Utusan Online - Dalam Negeri |
- Misi Malcon Isaf dilanjut tiga tahun
- Muhyiddin terima kunjungan 6 duta baru
- Terima kasih PM, Felda - Peneroka
Misi Malcon Isaf dilanjut tiga tahun Posted: Misi Malcon Isaf dilanjut tiga tahunOleh MUHAMAD ZAID ADNAN
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Jemaah Menteri telah memberikan persetujuan supaya misi kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf) dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun lagi. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan tempoh perkhidmatan Malcon Isaf tersebut akan berakhir tidak lama lagi. Menurutnya, pasukan pengaman Malaysia itu akan membantu membekalkan peralatan dan perubatan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk di negara berkenaan. "Selain itu, kita turut memohon kepada Kabinet untuk tambahan 13 lagi anggota Malcon Isaf daripada jumlah sedia ada iaitu 46 anggota," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perasmian perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia bercadang untuk menjadi Ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan pengalaman sebagai pasukan pengaman serta menguruskan proses rundingan membabitkan beberapa negara. Katanya, adalah munasabah bagi Malaysia untuk diberi pertimbangan untuk menjadi anggota badan berkenaan berdasarkan rekod Malaysia dalam menyertai pasukan pengaman sejak lebih 50 tahun lalu. Kata beliau, kewujudan Pusat Latihan Pengaman Malaysia (PLPM) di Port Dickson yang disertai pasukan pengaman dari Asia dan Afrika serta pembabitan Malaysia dalam banyak misi keselamatan dan proses perundingan juga seharusnya menjadi kelebihan kepada negara ini. "Oleh itu, kita memerlukan sokongan dari Jepun dan wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia bagi membantu kita mencapai hasrat tersebut," katanya. | ||
Muhyiddin terima kunjungan 6 duta baru Posted: Muhyiddin terima kunjungan 6 duta baruPUTRAJAYA 2 Ogos - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan hormat enam lagi duta besar yang baru dilantik di pejabatnya di sini. Mereka ialah Timbalan Ketua Setiausaha III Kementerian Luar Datuk Zainuddin Yahya, yang dilantik Duta Besar Malaysia ke Belgium dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Ahmad Shahizan Abdul Samad yang bakal bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Bahrain. Turut melakukan kunjungan ialah Duta Besar Malaysia ke Peru yang baru, Ayauf Bachi, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Protokol di Jabatan Protokol dan Konsular. Selain itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi/Ketua Canseri Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura Dr. Ahmad Faisal Muhamad, yang baru dilantik Duta Besar Malaysia ke Myanmar. Setiausaha Bahagian Direktorat Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala, Kementerian Luar, Datuk Azmi Mohd Zabidi pula bakal menjadi Duta Besar Malaysia ke Vietnam, manakala Setiausaha Bahagian (Politik Pelbagai Hala) Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala di kementerian sama iaitu S.Ganesaon sebagai Duta Besar Malaysia ke China. Sebelum ini, tujuh duta besar dan pesuruhjaya tinggi yang baru dilantik turut mengunjungi Muhyiddin pada 21 Julai lepas. - Bernama | ||
Terima kasih PM, Felda - Peneroka Posted: Terima kasih PM, Felda - PenerokaKUALA KRAU 2 Ogos - Peneroka di negeri ini bersyukur dan berterima kasih kepada Felda kerana mengekalkan tradisi pemberian duit raya sejak 2003 yang membabitkan peruntukan berjumlah RM42.6 juta tahun ini. Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara tersebut hari ini jelas menunjukkan pengiktirafan kerajaan kepada sumbangan peneroka selama ini. Lebih membanggakan, peneroka yang menanam sendiri tanpa bantuan Felda turut tersenarai untuk menerima duit raya tersebut. Peneroka Felda Seroja Jengka 18, Ramli Mamat, 55, berkata, Felda menunjukkan keikhlasan dan keprihatinan mereka kepada warga peneroka dengan menghulurkan duit raya bagi membolehkan mereka menyediakan kelengkapan Aidilfitri. "Sumbangan sebanyak RM400 atau RM200 seorang dilihat dapat membantu meringankan beban kebanyakan peneroka dalam menyediakan keperluan untuk Ramadan dan hari raya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Najib hari ini mengumumkan kesemua 112,635 peneroka Felda akan menerima duit raya membabitkan peruntukan sebanyak RM42.6 juta sebagai menghargai jasa mereka di samping membantu perbelanjaan sempena Aidilfitri. Bagi peneroka Felda Anggerik Jengka 1, Mohd. Khapandi @ Zainal Bero, 60, mengakui pada waktu ini rata-rata ibu-bapa memerlukan kewangan yang lebih berbanding bulan lain bagi membeli keperluan anak-anak dan perhiasan rumah. "Selain menyediakan pakaian baru untuk seisi keluarga terutama anak-anak, perbelanjaan juga bertambah bagi menyediakan juadah untuk hidangan hari raya. Justeru, pemberian ini adalah tepat pada masanya," ujarnya. Bagi Hassan Yahaya, 61, juga dari Felda yang sama, pemberian duit raya membuktikan kepada umum bahawa Felda tidak pernah bankrap. Menurut Azizah Ahmad, 58, dari Felda Wilayah Jengka, Perdana Menteri telah meletakkan warga peneroka di negara ini pada tahap yang cukup istimewa. "Justeru, warga Felda perlu melihat perkara ini jelas dan memberi sepenuh sokongan kepada Felda yang cukup banyak berjasa kepada kita," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan