Utusan Online - Utara |
- Unimap, AUCMS meterai MoU
- 168 sertai Cabaran Iron Community 2011
- Tingkatkan tahap pendidikan masyarakat
Posted: Unimap, AUCMS meterai MoUOleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
BANDUNG 12 Julai - Lawatan kerja Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) ke Bandung, Indonesia berjaya menghasilkan kerjasama erat dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu pendidikan antara penuntut Malaysia dan Indonesia. Unimap menjalin kerjasama dengan Universiti Padjadjaran (Unpad) dalam beberapa bidang pengkhususan yang terdapat di kedua-dua universiti untuk dikongsi bersama oleh pelajar masing-masing, sekali gus mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia. Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, menerusi kerjasama seumpama itu, Unimap dengan Unpad dapat memperluaskan bidang akademik selaras dengan kemajuan pesat di universiti masing-masing. "Pelajar boleh menceburi bidang baharu yang tidak terdapat di universiti masing-masing kerana mempunyai pilihan menerusi kerjasama yang dijalankan," katanya sebelum menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Antara Unimap dengan Unpad di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap bersama Raja Puan Muda Perlis yang juga Canselor AUCMS masing-masing menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut yang dijalankan secara berasingan di hotel berkenaan. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Paduka Dr. Junaidy Abu Bakar. Unimap diwakili oleh Kamarudin, manakala Pembantu Rektor Unpad, Prof. Dr. Tb Zulrizka Iskandar menandatangani MoU tersebut mewakili universitinya. Unipad kini mempunyai 16 fakulti antaranya kedoktoran, pertanian, ilmu sosial dan politik, psikologi, perikanan dan ilmu kelautan, farmasi, kedoktoran gigi, penternakan serta teknik geologi. Sementara itu, AUCMS membuka cawangan pengurusannya di Medan, Indonesia untuk membuka ruang kepada penuntut Indonesia yang mahu mengikuti pengajian di AUCMS Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Menurut Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Wazir, menerusi cawangan tersebut, pihaknya menyasarkan lebih ramai pelajar dari Indonesia termasuk di Bandung yang akan mengikuti kursus ditawarkan di AUCMS. "Selain Kepala Batas, AUCMS mempunyai sebuah lagi cawangan di Kangar, Perlis yang akan beroperasi bulan depan," kata beliau selepas Pelancaran Operasi AUCMS di Indonesia oleh Raja Muda Perlis di hotel berkenaan. Zainuddin juga menandatangani perjanjian kerjasama dengan pihak AUCMS di Indonesia yang diwakili pengurus jualan dan pemasarannya, Donny Nauphar. "Indonesia mempunyai ramai penduduk dan sudah tentu terdapat dalam kalangan mereka yang layak untuk mengikuti pengajian tertentu seperti kedoktoran sebagaimana ditawarkan oleh AUCMS, tetapi menghadapi kekangan kewangan. "Jadi, kami tawarkan kepada mereka bidang pengajian ini dengan harga yang rendah jika dibandingkan dengan IPT di Eropah," tambah beliau. Sebagai contoh, kata Zainuddin, kos yang ditetapkan oleh IPT di Malaysia bagi bidang tersebut hanya serendah RM60,000 berbanding bayaran empat kali ganda yang dikenakan oleh universiti lain termasuk di Ireland. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
168 sertai Cabaran Iron Community 2011 Posted: 168 sertai Cabaran Iron Community 2011
SIK 12 Julai - Sebanyak 25 buah politeknik dan kolej komuniti mengambil bahagian dalam program Cabaran Iron Community 2011 yang berlangsung di Desa Keda Bendang Man dekat sini, baru-baru ini. Pengarah Politeknik Sultanah Bahiyah (PTSB) Kulim, Kamaruzaman Ismail berkata, program lima hari bermula 26 Jun itu anjuran bersama pihaknya dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau berkata, 168 peserta daripada politeknik dan kolej komuniti seluruh negara mengambil bahagian. Turut menyertai ialah penuntut dari Politeknik Sultan Idris Shah, Politeknik Sultan Azlan Shah, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah serta serta Kolej Komuniti Baling, Sungai Petani, Kulim, Arau dan Bayan Baru. "Program ini memberi penekanan kepada peserta agar sentiasa bekerja dalam satu pasukan. "Pembinaan sahsiah amat penting bagi melakukan perancangan dan menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah," katanya pada majlis perasmian program berkenaan yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar. Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Belantek, Mohd. Tajuddin Abdullah. Kamaruzaman berkata, pada program tersebut, para peserta perlu melalui dua cabaran utama meliputi team building dan merentas hutan. "Di samping itu, para peserta turut terlibat dalam program bersama keluarga angkat masing-masing dengan menjalankan program gotong-royong membersihkan kawasan," katanya. Sementara itu, Mohlis berkata, program tersebut amat penting bagi meningkatkan daya kekuatan kepintaran emosi (EQ), intelek (IQ) dan sahsiah (SQ) serta kredibiliti pelajar IPT dalam aspek kepimpinan. Pada majlis itu, Mohlis turut menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menjuarai tempat pertama cabaran berkenaan iaitu Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kuala Terengganu (tempat kedua) dan Nilai (tempat ketiga). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Tingkatkan tahap pendidikan masyarakat Posted: Tingkatkan tahap pendidikan masyarakat
ALOR SETAR 12 Julai - Anggota masyarakat khususnya golongan graduan diseru terus menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi bagi melahirkan modal insan dengan minda kelas pertama seperti di negara-negara maju. Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, tahap pendidikan yang tinggi juga membolehkan negara mencapai kemajuan lebih pesat khususnya dari segi pendapatan dan pertumbuhan ekonomi. "Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk menghasilkan modal insan kerana untuk melonjakkan negara ke arah negara yang berpendapatan tinggi, keupayaan pendidikan juga perlu ditingkatkan," katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Diploma Eksekutif Kali Ke-7 di UUM Sintok dekat sini, baru-baru ini. Seramai 309 graduan hadir bagi menerima sijil penganugerahan yang disampaikan oleh Mohamed Mustafa. Beliau berkata, para graduan juga boleh memainkan peranan menggalakkan rakan-rakan lain agar terus belajar dan menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi sama ada secara formal atau tidak formal. Ini kerana, katanya, pendidikan tidak formal juga mempunyai potensi yang boleh dikembangkan untuk manfaat golongan berkenaan. Kata Mohamed Mustafa, di negara-negara maju pendidikan tidak formal, pendidikan berterusan dan universiti terbuka amat popular. "Masyarakat maju telah menerima konsep pendidikan sepanjang hayat untuk semua sebagai norma kehidupan. "Konsep seperti rakan pendidikan dan rangkaian kolej komuniti harus diberikan perhatian supaya beransur-ansur dapat diterima sebagai sebahagian dari budaya kehidupan masyarakat negara ini," ujarnya. Justeru, beliau menjelaskan, selaras dengan tanggungjawab universiti kepada masyarakat dan juga dalam menyahut seruan Kementerian Pelajaran Tinggi untuk membawa pendidikan kepada masyarakat, maka Pusat Pembangunan Eksekutif (PPE) UUM melalui kerjasama strategik dengan industri telah membuka pusat-pusat pembelajaran di seluruh negara. "Tindakan ini telah membolehkan golongan yang telah bekerja mengikuti kelas-kelas dan mod pengajian secara fleksibel tanpa perlu meninggalkan kerja dan tugas masing-masing," tambahnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan