Rabu, 19 Oktober 2011

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Projek komersial dibantah

Posted:

Projek komersial dibantah

Projek komersial dibantah

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Penduduk Taman Nirwana membuat bantahan terhadap tindakan MPAJ memberi kelulusan kepada projek pembinaan komersial yang menurut mereka terletak terlalu dekat dengan kawasan perumahan dan tapak perniagaan penduduk di Ampang, baru-baru ini. - Wahidin Salim


AMPANG 19 Okt. - Penduduk Taman Nirwana di sini membantah projek pembangunan komersial oleh Tetuan Sri Seltra yang telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan itu mengambil kira kepentingan penduduk berhampiran.

Ini kerana selain tiada sesi bantahan awam dibuat pada peringkat awal sebelum kebenaran merancang diluluskan, kesemua aduan dan permintaan penduduk selama ini juga dianggap seperti mencurah air ke daun keladi.

Sehubungan itu, demi membuktikan negeri ini benar-benar negeri berkebajikan, penduduk mahu Menteri Besar segera campur tangan bagi menyelesaikan isu itu demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Taman Nirwana Fasa 2, Mohamad Suhaimi Ismail berkata, tindakan memanjangkan isu itu kepada Menteri Besar diambil kerana mereka kecewa dengan MPAJ yang dianggap tidak serius untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk, sebaliknya dilihat lebih memihak kepada pemaju.

Menurutnya, semua cadangan yang dikemukakan penduduk telah ditolak dengan alasan telah memenuhi garis panduan mereka tetapi realitinya isu yang dikemukakan adalah yang melibatkan penduduk setempat.

"Tanah yang dicatatkan dalam geran asal adalah hanya boleh mendirikan pusat beli-belah sahaja, sebaliknya pembangunan yang diluluskan adalah kedai dan kediaman.

"Reka bentuk longkang monsun sedia ada juga tidak mengikut piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan ini menimbulkan masalah kepada penduduk berhampiran kerana setiap kali hujan air pasti naik sehingga meliputi jalan.

"Jika pembangunan diteruskan sudah tentu akan menyebabkan banjir kilat berlaku," katanya selepas mengetuai sesi bantahan secara aman yang dihadiri kira-kira 300 penduduk di hadapan tapak projek itu baru-baru ini.

Katanya, mereka akan menghantar memorandum bantahan yang ditandatangani penduduk kepada Menteri Besar dan akan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada MPAJ sekiranya semua isu yang dibangkitkan penduduk timbul setelah bangunan itu siap.

Seorang penduduk, M. Thomas, 57, berkata, tindakan MPAJ menetapkan setiap unit pangsapuri disediakan dua unit tempat meletak kereta tanpa mensyaratkan petak tambahan bagi pelawat akan menimbulkan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan mereka.

Katanya, pada harga jualan setiap unit pangsapuri yang melebihi RM350,000 sudah tentu setiap pemilik berkemampuan memiliki dua buah kenderaan atau lebih.

"Pada masa ini terdapat dua pembangunan berdensiti tinggi yang diluluskan oleh MPAJ telah siap dibina dan telah memberi masalah tempat letak kereta dan gangguan lalu lintas iaitu Kondominium Putra Residency dan Axis.

"Masalah terhasil kerana MPAJ tidak mengguna garis panduan dan tidak mengkaji implikasi yang akan timbul setelah bangunan siap. Kami yakin isu sama akan berlaku di sini sekiranya projek baru ini diteruskan," katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Nirwana, Ismail Majid, 55, berkata, Taman Nirwana Fasa 2 telah melaksanakan sistem keselamatan berpagar dari pukul 12 tengah malam sehingga 6 pagi dan telah berjaya mengatasi masalah kes pecah rumah yang sering berlaku sebelum ini.

"Apa yang mengecewakan apabila kami meminta MPAJ mengarahkan pemaju mengambil kira sistem keluar masuk ke projek pembangunan mereka agar tidak memberi masalah kepada sistem keselamatan kami, jawapan yang diberikan pihak berkuasa tempatan itu benar-benar mengecewakan.

"MPAJ menggunakan akta tertentu untuk mengugut kami pula sekiranya membuat halangan demi memberi kemudahan kepada pemaju," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jambatan dua lorong LDP dibuka Jumaat ini

Posted:

Jambatan dua lorong LDP dibuka Jumaat ini

Jambatan dua lorong LDP dibuka Jumaat ini

PETALING JAYA 19 Okt. - Pembukaan jejambat baru menghala ke Putrajaya di Persimpangan Bertingkat Puchong Intan pada Jumaat ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi kira-kira 85,000 pengguna Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Ketua Pegawai Eksekutif, Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Sazally Saidi berkata, jejambat sepanjang 550 meter itu juga membolehkan penguna menikmati laluan lebih selesa dan lancar ke arah Putrajaya dan Shah Alam terutama pada waktu puncak.

Katanya, kajian mendapati sebanyak 35,00 kenderaan dari arah IOI Mall menuju ke Shah Alam, manakala 50,00 lagi menghala ke Putrajaya setiap hari.

"Litrak menganggarkan 74 peratus kenderaan ke arah Putrajaya akan menggunakan jejambat itu dan berharap pembukaan jambatan baru ini dapat mengurangkan masalah ketika ini di mana kenderaan bergerak perlahan sejauh dua kilometer berikutan kesesakan yang berlaku di Persimpangan Puchong Intan," katanya pada sesi taklimat kepada wartawan di sini semalam.

Jejambat dua lorong itu, katanya lagi, siap dua bulan lebih awal dan menelan belanja RM35 juta.

Projek itu adalah sebahagian daripada Pakej 5A iaitu Projek Menaik Taraf LDP 5 yang mengandungi tiga fasa. Pakej pembinaan itu bermula pada September 2009 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.

"Ia meliputi kerja-kerja menaik taraf persimpangan lampu isyarat di Puchong Perdana, pelebaran lebuh raya daripada tiga lorong kepada empat lorong di antara Kampung Bharu Puchong dan Persimpangan Bertingkat Puchong Intan.

"Fasa ketiga ialah pembinaan jejambat dua lorong dari Puchong ke arah Putrajaya di Persimpangan Bertingkat Puchong Intan," katanya.

Keseluruhan Pakej 5A ini menelan kos sebanyak RM105 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Litrak yang merupakan pemegang konsesi LDP. Ia merupakan sebahagian daripada projek menaik taraf LDP bernilai RM312 juta yang telah diumumkan oleh Litrak pada 2009.

Tambah Sazally, bagi melengkapkan lagi Pakej 5A kerja-kerja menaik taraf lebuh raya di bawah Pakej 5C dari Plaza Tol Petaling Jaya di Sunway menghala ke Puchong Jaya sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada Februari 2013.

Full content generated by Get Full RSS.

Pandangan penduduk diteliti

Posted:

Pandangan penduduk diteliti

Pandangan penduduk diteliti

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sesi taklimat mengenai pembangunan semula perumahan Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Cheras akan memberi ruang kepada penduduk untuk menyuarakan pandangan mereka.

Setiap pandangan daripada penduduk melalui 12 sesi taklimat yang akan dijalankan selepas ini akan dibawa kepada pihak kerajaan untuk diteliti sebelum projek itu mula dilaksanakan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, sesi taklimat yang diadakan itu penting dalam memberi gambaran yang lebih jelas kepada penduduk mengenai pembangunan tersebut.

Katanya, pada sesi taklimat itu, mereka yang terlibat secara langsung seperti pemaju dan juga arkitek turut dijemput supaya penduduk mendapat maklumat yang tepat dan jelas.

Namun, katanya, jika masih ada penduduk yang keliru, mereka boleh mengemukakan soalan serta menyertakan cadangan dan pandangan mereka kemudian atau secara bertulis.

"Penduduk berhak memberikan pandangan mereka dan kami akan membawanya kepada kerajaan untuk diteliti," katanya selepas sesi taklimat kepada penduduk flat Sri Melaka di sini baru-baru ini.

Pada sesi taklimat tersebut, selain mengenai pembangunan semula itu, penduduk turut bertanyakan soalan tentang harga rumah dan kadar sewa rumah yang bakal dibina itu.

Ahmad Phesal menambah, pembangunan tersebut sememangnya merupakan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti rumah dan persekitarannya kepada warga kota.

"Dengan rumah yang lebih berkualiti dan persekitaran yang lebih baik, mereka pastinya akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa selepas ini," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Empat segi, bulat ilham Chantum

Posted:

Empat segi, bulat ilham Chantum

Empat segi, bulat ilham Chantum

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZULKARNAIN SAIDIN


Rekaan unik yang elegan lambang kepada kemewahan.


DIILHAMKAN daripada kajian yang dibuat terhadap simbol-simbol dunia fizikal dan rohani, Selberan mengeluarkan koleksi terbaru barang kemas yang menunjukkan perlambangan bagi bulatan dan empat segi.

Dinamakan Koleksi Chantum, bulatan merupakan simbol sejagat purba di dunia rohani yang membawa pengertian perpaduan dan keutuhan, sementara bentuk empat segi berbeza mewakili kekukuhan dunia fizikal melalui sifat-sifat simetri.

Simbol empat segi juga menegaskan dan menggalakkan keseimbangan manakala bulatan mewakili sifat tenaga yang tidak terhingga serta kekayaan alam semesta.

Koleksi Chantum menggabungkan potongan berlian round brilliant dan square princess dalam bingkai emas bulat dan empat segi bagi mencerminkan sinergi dan keseimbangan dalam setiap barang kemas.

Koleksi Chantum yang terdiri daripada set lengkap loket, cincin, anting-anting dan gelang atau didatangkan secara berasingan seperti hanya gelang, cincin atau loket, banyak bermain dengan bentuk empat segi dan bulatan yang tampak ringkas namun unik.

Disemat dengan emas putih 18 karat, setiap reka bentuk mempunyai tanda emas kuning bagi menyerlahkan bentuk yang berbeza dan gambaran yang mengagumkan.

Selberan merupakan syarikat barang kemas terkemuka di Malaysia yang menawarkan pelbagai rangkaian barang kemas yang bergaya, indah dan tersendiri.

Sebagai salah satu daripada jenama barang kemas yang diyakini, Selberan dikenali kerana nilai-nilai 4C yang tersendiri, iaitu kemahiran bertukang, kreativiti, kredibiliti dan keyakinan.

Full content generated by Get Full RSS.

Virtouse Drama yang dramatik

Posted:

Virtouse Drama yang dramatik

Virtouse Drama yang dramatik

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB


Zamri Zainol (kanan) bersama penyanyi terkenal, Atilia menunjukkan maskara terbaru Virtouse Drama.


SESETENGAH wanita yang tegar menggunakan solekan akan mengatakan bahawa mereka tidak boleh terlepas daripada mengenakan maskara.

Ini kerana maskara memainkan peranan yang penting dalam memberikan penampilan dramatik pada wajah mereka.

Namun bagi sesetengah wanita pula menyifatkan pemakaian maskara agak remeh terutama bagi wanita Islam yang bekerja apabila mereka hendak menunaikan solat keran sifat maskara yang sememeh merumitkan pencucian.

Melalui inovasi demi inovasi yang telah dibangunkan oleh Lancome, akhirnya lahir satu produk maskara yang menepati tujuan tersebut.

Maskara yang diberi nama Virtouse Drama ini diformulasi menggunakan latek yang mana amat sesuai dengan cuaca Asia.

Menurut jururunding solekan yang juga artis Lancome, Zamri Zainol, maskara yang comot terhasil apabila bercampur dengan air.

Bagaimanapun Virtouse Drama telah diuji walau setelah digosok ia tidak akan comot.

"Maka sebab itulah pemakaiannya disarankan kerana apabila hendak mencucinya ketika mengambil wuduk mereka hanya perlu menggunakan air biasa dan tolak maskara ke luar. Maskara akan keluar dalam bentuk kepingan dan tidak comotkan keliling mata," ujarnya.

Zamri yang turut mendemonstrasikan pemakaian maskara terbaru Lancome ini berkata, ia satu maskara yang sesuai untuk wanita yang sibuk pada masa kini.

"Tidak perlu menggunakan curler (pelentik bulu mata) bagi membentuk bulu mata lentik.

"Selepas maskara kering boleh melentikkan bulu mata dengan jari sahaja. Bahan lilin yang ada dalam ramuan Virtouse Drama ini membuatkan bulu mata amat mudah dilentikkan dan yang paling penting ia tidak mencomotkan mata," jelasnya lagi.

Salah satu tips pemakaian maskara yang disarankan oleh Zamri ialah jangan pam maskara berkali-kali kerana ia akan menyebabkan udara masuk ke dalam maskara dan sekali gus menjejaskan kualitinya.

Sementara itu, bagi penyanyi, Atilia yang mencuba maskara ini berkata, dia kini tidak memerlukan bulu mata palsu untuk setiap kali persembahannya.

"Mudah untuk melentikkan bulu mata sendiri hanya guna jari sahaja," katanya.

Untuk mencuba sendiri kelainan Virtouse Drama, pelanggan disarankan ke kaunter Lancome yang terletak dalam pusat membeli belah utama di seluruh negara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


UTHM raih 3 anugerah di Melaka

Posted:

UTHM raih 3 anugerah di Melaka

UTHM raih 3 anugerah di Melaka

Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my


PASUKAN UTHM yang mengharumkan nama universiti itu pada Pertandingan Program Rakyat Patriotik di Melaka, baru-baru ini.


BATU PAHAT 18 Okt. - Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) meraih tiga anugerah pada Pertandingan Program Rakyat Patriotik anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di Kolej Komuniti Merlimau, Melaka baru-baru ini.

Ahli Kumpulan Aktivis Pemuisi dan Dramatis UTHM (AKSI), Ezafahrina Ezuddin mengharumkan nama universiti itu apabila merangkul dua anugerah iaitu johan kategori Deklamasi Puisi Patriotik dan Anugerah Busana Terbaik.

Satu lagi anugerah dimenangi ahli Kumpulan Gemersik Sahmura, Mohd. Nazrin Syah Safari yang muncul johan kategori Suara Patriotik (Nyanyian).

Turut menaikkan nama universiti itu adalah ahli Kumpulan Cerlang Bangkit, Mohamad Fareed Mohamad Zainordin dan Mohamad Mokhsen Suffian yang mendapat tempat ketiga kategori Photothon Patriotik (Fotografi).

Menurut laman web UTHM, program Rakyat Patriotik yang pertama kali diadakan itu bertujuan membentuk jati diri penuntut ke arah mengukuhkan lagi identiti sebagai rakyat Malaysia.

Pertandingan selama tiga hari itu disertai 240 peserta dari institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dan bertujuan menggalakkan lagi pengamalan budaya 1Malaysia dan memupuk semangat kenegaraan.

Full content generated by Get Full RSS.

Seronok tabur bakti di PDK DUN Semerah

Posted:

Seronok tabur bakti di PDK DUN Semerah

Seronok tabur bakti di PDK DUN Semerah

BATU PAHAT 18 Okt. - Bagi mendalami bidang yang dipelajari, lapan penuntut Ijazah Bachelor Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn Batu Pahat menganjurkan Program Khidmat Bakti Siswa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah baru-baru ini.

Mereka yang merupakan penuntut yang mengambil Major Pendidikan Khas mengakui gementar walaupun sebelum ini mempelajari bidang tersebut secara teori.

Pengerusi Program, Irene Yong, 23, berkata, pada mulanya mereka agak sukar mendekati anak-anak istimewa di PDK itu yang mempunyai pelbagai ragam.

"Hari pertama berada di PDK DUN Semerah ini, perkara utama yang kami lakukan adalah macam mana hendak menarik perhatian dan berkomunikasi dengan kesemua pelatih di sini," katanya.

Bagaimanapun, mereka tidak menghadapi banyak masalah kerana kesemua pelatih PDK DUN Semerah senang menerima kehadiran mereka dan mengikuti program yang dilakukan dengan baik.

"Kami rasa seronok berada di sini dan berkomunikasi serta dapat mencurahkan khidmat bakti kepada anak-anak istimewa ini," katanya sambil memberitahu program tersebut berlangsung selama seminggu.

Walaupun menghadapi masalah pertuturan, tetapi semua aktiviti yang diadakan berjalan dengan baik serta mendapat kerjasama sepenuhnya daripada penyelia dan guru-guru di PDK berkenaan.

Bagi Amber Ling, 23, program berkenaan memberi panduan kepadanya cara untuk mengendalikan anak-anak istimewa.

Katanya, tempoh seminggu program itu semenangnya tidak mencukupi kerana banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.

"Pengalaman seminggu di PDK amat bermakna dan paling berharga yang boleh kami gunakan semasa melakukan tugas nanti," katanya sambil memberitahu semua peserta program itu berasal dari Sarawak.

Hari pertama di PDK DUN Semerah, mereka bersama pelatih pusat itu berkebun dengan menanam bawang merah serta membentuk gambar daripada kertas warna yang direnyuk.

Pelatih PDK itu juga diajar menulis, melakukan pembelajaran dengan bantuan peralatan serta nyanyian supaya proses pembelajaran lebih menarik.

"Kami juga melakukan aktiviti keceriaan dalam kelas, tampalan dan perhiasan, senaman aerobik dan fisioterapi untuk mereka yang tidak berkeupayaan untuk bergerak," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kolej Nilam catat sejarah pertamanya

Posted:

Kolej Nilam catat sejarah pertamanya

Kolej Nilam catat sejarah pertamanya

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my


SEBAHAGIAN 227 graduan Kolej Nilam selepas menerima Diploma Kejururawatan di Hotel Bayview, Melaka, kelmarin. - BERNAMA


MELAKA 18 Okt. - Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Nilam (Kolej Nilam) melakar sejarah pertamanya apabila berjaya melahirkan 227 graduan dalam konvokesyen yang berlangsung di Hotel Bayview di sini, semalam.

Penasihat Nilam Healthcare Education Sdn. Bhd., Datuk Dr. Abdul Latiff Awang berkata, bilangan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

Menurutnya, pertambahan jururawat di negeri ini secara tidak langsung memajukan sektor pelancongan perubatan bagi menjana ekonomi negeri.

''Jururawat amat diperlukan bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Nilam di sini.

Kolej Nilam yang memulakan pengajian dengan seramai 15 orang pada tahun 2006 dan setakat ini sudah melatih seramai 568 pelajar dalam jurusan terbabit.

Menurut Dr. Abdul Latiff, kesemua pelajar yang tamat pengajian pembelajaran di kolej itu telah mendapat pekerjaan di merata tempat di Malaysia dan juga di Singapura.

Beliau berkata, Kolej Nilam adalah milik syarikat Nilam Healthcare Education Sdn. Bhd. dan para pelajar menjalani program Diploma Kejururawatan selama tiga tahun.

''Program ini telah mendapat pengiktirafan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Ujarnya, semua jururawat yang dilatih lulus 100 peratus dalam Peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia Syarat Masuk Dalam Daftar Am, malah 12 orang daripada mereka mendapat markah cemerlang.

Kolej Nilam terletak di Jalan Malim, Bacang di sini, memiliki keluasan seluas 2.8 hektar dengan kemudahan dan tempat yang kondusif buat pelajar.

Beliau berkata, Kolej Nilam kini melangkah setapak lagi dengan pembinaan sebuah kolej baru di Jalan Klebang.

Full content generated by Get Full RSS.

KAYM jalin kerjasama dengan Universiti Of Adelaide

Posted:

KAYM jalin kerjasama dengan Universiti Of Adelaide

KAYM jalin kerjasama dengan Universiti Of Adelaide


NAJIB Tun Razak menyaksikan pertukaran dokumen memorandum perjanjian antara Saroni Judi dan Dr. Yung Ngothai di Melaka, baru-baru ini. - BERNAMA


MELAKA 18 Okt. - Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) akan bekerjasama dengan sebuah universiti terkemuka di Australia iaitu University Of Adelaide dalam usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang akademik melibatkan kedua-dua pihak.

Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi berkata, kerjasama itu termeteri melalui memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan dengan pihak University of Adelaide diwakili Timbalan Dekan Antarabangsa, Fakulti Sains Matematik, Kejuruteraan dan Komputer, Dr. Yung Ngothai, baru-baru ini.

Menurutnya, kerjasama itu meliputi pertukaran program ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Elektrik Elektronik.

''Melalui kerjasama itu, pelajar melanjutkan pengajian mereka selama dua tahun di KAYM dan seterusnya dua tahun lagi di University of Adelaide, Australia," katanya di sini, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, dalam bidang pengajian Perniagaan dan Akaun, Sains Komputer pelajar akan memulakan pengajian selama satu setengah tahun di KAYM dan satu setengah tahun lagi di University of Adelaide, Australia.

Ujar beliau, University of Adelaide sedia bekerjasama dengan KAYM bagi menjalin hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi sekali gus menyediakan peluang kepada kolej itu mengukuhkan hubungan sejagat di peringkat antarabangsa.

''Melalui termeterainya MoU ini, usaha ini diharap membentuk rangkaian antarabangsa yang akan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang akademik dan beberapa inisiatif utama.

''Ini akan menjadi satu platform bagi KAYM untuk terus maju setapak lagi di arena antarabangsa dalam usaha mencari peluang dan memperluaskan jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi di peringkat global," katanya.

Melalui MoU itu juga, kata Saroni, negara mampu mengurangkan kos perbelanjaan penghantaran pelajar ke luar negara memandangkan program pengajian yang ditawarkan melalui kerjasama dengan KAYM.

Ia juga, ujar beliau, sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan antarabangsa di rantau ini.

Full content generated by Get Full RSS.

JKKK, KRT diminta akur arahan

Posted:

JKKK, KRT diminta akur arahan

JKKK, KRT diminta akur arahan

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

REMBAU 18 Okt. - Semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diminta melaksanakan prosedur 'standard operasi' (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri ketika berlakunya bencana di kawasan setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu bertujuan bagi membolehkan segala bantuan yang diperlukan oleh mangsa bencana alam dapat disegerakan melalui agensi-agensi kerajaan berkaitan.

''Kita telah memberikan satu arahan tetap supaya mereka tidak menunggu apa-apa lagi. Jika rumah mengalami kerosakan, kita perbaiki terlebih dahulu dan selepas itu jabatan-jabatan lain akan turut menyalurkan bantuan susulan kepada mereka.

''Jadi JKKK dan KRT akan menghubungi saya sendiri dan saya akan memberikan arahan untuk membenarkan mereka untuk memperbaiki apa yang perlu," katanya selepas melawat kerja-kerja membaik pulih kediaman di sekitar kawasan Kampung Linsum dan Kampung Siliau dekat Rantau di sini, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 4.30 petang itu, beberapa buah rumah di kawasan perkampungan itu mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dan angin kencang, mengakibatkan beberapa atap kediaman mereka diterbangkan angin ribut.

Mohamad juga berkata, beberapa kawasan di negeri ini turut mengalami bencana yang sama dan pihaknya telah mengarahkan supaya bantuan segera diberikan kepada penduduk yang ditimpa bencana berkenaan.

''Saya difahamkan beberapa buah rumah juga mengalami kerosakan teruk di sekitar kawasan Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan beberapa kawasan lain.

''Tetapi apa yang saya dimaklumkan kerja-kerja membaikpulih sedang giat dilakukan dan kita berharap ia dapat diselesaikan menjelang petang ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Belajar sambil berniaga di WOU

Posted:

Belajar sambil berniaga di WOU

Belajar sambil berniaga di WOU

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


Wawasan Open University menawarkan peluang pengajian kepada golongan berkerjaya di kampusnya di Pulau Pinang.


PULAU PINANG 18 Okt. - Wawasan Open University (WOU) menawarkan pelbagai program pengajian kepada sesiapa juga yang mencari peluang untuk mengubah kehidupan serta perniagaan mereka dengan mendapat pendidikan tinggi tanpa mengorbankan kerjaya mereka.

Perkara itu dibuktikan oleh Seah Kian Aik, 33, yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Pengurusan Bekalan dan Logistik dari WOU pada 2007.

Meskipun sibuk menguruskan perniagaan keluarga, dia masih sempat melanjutkan pengajian di WOU secara sambilan.

Malah, ilmu yang diperolehi di WOU ternyata banyak membantunya untuk melebarkan perniagaan.

Dia percaya program tersebut yang diuruskan Fakulti Perniagaan dan Pentadbiran (SBA) banyak mengajarnya bagaimana untuk mengembangkan perniagaan arang yang sehingga ke peringkat global.

"Prinsip saya adalah seseorang perlu belajar ketika membesar dan membesar untuk belajar, jadi saya menyasarkan untuk membina laman web untuk memasarkan serta menjual arang ke seluruh dunia kerana banyak permintaan terutama di negara-negara yang mengalami musim sejuk.

"Pendidikan tinggi yang ditawarkan WOU membantu saya mencapai cita-cita untuk mengembangkan perniagaan warisan keluarga ini bagi memenuhi keperluan tempatan serta menarik pasaran antarabangsa," katanya.

Jelasnya, dia berminat untuk mendalami ilmu komputer sejak sekian lama tetapi tidak memiliki motivasi untuk memohon kerja dalam bidang teknologi maklumat.

Dia juga yakin dengan ilmu pengurusan bekalan serta minda yang inovatif yang diperolehi melalui pengajiannya di WOU membantu membawa perniagaan arang miliknya ke peringkat lebih tinggi.

Program ijazah Pengurusan Bekalan dan Logistik di WOU membuka cabaran serta peluang kepada penuntut untuk mendepani cabaran perniagaan hari ini.

Mereka yang mengambil kursus ini akan belajar bagaimana untuk membuka atau mengekalkan perniagaan mereka dengan graduan berpeluang untuk mencari kerja dalam bidang pembuatan serta perkhidmatan, pusat pengedaran multinasional, syarikat perkhidmatan kurier serta banyak lagi.

Program ijazah lain yang ditawarkan di SBA adalah perakaunan, pengurusan, perbankan dan kewangan, jualan dan pemasaran, sistem maklumat perniagaan, pentadbiran korporat serta keusahawanan dan pengurusan perniagaan kecil.

Penuntut dari golongan bekerja yang belajar di WOU tetap akan berpeluang untuk membina perniagaan dan kerjaya kerana boleh belajar secara separuh masa.

Penuntut juga boleh mengakses sistem pengurusan pembelajaran atas talian WOU dari mana sahaja serta untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Pengambilan untuk Januari 2012 kini dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian bebas tol WOU di 1-300-888-968 atau layari wou.edu.my.

Full content generated by Get Full RSS.

Pemaju akur tuntutan penduduk Sg. Nibong

Posted:

Pemaju akur tuntutan penduduk Sg. Nibong

Pemaju akur tuntutan penduduk Sg. Nibong

PULAU PINANG 18 Okt. - Lebih 60 penduduk Kampung Sungai Nibong Besar, Bayan Baru di sini yang menerima notis pengosongan rumah semalam kini boleh menarik nafas lega apabila pemaju bersetuju memenuhi tuntutan mereka.

Pemaju, Bioworld Vision Sdn. Bhd. membuat keputusan untuk memberi pampasan berupa kediaman kos rendah berharga RM42,000 kepada 12 pemilik rumah yang bakal dirobohkan bagi membolehkan projek membina tujuh banglo tiga tingkat di atas tanah seluas 0.4 hektar itu dijalankan.

Selain itu, mereka turut diberikan wang RM5,000 untuk kos pemindahan.

Majlis menandatangani perjanjian pampasan berlangsung di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Nibong di sini hari ini.

Sebagai permulaan, pemaju memberi wang pendahuluan sebanyak RM4,700 kepada penduduk terbabit bagi menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Mereka diberi tempoh tiga bulan untuk berpindah dan perlu mengisi borang permohonan perumahan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang untuk diberi penempatan mengikut kekosongan di sesuatu kawasan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tsin berkata, kesemua penduduk terbabit telah menandatangani perjanjian tersebut.

"Saya telah memberikan tawaran yang baik kepada penduduk kampung tahun lalu tetapi mereka tidak mahu menerimanya.

"Penduduk telah merujuk ke mahkamah dan kalah dalam kes ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, penduduk Kampung Sungai Nibong Besar panik apabila pegawai bailif Mahkamah Majistret Balik Pulau, Ahmad Abdul Karim tiba kira-kira pukul 8 pagi bersama notis untuk merobohkan empat rumah di situ.

Suasana tegang berlaku apabila penduduk cuba menahan para pekerja yang mahu mengeluarkan barangan dari keempat-empat rumah tersebut.

Namun, anggota-anggota polis yang ada berjaya mengawal keadaan bagi mengelak tercetus sebarang kejadian tidak diingini.

Full content generated by Get Full RSS.

UMNO Bahagian Sungai Petani kembali harmoni

Posted:

UMNO Bahagian Sungai Petani kembali harmoni

UMNO Bahagian Sungai Petani kembali harmoni


Mohammad Firdaus Zakaria (kanan) menerima borang 100 ahli Pas untuk menyertai UMNO di Sungai Petani, kelmarin.


SUNGAI PETANI 18 Okt. - UMNO Bahagian Sungai Petani yang sebelum ini bergolak kini kembali pulih selepas diambil alih oleh Jawatankuasa Panel Pengurusan dan Pentadbiran Khas di bawah pentadbiran Badan Perhubungan UMNO negeri.

Naib Ketuanya, Datuk Mohammad Firdaus Zakaria berkata, pengurusan dan perjalanan program bahagian kini berjalan dengan lancar dan ahli termasuk pemimpin semua peringkat kembali bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Sejak jawatankuasa terbabit mengambil alih secara rasminya pada Julai lalu, pelbagai program dan aktiviti diadakan dengan begitu lancar serta aktif.

"Semua pihak kini bersatu tenaga dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang," katanya selepas majlis penyerahan borang kemasukan ahli UMNO oleh penyokong Pas di Dewan Kampung Teluk Wang Besar di sini semalam.

Seramai 100 penduduk yang kebanyakannya penyokong Pas dari Kampung Bukit Kecil dan Kampung Pengkalan Bukit Kecil menyerahkan borang keahlian UMNO pada majlis itu.

Mohammad Firdaus berkata, jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir dan dianggotai oleh pemimpin kanan UMNO negeri seperti Datuk Mohd. Rozai Shafian (Bahagian Pendang); Datuk Othman Aziz (Setiausaha UMNO negeri); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Ketua Penerangan) dan Datuk Abd. Aziz Syeikh Fadzil (Bahagian Kulim/Bandar Baharu).

"Kita kini berusaha menguatkan jentera parti dan aktif turun padang mengadakan program bercorak kemasyarakatan untuk manfaat bersama pengundi kawasan Sungai Petani," jelasnya.

Tambah beliau, dengan kekuatan itu pihaknya yakin sokongan masyarakat akan kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan galak FDI dalam industri baru

Posted:

Kerajaan galak FDI dalam industri baru

Kerajaan galak FDI dalam industri baru

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan tetamu yang hadir selepas merasmikan Persidangan Usahawan Muda di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kerajaan hari ini mempelawa lebih banyak syarikat luar membuat pelaburan atau meningkatkan nilainya di Malaysia terutama dalam sektor industri baru seperti bioteknologi, teknologi hijau dan aeroangkasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan syarikat-syarikat berkenaan amat diperlukan kerana ia mampu mempercepatkan pembangunan serta perkembangan sektor tersebut di negara ini.

Tambah beliau, ia juga dapat mempelbagaikan bidang industri sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara sejak sektor tersebut mula bertapak beberapa dekad yang lalu.

"Bermula 1981 kerajaan memperkenalkan inisiatif melalui polisi-polisi tertentu bagi menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) setelah Malaysia menjadi sebuah negara industri.

"Mereka terbabit dalam pelbagai industri antaranya elektronik, logistik, automotif, tekstil dan juga reka bentuk dan kini kerajaan berusaha membangunkan satu lagi sektor iaitu industri baru. Oleh itu kita berusaha mendapatkan pelabur untuk membangunkan lagi sektor ini di Malaysia," katanya.

Beliau berucap merasmikan Sidang Kemuncak Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES) 2011 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir; Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W. Jones; Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Ir. Mohamaed Al Amin Abdul Majid dan Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (IMCC) dan Penganjur Bersama APEC YES 2011, Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa komited memperkasakan kebolehan ekonomi negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi dan inovasi.

Untuk itu katanya, tiga langkah penting dilakukan oleh kerajaan supaya pembangunan negara serta kemajuan ekonomi sejajar dengan komitmen tersebut.

"Ia berkaitan dengan teknologi, kemudahan infrastruktur logistik dan usaha meningkatkan jumlah tenaga mahir dalam bidang pembuatan," katanya.

Mengenai sidang kemuncak hari ini, beliau berkata, kerajaan Malaysia amat menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat.

"Kerajaan mempunyai beberapa polisi untuk mempromosi budaya inovasi. Justeru, saya lihat usahawan muda boleh berperanan sebagai ejen perubahan bagi memastikan budaya inovasi ini benar-benar berlaku dalam masyarakat.

"Mereka (usahawan muda) mempunyai kemampuan mencetuskan satu bentuk perniagaan yang berasaskan inovasi melalui pengetahuan, kreativiti selain pengetahuan mereka dalam teknologi terkini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Seri Paduka anugerah darjah kebesaran kepada 241 penerima

Posted:

Seri Paduka anugerah darjah kebesaran kepada 241 penerima

Seri Paduka anugerah darjah kebesaran kepada 241 penerima


TUANKU Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada Omar Din Mawaidin di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini mengurniakan pingat dan darjah kebesaran kepada 241 penerima sempena ulang tahun Hari Keputeraan Seri Paduka.

Mendahului senarai penerima pada istiadat di Balairong Seri, Istana Negara itu ialah Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Leonard Linggi yang dianugerahi darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Turut menerima PSM ialah Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omar Din Mawaidin.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noriyah Ahmad menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima PJN ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datuk John Sikie Anak Tayaii, Anggota Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Penggaram, Datuk Koh Chee Chai, Pengarah Institut Perubatan Molekul, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal, dan Pengarah Urusan LH Cheng and Associates, Datuk Cheng Lai Hock.

Yang lain ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Penarafan Malaysia, Datuk Dr. Govindan Kunchamboo, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Dr. Abdul Shariff Hamid, Pengurus Akaun Shell (M), Datuk Mohanadas Nagappan, Ketua Pegawai Eksekutif Wira Ukur Consultant Datuk Hanafi Mamat dan Pengarah Urusan Swoft-Bird Sdn. Bhd., Datuk Ng Siew Lai.

Pengarah Urusan Kawaguchi Development Sdn Bhd., Datuk George Chee Ching Wang pula dikurniakan Panglima Jasa Negara (Kehormat) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 16 orang menerima darjah Johan Setia Mahkota, seorang menerima darjah Johan Setia Diraja, 24 orang menerima darjah Kesatria Mangku Negara, seorang menerima Kesatria Setia Diraja dan 109 menerima Ahli Mangku Negara.

Ketua Unit Foto Bernama, Mustaza Mohd Yusoff adalah antara 67 orang yang menerima Pingat Pangkuan Negara manakala 10 orang menerima Bentara Setia Diraja. – BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Masalah jenayah sosial warga Afrika meruncing

Posted:

Masalah jenayah sosial warga Afrika meruncing

Masalah jenayah sosial warga Afrika meruncing

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Masalah jenayah dan sosial yang ditimbulkan warga Afrika di negara ini bukanlah sesuatu yang baru malah kini semakin meruncing yang memerlukan tindakan drastik kerajaan untuk mengatasinya.

Salah satu puncanya ialah warga Afrika berkenaan bebas berada di negara ini dengan helah belajar di kolej swasta. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sebahagian besar warga Afrika khususnya yang terlibat dalam jenayah komersial dan narkotik yang ditahan adalah pelajar kolej swasta.

Statistik Imigresen pula menunjukkan seramai 29,000 pelajar warga Afrika berdaftar secara sah di kolej-kolej swasta di seluruh negara namun jumlahnya disyaki berlipat kali ganda jika mengambil kira mereka yang tinggal melebihi masa.

Bagaimanapun masalah kebanjiran warga Afrika yang melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi yang bertanggungjawab terhadap kemasukan pelajar manakala Jabatan Imigresen mengeluarkan pelekat pas pelajar, dilihat gagal dikawal.

Menurut sumber pegawai kanan PDRM, masalah yang ditimbulkan warga Afrika dilihat meruncing kerana mereka dikesan melakukan pelbagai jenayah berkaitan dadah dan komersial serta menimbulkan masalah sosial.

Lebih buruk katanya, apabila mereka secara berterusan berjaya memperdayakan warga tempatan sebagai mangsa seperti keldai dadah dan kambing hitam dalam jenayah lain.

"Jika dilihat semula dalam kes-kes sebelum ini, kebanyakan warga Afrika yang ditahan terdiri daripada pelajar kolej swasta dan ia dibuktikan melalui kad matrik yang ada bersama mereka.

"Mungkin kad matrik tersebut menjadi 'lesen' untuk mereka bergerak bebas dan berada di negara ini kerana jika tidak pergerakan akan terhad dan semakin berisiko apabila diperiksa pihak Jabatan Imigresen," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan laporan yang diterima oleh pelbagai jabatan di Bukit Aman, hampir setiap hari ada warga Afrika ditahan kerana terlibat dengan jenayah.

Menurutnya, berikutan itu, tindakan drastik perlu dilakukan oleh kerajaan sebelum masalah yang ditimbulkan warga Afrika menghantui penduduk tempatan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah turut bimbang dengan trend kolej swasta yang memudahkan rakyat asing terutama dari benua Afrika mendapatkan pas pelajar tanpa diwajibkan menghadiri kelas kerana ia didapati telah meningkatkan masalah jenayah khususnya pengedaran dadah.

Beliau berkata, kebimbangan itu memang berasas apabila polis hampir setiap hari memberkas pengedar dadah terdiri daripada warga asing terutama dari Nigeria.

Malah, ujarnya, dalam hampir setiap minggu, polis dan Jabatan Imigresen ada merampas antara empat dan 12 kilogram dadah yang cuba diseludup melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

"Ini (masalah salah guna pas pelajar) adalah serius kerana ia boleh meningkatkan kejadian jenayah terutama pengedaran dadah, pelacuran dan penipuan,'' jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Isu warga Afrika meruncing

Posted:

Isu warga Afrika meruncing

Isu warga Afrika meruncing


PELAJAR warga Afrika berjalan dekat sebuah kolej swasta di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.


* Masalah jenayah dan sosial yang ditimbulkan warga Afrika di negara ini bukanlah sesuatu yang baru malah kini semakin meruncing dan memerlukan tindakan drastik kerajaan untuk mengatasinya.

* Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sebahagian besar warga Afrika khususnya yang terlibat dalam jenayah komersial dan narkotik yang ditahan adalah pelajar kolej swasta.

* Statistik imigresen menunjukkan 29,000 pelajar warga Afrika berdaftar secara sah di kolej-kolej swasta di seluruh negara namun jumlahnya disyaki berlipat kali ganda jika mengambilkira mereka yang tinggal melebihi masa.

* Setakat ini masalah kebanjiran warga Afrika yang melibatkan bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi yang bertanggungjawab terhadap kemasukan pelajar manakala Jabatan Imigresen mengeluarkan pelekat pas pelajar, dilihat masih gagal dikawal.

Full content generated by Get Full RSS.

Menu Rakyat sedap, berkualiti

Posted:

Menu Rakyat sedap, berkualiti

Menu Rakyat sedap, berkualiti


NAJIB Tun Razak bersama para pelanggan yang makan tengah hari menunjukkan isyarat 1Malaysia ketika berkunjung ke premis Program Menu Rakyat 1Malaysia di Restoran Ukhwah, Lorong Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) dan Yang Dipertua Ukhwah, Datuk Rahim Baba (dua, kanan). - BERNAMA


KUALA LUMPUR 18 Okt. — Datuk Seri Najib Tun Razak memuji makanan yang dijual di restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia sambil menyifatkannya sebagai sedap dan berkualiti.

Perdana Menteri menyatakan sedemikian selepas menikmati nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengiringi Perdana Menteri, berkata, kunjungan Najib ke premis itu adalah untuk menikmati dan menilai sendiri kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

"Perdana Menteri datang semata-mata untuk makan. Beliau nak rasa sendiri makanan yang dimakan oleh rakyat," katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata kunjungan Najib juga membuktikan bahawa persepsi sesetengah pihak kononnya menu murah di premis atau restoran yang menyertai program anjuran kementerian itu tidak berkuliti, adalah tidak benar.

Katanya, kualiti makanan yang dijual di premis atau restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia adalah sama seperti makanan yang dijual di tempat lain dan kementerian sentiasa turun padang memantau keadaan agar aspek kualiti tidak diambil mudah.

"Saya rasa Perdana Menteri sangat gembira di mana hari ini, beliau dapat merasa sendiri apa yang rakyat rasa dan makan setiap hari dan ini menunjukkan beliau prihatin dengan apa yang dimakan dan dirasa rakyat," kata Ismail Sabri.

Program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai lepas bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Ismail Sabri berkata, program itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan sasaran 1,000 kedai menjelang hujung tahun ini dicapai lebih awal kerana setakat ini 1,004 restoran sudah menyertai program itu.

Daripada jumlah itu, Perak mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 152 diikuti Selangor (137), Terengganu (123), Kedah (104), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (61), Johor dan Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (41), Negeri Sembilan (34), Melaka (18), Perlis (12), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

Menurut Ismail Sabri, bagi kemudahan orang ramai, senarai kesemua restoran yang mengambil bahagian dalam program itu akan diiklankan di akhbar esok.

Beliau berkata, kementerian berharap lebih banyak restoran menyertai program itu yang mensyaratkan semua menu harus mempunyai kombinasi diet seimbang seperti nasi, lauk, sayur dan minuman. — BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Jangan amal terapi ozon, chelation

Posted:

Jangan amal terapi ozon, chelation

Jangan amal terapi ozon, chelation

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
pengarang@utusan.com.my


Dr. Hasan Abdul Rahman


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Pengamal perubatan dinasihatkan supaya tidak mengamalkan terapi ozon dan chelation (mengenyahkan logam berat dalam badan) sebagai kaedah rawatan untuk pesakit kerana tiada bukti ia mampu merawat sebarang penyakit.

Presiden Majlis Perubatan Malaysia, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman (gambar) berkata, kesimpulan itu dibuat selepas majlis berkenaan mengadakan perbincangan mendalam serta memperoleh maklumat saintifik dari dalam dan luar negara.

"Tiada bukti yang menyokong penggunaan terapi itu dapat memberi sebarang kesan berfaedah kepada pesakit yang menjalaninya.

"Kajian lanjut masih perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanan dan juga keselamatan terapi berkenaan kepada pesakit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Kesihatan berkata, terapi itu tidak seharusnya digunakan kecuali untuk tujuan penyelidikan sehingga dibuktikan ia mendatangkan faedah kepada pesakit.

Hasan seterusnya menasihatkan orang awam supaya tidak menjalani terapi itu dan sebarang risiko berkaitan rawatan tersebut harus ditanggung sendiri.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved