Utusan Online - Keluarga |
Posted: Nurzhafarina minat gajahOleh ROSMAH DAIN
KALAU kita menonton rancangan National Geographic, Discovery Channel atau Animal Planet, tentu dapat melihat bagaimana fokusnya individu yang terlibat mengkaji haiwan-haiwan yang menjadi 'hos' dalam rancangan itu. Lahir daripada rancangan seperti itu jugalah, terimbau beberapa nama seperti mendiang Steve Irwin yang popular dengan gelaran The Crocodile Hunter. Hasil daripada kajian mereka inilah yang membawa fakta dan maklumat mengenai haiwan-haiwan liar yang dapat dimanfaatkan oleh penonton berpandukan kepakaran pengkaji-pengkaji ini. Di negara ini, mungkin tidak berapa ramai yang terlibat dalam bidang pengkajian habitat dan perilaku haiwan tertentu. Apatah lagi jika ia melibatkan wanita. Kalau ada pun ia masih terbatas dengan haiwan atau unggas tertentu. Nurzhafarina Othman boleh dikatakan telah memecah tradisi dengan menjadi satu-satunya wanita yang melibatkan diri dalam bidang seumpamanya khususnya kepakaran mengenai gajah. Berasal dari Kedah, Nurzhafarina , 27, yang merupakan ibu kepada seorang anak perempuan berusia satu setengah tahun sentiasa mendapat sokongan padu daripada keluarga dan suami dalam bidang ini. Setelah tamat pengajian dalam bidang Biologi Pemuliharaan (Conservation Biologhy) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2003 sehingga 2006, dia mendalami pula bidang Pemuliharaan Genetik Gajah di universiti yang sama pada tahun 2006 hingga 2010, Sekarang, dia berada di Pusat Penyelidikan Danau Girang, Kinabatangan, Sandakan, Sabah sebagai Felo Penyelidik dan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dari Cardiff School of Biosciences, Universiti Cardiff, United Kingdom. Di pusat ini dia melakukan kajian perilaku gajah terutamanya di sekitar Kinabatangan. ''Saya bersyukur kerana setakat ini keluarga merestui kerjaya yang saya pilih biarpun bidang ini di luar daripada kebiasaan kerjaya profesional lain," jelasnya yang sudah lima tahun terbabit dalam bidang pengkajian gajah di pusat berkenaan. Jelasnya, apa yang penting, menerusi usaha-usahanya itu dapat menambahkan kesedaran dan pemahaman terhadap gajah dan cuba memberikan pendidikan kepada orang ramai betapa pentingnya pemuliharaan haiwan tersebut agar tidak pupus. Beliau ditemui di pusat berkenaan ketika menerima jemputan Yayasan Sime Darby bagi pelancaran sumbangan dana pemuliharaan untuk monyet proboscis di kawasan itu, baru-baru ini. Katanya, bukan mudah untuk menjadi seorang penyelidik haiwan terutamanya melibatkan haiwan yang hampir pupus seperti gajah. Namun apabila ditanya mengapa memilih bidang ini, dia mengakui segala yang dilakukannya adalah untuk kepuasan diri. ''Saya sukakan kelainan dan cabaran. Saya memilih bidang ini untuk menentukan perjalanan kerjaya yang saya pilih berlainan dengan apa yang dilakukan oleh orang lain. ''Tanpa diduga apabila saya memilih bidang ini saya terus meminatinya dan sekarang saya rasa ia satu bidang yang tepat buat saya," katanya. Jelasnya, antara kajian yang dilakukan ialah perilaku gajah dan menentukan struktur kumpulan gajah. Setakat ini dianggarkan terdapat 200 hingga 250 populasi gajah di Kinabatangan tersekat di hutan akibat pembangunan dan penempatan manusia. ''Hasil kajian juga kita dapati, populasi gajah di Kinabatangan mempunyai kepelbagaian genetik yang tertinggi dibandingkan dengan populasi gajah lain di Sabah. ''Gajah Borneo juga istimewa kerana hanya dijumpai di Kalimantan dan Sabah iaitu di sekitar Sandakan, Lahad Datu dan Tawau. Gajah-gajah ini pastinya memerlukan perhatian istimewa," katanya. Nurzhafarina mengakui tugas sebagai penyelidik haiwan kurang digemari kerana selain perlu lasak, ia juga tidak menentu masa. ''Kita mesti punya rasa hormat terhadap gajah yang kita kaji dan pastinya ia akan hormat dengan kita," ceritanya yang pernah hampir 'disepak' gajah ketika sedang melakukan kajian. Dari segi tugasan, dia perlu mengikuti sekumpulan gajah yang sama dalam tempoh beberapa lama bagi mengkaji habitat, perilaku dan najis. Gajah akan 'dikalungkan' kolar bersatelit dan radio telemetri bagi mengenal pasti kedudukan gajah yang sedang dikaji itu berada. ''Kolar itu akan kekal 18 bulan sebelum habis baterinya dan kemudian ditanggalkan. Setakat ini lima ekor gajah betina telah ditanda dan tiga lagi akan ditanda dalam tahun ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Othman derita kanser ususOleh SHOLINA OSMAN Pelanggan yang sering memenuhi gerai milik sepasang suami isteri yang menjual pelbagai jenis makanan sarapan di pinggir Jalan Raja Syed Safi, Kangar, Perlis, mungkin tertanya-tanya apabila sudah lebih tiga bulan mereka tidak berniaga. Biasanya sejak awal pagi lagi, gerai pasangan suami isteri yang peramah itu menjadi tumpuan memandangkan makanan yang dijual bukan sahaja enak malah harganya amat berpatutan. Bagaimanapun sejak gerai itu tidak lagi dibuka, pemiliknya, Rohana Othman, 42, bukan sahaja kehilangan pendapatan bahkan terpaksa menjaga suaminya Othman Abd Ghani, 48, yang kini menderita kanser usus. Kalau sebelum ini, setiap awal pagi sejak lima tahun lalu Rohana dan Othman bersama-sama menyingsing lengan menyediakan masakan untuk dijual di gerai mereka tetapi kini semua itu terpaksa dilupakan buat sementara. "Sebelum mengetahui menghidap penyakit ini, beberapa hari badan saya berasa letih yang teramat sangat. "Bayangkan, hendak buat kerja yang ringan seperti memasak nasi pun saya rasa tak larat,'' kata Othman ketika ditemui di rumahnya di 19A, Jalan Raja Syed Saffi, Kangar, Perlis baru-baru ini. Jelas Othman, memang selama ini dia menghidap gastrik tetapi tidak menyangka sama sekali bahawa penyakit tersebut merebak hingga menjadi kanser. Atas nasihat doktor Othman setuju menjalani pembedahan sebelum penyakit itu merebak dengan lebih teruk. Katanya, lebih memeritkan dia terpaksa mengharungi tiga kali pembedahan. Bagaimanapun, Othman bernasib baik kerana sepanjang tempoh itu dia sentiasa ditemani isterinya yang setia di sisi biarpun Rohana sendiri menghidap penyakit jantung. "Saya pun tidak tahu sampai bila saya akan berada dalam keadaan terlantar seperti ini dan isteri pula tidak dapat meninggalkan saya sendirian selagi tidak pulih sepenuhnya," katanya. Ini kerana Rohana perlu kerap membersihkan tiub plastik sisa kumuhan yang disambung pada bahagian perut Othman yang ditebuk. Katanya, jika dibiarkan penuh akan menyebabkan sisa itu meleleh dan menyebabkan rasa pedih pada luka tebukan tersebut. Bekas pembedahan di bahagian bawah pusatnya juga masih belum sembuh dan bernanah. Kadang kala Othman berusaha sendiri membersihkan luka tersebut dengan menggunakan kapas. Dia itu memberitahu, doktor tidak dapat melakukan rawatan kemoterapi bagi merawat kansernya selagi luka tersebut masih tidak sembuh. Ketika ditanya mengenai rawatan kemoterapi, katanya, setakat ini dia tidak tahu dari mana untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menjalani rawatan itu. Selain itu, menurut Othman, doktor juga tidak menggalakkan dia mengambil makanan pepejal. Untuk itu dia hanya boleh minum susu khas yang berharga RM68 setin seberat 430 gram untuk keperluan sehari sahaja. "Harga susu ini memang mahal dan bekalan yang diberikan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebenarnya masih tidak cukup untuk menampung keperluan dalam tempoh yang lama,'' katanya yang tidak dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin. Sementara itu, Rohana berkata, disebabkan bekalan susu yang diberi begitu terhad maka dia terpaksa mencampurkannya dengan susu yang murah. "Apa yang merisaukan kami sekarang ini bukan saja tidak ada pendapatan, malah wang simpanan yang ada juga habis digunakan untuk perbelanjaan harian, membayar bil rawatan dan tambang ulang-alik ke hospital,'' katanya sayu Malah, katanya, ketika ini sewa rumah sebanyak RM250 sebulan sudah tertunggak tiga bulan. Justeru bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rohana atau Othman menerusi talian O12 5692407 atau memasukkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 021114-29-84128838-5. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan