Jumaat, 30 September 2011

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Fah Shiun ‘sifu’ chef muda

Posted:

Fah Shiun 'sifu' chef muda

Fah Shiun 'sifu' chef muda

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar ABDUL RAZAK LATIF


Tong Fah Shiun (kanan) tidak jemu-jemu memberi tunjuk ajar kepada chef muda seperti Syed Nor Aidid.


BERBEZA agama dan bangsa bukan halangan bagi Ketua Chef di Restoran My Chef, Tong Fah Shiun dan Sous Chef, Syed Nor Aidid membina hubungan rapat di antara satu sama lain.

Malah kedua-duanya turut berkongsi hobi dan kerjaya yang sama iaitu memasak.

Tong Fah Shiun berkata, sebagai seorang chef yang berpengalaman sudah tentu dia memerlukan seorang pembantu yang boleh dipercayai.

"Ketika bekerja saya tidak pernah anggap yang pembantu saya sebagai seorang pembantu kerana bagi saya lebih mudah untuk kita bekerjasama jika kita anggap dia seumpama saudara kita.

"Apabila kita rapat sudah tentu ia akan melancarkan lagi kerja-kerja seharian lebih-lebih lagi jika bekerja dalam bidang masakan seperti saya," katanya ketika ditemui di restoran My Chef, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi ilmu masakan

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan, Fah Shiun sentiasa terkenang pengalaman lalu ketika beliau bersama 'sifu' (guru) masakannya.

"Hubungan antara 'sifu' dan 'perantis' ini umpama roda dan ia sentiasa berubah-ubah. Kalau dulu orang banyak mengajar saya kini sudah tiba masanya untuk saya mengajar orang lain pula agar ilmu yang ada pada saya semakin berkembang dan boleh disampaikan kepada generasi baru.

"Selain itu sebagai chef juga kami perlu menjaga hubungan di antara satu sama lain kerana ia pastinya memudahkan kita bekerja dalam satu kumpulan," jelasnya.

Sebagai chef paling berpengalaman di restoran itu, Fah Shiun umpama 'sifu' bertanggungjawab mengajar chef-chef muda cara memasak dengan betul.

"Saya mula bekerja dalam bidang ini sejak berusia 15 tahun lagi iaitu selepas tamat tingkatan tiga.

"Pada masa itu, keluarga saya susah dan saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan bekerja di restoran. Kini siapa sangka saya boleh jadi salah seorang ketua chef yang terdapat di Malaysia.

"Sebab itu saya faham apa yang dirasai orang lain dan bila ada tenaga baru masuk ke dapur saya pasti akan memberi tunjuk ajar kepada mereka.

"Kalau mereka hendak menambah sesuatu dalam resipi masakan saya tidak pernah menghalang tetapi dia perlulah tahu apa yang dia masak agar rasa keaslian masakan tersebut dapat dikekalkan," ujarnya.

Sementara itu sebagai salah seorang 'anak didik' Fah Shiun, Syed Nor Aidid mengakui 'sifu'nya itu sentiasa membantunya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke bahagian dapur.

"Pada hari pertama saya bekerja dalam bidang masakan, saya hanya tahu cara-cara masakan yang mudah tetapi dengan tunjuk ajar Chef Fah Shiun kini saya mahir dalam pelbagai bidang masakan termasuk masakan Thai," katanya.

Sebagai seorang chef yang baru, beliau perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh agar dapat meningkatkan lagi kemahiran yang dimiliki.

"Saya bersyukur mempunyai seorang ketua yang memahami perasaan anak buahnya dan melalui tunjuk ajarnya banyak yang telah saya pelajari.

"Saya bukan sahaja belajar cara-cara bekerja malah saya turut mempelajari cara-cara untuk menghormati seorang ketua dan rakan setugas dengan lebih baik.

"Selain itu, hubungan kami dengan pekerja lain juga semakin bertambah baik kerana banyak yang boleh dipelajari di antara satu sama lain selain berkongsi masalah yang dihadapi," jelasnya.

Salikin cari jodoh sekampung

Posted:

Salikin cari jodoh sekampung

Salikin cari jodoh sekampung

Oleh MERAN ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Bersama-sama dua daripada tiga cahaya mata, Ajwa Saleha (kiri) dan Asila Sofia.


BANYAK bersabar merupakan kunci kepada kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga pereka fesyen tradisional tersohor tanah air Salikin Sidek.

Berkat kesabaran juga, rumahtangga yang dibina bersama-sama isteri tersayang, Anita Anuar, 37, kini telah memasuki tahun ke 10.

Salikin yang ditemui di kediamannya di Setiawangsa berkata, sebagai seorang ketua keluarga, si suami perlu banyak bersabar dan bersikap matang. Perkara-perkara remeh jangan disimpan di dalam hati dan jika berkecil hati pun lupakan sahaja.

Ini kerana akibat perkara yang remeh dan tidak penting, seseorang itu memendam rasa dan lama-kelamaan meledak dan timbullah ungkit mengungkit.

Salikin yang berasal dari Kluang, Johor bertemu jodoh dengan Anita yang berasal dari Sri Medan, Batu Pahat setelah dua kali gagal bercinta.

Pertemuan di kilang batik milik seorang rakannya menemukan Salikin dengan Anita yang boleh dikatakan sebagai cinta pandang pertama. Mereka kemudian mengikat tali pertunangan selama dua tahun sebelum diijabkabulkan pada 11 Februari 2002.

''Saya memang mencari bakal isteri yang sekampung kerana ibu saya sudah tua dan mudah bagi kami untuk selalu menjenguk ibu dan kakak-kakak saya. Anita pula kebetulan sekampung dengan datuk saudara saya yang merupakan seorang pengusaha lombong besi dan amat dikenali di kampung sebagai Haji Denan Sri Medan.

''Perkahwinan saya dan Anita merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan saudara-mara sebelah datuk saudara saya,'' ujar Salikin yang merupakan pereka Malaysia pertama yang membawa fesyen etnik Malaysia ke persada antarabangsa.

Menurut penulis buku Busana Fesyen Tradisional dan Busana Pengantin ini, apa yang membuatkan beliau jatuh hati dengan Anita ialah sikap wanita itu yang jujur, lemah-lembut dan memiliki sifat kesabaran yang tinggi.

Perkahwinan mereka diadakan secara besar-besaran di kampung Salikin dan Anita dengan dibantu oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Sememangnya perkahwinan Salikin amat dinantikan oleh penduduk kampung.

Bunga pahar pelbagai warna yang dicucuk pada batang pisang setinggi lapan kaki memeriahkan majlis.

Salikin berkata, beliau masih teringat pada hari persandingannya, beliau dan Anita mengenakan persalinan songket rekaan sendiri berwarna pucuk pisang.

Salikin dan Anita dikurniakan tiga orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua orang perempuan, iaitu Ariq Siddiq, sembilan tahun, Asila Sofia, tujuh tahun dan Ajwa Saleha, lima tahun.

Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak diserahkan kepada isterinya yang bijak menguruskan mereka sementara Salikin sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga.

''Kasih sayang akan hilang tanpa wang ringgit begitu juga sebaliknya. Kami berbincang akan peranan masing-masing dan kami setuju dengan tanggungjawab kami,'' kata Salikin yang tidak mengupah pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah.

Sementara itu, Anita yang pendiam dan nampak pemalu berkata, beliau menerima dengan reda jodohnya dengan Salikin dan amat menghormati suaminya. Selain itu, sikap Salikin yang bertanggungjawab kepada keluarganya dan pandai mengambil hati orang tua menambat hatinya.

Bertanya padanya apa yang tidak disukai oleh Salikin, kata Anita, suaminya itu amat mengutamakan kebersihan, tidak suka melihat rumah berselerak dan anak-anak tidak boleh dibiarkan bebas.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Loji rawatan air tidak cukup

Posted:

Loji rawatan air tidak cukup

Loji rawatan air tidak cukup

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. memaklumkan, masalah kekurangan bekalan air bersih di Lembah Klang yang dijangka berlaku pada tahun 2014 adalah berpunca daripada kekurangan loji rawatan air mentah.

Pengarah Eksekutif Projek Syabas, Sanusi Sulieman berkata, selagi projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 1 yang berkapasiti 1,130 Juta Liter Sehari (JLH) tidak dibina, masalah kekurangan bekalan air bersih pasti akan berlaku.

Menurutnya, mendapatkan bekalan air mentah bukan isu yang perlu dibimbangkan kerana kerajaan telah menyedari masalah itu dan sudah mula mengambil langkah untuk mengatasinya.

"Kerajaan Persekutuan telah pun mengenal pasti perkara itu dan melaksanakan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor tetapi masalahnya ialah kita tidak mempunyai loji rawatan air yang mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Meja Bulat Tahap Serius Isu Bekalan Air Di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Forum Air Malaysia, Mohd. Yusof Abd. Rahman, Naib Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ir. V. Subramaniam dan Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sumber Air, Jabir Kardi.

Mesyuarat tersebut bertujuan menerangkan kepada pengguna mengenai situasi bekalan air di Lembah Klang dan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada mereka untuk dijadikan memorandum dan diserahkan kepada pihak yang berkaitan.

Sanusi berkata, Loji Rawatan Air Langat 2 merupakan komponen utama bagi projek pemindahan air tersebut dan jika tidak disiapkan mengikut jadual, kemungkinan untuk berlaku kekurangan bekalan air bersih di Lembah Klang adalah tinggi.

"Dengan rezab kapasiti bekalan air yang kurang dan projek pemindahan air yang masih belum siap, isu bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya jauh dari penyelesaian," katanya.

Depot bas tiada kelulusan - MBSA

Posted:

Depot bas tiada kelulusan - MBSA

Depot bas tiada kelulusan - MBSA

SHAH ALAM 30 Sept. - Operasi sebuah depot bas di kawasan lapang bersebelahan Kompleks Belia di Seksyen 7 di sini tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Malah, Pegawai Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, setakat ini, tiada sebarang permohonan dikemukakan oleh pihak terbabit untuk menjalankan operasi depot bas meskipun kebenaran telah diperoleh daripada pemilik tapak terbabit.

Menurutnya, tindakan pengurusan syarikat bas tersebut meletakkan kontena di kawasan tersebut juga menyalahi undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tempatan itu di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Sekiranya syarikat bas tersebut mendapat kebenaran daripada pemilik tanah berkenaan, itu tidak bermakna ia boleh beroperasi termasuk menjalankan aktiviti keluar masuk bas di kawasan berdekatan dengan sekolah dan perumahan.

"Jadi, kita sudah meminta pihak terlibat agar mengalihkan kontena mereka dari kawasan tersebut kerana ia tidak diluluskan oleh MBSA," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai sebidang tanah kosong di hadapan Sekolah Menengah Seksyen 7 di sini yang dijadikan depot bas oleh sebuah syarikat sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati penduduk sekitar.

Mereka hairan bagaimana depot itu boleh dibenarkan beroperasi di kawasan yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan sekolah.

Rata-rata penduduk melahirkan rasa tidak puas hati kerana dalam pelan pembangunan kawasan itu semasa mereka mahu membeli rumah di situ, tidak dinyatakan kawasan tersebut akan dibina sebuah depot pengangkutan awam.

Shahrin berkata, MBSA juga telah mengarahkan pengurusan Kompleks Belia yang merupakan pemilik tapak berkenaan agar segera meminta syarikat berkenaan mengosongkan kawasan tersebut ekoran tiada kebenaran sah diberikan untuk operasi depot bas.

"Malah tindakan syarikat bas tersebut meletakkan bas milik mereka di tepi lot-lot kedai di kawasan berhampiran sebelum ini juga menyalahi undang-undang," katanya.

Polis percaya kejadian tembak bermotif dendam

Posted:

Polis percaya kejadian tembak bermotif dendam

Polis percaya kejadian tembak bermotif dendam

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Polis percaya kejadian tembakan ala gangster menyebabkan seorang penarik kereta cedera di Jalan Metro Prima, Kepong, kelmarin, bermotifkan dendam antara dua kumpulan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, walaupun polis masih belum mendapat sebarang petunjuk berhubung kes itu, namun siasatan awal menunjukkan terdapatnya unsur dendam.

Katanya, polis juga masih belum memberkas suspek yang telah melepaskan 12 das tembakan ke arah mangsa itu di sebuah kedai.

"Kita masih belum menerima maklumat yang boleh membantu malah tiada maklum balas daripada mangsa yang sedang dirawat di hospital kerana keadaannya belum lagi stabil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Ketenteraman Awam Kuala Lumpur daripada Pemangku Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Hamid Mohd. Ali kepada ACP Mohd. Fuzi Zaman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang, seorang penarik kereta berusia 43 tahun cedera selepas ditembak dua lelaki yang bersenjatakan sepucuk pistol di Jalan Metro Prima, Kepong di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis juga memburu lima suspek yang dipercayai melarikan diri setelah gagal menyamun rumah seorang pegawai polis berpangkat Supritendan di Taman Tun Dr. Ismail, di sini malam kelmarin.

"Seorang daripada suspek telah ditembak mati oleh pegawai polis itu dan kami percaya seorang lagi turut terkena tembakan.

"Sehingga kini, kita telah menghubungi hospital berdekatan namun masih belum ada maklumat yang boleh membantu," katanya.

Sementara itu, Mohmad Salleh berkata, sejumlah 657 anggota polis berpangkat Lans Koperal di IPK Kuala Lumpur akan dinaikkan pangkat kepada Koperal secara berperingkat, tidak lama lagi.

"Sebanyak 656 telah dinaikkan pangkat dan selebihnya sedang menunggu masa untuk menerima kenaikan pangkat secara automatik.

"Saya merasakan ini adalah antara ganjaran yang amat baik sekali yang dilihat mampu menambah kecemerlangan prestasi para anggota polis," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pertandingan esei capai matlamat

Posted:

Pertandingan esei capai matlamat

Pertandingan esei capai matlamat

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my


TOSRIN Jarvanthi (tengah) bergambar bersama pemenang dan penaja Pertandingan Hadiah Esei Kemerdekaan 1Malaysia di Dewan Kompleks Nusa Mutiara, Johor Bahru, baru-baru ini. – utusan/BAAZLAN IBRAHIM


JOHOR BAHRU 29 Sept. – Semuanya bermula dengan sesi lampas otak mencari aktiviti paling sesuai sebagai pengisian kepada golongan belia di negeri ini bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada bulan puasa lalu.

Selepas puas memerah minda, akhirnya Gerakan Belia 4B Malaysia Johor bersama Utusan Malaysia Biro Johor sepakat menganjurkan pertandingan esei yang dilancarkan pada 15 Ogos lalu bagi menterjemah semangat kemerdekaan dan turut membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah.

Sepakat dengan nama Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia, ia turut mendapat kerjasama Fargoes Books Sdn. Bhd. (Fargoes) dan Mutiara Smart Computing Sdn. Bhd. (MSCSB) yang mana masing-masing menaja buku-buku dan komputer riba sebagai hadiah pertandingan.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori A (Terbuka Belia), Kategori B (Pelajar Sekolah Menengah) dan Kategori C (Murid Sekolah Rendah) dengan setiap kategori meletakkan dua tajuk esei untuk dihuraikan oleh peserta.

Pertandingan yang sebenarnya mengambil tempoh sebulan sehingga 16 September bersempena Hari Malaysia, akhirnya terpaksa dilanjutkan sehingga pukul 4 petang 20 September atas permintaan ramai dengan rekod penyertaan lebih 500 orang.

Sepanjang 34 hari tempoh penyertaan, sambutan daripada orang ramai terutama belia, penuntut universiti dan sekolah sangat menggalakkan, malah ada sesetengahnya datang dari satu keluarga yang mana ibu bapa atau anak turut serta dalam pertandingan ini.

Menerusi siri jelajah dan penerangan oleh Pengerusi Gerakan Belia 4B Johor, Syahrin Md. Jamaludin bersama barisan kepimpinan persatuan belia tersebut ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai diikuti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, telah berjaya menarik minat mahasiswa untuk turut serta.

Lebih meriah apabila tiga hari menjelang sambutan kemerdekaan, pelakon terkenal Wan Maimunah Wan Abdul Aziz dilantik menjadi duta Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia dalam satu majlis meraikan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di Kempas.

Sejumlah 20 buah sekolah menengah dan rendah turut serta dengan memilih sendiri peserta di kalangan pelajar dan murid masing-masing sementara penyertaan perseorangan dibuat selepas mendapat hebahan berita serta iklan mengenai pertandingan ini di akhbar Utusan Malaysia.

Malah, ia turut menarik minat kelab, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila 50 orang ahli Kelab Berkereta Royal Star Motorsport berminat mencuba nasib dengan menyertai pertandingan tersebut.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia yang diadakan Sabtu lalu di Kompleks Nusa Mutiara, Tebrau menyaksikan Mohd. Azuwan Ahzani, 16, muncul sebagai juara Kategori B.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Felda Bukit Besar, Kulaijaya, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, komputer riba, buku dan sijil penyertaan.

Bagi Kategori C, Ahmad Iqbal Daniel Azri, murid darjah lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Rinting, Tampoi muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM500, komputer riba, buku dan sijil penyertaan.

Kategori A pula diungguli seorang pegawai kewangan swasta, Noryahani Abdul Ghani, 36, dari Johor Bahru yang meraih wang tunai RM1,500, komputer riba dan sijil penyertaan namun tidak dapat hadir kerana urusan kerja di Vietnam.

Majlis yang digabungkan dengan Rumah Terbuka Aidilfitri Gerakan Belia 4B Johor turut dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai dan kunjungan daripada Ahli Parlimen Tebrau, Teng Boon Soon.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Penerangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tosrin Jarvanthi; Pengerusi Gerakan Belia 4B Johor, Syahrin Md. Jamaludin dan Ketua Biro Utusan Malaysia Johor, Luqman Haziq Abdullah.

Ibu, anak sama-sama naik pentas menang esei

Posted:

Ibu, anak sama-sama naik pentas menang esei

Ibu, anak sama-sama naik pentas menang esei


S. Tilagawathi (tengah) dan P. Kaanchana (kiri) bersama keluarga selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia di Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 29 Sept. - S. Tilagawathi, 36, dan P. Kaanchana, 10, adalah antara yang menarik perhatian ramai apabila pasangan ibu dan anak perempuan ini menaiki pentas dengan memakai pakaian tradisional India untuk sesi bergambar pemenang-pemenang Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia di sini, baru-baru ini.

Anak beranak berasal dari Bandar Seri Alam ini pulang dengan hati girang selepas Tilagawathi berjaya mendapat tempat kedua yang membolehkannya membawa pulang RM1,000, komputer riba dan sijil, sementara Kaanchana mendapat hadiah sagu hati.

Tilagawathi yang merupakan usahawan perabot berkata, dia sendiri tidak menyangka begitu bertuah mendapat tempat kedua kerana penyertaan dihantar pada hari terakhir pertandingan selepas ia dilanjutkan daripada 16 September kepada 20 September.

"Saya terperanjat kerana pada awalnya anak saya yang dihubungi kerana mendapat hadiah sagu hati, kemudian barulah saya menerima panggilan yang menyatakan saya pula mendapat tempat kedua kategori belia.

"Saya tergerak untuk turut serta kerana tertarik dengan program yang dianjurkan dan kerana ada kategori sekolah rendah, maka saya mengajak Kaanchana untuk turut serta," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia di Kompleks Nusa Mutiara di sini Sabtu lalu.

Bagi Kaanchana, dia tetap berasa teruja menaiki pentas untuk menerima hadiah sagu hati kerana ia tetap satu pengiktirafan kepada esei yang ditulisnya.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2 ini berkata, ajakan ibunya untuk turut serta menyertai pertandingan ini juga dapat memperkukuh penguasaannya dalam subjek penulisan Bahasa Melayu.

"Ada juga kawan-kawan lain yang masuk (pertandingan ini) tetapi saya seorang saja yang sampai ke peringkat mendapat hadiah sagu hati. Tahun depan kalau buat lagi saya akan hantar penyertaan baru dengan esei lebih baik," katanya lagi.

Sementara itu, Norazizah Samiun, 43, ibu kepada pemenang tempat kedua kategori murid sekolah rendah, Fazuan Ammar Azman, berkata, mereka sekeluarga sanggup turun dari Muar kerana walaupun sebagai suri rumah, penulisan adalah bidang yang digemarinya.

"Saya sendiri menggalakkan anak-anak menulis kerana usaha memupuk kemahiran ini penting selain turut dapat menjana semangat menambah ilmu pengetahuan melalui membaca untuk mencari bahan," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Jangan berselindung - PM

Posted:

Jangan berselindung - PM

Jangan berselindung - PM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan FAUZI JAAFAR
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak bersama sebahagian daripada 10,000 ahli ekonomi dan peniaga Melayu serta mahasiswa menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, malam tadi. - Bernama


SERDANG 29 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Melayu abad ke-21 tidak boleh berselindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Sebaliknya, beliau berkata, kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada keyakinan diri, keupayaan serta kebolehan kaum Melayu pada abad tersebut.

Sehubungan itu, beliau mahu orang Melayu pada abad ini melakukan perubahan dalam konteks meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka mampu bersaing.

"Inilah cabaran oleh orang Melayu pada abad ke-21. Sekiranya kita mahu orang Melayu yang bermaruah dan terhormat, kita tidak boleh berselindung tetapi kita perlu ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

"Kerana kita ada kelebihan dan inilah ciri-ciri Melayu abad ke-21 iaitu Melayu yang berjaya yang bukan dilindungi kerajaan tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri di tapak Ekspo Pertanian Malaysia di sini malam ini.

Majlis pelancaran MTEM dihadiri kira-kira 10,000 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seluruh negara.

MTEM merupakan sebuah platform untuk NGO ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara.

Perdana Menteri berkata, realitinya cabaran abad ke-21 amat hebat dan mahu tidak mahu orang Melayu perlu menghadapinya dengan persediaan secukupnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang Melayu abad ke-21 perlu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan sedia ada kerana masa depan mereka berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sekarang.

"Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak kaum lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.

"Sebagai contoh apabila kerajaan memutuskan projek transit aliran massa (MRT), kita putuskan 43 peratus daripada projek ini kita berikan kepada usahawan Melayu dan bumiputera," ujarnya.

Beliau menambah, sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak dengan bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan kaum itu dapat diketengahkan secara lebih baik.

"Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang bangkit dan bertindak sebagai barisan depan dalam menuntut apa yang perlu bangsa kita miliki," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang juga Pengerusi MTEM, Syed Ali Alattas dan Pengerusi penganjur, Rizal Faris Mohaideen Abdul Kader.

297 terima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011

Posted:

297 terima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011

297 terima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011


Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota membawa gelaran Tan Sri kepada Dr. Ridzwan Abu Bakar di Istana Melawati, Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 29 Sept. - Pakar Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Tan Sri Dr. Ridzwan Abu Bakar mengetuai senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2011 yang menerima anugerah masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Melawati di sini hari ini.

Beliau adalah penerima tunggal Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri, yang dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Jun lepas.

Lima yang lain adalah penerima Darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk, terdiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Kelantan, Datuk Siti Jeliha Hussin, Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Prof. Datuk Dr. Abdul Kadir Taib, bekas Panglima 4 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Rosli (B), Anggota Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk M. Munusamy dan Pengurus Sukan, Majlis Sukan Negara Malaysia, Datuk M. Magendran.

Empat lagi menerima Darjah Johan Mangku Negara, manakala pendakwah Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah adalah antara tujuh penerima Darjah Johan Setia Mahkota.

Selain itu, seorang menerima Darjah Johan Setia Diraja, 63 menerima Darjah Kesatria Mangku Negara, 103 menerima Darjah Ahli Mangku Negara dan 113 lagi menerima Pingat Pangkuan Negara. - BERNAMA

Najib ziarah jenazah anggota polis pengiring

Posted:

Najib ziarah jenazah anggota polis pengiring

Najib ziarah jenazah anggota polis pengiring


Najib Tun Razak bersalaman dengan seorang pegawai polis ketika menziarahi jenazah Sarjan Ibrahim Mat Husin di Masjid Sa'adah Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menziarah jenazah anggota polis pengiring bermotosikal, Sarjan Ibrahim Mat Husin yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di sini pagi tadi.

Perdana Menteri tiba di Surau As-Saadah, Taman Keramat Permai dekat sini kira-kira pukul 10 pagi dengan disambut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Ibrahim, 51, merupakan anggota polis pengiring kepada Najib sejak 2009.

Sebelum ini, Allahyarham pernah bertugas sebagai anggota polis pengiring kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dan kemudian kembali bertugas di Balai Polis Trafik Pudu selepas Dr. Mahathir bersara.

Ibrahim meninggalkan balu, Fakhriah Abdul Raof, 41, dan tiga orang anak berumur antara 14 dan 19 tahun.

Jenazah Ibrahim kemudiannya dibawa ke kampung halamannya di Sungai Kota, Parit Buntar, Perak untuk dikebumikan.

Fakhriah berkata, Allahyarham tidak sedarkan diri selepas mengadu sesak nafas dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.40 pagi.

Beliau disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi.

"Dia (arwah) sebenarnya dalam tempoh bercuti rehat selama seminggu dan pernah dimasukkan ke hospital minggu lepas selama satu hari, disyaki mengalami bengkak pada jantung," katanya.

Rakan setugas Allahyarham, Koperal Raem Jani melahirkan rasa terkejut dengan kematian Ibrahim yang dikenalinya sejak 21 tahun lepas, semasa mereka bertugas dan menjadi anggota polis pengiring kepada Najib.

"Arwah seorang yang tegas dan cepat marah tetapi sekejap sahaja. Selain itu, arwah sebenarnya seorang yang suka bergurau," katanya.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, Allahyarham merupakan seorang anggota yang berdedikasi dalam menjalankan tugas. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Penduduk terseksa menunggu jambatan baru Jalan Air Keroh

Posted:

Penduduk terseksa menunggu jambatan baru Jalan Air Keroh

Penduduk terseksa menunggu jambatan baru Jalan Air Keroh


BEBERAPA orang penduduk merangkak ketika menyeberangi sebatang anak sungai semalam, selepas jambatan asal dirobohkan untuk diganti dengan jambatan baru di Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh, Nyalas, Jasin, Melaka.


JASIN 29 Sept. - Perkhabaran pembinaan jambatan baru bagi menggantikan jambatan yang rosak awal tahun lalu begitu menggembirakan penduduk Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh di sini.

Senyuman penduduk juga tidak lekang dari bibir apabila melihat kontraktor mula sibuk memecah jambatan lama dan memunggah pembentung konkrit untuk menyiapkan jambatan baru yang dikatakan hanya mengambil masa tiga minggu untuk siap.

Namun, entah apa yang tidak kena, kegembiraan penduduk di situ tidak lama apabila kerja-kerja pembinaan jambatan terbabit yang didakwa penduduk berjalan hanya sehari, tiba-tiba dihentikan dan kini membebankan pula penduduk.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Jamaliah Yusof, 57, berkata, masalah tersebut menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan masyarakat luar dan sukar untuk melaksanakan urusan harian dengan sempurna.

Katanya, masalah itu lebih memberi tekanan kepada keluarganya kerana menyukarkan penghantaran suaminya, Mohd. Isa Yusuf, 64, ke Hospital Jasin akibat diserang penyakit lemah jantung malam kelmarin.

''Anak-anak terpaksa menggunakan laluan ladang getah yang tidak boleh dilalui langsung oleh kenderaan tetapi kami tiada pilihan terpaksa kerana perlu segera menghantar suami ke hospital," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Katanya, sejak lebih dua minggu, penduduk di situ terpaksa menggunakan laluan getah tersebut untuk keluar menjalankan aktiviti harian termasuklah anak perempuannya yang berulang-alik kerana bekerja di pusat bandar seawal pukul 6 pagi.

Bagi Ibrahim Yusuf, 47, projek pembinaan jambatan baru yang terbengkalai sejak lebih dua minggu itu banyak menimbulkan kesulitan kepada penduduk, khususnya pelajar yang ingin ke sekolah.

''Saya hairan, kalau tidak boleh disiapkan segera atau tidak cukup peruntukan, kenapa tergesa-gesa robohkan jambatan lama.

''Jambatan lama itu hanya rosak kecil dan boleh dibaiki sedikit untuk sementara waktu, kalau terus dibiarkan masalah ini berlaku, susahlah penduduk kampung untuk menjalankan kerja harian," katanya.

Sementara itu, Biramah Beekandaya, 73, berkata, dia dan cucunya berusia lima tahun terpaksa 'merangkak' melalui laluan kecil yang dibuat sendiri oleh penduduk setiap kali menghantar cucu ke Tadika Kemas di kampung itu.

''Mak cik sudahlah uzur tetapi terpaksa melalui juga laluan sempit dan berbukit di tapak projek pembinaan jambatan baru itu, kami perlu merangkak melaluinya, kalau tidak, boleh terjatuh kerana laluannya agak bercerun," katanya.

Tegasnya, penduduk terdedah dengan keadaan berbahaya kerana keadaan tapak projek yang dipenuhi pembentung konkrit, malah apabila waktu hujan, laluan di situ termasuk ladang getah langsung tidak boleh digunakan sebagai laluan.

Lebih 50% kontraktor Melayu tidak aktif

Posted:

Lebih 50% kontraktor Melayu tidak aktif

Lebih 50% kontraktor Melayu tidak aktif

SEREMBAN 29 Sept. - Lebih 50 peratus kontraktor Melayu di negeri ini yang berdaftar di bawah kelas F didapati tidak aktif dan sekadar menjalankan kerja secara sambilan berikutan gagal mendapat projek.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Sembilan, Datuk Baharuddin Sariman berkata, buat masa ini, hanya 1,000 daripada lebih 2,000 kontraktor Melayu kelas berkenaan yang dikenal pasti di negeri ini masih aktif menjalankan perniagaan.

''Masalah ini berlaku disebabkan jumlah projek yang ditawarkan berkurangan sekali gus mengakibatkan peluang mendapat tawaran kerja turut merosot.

''Senario itu secara tidak langsung membuatkan kontraktor yang gagal mendapatkan projek terpaksa menjalankan perniagaan secara sambilan, namun setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang laporan ada kontraktor kelas F di negeri ini yang terpaksa gulung tikar," katanya di sini, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, keadaan tersebut mungkin akan berubah kerana kerajaan baru-baru ini ada mengumumkan pendaftaran kontraktor kelas F yang dibekukan sejak Mac 2005 akan dibuka semula bagi memberi peluang kepada kontraktor berkelayakan meningkatkan industri pembinaan negara.

''Ini merupakan satu perkembangan positif bagi para kontraktor kelas berkenaan.

''Oleh itu, saya harap kontraktor sedia ada dapat bergiat aktif semula untuk mencari peluang serta projek, tidak kira sama ada ia milik kerajaan mahupun swasta," katanya.

Suami isteri maut nahas langgar lari

Posted:

Suami isteri maut nahas langgar lari

Suami isteri maut nahas langgar lari

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 29 Sept. – Hasrat sepasang suami isteri untuk menoreh getah tidak kesampaian, apabila pasangan itu maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Kampung Palong 13, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Ismail Amin, 55, maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Siti Hendon Andang, 50, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Gugusan Palong 9, dekat sini.

Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai dalam perjalanan dari Felda Palong 13 menuju ke Palong 10.

''Hasil maklumat orang awam, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Suzuki RC100 yang dinaiki kedua-dua mangsa berkenaan.

''Mangsa telah digilis dan pemandu tersebut yang cemas dengan kejadian tersebut telah bertindak melarikan diri," katanya di sini, semalam.

Menurut Mohd. Sabri, pihaknya berusaha untuk menjejaki pemandu lori terbabit dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

''Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan kita meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-4583449," katanya.

Dalam pada itu, katanya, mangsa yang berstatus penduduk tetap itu telah meninggalkan tiga orang anak perempuan iaitu Liahisma Tusdiana,22, Lilipitriama, 19, serta Julai Normalah, 13.

Sementara itu, Liahisma ketika ditemui berkata, dia ada menghubungi ibunya dua hari yang lalu.

''Saya mengadu bahawa tangan saya sakit. Ibu suruh saya segera pulang ke Palong untuk berubat.

''Tetapi apabila saya beritahu akan pulang ketika perayaan Deepavali, ibu cakap, cepat balik ke Palong takut tidak sempat berubat," jelas anak sulung pasangan tersebut yang kini menuntut di Institut Perguruan Kampus Perempuan Melayu, Melaka.

Manakala, adiknya, Lilipitriama pula memberitahu, bapanya ada berkelakuan aneh sebelum terlibat dengan nahas tersebut.

''Semalam saya ada berjumpa dengan arwah ayah. Oleh kerana saya tinggal bersama ibu angkat saya, ayah bekalkan petai buat saya. Ayah cakap ini petai yang terakhir.

"Ibu pula memeluk saya dengan erat. Semalam saya lihat ibu sangat gembira. Kini mereka sudah tiada," katanya dalam nada sebak.

Jenazah pasangan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Palong 12, dekat sini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


RM700,000 selesai isu rakyat

Posted:

RM700,000 selesai isu rakyat

RM700,000 selesai isu rakyat

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my


Zambry Abd. Kadir (empat dari kiri) beramah-mesra dengan seorang peniaga sayur di Pekan Tanjung Piandang semasa lawatan dua hari ke kawasan DUN Kuala Kurau di Parit Buntar, semalam.


PARIT BUNTAR 29 Sept. – Kerajaan negeri meluluskan peruntukan serta-merta berjumlah lebih RM700,000 bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk semasa lawatan dua hari Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini bermula semalam.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM250,000 diperuntukkan untuk menyelesaikan 212 aduan berkaitan kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan, jambatan dan pengairan.

Sebanyak RM150,000 lagi diperuntukkan untuk membaiki kebocoran bumbung Masjid Jamek Tanjung Piandang, RM10,000 untuk memasang lampu jalan di Surau Kampung Raja Bashah dan masing-masing RM50,000 untuk membina pagar di Tanah Perkuburan Islam di Bagan Tiang dan Parit Tok Hin.

Di samping itu, Zambry juga meluluskan peruntukan RM175,000 untuk persatuan ibu bapa dan guru sekolah rendah dan menengah Tamil di kawasan itu menjalankan aktiviti mereka.

Semasa lawatan itu, Menteri Besar juga berjaya meyakinkan sebuah syarikat untuk menyerahkan tanah kepada kerajaan negeri untuk pembinaan perkampungan bagi menempatkan lebih 300 penduduk setinggan di Bagan Tiang di sini.

Ketika ditemui pada majlis itu, Zambry berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji masalah yang dihadapi oleh 200 keluarga setinggan Cina di kawasan itu.

"Walaupun semua masalah mungkin kelihatan kecil tetapi kita telah mengambil tindakan segera bagi menyelesaikannya kerana ia mempengaruhi kehidupan seharian rakyat," ujarnya.

"Kami mencuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah semua rakyat dengan segera berbanding pembangkang yang suka membuat janji tetapi tidak dapat menunaikannya," katanya.

Mesti bayar RM1 juta dalam tempoh 15 hari

Posted:

Mesti bayar RM1 juta dalam tempoh 15 hari

Mesti bayar RM1 juta dalam tempoh 15 hari

ALOR SETAR 29 Sept. - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memberi tempoh 15 hari kepada lebih 1,000 pemilik rumah dan rumah kedai di Taman Wira, Mergong di sini untuk menjelaskan tunggakan cukai pintu yang mencecah RM1 juta.

Ketua Bahagian Hasil MBAS, Azalina Abdu Rahman berkata, pihaknya telah menyerahkan Notis E kepada pemilik rumah dan rumah kedai yang belum menjelaskan bayaran cukai pintu secara pos.

"Hari ini juga kami telah pergi ke rumah pemilik di Taman Wira untuk menyerahkan Notis E secara terus kepada mereka kerana tunggakan cukai pintu mereka telah mencapai RM2,000.

"Bagi mereka yang masih enggan membayar cukai tersebut, pihak MBAS akan menyita barang di rumah mereka sehingga cukai tersebut dibayar," katanya kepada pemberita di Taman Wira di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi mereka yang menyewa pula, mereka diminta memaklumkan kepada pemilik rumah untuk membayar cukai pintu dengan segera bagi mengelak barang milik penyewa disita oleh MBAS kerana kegagalan pemilik membayar cukai pintu.

"Jumlah cukai pintu bagi rumah kediaman ialah RM83, manakala untuk rumah kedai ialah RM1,004 setahun.

"Ada yang tidak bayar sehingga menjadi berbelas ribu ringgit dan pihak kami terpaksa mengambil tindakan tegas untuk memastikan pemilik membayar cukai yang tertunggak," ujarnya.

Tambah Azalina, selain Taman Wira, terdapat beberapa taman perumahan lain yang mempunyai jumlah cukai pintu tertunggak yang tinggi.

"Di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini, jumlah cukai yang tertunggak kira-kira RM600,000 dan di Taman Nuri pula mencapai RM400,000.

"Kami akan membuka kaunter bergerak mulai awal bulan depan bagi memudahkan orang ramai membayar cukai pintu mereka," jelasnya.

MB Kedah didesak dedah perbelanjaan RM170 juta

Posted:

MB Kedah didesak dedah perbelanjaan RM170 juta

MB Kedah didesak dedah perbelanjaan RM170 juta

SUNGAI PETANI 29 Sept. - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diminta mendedahkan butir-butir perbelanjaan yang telah digunakan atau sebaliknya untuk projek membaiki jalan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu.

Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, langkah itu penting bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar di samping membuktikan sikap ketelusan seperti mana yang selalu dilaung-laungkan mereka sebelum memerintah kerajaan negeri dahulu.

"Semasa menjadi pembangkang, Pas dan sekutunya menuntut agar kerajaan Barisan Nasional (BN) telus dalam setiap perkara yang dilakukan lebih-lebih lagi soal melibatkan peruntukan kewangan.

"Sekarang mereka sudah memerintah, jadi kita dan rakyat umumnya minta mereka tunjukkan sejauh mana ketelusan itu dipraktikkan.

"Jika benar-benar mentadbir dengan penuh integriti, mereka kena dedahkan ke mana pergi lebihan peruntukan baiki jalan lebih RM100 juta yang tidak digunakan tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan duit raya kepada lebih 150 nelayan di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini, hari ini.

Shahanim mengulas gesaan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid kelmarin yang mendesak agar kerajaan negeri tidak 'tutup mulut' dalam isu peruntukan berkenaan.

Tahun lalu, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM170 juta untuk tujuan membaiki jalan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kedah dikatakan hanya menggunakan RM54 juta daripada jumlah itu.

Difahamkan, selebihnya telah dimasukkan ke dalam sebuah tabung amanah Kerajaan Kedah yang tidak diperincikan.

Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, kegagalannya membelanjakan peruntukan membaiki jalan itu telah menimbulkan kesusahan kepada rakyat.

"Wakil rakyat mereka selalu memberitahu orang kampung kata tak ada peruntukan sedangkan Kerajaan Pusat sudah salurkannya.

"Tindakan ini menyusahkan rakyat kerana mereka menanti jalan negeri yang rosak tetapi tak dilaksana," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, rakyat negeri ini boleh menilai secara matang betapa Pas sudah tidak boleh diyakini lagi dalam mentadbir dan menyelesaikan masalah penduduk.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Sultan Ibrahim tersinggung

Posted:

Sultan Ibrahim tersinggung

Sultan Ibrahim tersinggung

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my


Sultan Ibrahim


KUALA LUMPUR 29 Sept. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tersinggung dengan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya Johor tidak selamat untuk pelabur.

"Memang beta tersinggung apabila beta tahu tentang kenyataan itu.

"Tetapi sebagai Sultan, beta tidak mahu diseret ke dalam arena politik," titah baginda ketika dipetik dalam Buletin Utama malam ini.

Baginda juga tidak mahu pihak lain bercakap bagi pihak baginda yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat Johor dan warga asing yang menetap di negeri itu.

Bagaimanapun, sebagai Sultan, baginda tidak mahu mencampuri hal politik.

Sultan Johor bertitah demikian ketika mengulas dakwaan Guan Eng yang memburuk-burukkan Johor dalam temubualnya dengan media asing di Singapura baru-baru ini.

Guan Eng jangan masuk Johor

Posted:

Guan Eng jangan masuk Johor

Guan Eng jangan masuk Johor

Oleh Maznah Mohd. Arsad
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 29 Sept. - Kira-kira 200,000 ahli Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang memburuk-burukkan Johor di luar negara.

Ketua Penerangannya, Abdullah Md. Yusuf berkata, pihaknya juga menasihatkan Guan Eng agar tidak berkunjung ke negeri ini jika merasakan ia tidak selamat untuk dilawati.

"Kalau dia kata negeri Johor tak selamat, jangan melangkah masuk ke negeri ini, sebaliknya jagalah negeri sendiri dan bela nasib rakyat Pulau Pinang yang masih memerlukan perhatian daripada Ketua Menterinya.

"Apa pun dia sebenarnya sudah terlajak kata seperti kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dakwaannya itu telah menelanjangkan dirinya sendiri selaku pemimpin yang tidak bijaksana untuk mengurus tadbir negerinya sendiri, " katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Melayu Johor Bahru berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang didakwa memburukkan negeri Johor dalam satu temuramah dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

"Sebaik sahaja DAP diketuai oleh Guan Eng di Pulau Pinang, kita dapati ada sahaja masalah yang dihadapi oleh rakyat, malah banyak demonstrasi dan rasa tidak puas hati diluahkan oleh rakyat, namun dia dengan egonya tidak memberikan perhatian terhadap segala isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

"Dia tidak memberi layanan sama rata antara kaum, malah menjalankan dasar perkauman khususnya dalam kalangan orang Melayu," katanya.

Sementara itu di Ipoh, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhutang permohonan maaf yang cukup besar dengan kerajaan dan rakyat Johor kerana memburuk-burukkan negeri tersebut.

Katanya, tindakan Guan Eng itu akan menjejaskan usaha kerajaan Johor untuk membangunkan negeri yang sedang berkembang maju itu.

''Biarlah apa yang berlaku ini membuka mata orang ramai terhadap Guan Eng," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi dari Wilayah Wenzhou dan Foochow, China, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi taktik biasa Guan Eng memburuk-burukkan pihak lain untuk menaikkan imej beliau sendiri.

"Selama tiga tahun menjadi Ketua Menteri, Guan Eng mengkritik bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk meningkatkan profil beliau," katanya.

Guan Eng didesak minta maaf pada Sultan

Posted:

Guan Eng didesak minta maaf pada Sultan

Guan Eng didesak minta maaf pada Sultan

JOHOR BAHRU 29 Sept. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didesak supaya segera meminta maaf kepada Sultan Johor dan rakyat ekoran dakwaannya yang negeri ini tidak selamat dan berpotensi untuk diculik sekiranya berada di sini.

Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi berkata, tuduhan itu liar sekali dan amat mengguris hati rakyat Johor.

"Jika Guan Eng dakwa tidak selamat, jangan datang lagi ke Johor untuk berkempen atau sebagainya. PPPMM juga ingin tahu status warganegara Guan Eng dan keluarganya yang sanggup mengeluarkan kenyataan begitu di negara asing.

"PPPMM mendesak kerajaan agar Guan Eng disiasat kerana ia melibatkan maruah, kedaulatan dan keselamatan negara. Guan Eng perlu perjelaskan kepada kerajaan negeri dan juga Sultan Johor tentang kenyataannya yang tidak berasas itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP itu yang memburuk-burukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

A. Rahman berkata, tindakan pemimpin DAP itu dipercayai mempunyai agenda tersendiri dengan pihak luar dari negara tersebut dalam usaha menjatuhkan negara ini.

Katanya, motif Guan Eng itu menimbulkan tanda tanya dan perbuatan memfitnah Johor di luar negara adalah satu perkara yang serius dan tidak boleh dimaafkan.

"Polis atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan tegas atas kenyataannya selaku rakyat Malaysia yang memburuk-burukkan negara sendiri," katanya.

Menurutnya, pemimpin DAP kini semakin biadab dan sikap Guan Eng itu menunjukkan dirinya masih tidak layak memegang jawatan Ketua Menteri.

Sepatutnya, kata A. Rahman, Guan Eng bersaing secara sihat dengan negeri ini dan bukan menjatuhkannya dengan cara jahat dan bersekongkol dengan pihak lain di luar negara.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved