Areas' (NKRA) ini juga perlu diberikan interpretasi yang lebih mudah dan senang. Elok juga kalau NKRA ini ditaktrif sebagai 'Nikmat Kepada Rakyat Awam' dalam pada kita bersungguh 'memerangi' apa yang menjadi beban kepada mereka selama ini.

Kepada rakyat yang mahu mengkaji dan berfikir, memang perlu mengakui bahawa kerajaan sudah pun melakukan banyak perkara dalam mengisi tanggungjawab berat ini. Tidak ada kerajaan di dunia yang boleh terus-terusan menggunakan 'model subsidi' buat selama-lamanya.

Malahan, sebuah adikuasa seperti Amerika Syarikat juga sudah mula berkira-kira untuk memotong banyak bantuan yang selama ini diberikan kepada rakyat - baik dalam bidang kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Ini membayangkan, bahawa persoalan peningkatan 'kos' ini bukan sahaja soal rakyat; malahan juga menjadi masalah 'kerajaan'.

Namun, beban lebih berat mestilah kepada kerajaan yang menanam niat untuk kekal berkuasa. Rakyat punya 'kelebihan' dalam bab ini. Namun, sama ada rakyat mahu menggunakan hak mereka berlandaskan rasional atau emosi adalah satu perkara yang lain.

Dalam situasi 'perang' kenaikan kos dan harga barang - kerajaan dan rakyat mestilah menjadi rakan strategik. Kita mestilah sama-sama berusaha dalam memastikan tidak ada yang mengambil kesempatan daripada situasi kenaikan kos harga barang dan inflasi ini.

Yang jelas, inflasi dan kenaikan kos dan harga barang ini tidak sahaja berlaku di halaman kita. Ianya menjadi fenomena dunia. Ramai ahli ekonomi mengatakan, inflasi yang dituruti oleh pembangunan ekonomi adalah satu simtom biasa.

Namun, pada masa yang sama, inflasi juga boleh menjadi 'penghalang' kepada pembangunan ekonomi yang lebih meyakinkan. Soalnya, di mana garis yang mengatakan inflasi itu 'biasa' atau 'luar biasa'?

Kita perlu mengetepikan pandangan lama bahawa inflasi dan kenaikan harga barang akan hanya memberikan kesan kepada kelompok miskin.

Kita jangan mengambil mudah dengan golongan 'berpendapatan rendah dan sederhana di bandar' yang boleh sahaja menjengah kumpulan 'miskin' jika dikira pendapatan bersih setelah ditolak segala tanggungan yang ada!

Dalam satu kajian yang dilakukan, mereka yang berpendapatan rendah terpaksa memperuntukkan hampir 94 peratus pendapatan kepada perkara-perkara yang sangat asas.

Apakah dengan baki enam peratus pendapatan itu mereka mampu untuk menjalani hidup di bandar? Perlu diingatkan bahawa senario sama tidak sahaja berlaku di Kuala Lumpur; malahan boleh sahaja berlaku di Johor Bahru, Pulau Pinang dan bandar-bandar besar yang lain.

Memerangi kos kehidupan tinggi dengan mengeluarkan 'setem makanan' boleh menjadi beban jangka panjang. Menarik balik 'subsidi' dalam apa sahaja bentuk; setem makanan ataupun apa sekalipun akan menjadi suatu tindakan paling tidak popular dan mempunyai kesan politik.

Apakah tidak ada pendekatan jangka panjang yang lebih baik dalam mengendali kumpulan gelandangan yang semakin ramai pada ketika ini?

Ramai rakan penulis yang bekerja di bandar berasa lebih tertekan dengan suasana ekonomi yang ada. Gaji mendapat kenaikan minimal. Harga barang makin meningkat. Kenaikan bil elektrik bukan perkara mainan.

Lantas, mereka inilah yang berasa kecewa sekiranya matlamat ekonomi masih lagi terlalu fokus kepada kelompok miskin; sedang mereka juga memerlukan pembelaan oleh kerajaan.

Bukankah ada matlamat NKRA lain yang lebih tertumpu kepada kelompok miskin?

Matlamat NKRA ke-7 mestilah mempunyai spektrum yang lebih luas. Malahan, tidak ada salahnya jika penyelidikan impak kenaikan kos kepada 'kemiskinan bandar' (urban poverty) menjadi salah satu elemen utama kepada NKRA ke-7.

Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah suatu 'pelan ekonomi' yang lebih mampu memberikan mereka sedikit keselesaan. Dalam pada kita berbicara tentang 'ekonomi bernilai tinggi' (high income economy), kita mesti selalu juga menilai sama ada kita mampu melaksanakan proses 'penghijrahan' kemampuan ekonomi miskin kepada sederhana; dan kelompok sederhana kepada suatu kedudukan yang lebih selesa.

Kita jangan terlalu gemar menggunakan bahasa 'ekonomi bernilai tinggi' jika kita tidak benar-benar memastikan perubahan berlaku di peringkat yang paling akar.

Rakyat pada umumnya, tidak berminat untuk tahu siapa yang menjadi peneraju kepada NKRA ke-7. Apa yang lebih utama adalah 'kesan dan impak' yang nyata kepada rakyat.

Jangan kita terlalu mendahulukan ekonomi bersifat 'atas kertas' dan tidak benar-benar menyelesaikan masalah rakyat. Jangan kita nampak hebat dengan pelbagai kenyataan, namun rakyat tidak 'merasai' apa yang sedang kita usahakan. Jurang inilah yang sebenarnya perlu diberikan perhatian.

Sebenarnya, apa yang lebih diperlukan pada ketika ini adalah usaha 'sinergi' antara kementerian yang lebih cekap dan efektif. Dua kementerian mesti diangkat sebagai pelaksana utama kepada kempen memerangi kos kehidupan ini - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dua kementerian ini mesti membentuk sinergi dan kerjasama dalam memastikan usaha memerangi peningkatan kos di peringkat yang paling asas. Pemantauan tidak boleh lagi dibiarkan menjadi tugas rutin yang tidak menjanjikan solusi yang lebih besar. Kementerian-kementerian lain juga mesti sama-sama membantu dalam usaha memerangi 'kos kehidupan' ini.

Memang benar, dalam banyak segi kita masih lagi bernasib baik kerana kerajaan memperuntukkan amaun yang sangat besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat berada di tahapnya yang baik.

Komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan diteruskan kepada rakyat terbanyak; baik dalam bentuk subsidi ataupun pembangunan infrastruktur awam mestilah dihargai. Semua ini tidak datang secara begitu sahaja, tanpa ada intervensi dan kesungguhan pelaksanaan pihak kerajaan.

Komitmen kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada NKRA ke-7, memerangi kos kehidupan ini adalah tepat pada masa dan keadaan ekonomi yang ada. Dengan perancangan yang baik dan tersusun, komunikasi yang jelas - ia akan mampu menterjemah sokongan politik yang lebih merata.

Hakikatnya, isu kenaikan harga ini rentas sempadan bangsa, geografi dan fahaman politik. Kemampuan kerajaan menzahirkan program dan inisiatif baik akan pastinya dihargai rakyat.

Pada pandangan penulis, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga pembentangan bajet dalam memastikan beban kenaikan kos kepada rakyat dapat diatasi. Malahan, bajet nanti wajar menjadi peneguh kepada pelan jangka panjang ekonomi yang lebih tersusun kemas.

Penyenaraian program memerangi kenaikan kos kehidupan pastinya mampu menolak ayat politik kononnya strategi bajet nanti khusus untuk pilihan raya. Kerajaan yang wibawa tidak hanya bergantung kepada pembentangan bajet dalam menarik kepercayaan rakyat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved