Selasa, 4 Oktober 2011

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tugas berat Zuraidah di Menara KL

Posted:

Tugas berat Zuraidah di Menara KL

Tugas berat Zuraidah di Menara KL

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar ASWAD YAHYA


Zuraidah Mohd. Said suka 'turun padang' bukan untuk 'mengendap' kakitangan yang culas tetapi untuk menunjukkan sikap bekerjasama sebagai satu pasukan.


KETIKA mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Zuraidah Mohd. Said, antara soalan awal diajukan: ''Pernah bercita-cita menjadi CEO?"

Jawabnya: ''Tidak dinafikan itu yang dicita-citakan selama ini.''

Bagaimanapun cerita Zuraidah, cita-cita itu tidak semudah seperti 'petik jari' kerana hanya selepas 22 tahun berkhidmat di Telekom Malaysia Berhad (TM) baharulah beliau dapat merealisasikan impian untuk memegang jawatan sekarang.

Pada 2 Ogos 2010, Zuraidah dilantik sebagai CEO Menara Kuala Lumpur di samping Muzium Telekom dan Menara Alor Setar.

Kenyataannya, Zuraidah memang seorang wanita cukup bertuah kerana telah mencapai kemuncak dalam kerjaya diceburi.

Sesungguhnya beliau bukan calang-calang wanita kerana sejak sekian lama jawatan CEO didominasi kaum Adam sahaja.

Kejayaan Zuraidah ini sekali gus memberikan inspirasi kepada wanita di luar sana bahawa status isteri dan ibu kepada enam anak bukanlah halangan untuk berjaya.

Ketika ditanya cita-cita asal beliau berkata: ''Saya hendak menjadi doktor gigi. Tetapi tawaran ke luar negara sungguh mengujakan sekalipun terpaksa memilih bidang Sains Komputer."

Tamat pengajian, Zuraidah memilih untuk menjadi penyelidik di Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) yang mana pada ketika itu hanya dia sahaja anak Melayu dalam kumpulan seramai 10 orang.

Bagi Zuraidah itulah masanya untuk mengumpul pengalaman dan ternyata dia tidak rugi sekalipun hanya tiga tahun sahaja berada di MIMOS.

Beralih angin ke Telekom Malaysia (TM) yang kemudiannya menaja pengajiannya di peringkat sarjana telah memberikan semangat kepada Zuraidah untuk terus bekerja keras.

Malah kata Zuraidah, dengan cita-cita itu juga telah membawa dirinya untuk menjadi seorang yang lebih gigih untuk melaksanakan setiap tanggungjawab yang diberikan.

''Lagipun minat yang mendalam di dalam kerjaya telah mengatasi segala halangan dan rintangan,'' katanya ketika ditemui di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya terdahulu yang pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Bahagian Jualan di Telekom Malaysia, pastinya banyak detik mencabar telah dilalui.

Sekalipun begitu, Zuraidah memberitahu tanggungjawab sebagai CEO bukannya mudah maka tidak hairannya jika dirinya sudah biasa bekerja tujuh hari seminggu.

Malah masa kerja Zuraidah juga bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah malam.

Sekalipun ketua wanita sering dikatakan cerewet, ujar Zuraidah beliau tidak begitu tetapi akui memang teliti dalam setiap kerja yang dilakukan.

''Jika berlaku sebarang kelemahan, CEO yang akan dipertanggungjawabkan maka atas sebab itu setiap perancangan tidak boleh tersilap langkah,'' katanya.

Menceritakan tugasnya di Menara Kuala Lumpur, tanggungjawab beliau bukan setakat memastikan operasi sebagai menara telekomunikasi berjalan lancar bahkan ia terus kekal sebagai produk pelancongan negara yang relevan.

Sehubungan itu, katanya, dia harus memastikan jumlah yang mengunjungi menara itu meningkat dari semasa ke semasa.

''Selain itu imej menara ini perlu dijaga memandangkan dengan nama baik ini akan dapat menjual nama Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan,'' katanya.

Menurut Zuraidah lagi, untuk kelancaran dalam bekerja dia suka mengamalkan satu pasukan kerja yang mantap.

Sehubungan itu katanya, dengan menganjurkan mesyuarat dari semasa ke semasa juga penting kerana ini akan dapat memperbaiki kelemahan dalam sebarang kerja yang dijalankan.

''Saya juga menganjurkan 'sesi teh tarik' bersama dengan kakitangan supaya dapat bertemu dan menerima luahan pendapat mereka dalam suasana yang santai,'' kata beliau.

Zuraidah juga bersama-sama dengan kakitangannya akan melakukan solat hajat sekali dalam sebulan.

''Daripada solat ini secara tidak langsung juga akan menambahkan lagi erat hubungan silaturahim antara kakitangan,'' katanya.

Sekalipun Zuraidah akui dia sibuk dengan tugas di pejabat itu tidak bermakna CEO sepertinya hanya duduk di kerusi empuk sepanjang masa.

Zuraidah akui beliau suka 'turun padang' bukan untuk 'mengendap' kakitangan yang culas tetapi untuk menunjukkan sikap prihatinnya bekerjasama sebagai satu pasukan demi untuk melihat kejayaan Menara Kuala Lumpur di mata dunia.

Haruman bunga Coach

Posted:

Haruman bunga Coach

Haruman bunga Coach



COACH memperkenalkan Poppy Flower koleksi haruman terbaru untuk wanita yang berkeinginan tampil dalam gaya penuh romantik.

Koleksi baru ini dihasilkan daripada ramuan yang terdiri dari buah-buahan segar dan bunga-bungaan yang berharuman lembut.

Poppy Flower telah dilancarkan awal bulan ini.

Ia boleh didapati dari jenis Eau de Parfum 100ml RM300, 50ml RM225, 30ml RM170, dual rollerball 17oz RM90 dan Body Lotion 150ml RM150.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penat tunggu bas berangkat

Posted:

Penat tunggu bas berangkat

Penat tunggu bas berangkat

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
kota@utusan.com.my


KELEWATAN bas bergerak meninggalkan stesen LRT Cempaka menyebabkan jumlah pengguna bertambah dan mereka terpaksa berasak-asak untuk menaiki pengangkutan awam itu. – Utsuan/Bariq Ramadhan


KUALA LUMPUR 4 Okt. – Sudahlah penat berdiri di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT), terpaksa pula menunggu bas yang lambat bergerak apabila tiba di stesen bas.

Ini adalah luahan sebahagian daripada pengguna bas Rapid KL yang ditemui di stesen LRT Cempaka yang menjadikan perkhidmatan bas sebagai kenderaan utama mereka untuk menjalankan urusan harian.

Kebanyakan mereka yang menggunakan perkhidmatan bas di situ adalah penduduk sekitar kawasan Cempaka, Pandan Indah dan juga Ampang.

Rata-rata mereka yang ditemui mengadu terpaksa menunggu hampir 30 minit hingga satu jam sebelum bas bergerak meninggalkan stesen.

Tinjauan Utusan ke stesen itu mendapati dakwaan pengguna itu adalah berasas.

Pekerja swasta, Norsyazlina Mohd. Samsam, 23, berkata, setiap hari beliau terpaksa menghabiskan masa menunggu bas selama 30 minit hingga satu jam untuk pulang ke rumahnya di Bukit Permai.

"Saya pun tidak tahu kenapa bas lambat bergerak walaupun terdapat pemandu dan bas di tempat menunggu.

"Saya pernah menunggu bas hingga pukul 11 malam kerana bas lambat sampai," katanya.

Seorang pekerja di sebuah hotel, Raina Yuni, 55, berkata, beliau sudah hampir sembilan tahun menggunakan perkhidmatan bas di kawasan itu.

"Setiap hari saya menggunakan perkhidmatan bas untuk berulang-alik ke tempat kerja.

"Memang letih dan penat kerana saya terpaksa menunggu hampir 30 minit hingga satu jam setiap hari," katanya.

Pelajar, Mohd. Haziq Mohd. Ashri, 19, pula berkata, bas tersebut mempunyai jadual perjalanan tetapi sering kali tidak mengikut waktu yang ditetapkan.

Lesen ditarik jika jual, pajak pada warga asing

Posted:

Lesen ditarik jika jual, pajak pada warga asing

Lesen ditarik jika jual, pajak pada warga asing

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Peniaga di tapak Bazar Deepavali 2011 yang didapati menjual dan memajak lesen mereka kepada warga asing akan ditarik balik lesennya, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar).

"Sekiranya ditangkap, lesen mereka akan ditarik balik dan jika masa mengizinkan kita akan beri tapak tersebut kepada peniaga lain.

"Nama mereka juga akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan untuk memohon lesen pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dan penyerahan lesen Bazar Deepavali 2011 di sini hari ini.

Perayaan Deepavali akan disambut pada 26 Oktober.

Raja Nong Chik berkata, isu menjual dan memajak lesen kepada warga asing sering berbangkit dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius perkara itu.

"Ini satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan dan DBKL akan melakukan pemantauan berterusan sepanjang tempoh Bazar Deepavali 2011 berjalan.

"Pada Bazar Ramadan lepas, DBKL menarik balik 25 lesen peniaga yang melanggar arahan agar tidak menjual atau memajak lesen kepada peniaga warga asing," katanya.

Bazar Deepavali pada tahun ini menawarkan 924 petak jualan berbanding 786 petak yang ditawarkan pada tahun lepas.

Antara lokasi Bazar Deepavali adalah Lorong Tuanku Abdul Rahman, Tapak Wakaf Pemuzik Buta, Jalan Masjid India dan Lebuh Ampang.

Tangguh warta draf KL 2020

Posted:

Tangguh warta draf KL 2020

Tangguh warta draf KL 2020

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan tarikh pewartaan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL) kepada Julai tahun depan.

Draf itu sebelum ini dijangkakan diwartakan 30 September lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail (gambar) berkata, tujuan penangguhan itu dibuat selepas meneliti beberapa isu yang perlu diselesaikan bagi keberkesanan pelaksanaannya pada masa hadapan.

Menurutnya, isu-isu tersebut termasuklah pertimbangan mengenai zon guna tanah dan intensiti di Jalan Maarof, Bangsar, cadangan terminal-terminal baru yang dilihat akan mengintergrasikan komponen pengangkutan awam serta cadangan kajian terperinci insineratori lokasi stesen pemindahan Taman Beringin dan Taman Fadason untuk dibangunkan berkonsep Solid Waste Park sebagai penyelesaian kepada beberapa masalah berkaitan.

DBKL juga akan menilai semula cadangan menambah kawasan lapang awam yang boleh memberikan implikasi positif kepada kepentingan awam serta menyediakan lebih banyak peruntukan untuk golongan warga tua.

"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek-aspek yang dibincangkan dan kami berasakan adalah perlu pihak kerajaan melibatkan orang ramai dan pihak berkepentingan terutama sekali berhubung dengan cadangan-cadangan baru selaras dengan hasrat kerajaan untuk lebih telus dalam membuat keputusan sejajar dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,: katanya pada sidang akhbar berhubungan penangguhan pewartaan PBRKL 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan penangguhan itu beberapa strategi komunikasi dengan warga kota akan dilaksanakan selain mendapatkan maklum balas terakhir daripada agensi dan kementerian berkaitan.

"Strategi komunikasi yang dicadangkan akan melibatkan sesi penerangan serta bengkel-bengkel berkaitan dengan penduduk dan pihak berkepentingan dalam memastikan PBRKL 2020 yang diwartakan mampu diterima pakai dengan baik oleh semua pihak secara majoriti," katanya.

Tambahnya, daripada tempoh sembilan bulan penangguhan ini, seminar berkaitan isu-isu yang mendesak seperti isu pengangkutan awam akan diadakan semula dalam tempoh empat bulan dari sekarang dan orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri bengkel-bengkel yang dirancang bagi memberi buah fikiran berhubung aspek-aspek yang dibincangkan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Penduduk minta lampu isyarat

Posted:

Penduduk minta lampu isyarat

Penduduk minta lampu isyarat

Oleh RAHIMAH MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my


PARA pengguna kenderaan terpaksa berbaris lama setiap hari di simpang Taman Sri Mersing kerana persimpangan itu tidak dilengkapi lampu isyarat.


MERSING 3 Okt. - Penduduk Taman Sri Mersing di sini, terpaksa memperjudikan nyawa setiap hari ketika keluar masuk ke kawasan perumahan itu ekoran ketiadaan lampu isyarat di simpang tiga kawasan tersebut yang sering mengakibatkan kemalangan atau pertembungan kenderaan, terutamanya pada waktu puncak.

Salah seorang penduduk, Mohd. Nordin Salleh, 37, berkata, ketiadaan lampu isyarat menimbulkan kebimbangan, khususnya dalam kalangan pelajar dan remaja yang menunggang basikal dan motosikal.

"Simpang di Taman Sri Mersing itu menjadi laluan harian saya untuk ke kedai makan atau ke kedai berhampiran. Masalahnya, saya sukar untuk melepasi persimpangan ini kerana tidak dilengkapi lampu isyarat.

"Persimpangan ini merupakan laluan utama penduduk di taman ini yang berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau melakukan aktiviti harian lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Utusan Malaysia difahamkan, di persimpangan itu kerap berlaku kemalangan kecil melibatkan pertembungan kenderaan, selain motosikal sering terbabas kerana mengelakkan daripada dilanggar.

Seorang penduduk, Nora Ahmad, 38, pula memberitahu, baru-baru ini berlaku kemalangan di mana dua kereta bertembung sehingga berpusing di kawasan simpang itu.

"Mujurlah tiada nyawa yang hilang tetapi jangan sampai suatu hari nanti ada nyawa yang melayang di tempat itu, barulah pihak yang bertanggungjawab ingin mengambil tindakan," katanya.

Seorang pelajar, Amir Ahmad, 14, pula mengakui terpaksa melalui jalan di simpang tiga itu setiap hari untuk ke sekolah kerana tiada pilihan lain disebabkan ia adalah laluan utama, termasuk pengguna basikal.

"Saya harap pihak yang berkaitan segera membina lampu isyarat di simpang berkenaan demi kemudahan dan keselamatan pengguna," katanya lagi.

Kecewa murid dihalang duduki UPSR

Posted:

Kecewa murid dihalang duduki UPSR

Kecewa murid dihalang duduki UPSR

BAPA TERKILAN
Taman Setia Indah, Johor Bahru.

Saudara Pengarang,
SAYA kecewa apabila membaca berita beberapa pelajar tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Saya agak terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang mementingkan diri sendiri dengan tidak membenarkan pelajar yang 'lemah' menduduki peperiksaan atas alasan takut menjatuhkan prestasi sekolah.

Tindakan tersebut bukan sahaja akan menidakkan hak pelajar terlibat, malah hanya akan memberi kesan buruk terutama kepada masa hadapan pelajar itu sendiri.

Bagi saya, pihak sekolah tidak perlu takut pelajar yang lemah dalam pelajaran itu akan menjatuhkan prestasi sekolah, sebaliknya perlu berusaha membantu pelajar berkenaan.

Seandainya pihak sekolah sudah mengesan kelompok pelajar yang lemah itu dari awal lagi, mungkin mereka boleh memberi tumpuan yang lebih kepada pelajar berkenaan seperti mengadakan kelas tuisyen khas.

Mungkin jika belajar di dalam kelas guru tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada pelajar tertentu sahaja memandangkan jumlah pelajar yang ramai, namun dengan kelas tuisyen khas tersebut ia mungkin dapat membantu.

Justeru, saya berharap agar perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan termasuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan berlangsung nanti.

Seandainya perkara sama berulang, saya harap agar Kementerian Pelajaran mengambil tindakan tegas kepada Guru Besar dan Pengetua sekolah terbabit.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Lawatan Menteri Pengangkutan Singapura

Posted:

Lawatan Menteri Pengangkutan Singapura

Lawatan Menteri Pengangkutan Singapura

SINGAPURA 3 Okt. - Singapura dan Malaysia akan berbincang mengenai isu pengangkutan dan isu-isu lain apabila Menteri Pengangkutan Singapura, Lui Tuck Yew melawat Malaysia esok.

Lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Singapura.

Tuck Yew yang juga Menteri Kedua bagi Hal Ehwal Luar Singapura dijadual bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Selain itu, beliau juga akan bertemu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Menurut kenyataan tersebut, Singapura dan Malaysia mempunyai kerjasama baik dalam bidang pengangkutan, contohnya kedua-dua negara telah mengembangkan hubungan udara dan sedang bekerjasama menerusi projek sistem transit pantas (RTS) yang menghubungkan Singapura dan Johor Baharu.

Tuck Yew akan diiringi pegawai Kementerian Pengangkutan republik itu. - BERNAMA

Umat Islam perlu kuasai ilmu Sains

Posted:

Umat Islam perlu kuasai ilmu Sains

Umat Islam perlu kuasai ilmu Sains

Daripada YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

YALA, Thailand 3 Okt. - Umat Islam perlu menguasai dan meneroka pelbagai ilmu baharu terutama dalam bidang sains dan teknologi supaya mereka mampu bersaing dengan bangsa lain di dunia, seterusnya membina kembali ketamadunan umat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, umat Islam seharusnya menguasai semua cabang ilmu terutama bidang sains dan teknologi sekiranya tidak mahu ketinggalan di belakang, walaupun suatu ketika dahulu pernah menerokai pelbagai ilmu sehingga dicemburui oleh orang bukan Islam.

Beliau berkata, penguasaan ilmu juga dapat mengelakkan umat Islam dikuasai oleh emosi yang hanya mendorong manusia mengikut perasaan dalam tindak-tanduk mereka dan sekiranya tidak dibendung, boleh mencetuskan huru-hara serta membawa keadaan buruk.

Pada masa sama, Dr. Mahathir mengingatkan cendekiawan Islam supaya tidak pula menyalahgunakan ilmu mereka sehingga membawa kerosakan kepada masyarakat dan diri sendiri.

"Selain penguasaan ilmu, kita tidak harus lupa tentang ajaran agama kita yang memberi panduan kepada cara hidup orang Islam dan cara hidup itu adalah cara hidup yang terbaik. Ini bergantung bagaimana kita gunakan ilmu kita untuk membentuk satu masyarakat baik," katanya di sini, hari ini.

Beliau memberi ucapan perdana selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) dari Universiti Islam Yala (YIU) di sini. Anugerah disampaikan oleh Presiden Majlis Senat YIU, Wan Muhammad Nor Matha.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Thailand, Somchai Wong Sawad dan Rektor YIU, Dr. Ismail Lutfi Chapakeya.

Dalam ucapannya di hadapan lebih 1,000 tetamu jemputan, ahli Senat YIU, pensyarah dan penuntut universiti itu, Dr. Mahathir turut berkongsi kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara aman dan membangun walaupun mempunyai penduduk berbilang agama dan kerajaan diketuai oleh orang Islam.

"Walaupun pemerintahannya dikepalai oleh orang Islam, kita berpegang kepada pemerintahan adil yang dikehendaki oleh agama Islam. Justeru, kita dapati di Malaysia keadaan aman dan kerana keadaan itu, maka kita dapat bangunkan negara dengan lebih pesat dan berjaya.

"Walaupun terdapat sebuah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan bukan Islam, tetapi kita bekerjasama dalam kerajaan dan dapat menentukan keadaan dalam negara kita terus aman dan membangun dengan pesatnya.

"Ini adalah hasil ilmu yang dikuasai pemimpin di Malaysia, kerana ilmu membolehkan mereka membuat penilaian terhadap apa boleh dilakukan dan apa tak boleh dilakukan untuk mengelak huru-hara dalam negara," katanya.

Mengenai wilayah selatan Thailand, Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus bersyukur kerana secara umumnya hubungan antara Thailand dengan Malaysia adalah baik dan rapat.

"Saya juga amat berbangga melihat umat Islam di Thailand hidup dengan sempurna dan dapat juga mendirikan sebuah universiti Islam yang sudah tentu mendapat keizinan daripada kerajaan Thailand. Inilah kebebasan yang harus dihargai oleh kita," katanya.

Pada sidang media kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, Malaysia sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan dengan memperuntukan kira-kira 25 peratus belanjawannya untuk bidang tersebut, sehingga mampu menawarkan bidang pendidikan bukan sahaja untuk rakyat sendiri tetapi juga kepada warga asing. - Utusan

YIU anugerahkan Ijazah Kehormat kepada Dr. M

Posted:

YIU anugerahkan Ijazah Kehormat kepada Dr. M

YIU anugerahkan Ijazah Kehormat kepada Dr. M


Dr. Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) daripada Wan Muhammad Nor Matha di Universiti Islam Yala, Thailand, semalam.


YALA, Thailand 3 Okt. - Universiti Islam Yala (YIU) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai menghargai peranan besar beliau di peringkat antarabangsa.

Anugerah itu juga bagi menghargai sumbangan Dr. Mahathir dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga sehingga turut membanggakan umat Islam di seluruh dunia.

Anugerah tertinggi itu disampaikan oleh Presiden Majlis Senat YIU, Wan Muhammad Nor Matha pada majlis konvokesyen khas di universiti berkenaan yang dihadiri lebih 1,000 tetamu jemputan, ahli senat, pensyarah dan penuntut.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Thailand, Somchai Wong Sawad dan Rektor YIU, Dr. Ismail Lutfi Chapakeya.

Somchai dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Mahathir dan juga rakyat Malaysia amnya.

Beliau berkata, selain menjadi Perdana Menteri Malaysia yang berkaliber dan berjaya mengemudi Malaysia sebagai sebuah negara moden dan makmur, Dr. Mahathir juga merupakan tokoh pemimpin yang dihormati di persada antarabangsa terutama di negara Thailand dan ASEAN.

Katanya, kesudian Dr. Mahathir menerima ijazah kehormat daripada YIU merupakan tanda penghormatan tidak ternilai kepada warga Thailand.

"Ia juga tanda jalinan muhibah antara dua negara berjiran serta kerjasama intim ke arah membina pembaharuan di sudut pembelajaran dan pendidikan menuju kedamaian sejagat,'' katanya.

Beliau menambah, Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi bagi warga Thailand.

"Sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir telah banyak memberi peluang kepada anak-anak dari Thailand menyambung pelajaran mereka di setiap peringkat, demikian juga peluang pekerjaan dan hubungan ekonomi," katanya.

YIU ditubuhkan pada 1998, merupakan universiti Islam swasta pertama di Thailand hasil usaha gigih sekumpulan anak muda Islam, pemimpin masyarakat dan ahli politik yang menerima pendidikan daripada universiti tempatan dan luar negara.

Sebelum itu, ia dikenali sebagai Kolej Islam Yala sebelum dinaik taraf menjadi sebuah universiti oleh kerajaan Thailand pada 2007.

Ketika ini, terdapat lebih 3,000 penuntut termasuk 100 pelajar luar negara termasuk dari Malaysia, yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana dalam bidang agama, bahasa, sains sosial, sains teknologi dan pendidikan. - Utusan

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Dulu saintis, kini jual arowana

Posted:

Dulu saintis, kini jual arowana

Dulu saintis, kini jual arowana

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah.com.my


Mohd. Zalalnudin Latipi melihat ikan kelisa jenis Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana.


ALOR SETAR 3 Okt. – Ikan arowana atau lebih dikenali ikan kelisa merupakan antara ikan hiasan yang popular di negara ini sehingga harganya mencecah ribuan ribu ringgit.

Ikan kelisa amat digemari oleh kaum Cina kerana dipercayai membawa feng shui yang baik atau tuah kepada pemiliknya.

Kini peminat ikan itu tidak terhad kepada kaum Cina sahaja, malah kaum Melayu juga semakin berminat untuk membela ikan tersebut.

Bagi Mohd. Zalalnudin Latipi, 32, dia tidak menyesal kerana meninggalkan tugasnya sebagai seorang saintis di Sabah demi minatnya terhadap ikan itu.

Bermula dengan hobi dan minat yang mendalam terhadap ikan itu, dia kini menjadikan ikan tersebut sebagai sumber pendapatan tetapnya.

Bekas graduan dalam bidang sosiologi pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu mula meminati ikan kelisa sejak dari kecil lagi.

"Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini.

"Namun pada 2005, saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa," katanya ketika ditemui di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pada awal pembukaan kedai menjual ikan kelisa tersebut, dia menerima sambutan yang agak menggalakkan daripada peminat ikan kelisa di bandar raya in.

"Memang ramai peminat ikan ini yang menghabiskan masa berjam- jam di kedai semata-mata mahu melihat liuk lentuk ikan ini di dalam air.

"Ada juga peminat yang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu mendapatkan ikan kelisa yang mereka minati," ujarnya.

Jelasnya, dia mempunyai mempunyai dua kolam ikan kelisa di kawasan Bukit Merah bagi mendapatkan bekalan ikan-ikan kelisa untuk dijual di kedainya.

Mohd. Zalalnudin berkata, di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya.

Tambahnya, harga ikan kelisa tidak pernah jatuh malahan semakin meningkat jika ikan itu semakin membesar.

"Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya terutama dari segi harga yang semakin lama semakin bernilai.

"Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi daripada pemiliknya dan bagi mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan ini mereka boleh datang terus ke kedai saya," jelasnya.

1,160 mesin judi dirampas

Posted:

1,160 mesin judi dirampas

1,160 mesin judi dirampas

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my


CHIN Su Song (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian komputer dan mesin judi yang dirampas dalam serbuan di kafe siber sekitar daerah Kulim, Kedah, kelmarin.


KULIM 3 Okt. - Polis merampas sebanyak 1,160 unit komputer yang diubah suai menjadi mesin judi haram bernilai RM580,000 hasil serbuan yang dijalankan di seluruh daerah ini sejak awal tahun ini sehingga September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Chin Su Song berkata, rampasan itu membabitkan 519 serbuan yang dibuat di premis seperti kafe siber yang menjalankan aktiviti perjudian haram.

"Hasil serbuan itu juga, polis menahan seramai 164 orang iaitu pemilik, pekerja serta pengunjung pusat judi itu.

"Kebanyakan daripada mereka telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Sehubungan itu, Su Song memberi amaran kepada semua pengusaha pusat kafe siber supaya menjalankan perniagaan mereka mengikut peruntukan undang-undang.

"Kafe siber sepatutnya menawarkan perkhidmatan Internet dan sekiranya mana-mana premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian haram, kita akan mohon pihak berkuasa tempatan menarik lesen perniagaan mereka," tegasnya.

Beliau turut menyeru ibu bapa supaya mengawal anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan judi Internet.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti haram perjudian Internet diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4916999 bagi membantu siasatan.

724 anggota Rela Kedah naik pangkat

Posted:

724 anggota Rela Kedah naik pangkat

724 anggota Rela Kedah naik pangkat


MEHAT Ahmad (kiri) melepaskan peserta Kembara Rela di Serdang, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.


BANDAR BAHARU 3 Okt. - Seramai 724 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kedah dinaikkan pangkat secara berperingkat-peringkat mulai Sabtu lalu.

Pengarahnya, Kolonel Mehat Ahmad berkata, kenaikan pangkat itu dibuat berdasarkan pengalaman dan rekod perkhidmatan cemerlang mereka dalam menjaga kepentingan rakyat.

Katanya, majlis pemakaian pangkat berkenaan akan diadakan secara berperingkat-peringkat di setiap daerah mulai minggu ini.

"Kenaikan pangkat tersebut diharap dapat mengatasi masalah kekurangan pegawai di setiap daerah dan sekali gus memantapkan lagi operasi Rela negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan seramai 56 anggota dalam acara Kembara Merdeka Rela Daerah Bandar Baharu di Pekan Serdang dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan dan Pembantu Khas Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Roslan Abdul Ghani.

Sementara itu, Mehat berkata, sehingga kini, Rela negeri mempunyai kira-kira 107,000 ahli berdaftar terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, jumlah itu meningkat sebanyak 114 peratus berbanding hanya 50,000 orang pada dua tahun lalu.

"Kempen menambah keahlian telah dijalankan sejak awal tahun ini dan ia mencapai kejayaan memberangsangkan terutamanya peningkatan secara mendadak daripada kalangan masyarakat keturunan Cina dan India.

"Warganegara Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas dan sihat tubuh badan layak menyertai Rela dan keahliannya pula dilindungi insurans," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Taman Lokan gamit pelancong

Posted:

Taman Lokan gamit pelancong

Taman Lokan gamit pelancong

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my


ZAINAL Md. Ali menunjukkan lokan yang terdapat di Taman Lokan miliknya yang terletak di tebing Sungai Linggi-Rembau di Masjid Tanah, Alor Gajah.


ALOR GAJAH 3 Okt. - Sungai Linggi yang menjadi sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka bukan lokasi asing kerana selain mempunyai nilai sejarah sejak era Kesultanan Melayu Melaka, sungai itu juga sering menjadi buah mulut khususnya di kalangan kaki-kaki pancing.

Sungai Linggi juga boleh dikatakan cukup sinonim dengan udang galah atau nama jolokan 'si sepit biru' dan pelbagai spesies ikan sungai termasuk senangin, sembilang dan serkot.

Mengimbau kembali sejarah, Sungai Linggi yang bermula di pertemuan Sungai Rembau dan Sungai Linggi di sini, pernah menjadi laluan pedagang bijih timah pada abad ke-18.

Pernah dikaitkan dengan laluan yang digunakan oleh Hang Tuah semasa membawa puteri Tun Teja dari Pahang untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah.

Selain kisah sejarah, udang galah dan hidupan lain yang mengangkat nama Sungai Linggi, terdapat satu lagi keistimewaan yang mungkin belum diketahui umum iaitu sebuah kawasan yang dikenali sebagai Taman Lokan yang berada berada di tebing Sungai Linggi-Rembau.

Bagi yang pertama kali menyusuri sungai tersebut pasti tertanya-tanya apabila melihat papan tanda "Selamat Datang ke Taman Lokan" yang ditulis tangan.

Pastinya ramai yang beranggapan kawasan berkenaan adalah sebuah pusat rekreasi dan riadah.

Bagaimanapun, mereka pasti terkejut melihat hampir keseluruhan ruang di taman itu dihiasi dengan kulit lokan seperti Jalur Gemilang, bendera Melaka, logo 1Malaysia serta lorong pejalan yang turut menggunakan kulit lokan sebagai urutan kaki.

Tidak cukup dengan itu, terdapat dua kerusi yang diberi nama kerusi urut lokan yang dibuat khusus untuk merehatkan badan menggunakan kulit lokan sebagai pelapik duduk dan penyandar.

Walaupun Taman Lokan terletak jauh dari bandar raya ini, namun ia cukup terkenal di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Tidak hairanlah pelancong luar negara seperti Indonesia, Singapura, Australia, Pakistan, Bangladesh, England, Korea Selatan dan beberapa negara lagi kerap mengunjungi taman tersebut.

Lokan adalah spesies makanan laut yang tergolong dalam spesies kupang dan kepah yang menjadi salah satu makanan penduduk di negeri ini terutama yang tinggal di pesisir pantai Selat Melaka.

Kulitnya pula dijadikan salah satu produk pelancongan terbaru menjadi mercu tanda tarikan pelancong ke Kuala Linggi yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar raya ini.

Taman Lokan yang diilhamkan oleh bekas pesara tentera, Zainal Md. Ali, 59, berkonsepkan sebuah taman rekreasi dan bakal menjadi ikon baru Sungai Linggi-Rembau.

Di kawasan seluas 0.96 hektar yang dibuka pada 2007 bermula dengan hanya 20 lokan dibiakkan sebagai permulaan, kini jumlahnya hampir mencecah 4,000.

Biarpun Taman Lokan yang dibina hasil titik peluh Zainal tidak secantik taman rekreasi lain yang terdapat di negeri ini tetapi ideanya mewujudkan taman tersebut tetap menjadi tarikan pelancong.

Berkunjung ke taman ini, orang ramai berpeluang merehatkan badan sambil menikmati keindahan Sungai Linggi-Rembau yang penuh dengan hutan paya bakau, flora dan fauna.

Pada sebelah malam pula, mereka berpeluang melihat kelip-kelip sehebat di Kuala Selangor dan lain-lain tempat di negara ini.

Trek menggunakan kulit lokan pula dibina sepanjang 100 meter bertujuan sebagai urutan kaki dan jika berkesempatan boleh merasai buah nipah yang enak rasanya.

Di samping itu juga, pengunjung turut berpeluang menyusuri sungai Linggi serta memancing udang galah dan pelbagai spesies ikan air tawar dan laut kerana sampan turut disediakan.

Taman Lokan juga turut menyediakan penginapan inap desa yang cukup selesa bagi menghilangkan penat selepas seharian menjelajah kawasan tersebut.

Zainal mohon bantuan kerajaan negeri

Posted:

Zainal mohon bantuan kerajaan negeri

Zainal mohon bantuan kerajaan negeri


Seorang nelayan, Arshad Hamzah, menunjukkan udang galah yang menjadi antara tarikan bagi Sungai Linggi-Rembau selain pelbagai spesies hidupan sungai lain.


ALOR GAJAH 3 Okt. - Taman Lokan mampu menjadi produk baru pelancongan di negeri ini jika mendapat bantuan daripada kerajaan negeri terutamanya Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPPM).

Pengusahanya, Zainal Md. Ali, 59, berkata, taman tersebut tidak dapat menyediakan pelbagai infrastruktur berbanding taman rekreasi lain kerana kurang bantuan daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, taman tersebut perlu mendapat bantuan kerajaan negeri kerana ia semakin mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negara serta ahli akademik yang berminat membuat kajian mengenai lokan.

"Walaupun taman ini dibina dengan kos RM2,000 dengan menggunakan kayu hanyut untuk membuat jeti tetapi sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya daripada pelancong luar negara.

''Jika kerajaan negeri sedia membantu, saya yakin taman ini akan menjadi lebih terkenal kerana ia secara tidak langsung menjadikan Kuala Linggi dikenali oleh pelancong," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, sejak taman itu dibina, dia menganggap dirinya sebagai duta kecil yang mempromosikan Malaysia dan negeri Melaka.

Malah katanya, ada di antara pelancong luar negara yang datang merupakan pegawai tinggi kerajaan di negara berkenaan.

"Saya tunjukkan kepada pelancong luar mengenai keistimewaan negeri Melaka dan Sungai Linggi kerana di sini kita mempunyai pelbagai produk seperti makanan laut, hasil sungai, lokan, udang galah serta membawa mereka menyusuri sungai sambil melihat keindahan flora dan faunanya," ujarnya lagi.

Zainal yang berasal dari Ramuan China Besar, Masjid Tanah itu mengidamkan agar suatu hari Taman Lokan akan menjadi ikon kepada Sungai Linggi.

Lebih penting katanya, taman itu bakal muncul sebagai salah satu produk pelancongan negeri yang berdaya saing yang seterusnya mampu meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini.

Beroperasi secara haram

Posted:

Beroperasi secara haram

Beroperasi secara haram

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 3 Okt. - Sebuah hotel bertaraf tiga bintang dan dua buah restoran termasuk sebuah premis makanan segera antarabangsa dikesan menjalankan perniagaan secara haram sejak beberapa minggu lalu.

Selain beroperasi tanpa lesen perniagaan, premis tersebut terbabit turut didapati belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd. Yusof Hassan yang mendedahkan perkara itu dalam tinjauannya di tiga premis tersebut di sini baru-baru ini berkata, beliau terkejut bagaimana keadaan itu boleh berlaku.

"Saya dapati bahagian belakang salah sebuah restoran itu belum siap sepenuhnya tetapi sudah beroperasi walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih belum membuat sambungan bekalan ke tempat mereka.

"Semakan juga mendapati, ketiga-tiga premis ini masih belum mendapat CCC tetapi apa yang menghairankan ialah bagaimana mereka boleh mendapat bekalan air dan elektrik?" katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, perkara itu perlu dipandang serius kerana orang ramai seringkali akan menyalahkan MBMB sekiranya berlaku kejadian yang meragut nyawa atau kerugian seperti kebakaran dan sebagainya.

"Saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat teknikal MBMB dalam tempoh terdekat ini bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik premis terbabit," katanya.

Menurut Mohd. Yusof, pemeriksaannya itu juga mendapati sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang beroperasi di Taman Melaka Raya di sini sejak tiga bulan lalu sudah dikenakan 30 kompaun oleh MBMB kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Katanya, kompaun bagi kesalahan sama pernah dikenakan terhadap pemilik restoran makanan segera di Cheng, kerana turut beroperasi walaupun belum mendapat lesen perniagaan sejak tiga minggu lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Elak guna ubat tidak berdaftar

Posted:

Elak guna ubat tidak berdaftar

Elak guna ubat tidak berdaftar

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankb@utusan.com.my


MOHD. Hatta Ahmad (dua dari kanan) melancarkan Album Dikir Farmasi Jom Guna Ubat Berdaftar di Kota Bharu, baru-baru ini. - UTUSAN/ROSNI MASRI


KOTA BHARU 3 Okt.- Orang ramai diingatkan lebih berhati-hati memilih ubat-ubatan dan produk makanan tambahan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana dikhuatiri mengandungi kandungan yang berisiko kepada manusia.

Lebih membimbangkan apabila sebahagian pengusaha kini giat menukar makanan tambahan tersebut kepada bentuk minuman.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Mohd. Hatta Ahmad yang memberitahu, peralihan produk makanan itu bagaikan trend apabila pengusaha dan pengilang berlumba-lumba mengeluarkan produk dalam bentuk kopi, teh, minuman berasaskan susu, kolagen dan gula-gula yang dianggap lebih komersial.

''Pengalihan ini seperti memanipulasikan pengguna kerana pengusaha turut mendakwa, produk makanan tambahan dalam bentuk minuman itu berupaya merawat dan mencegah penyakit.

''Situasi ini wujud disebabkan perundangan terhadap pengilangan, pengedaran, penjualan ubat-ubatan yang memerlukan prosedur ketat untuk berdaftar dengan KKM menyebabkan wujud pengusaha yang mengalihkan pasaran ubat-ubatan dalam bentuk minuman dan makanan kesihatan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Farmasi dan pelancaran Album Dikir Farmasi Jom Guna Ubat Berdaftar di Pasar Raya KB Mall di sini, baru-baru ini.

Beliau menambah, melalui trend terbaru itu, pihak yang tidak bertanggungjawab itu telah mencampurkan produk-produk tersebut dengan bahan-bahan ubat terkawal, seperti bahan aktif perangsang seks lelaki, bahan aktif mengurangkan selera makan atau pelangsingan wanita dan bahan anti inflamatori yang memudaratkan pengguna.

Kegiatan tersebut katanya, sentiasa dipantau oleh pihaknya kerana ubat-ubatan dan produk makanan tambahan tersebut tidak memberi kesan kepada si pemakan, malah pengeluar atau pengilang juga berhadapan risiko ditahan pihak berkuasa.

''Pada tahun lalu, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM telah merampas 24,852 produk (ubat-ubatan) tidak berdaftar yang bernilai RM21.6 juta termasuk perangsang seks dan pelangsingan tubuh wanita.

''Daripada jumlah tersebut, hanya RM2 juta sahaja nilai ubat moden yang dirampas manakala selebihnya terdiri daripada ubat-ubatan berasaskan tradisi dan herba," katanya.

Katanya, walaupun kegiatan tersebut tersembunyi di sebalik minuman seperti teh atau kopi dengan promosi dan pembungkusan yang kreatif, namun ia berjaya dikesan penguat kuasa.

''Melalui risikan dan serbuan yang dilakukan, statistik rampasan menunjukkan kegiatan berkaitan masih berterusan. Misalnya di Kelantan, pada tahun lalu, sebanyak RM5,923 racun perangsang seks dan RM2,040 racun pelangsing badan dirampas.

''Walaupun jumlah rampasan racun perangsang seks tersebut berkurangan daripada nilai rampasan pada tahun 2009 iaitu sebanyak RM34,956 namun orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan," katanya.

Menurutnya, kawalan ke atas produk farmaseutikal dan produk makanan dan minuman yang dicampur palsu dengan dadah atau ubat terkawal disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

''Sabit kesalahan boleh didenda RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu dan denda RM50,000 bagi syarikat," katanya.

Tindakan penguatkuasaan sahaja katanya, tidak mampu membanteras kegiatan pengimportan, penjualan, pengilangan ubat-ubatan tidak berdaftar selagi adanya permintaan daripada pengguna.

''Mengukuhkan lagi strategi jabatan dan meningkatkan kesedaran pengguna ke atas penggunaan ubat yang berdaftar, cawangan pencegahan dan kesedaran pengguna ditubuhkan.

''Ia bertujuan menyelaras aktiviti pendidikan termasuk pameran, ceramah mengenai ubat-ubatan tidak berdaftar yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai ubat yang selamat, berkualiti dan berkesan," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Mohd. Kamil Hasan yang turut sama ada majlis tersebut berkata, dalam serbuan yang dilancarkan oleh cawangan Penguat kuasa Farmasi pada tahun lalu, 68 serbuan dilakukan dengan hasil rampasan sebanyak RM1.07 juta.

RM8.5j bina jambatan Sg. Pinang

Posted:

RM8.5j bina jambatan Sg. Pinang

RM8.5j bina jambatan Sg. Pinang

Oleh SAPPE MAT JUNUS
utusanterengganu@utusan.com.my


Jambatan Sungai Pinang di Kemaman yang tergendala lebih sedekad lalu bakal disambung proses pembinaannya tidak lama lagi.


KEMAMAN 3 Okt. - Setelah lebih sedekad tergendala, kerajaan negeri akan meneruskan projek pembinaan jambatan Sungai Pinang dekat sini bagi kemudahan 20,000 orang penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan Pusat meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta bagi menyiapkan jambatan penghubung untuk penduduk beberapa buah kampung termasuk Air Putih dengan bandar Cukai.

Bercakap kepada pemberita semalam semasa melawat beberapa buah kampung sekitar yang dilanda banjir kilat baru-baru ini, beliau berkata, pembinaannya akan dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut Ahmad, jambatan berkenaan penting kerana laluan utama penduduk Air Putih ke bandar Cukai sering terputus setiap kali banjir berlaku dan menyukarkan perhubungan.

"Saya dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya bahawa berlaku sedikit kesilapan teknikal termasuk dari segi reka bentuk semasa pembinaan jambatan itu dahulu dan ia telah menyebabkan masalah lain yang lebih serius sehingga tergendala terlalu lama," ujarnya.

Menurut Ahmad, sebelum projek itu dimulakan 10 tahun lalu, pihaknya telah mengemukakan pandangan termasuk dari segi reka bentuk jambatan itu tetapi ia tidak diterima.

"Kita berharap pihak berkenaan dapat menerima pandangan peringkat setempat dalam merencanakan projek pembangunan, apatah lagi ia melibatkan kos yang besar, agar tidak berlaku pembaziran," ujarnya.

Ahmad berkata, kerajaan juga bercadang meninggi dan menaik taraf jalan antara Kampung Paya Pamam yang menghubungkan jambatan berkenaan kerana ia sering ditenggelami air.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, apabila jalan itu ditinggikan, ia akan menjadi laluan alternatif penduduk dari Kampung Air Putih dengan menggunakan jalan Mardi Pasir Gajah ke Ibok untuk ke bandar Cukai.

''Jalan ini dapat digunakan penduduk sekitar Kampung Air Putih, Pasir Gajah, Seberang Tayur dan Dadong sementara menunggu pembinaan jambatan Sungai Pinang siap dalam tempoh dua tahun lagi,'' katanya.

Cadang wajib hadiri program bulan madu

Posted:

Cadang wajib hadiri program bulan madu

Cadang wajib hadiri program bulan madu


MAZLAN Ngah (tiga dari kanan) dan Mohd. Shafaruddin Mustaffa (empat dari kiri) bersama kakitangan YPKT yang cemerlang pada majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YPKT di Kuala Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 3 Okt. - Kakitangan kerajaan negeri mungkin diwajibkan menyertai Program Bulan Madu Kedua (PBMK) anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi membantu mengukuhkan institusi keluarga.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah meminta agensi itu mengemukakan kertas kerja lengkap mengenai keberkesanan program seumpama itu untuk dibawa dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kita memang mengalu-alukan program seperti ini apatah lagi melibatkan kakitangan kerajaan negeri. Jadi YPKT perlu mengadakan perbincangan yang lebih mendalam jika mahu melaksanakan cadangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009/2010 dan Pelancaran MS ISO 9001:2008 YPK di sini, petang semalam.

Hadir sama Pengarah YPK, Mohd. Shafaruddin Mustaffa dan timbalannya, Toh Puan Zaimah Abdul Aziz.

Mazlan menyatakan demikian ketika mengulas saranan Mohd. Shafaruddin agar kerajaan negeri mewajibkan kakitangan kerajaan yang usia perkahwinan mereka lima tahun ke bawah menyertai PBMK.

Mohd. Shafaruddin berkata, ia dapat menyelamatkan institusi keluarga terutamanya bagi pasangan yang usia perkahwinan belum mencecah lima tahun dan masalah mereka memberi kesan kepada mutu perkhidmatan.

Katanya, dalam tempoh itu banyak berlaku penceraian ekoran pasangan tidak mampu menyesuaikan diri melalui alam baru perkahwinan.

"Kita berharap dapat mengurangkan jumlah penceraian di negeri ini kerana sehingga kini terdapat seramai 17,000 orang ibu tunggal dan kebanyakan mereka masih muda.

"Melalui usaha secara berterusan, PBMK ini dapat turut membantu mengatasi masalah yang dialami pasangan pada peringkat permulaan agar ia tidak berlarutan sehingga membawa kepada penceraian," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AJA EQS Certification (M) Sdn. Bhd, Jacqueline Francis menyerahkan sijil ISO 9001:2008 kepada kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Mazlan turut menyampaikan penghargaan berupa sijil, wang tunai sebanyak RM1,000 dan insentif lawatan kepada seramai 80 kakitangan YPKT yang cemerlang.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved