Utusan Online - Hiburan |
Posted: Sifat malu makan diri sendiriOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
CAKAP-cakap belakang mula kedengaran tentang pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), Ana Raffali, 26, yang kini dikatakan mula bersikap sombong. Biarpun kehadirannya dalam industri hiburan tanah air masih terlalu hijau namun pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku itu dilihat mula menunjukkan taringnya yang sebenar dengan mula mendabik dada. Insiden yang berlaku beberapa kali termasuk dia mengelak untuk ditemubual oleh wartawan seolah-olah mengiyakan lagi sikap sombong yang terpancar pada diri pasangan duet Sohaimi Mior Hassan itu. Justeru, apabila Hits berkesempatan bertemu dengan Ana di Majlis Sambutan Hari Koperasi Karnival, Kokurikulum dan Kerjaya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, baru-baru ini, persoalan itu dilontarkan terus kepadanya. Ana terkesima dengan terjahan soalan yang mungkin berbaur sedikit keras tetapi dia bersikap tenang dan tidak melenting sebelum menjawab soalan cepumas itu. "Bila pula masanya saya sombong? Saya masih lagi Ana Raffali yang dahulu di mana masih lagi tahu untuk membawa diri dan berpijak di bumi nyata. "Sudah tentu sebagai pendatang baru, saya tidak boleh bersikap sombong. Lagipun itu bukan pegangan saya. "Malah saya tidak pernah cuba untuk mengelak apabila diminta untuk ditemubual wartawan," ujar Ana tenang dalam menyangkal dakwaan tersebut. Bagaimana pun, kata Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, dia tidak mampu menghalang sesiapa sahaja daripada membuat pelbagai andaian terhadap dirinya. Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, apa juga pandangan yang dilemparkan ke atas dirinya, bukan sahaja diterimanya dengan hati terbuka malah tidak sedikit pun menggusarkan dirinya. Baginya, setiap prasangka buruk yang dilemparkan itu besar kemungkinan datang daripada individu atau pihak-pihak tertentu yang tidak mengenali dirinya dengan rapat. Oleh itu, tegasnya, andaian berdasarkan faktor luaran mendakwa dirinya sombong, tidak tepat sama sekali. "Biasalah apabila kita tidak mengenali seseorang itu dengan dekat, sudah pasti berbagai-bagai andaian boleh disimpulkan melalui pandangan mata kasar apabila melihat seseorang itu tidak ramah. "Sedangkan apabila kita mengenali dan mula bertegur sapa, persepsi negatif itu sebenarnya tidak betul," luah Ana yang kini mula merancang untuk melahirkan album terbarunya. Ana terdiam sejenak apabila terus dihujani dengan persoalan itu. Sambil menarik nafas dalam-dalam, dia mengakui pandangan skeptikal terhadap dirinya itu timbul kerana salah faham. Kepada pihak yang mendakwa dirinya mula berlagak diva, kata Ana, mereka seharusnya cuba untuk mendekati dan meluangkan masa bersamanya. Langkah itu, ujarnya penting kerana andaian negatif yang dilemparkan ke atas dirinya perlu diperjelaskan supaya karakternya tidak disalah ertikan. "Cubalah bertanya kepada kawan-kawan dan keluarga tentang karakter sebenar Ana Raffali kerana mereka inilah yang sering berdampingan dengan saya. "Dengarkan dahulu jawapan, kemudian buatlah perbandingan atau kesimpulan sendiri sama ada benar atau tidak yang saya ini sombong," ujar bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu. Ana menyedari kelemahan dirinya yang sukar untuk mesra dengan sesiapa sahaja tatkala bertemu buat pertama kali membuatkan dia disalah anggap sebagai sombong. Jujurnya dia mengakui, perasaan malu yang amat menebal di jiwanya sukar untuk dikikis walau pun berhadapan dengan peminatnya sendiri. Maka itulah, katanya, dia agak sukar untuk memulakan perbualan sekiranya orang yang ditemuinya itu, tidak memulakan bicara. "Saya jarang menegur atau berbual-bual dengan orang yang saya tidak biasa. Lagi pun, saya agak keberatan untuk menegur orang tanpa ada tujuan. "Saya juga tidak mungkin bersikap mesra tanpa mengira tempat kerana saya bimbang jika ada pula orang berkata, saya gedik," luah Ana disusuli dengan tawa kecil. Latihan jadi askar Ditinggalkan topik sombong, gadis manis berperwatakan lembut itu sebenarnya mempunyai jiwa yang kental untuk menjadi seorang wirawati negara. Teringat akan ketangkasan anak bendahara Melaka suatu ketika dahulu, Tun Fatimah yang berani dan bersemangat waja, tidak siapa menduga Ana berani tampil untuk menyertai pasukan Simpanan Askar Wataniah. Bersama dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Aizat dan aktor yang memenangi anugerah artis paling popular tahun lalu, Shaheizy Sam, Ana mengakui seronok untuk mengikuti latihan rekrut sebagai askar Wataniah. "Tidak sabar-sabar rasanya untuk memulakan sesi latihan yang dijangka bermula bulan depan. Teringin nak rasa, bagaimana menjadi seorang perajurit. "Biarpun dari awal telah dimaklumkan bahawa latihan yang akan diikuti itu tidak sekeras latihan askar sebenar, ia tetap membuatkan saya teruja untuk memasuki kem. "Inilah peluang yang saya ada untuk menimba dan merasai pengalaman baru yang pasti akan memberikan satu pengalaman berharga untuk saya," ujar Ana yang telah tampil dengan single terbarunya, Cuba Jangan. Jelas Ana lagi, dia sebenarnya berminat untuk menyertai pasukan beruniform negara tetapi tidak pernah berpeluang disebabkan bebanan kerja yang banyak. Justeru, katanya, apabila Kementerian Pertahanan membuka peluang kepadanya untuk menyertai pasukan askar simpanan itu, dia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. "Banyak kelebihan jika kita menyertai pasukan beruniform ini kerana secara peribadi, saya melihatnya sebagai salah satu cara untuk meningkatkan jati diri. "Melalui latihan yang diberikan itu nanti, mungkin saya boleh jadi seorang yang lasak. Secara tidak langsung, saya juga boleh memperkuatkan mental saya," getus Ana yang turut tercalon dalam Anugerah Planet Muzik (APM) yang bakal berlangsung pada 15 Julai ini di Singapura. Tukar warna kulit MENGENANGKAN sesi latihan yang bakal diikutinya, Ana tidak bimbang sekiranya warna kulitnya bertukar menjadi gelap gara-gara berjemur di bawah cahaya matahari. Baginya, pertukaran warna kulit juga bukan satu masalah besar kerana sesiapa sahaja yang terdedah di bawah matahari, pasti akan menjadi gelap. "Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kehidupan seharian juga boleh membuatkan warna kulit kita bertukar menjadi gelap. "Oleh itu, cara untuk melindungi diri daripada pancaran matahari adalah penting. "Jadi, antara persiapan untuk menjalani latihan di kem kelak, saya akan pastikan ada stok krim pelindung matahari untuk dilumur ke bahagian tubuh yang terdedah kepada matahari," katanya sambil ketawa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Kekentalan Projek PistolOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
KECANGGIHAN teknologi dan Internet walau pun dipandang secara positif namun ia memberi tekanan kepada artis tempatan untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air. Rata-rata, golongan pendengar muzik generasi hari ini lebih cenderung memuat turun lagu yang digemari berbanding mengeluarkan duit poket untuk membeli album seseorang penyanyi itu. Senario yang berlaku membuatkan syarikat rakaman skeptikal untuk menerbitkan album baru penyanyi, sama ada penyanyi solo atau pun berkumpulan (grup). Bagi kumpulan Projek Pistol yang dianggotai oleh Edrie Hashim (gitar), Zham atau nama sebenarnya, Kamarul Izham Ahmad Badri, (bass), Boy (Clifford Hugh Joseph, vokalis) dan Pa'e (Mohamad Nasfa Mohamed Nasir, pemain drum), mereka tidak gentar untuk tampil dengan album sulung, Stereo Amanda sebagai tanda kelangsungan mereka di persada seni tanah air. "Teknologi yang canggih juga merupakan risiko yang perlu dihadapi dalam dunia hiburan hari ini dan kita sedar, ia bukan hanya berlaku di negara kita tetapi juga di serata dunia. "Namun dalam apa juga bidang, tidak boleh dinafikan risiko tetap ada. Cuma apa yang penting di sini, kita jangan cepat melatah. "Sebaliknya, perlu berusaha mencari jalan terbaik untuk berhadapan dengan risiko supaya kesan yang tidak memihak kepada kita, dapat dikurangkan," kata Projek Pistol secara beramai-ramai kerana mereka tidak melantik seorang jurucakap ketika ditemui Hits untuk sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini. Tambah mereka, dalam meneruskan perjuangan seni, semangat yang ada perlu kental dan berpegang kepada prinsip iaitu tiada apa yang perlu dirisaukan. Ini kerana, ujar mereka, penanda aras sesuatu kejayaan artis itu tidak terletak kepada jumlah jualan album. Bagi mereka, andai kata jualan album kurang memuaskan, itu juga tidak bermakna kehadiran mereka dalam industri hiburan, tidak dihargai peminat. "Suka atau tidak, kita perlu terima hakikat bahawa lagu yang dimuat turun oleh peminat adalah petanda bahawa lagu kita disukai. "Mungkin tindakan memuat turun lagu kegemaran mereka boleh membuatkan hasil karya kita lebih dekat dengan peminat. "Apa pun keadaan yang berlaku, peminat tetap kenal dan suka dengan lagu yang dihasilkan," ujar mereka. Sebulat suara, Projek Pistol berpendapat, penerimaan peminat merupakan penentu hala tuju seseorang penyanyi untuk kekal dalam industri hiburan. Ini kerana, bagi mereka, peminat adalah tulang belakang untuk seseorang artis itu bertahan lama dalam karier mereka. Jelajah Borneo BERMULA hari ini, Projek Pistol mengadakan showcase Jelajah Borneo. Jelas mereka, antara lokasi yang pilihan untuk menghiburkan peminat ialah Tawau (29 Jun), Kota Kinabalu (1 Julai), Kuching (2 Julai) dan Miri (6 Julai). Showcase Projek Pistol dizahirkan setelah mendapat maklum balas daripada peminat menerusi laman sosial Facebook (FB). "Mungkin agak pelik apabila showcase kami tidak dilakukan di Semenanjung seperti mana kelaziman yang sering dilakukan oleh penyanyi-penyanyi lain. "Kami menghargai semua peminat namun apabila melalui FB, ramai peminat tegar kami datangnya dari sebelah sana (Sarawak) maka kami sepakat untuk memulakan siri jelajah persembahan kami di sana. "Bagi peminat di Semenanjung yang ingin menyaksikan persembahan Projek Pistol, kami harap mereka bersabar. "Insya-Allah sekiranya showcase di Sarawak mendapat sambutan hangat, kami akan cuba untuk mengadakan showcase di sini pula," kata mereka yang popular dengan lagu Wanita Seluruh Dunia itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan