Sabtu, 24 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Menyusur kejituan strategi ekonomi

Posted: 24 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

PROJEK MRT antara perancangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan. - Gambar hiasan

Penulis sebenarnya rasa cukup khuatir dengan sikap seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang begitu beria-ia mencanangkan kononnya jika sesuatu berlaku kepada politik tanah air, seorang yang kononnya 'pakar' strategi parti lawan wajar diangkat sebagai Menteri Kewangan yang baru. Mungkin sahaja wakil rakyat BN tersebut bergurau, namun wajahnya sama sekali tidak menggambarkan dia sedang berbuat demikian.

Pada asalnya, wakil rakyat tersebut diminta hadir dalam sebuah wacana ekonomi, mungkin di atas niat untuk mempertahan dasar dan polisi kerajaan. Namun, peratusan yang besar daripada hujah wakil rakyat berkenaan terjurus mengiakan pandangan wakil parti lawan. Artikulasi wakil rakyat tersebut longgar.

Ya, ada ketikanya wakil rakyat tersebut seakan-akan mempertahan keputusan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) namun ia dilakukan dalam keadaan yang sangat tidak cermat dan lebih melukakan strategi komunikasi kerajaan. Mungkin wakil rakyat tersebut kurang sedar, namun beliau pada hakikatnya tidak membantu menidakkan pandangan parti lawan.

Dalam suasana dan suhu politik yang kian panas, mengharapkan pujian yang objektif dan ikhlas pihak lawan adalah sesuatu yang hampir mustahil berlaku dalam politik Malaysia. Yang mereka handal dan mahir, hanyalah menggunakan perkataan yang kasar dan memaki hamun waima dalam sidang dewan yang mulia. Semua langkah kerajaan disifatkan tidak tepat dan merosakkan.

Ironi, kerana ketika segala macam umpat fitnah dilanyak semahunya, data dan statistik tepat yang dikeluarkan oleh badan rasmi mahu sahaja diketepikan daripada pengetahuan rakyat terbanyak. Kedudukan ekonomi Malaysia yang nyata positif, pantas disembunyikan dengan serangan perkataan 'celaka' yang seperti mahu meruntuh segala elemen baik dan positif ini.

Yang perlu diakui, laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bukanlah satu laporan yang dibuat-buat sesuka hati. Setakat hari ini, integriti BNM tidak pernah diragui, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Sebagai sebuah badan yang punya integriti luar biasa, seharusnyalah data dan statistik BNM tidak wajar dipandang sebelah mata.

Oleh yang demikian, apabila diperakui bahawa ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang kukuh sebanyak 6.2 peratus (%) pada suku pertama 2014 - ia tidak wajar tenggelam hanya dengan adab longgar dan sikap kurang ajar seorang ADUN DAP di Pulau Pinang. Ini masanya seluruh kekuatan jentera ditumpukan kepada usaha mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Apa makna pencapaian 6.2% ini kepada rakyat Malaysia seperti kita? Ya, kita mungkin tidak merasainya secara terus dan langsung. Yang perlu kita tahu dan maklum, ini membawa makna bahawa Malaysia sedang berada di landasan ekonomi yang baik dan positif.

Malahan, ada media antarabangsa yang mengatakan angka 6.2% ini melebihi pencapaian banyak ekonomi negara-negara di dunia. Dalam kajian yang dilakukan Bloomberg, pencapaian ini adalah melebihi pencapaian purata hampir 22 ekonomi dunia yang mencatatkan pertumbuhan sekitar 5.7%, pada tempoh sama.

Ini sekali gus menafikan sama sekali hujah banyak wakil pembangkang yang mengatakan Malaysia sedang berhadapan dengan penyakit 'lelah fiskal' yang akut dan kronik. Dengan data yang dikeluarkan oleh BNM, jauh sekali berhadapan dengan asma dan lelah fiskal, ekonomi Malaysia bergerak dengan aktif dan baik.

Data BNM ini diperkukuhkan pula dengan kajian bahawa Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam daya saing antarabangsa dalam kalangan ekonomi utama dunia tahun ini apabila meningkat tangga ke-12 daripada tangga ke-15 pada tahun lalu, mengikut laporan Buku Tahunan Keberdayasaingan Dunia (WCY) 2014 yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berpusat di Switzerland.

Kedua-dua data BNM dan WCY ini cukup dijadikan bukti bahawa Malaysia masih lagi menjadi destinasi ekonomi yang menarik dan wibawa. Kesemua ini hanya mampu dilakukan dengan kesungguhan dan kemampuan pengurusan yang cukup dinamik.

Mutakhir ini, jika kita perhatikan DAP cukup jarang untuk berbicara soal pengurusan ekonomi. Mereka tidak mahu 'tajuk' ini terlalu diperdebatkan kerana mereka terpaksa menidakkan data dan statistik tepat yang sama sekali menidakkan pelbagai tuduhan yang longgar dan tidak benar.

Malahan, kalau disusur kembali kepada kenyataan yang dikeluarkan Lim Kit Siang berkait dengan pengurusan ekonomi dan polisi, tarikh 4 Mei 2014 menjadi serangan terakhir Kit Siang dalam menidakkan pengurusan polisi dan dasar. Kepada Kit Siang, sebagai meraikan setahun berlalunya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Malaysia dikatakan masih bergelumang dengan apa yang disifatkan sebagai 'setahun yang penuh dengan polisi yang gagal' (a year of failed policies).

Hari ini, Kit Siang mungkin perlu menelan kembali kenyataan yang tidak bersandarkan fakta itu. Dengan apa yang dinyatakan oleh BNM dan WCY, mungkin Kit Siang tidak berani untuk berbicara soal 'pengurusan ekonomi' di hadapan pengundi Teluk Intan yang mempunyai 'pecahan' jumlah pengundi yang sangat menarik.

Tanpa mahu bercakap banyak soal ekonomi, pilihan terbaik Kit Siang di Teluk Intan adalah menjual soal simpati dengan perkara-perkara yang bukan pun bersifat dasar dan polisi. Ya, dengan apa yang sedang berlaku ketika ini, dalam konteks pilihan raya kecil Teluk Intan, bukan Dyana Sofya yang bertanding - tetapi Kit Siang dan ego politiknya.

Belanjawan 2015

Sesuatu yang wajar dihargai adalah komitmen Menteri Kewangan Kedua agar Belanjawan 2015 memberikan tumpuan khusus kepada soal kenaikan kos sara hidup yang sedang dirasai oleh keseluruhan rakyat. Andai ada sedikit kerisauan yang ditimbulkan oleh laporan BNM adalah berlakunya inflasi - yang dikaitkan dengan peningkatan perbelanjaan dalam kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan pengangkutan.

Rasionalisasi subsidi bukanlah frasa paling manis yang mahu didengar oleh rakyat. Namun, jika difikirkan, sememangnya subsidi perlu lebih terarah dan tersasar. Ucapan yang diucapkan Perdana Menteri bersempena Laporan Tahunan GTP/ETP ada benarnya. Perbandingan mudah, "...yang ber-Kancil subsidinya RM912, manakala yang ber-Mercedez pula subsidinya RM2,400," ada benarnya.

Adalah menjadi harapan kita, agar proses perundingan penyediaan belanjawan dapat berlaku dalam suasana yang telus dalam meneliti impak sebenar ekonomi kepada poket dan pendapatan rakyat.

Pertumbuhan ekonomi di suku pertama 2014 yang tidak mampu diseimbangkan dengan inflasi yang turut sama meningkat akan memberikan tekanan kepada rakyat secara keseluruhannya. Disebabkan itu jugalah, ura-ura kenaikan tarif elektrik disambut dengusan kekecewaan yang bukan kecil dalam kalangan rakyat.

Pokok pangkalnya, segala keresahan rakyat dalam soal peningkatan kos sara hidup tidak boleh diambil mudah. Mungkin wajar penulis merujuk kembali kepada komitmen 'aku janji' yang secara jelas menyatakan peningkatan kos sara hidup adalah perkara utama yang bakal ditangani setelah mendapat mandat.

Kita percaya, jika momentum pertumbuhan ekonomi sedia ada diperkukuhkan, disulami pula dengan iltizam penambahbaikan pengurusan dan disiplin kewangan, Malaysia akan mencatatkan kejayaan lebih cemerlang dalam segala segi.

Suara resah rakyat jangan sesekali diketepikan. Langkah pembangunan iktisad mesti tepat. Slogan perubahan mesti direalisasikan. Jika komitmen pengurusan polisi dan dasar dapat disertai dengan langkah komunikasi strategik yang tepat; rakyat akan mampu memahaminya tanpa ralat.

Pertumbuhan ekonomi yang adil dan mampan adalah impian rakyat terbanyak. Kemenangan besar Narenda Modi di dalam pilihan raya India dikatakan banyak pihak sebagai referendum jelas rakyat yang mahukan 'pembangunan ekonomi merata' dan bukannya 'kebajikan feudal'. Mungkin ada mesej yang sama-sama boleh kita pelajari di sebalik apa yang berlaku di seluruh dunia pada ketika ini.

Tendang pegawai seleweng

Posted: 24 May 2014 12:40 PM PDT

SECARA tiba-tiba isu penyelewengan diesel menjadi begitu hangat kebelakangan ini walaupun ia bukan perkara baharu. Lebih mengejutkan melalui operasi besar-besaran yang dilancarkan di seluruh negara sejak 15 Mei lalu bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi hanya mendedahkan pelbagai kepincangan agensi penguat kuasa yang sepatutnya bertanggungjawab menghalang kegiatan haram itu. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), MOHD. ROSLAN MAHAYUDIN bagi mendapatkan penjelasan sebenar. "Dalam memerangi penyangak diesel ini, orang pertama saya hendak 'tendang' ialah pegawai KPDNKK yang menyeleweng. Kalau ada pegawai saya yang menyeleweng, mereka ini umpama duri dalam daging dan sangat berbahaya. Kalau ada orang seperti ini, susah kita hendak buat kerja," katanya tanpa berselindung.

MINGGUAN: Bagaimana tahap keseriusan isu penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini? Penyelewengan ini dikatakan sudah ke tahap serius terutama melibatkan penjawat awam?

ROSLAN: Penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi di negara ini agak merisaukan kerana maklumat yang diterima menunjukkan kegiatan penyelewengan ini masih berleluasa. Ia dilakukan dalam dua kaedah iaitu secara bersindiket oleh beberapa kumpulan tertentu dan secara persendirian oleh penduduk tempatan terutamanya di kawasan sempadan negara.

Berhubung dengan penglibatan penjawat awam, saya tidak menolak kemungkinan wujudnya keadaan tersebut tetapi ia tidaklah begitu serius sehingga menjadi penyebab kepada situasi sekarang. Perbezaan harga domestik dan industri yang besar telah memberi margin keuntungan yang tinggi kepada sindiket sehingga mereka sanggup berdepan dengan tindakan undang-undang yang keras sama ada daripada KPDNKK mahupun daripada agensi penguatkuasaan yang lain.

KPDNKK begitu serius menangani isu penyeludupan minyak dengan mengisytiharkan perang melalui Ops Titik. Namun, bagaimana untuk melaksanakan operasi ini tanpa sebarang kebocoran maklumat atau rahsia tidak pecah kepada pihak lain?

ROSLAN: Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, kita sedar kebocoran maklumat boleh berlaku. Kebocoran maklumat ini perkara biasa dalam setiap tindakan operasi yang dilaksanakan. Ia boleh berlaku dari dalam iaitu mungkin daripada pegawai sendiri, persekitaran dan informer (penyalur maklumat). Kadang-kadang informer ini hendak 'makan' dua tiga belah pihak. Jadi, kami sentiasa berjaga-jaga. Perkara ini perlu diuruskan dengan betul, Di KPDNKK, maklumat operasi diurus dengan kawalan yang ketat. Ketika buat serbuan terhadap penjualan video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) sebelum ini, kita terpaksa berhadapan dengan tonto. Kita sudah hadapi semua ini dan kita memang mengatur strategi untuk memperbetulkan keadaan ini.

Pada masa yang sama, kita menggunakan pelbagai taktik dan strategi untuk memastikan kejayaan sesuatu operasi. Antaranya, kalau kita kenal pasti ada pegawai yang kita sangsi, kita akan ketepikan mereka dahulu. Kita gunakan pegawai lain. Malah, dalam keadaan memerlukan, kita melakukan operasi cross-border yang melibatkan pegawai-pegawai yang berbeza dan dari luar kawasan. Misalnya, kalau operasi di Melaka, kita gunakan pasukan dari ibu pejabat di Putrajaya tanpa pengetahuan pegawai di Melaka. Kami sudah amalkan strategi ini.

Isu kepincangan agensi penguat kuasa antara perkara yang mendapat perhatian kerana dikaitkan secara terus dalam hal ini. Malah, peralatan yang disita oleh KPDNKK ditemui semula di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini. Apa komen tuan?

ROSLAN: Memang betul semasa KPDNKK membuat serbuan di sebuah setor haram di Lukut baru-baru ini, kita menjumpai sebuah skid tank (tangki minyak) yang mempunyai kesan sticker (pelekat) KPDNKK. Namun, itu tidak bermakna skid tank tersebut adalah barang kes. Saya telah membuat semakan berhubung perkara ini dan tidak ada mana-mana cawangan yang melaporkan kejadian kehilangan skid tank dalam setor KPDNKK. Saya percaya skid tank tersebut bukan barang kes. Kesan sticker yang dilihat pada skid tank tersebut merupakan tanda yang biasa dibuat oleh pegawai serbuan dalam kes terdahulu sebelum minyak yang terdapat di dalamnya disita. Saya rasa tidak timbul sebarang isu kerana kami menampal sticker pada barang-barang yang kami tahan.

Biasanya, kita akan sita tangki dengan pelekat itu sementara mencari pembeli untuk minyak diesel di dalam tangki itu. Ini mengambil masa kerana perlu ikut proses kewangan. Kalau ada pembeli, kita akan jual minyak itu kepada pembeli mengikut peraturan-peraturan yang selepas itu, kita pulangkan tangki itu kepada pemiliknya. Mungkin, ada kesan sticker kerana kesilapan pegawai KPDNKK yang tidak cabut sticker dengan bersih tetapi kadang-kadang orang ramai beranggapan lain. Saya sebut senario lain supaya orang mudah faham. Misalnya, kita tahan lori pagi ini tetapi esok sudah lepas. Orang yang tengok keadaan ini akan kata kita sudah 'kawtim' sedangkan sebenarnya tidak. Apa yang kami buat, kami lepaskan lori itu dengan bon jaminan bergantung kepada nilai lori tersebut, mungkin RM40,000 atau RM50,000 supaya lori itu boleh digunakan semula. Kita ingat mereka tidak buat kerja tidak elok lagi tetapi kadang-kadang ada yang nakal dan buat balik. Ini menimbulkan persepsi orang ramai macam mana lori ini boleh keluar balik. Mereka ingat kita terima rasuah.

Apakah tempat simpanan menjadi antara masalah penyelewengan ini berlaku?<.b>

ROSLAN: Kalau boleh saya tidak mahu beritahu tetapi kita sebenarnya hadapi kekangan ruang setor kerana boleh dikatakan semua setor di pejabat kami sudah sendat, tidak muat hendak simpan barang. Apabila kita buat Ops Titik, rampasan makin banyak, setiap hari ada rampasan sehingga kami hadapi masalah hendak simpan barang. Masalahnya, kalau kita tidak simpan dengan betul dan barang hilang, tanggungjawab kepada kami. Nanti timbul pula isu mereka saman KPDNKK kerana barang dalam simpanan kami hilang. Bagi mengatasi masalah ini, kita berusaha mencari ruang untuk menyewa tanah di setiap negeri bagi menyimpan barang-barang ini untuk siasatan. Kami berpendapat dengan menahan dan menyimpan kenderaan itu, ia lebih memberi kesan kepada penyangak diesel kerana mereka akan pincang sedikit sebab barang-barang yang digunakan untuk menyeleweng diesel dirampas. Cuma masalahnya, ruang setor untuk menyimpan barang-barang ini.

Adakah terdapat laporan pegawai penguat kuasa pernah menerima ugutan termasuk bunuh atau keluarga diganggu jika tidak bekerjasama dengan pihak penyeludup?

ROSLAN: Ada. Sebagai pegawai penguat kuasa di kementerian ini yang berdepan dengan anggota sindiket dan kumpulan samseng, kita bukan sahaja menerima ugutan tetapi juga diserang. Kejadian kenderaan dilanggar, rumah dilontar bom buatan sendiri, dipukul dan diugut pernah berlaku.

Semua itu kita uruskan dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan ia terkawal. Pegawai-pegawai saya faham bahaya yang menanti mereka tetapi kita tidak ada pilihan kerana ini adalah amanah yang harus dipikul. Ancaman ini sama sekali tidak melemahkan semangat pegawai-pegawai saya kerana kita sentiasa mendapat bantuan daripada pasukan polis, di samping dibekalkan dengan senjata api.

Apakah yang membuatkan isu ini sukar dibanteras? Ugutan daripada pihak penyeludup atau gelap mata akibat rasuah?

ROSLAN: Kedua-duanya tidak. Walaupun saya tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur salah laku dan integriti kalangan anggota, tetapi ia tidaklah sampai ke tahap yang boleh menggagalkan operasi yang dijalankan. KPDNKK juga telah mewujudkan unit integriti sendiri yang turut dianggotai pegawai kader daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengawasi dan meningkatkan integriti anggota kementerian. Mana-mana pegawai yang didapati ada salah laku, kita ambil tindakan dalaman dan sekiranya mereka terlibat dengan rasuah, kita sentiasa bekerjasama dengan SPRM termasuk sehingga mereka didakwa di mahkamah dan menamatkan perkhidmatan mereka. Kita tidak berkompromi dalam soal ini.

Begitu juga dengan ancaman daripada penyeludup ini sama sekali tidak melemahkan semangat anggota penguat kuasa untuk terus memerangi jenayah yang merugikan wang negara. Sehingga 22 Mei 2014 iaitu dalam tempoh lapan hari Ops Titik digerakkan, sebanyak 56 kes telah diambil melibatkan rampasan bernilai RM1.789 juta. Kita akan terus meningkatkan operasi ini yang bukan sahaja melibatkan petrol dan diesel, malah gas petroleum cecair (LPG) yang nilai subsidinya tinggi.

Baru-baru ini, SPRM dilaporkan menyita akaun simpanan milik seorang pegawai penguat kuasa berjumlah RM1.5 juta atas dakwaan terlibat dengan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi. Adakah ini melibatkan pegawai daripada KPDNKK dan jabatan tuan turut menerima kesan daripada isu itu?

ROSLAN: Apabila keluar laporan berita mengatakan penguat kuasa terlibat dengan aktiviti penyeludupan diesel, sudah tentu orang ingat melibatkan KPDNKK. Saya akui kes ini memberi kesan kepada KPDNKK sehingga isteri saya sendiri pun tanya apa yang berlaku. Begitu juga dengan di luar. Saya ada selidik perkara ini dan tidak ada pegawai saya yang terlibat. Saya tanya semua ketua cawangan dan negeri dalam kumpulan WhatsApp tetapi mereka pun tidak tahu menahu tentang perkara itu. Ini termasuk kes anggota agensi penguat kuasa menerima rasuah 1 sen bagi setiap 1 liter diesel bersubsidi yang diselewengkan dan membeli lori sendiri untuk menyeludup bahan api ini.

Bagaimanapun, saya tidak pertikai perkara tersebut. Kita profesional dalam hal ini. Mungkin SPRM ada sumber dan maklumat mereka sendiri yang kita dan jabatan-jabatan lain tidak tahu. Biarkan proses siasatan ini berjalan seperti biasa. Selaku ketua penguat kuasa KPDNKK, saya ambil berat perkara ini. Dalam memerangi penyangak diesel ini, orang pertama saya hendak 'tendang' ialah pegawai KPDNKK yang menyeleweng. Kalau ada pegawai saya yang menyeleweng, mereka ini umpama duri dalam daging dan sangat berbahaya. Kalau ada orang seperti ini, susah kita hendak buat kerja. Ada pegawai yang jujur tetapi ada yang menyeleweng pula demi kepentingan dan memenuhi kantung sendiri. Saya amat tidak berkenan dengan sikap begini.

Sebagai individu yang mengetuai Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, adakah tuan turut disiasat oleh SPRM dalam kes ini?

ROSLAN: Alhamdulillah, setahu saya setakat ini tidak ada. Tidak tahulah kalau di pihak jabatan berkenaan. Apa yang penting, kita kerja dengan ikhlas dan tahu apa yang kita buat. Kita perlu jauhkan diri daripada penyangak-penyangak yang cuba rapat dengan kita. Saya juga percaya dengan integriti pegawai-pegawai saya. Dari semasa ke semasa, apabila berpeluang berjumpa pegawai dalam mesyuarat atau perhimpunan mingguan dan bulanan, saya selalu menerapkan elemen integriti kepada mereka. Saya baru balik dari Kangar (Perlis) pada Khamis dan Langkawi (Kedah) pada Jumaat lalu, semasa bertemu pegawai di sana, saya tekankan isu integriti supaya mereka komited dengan kerja.

Saya ingatkan mereka bahawa kerja ini terdedah kepada tawaran rasuah. Kalau kita tidak berhati-hati, diri kita mudah masuk penjara. Saya minta mereka berhati-hati dan jauhkan diri daripada terlibat dalam perkara ini. Yang penting, elak terima ajakan daripada orang yang berurusan dengan kita seperti pergi minum atau terima hadiah daripada mereka. Apa yang kami buat ialah cuba tampal 'kebocoran' dalam pengagihan petrol dan diesel bersubsidi ini. Saya harap orang ramai hargai apa yang kami lakukan dan saya tidak nafikan dalam usaha ini, mungkin ada pegawai yang tidak jujur tetapi kita akan menangani perkara ini.

Apakah selepas ini serbuan atau siasatan akan melibatkan kerjasama semua kumpulan penguat kuasa termasuk polis dan SPRM secara kerap bagi memastikan isu ini dibanteras sepenuhnya?

ROSLAN: Sejak dahulu lagi, kita sudah bekerjasama dengan polis dan SPRM serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam sesuatu operasi. Bagi Ops Titik ini juga, ia digerakkan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, SPRM, Kementerian Dalam Negeri (Unit Pencegah Penyeludupan), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Persetujuan ini dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Penyelewengan Bahan Petroleum Bersubsidi Bil. 1/2014.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek telah mengisytiharkan perang ke atas penjenayah bahan petroleum bersubsidi ini dan saya selaku Pengarah Penguat Kuasa di KPDNKK bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan jalankan operasi ini secara berterusan sehingga jenayah keji yang merugikan wang negara ini dapat dibanteras secara habis-habisan.

Pada pandangan tuan, apakah punca kepada masalah penyelewengan diesel bersubsidi ini dan cadangan bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku?

ROSLAN: Sistem pemberian subsidi sekarang terbuka kepada sesiapa. Kalau kita tengok, harga diesel subsidi untuk nelayan ialah RM1.45 seliter, di stesen minyak petrol RM2.10 seliter dan diesel RM2 seliter manakala harganya bagi industri boleh cecah RM3 seliter manakala harga di luar seperti di Thailand mencecah RM4 seliter. Sistem pengagihan petrol dan diesel subsidi sekarang longgar serta terbuka kepada semua. Kalau kita tidak ada sistem untuk mengawal subsidi ini, ia akan terdedah kepada kebocoran mudah. Ia umpama kita bawa barang mahal yang tidak ditutup dan sesiapa sahaja boleh curi. Cuba fikir, ada dua jenis diesel yang keluar dari depot iaitu yang bersubsidi pada harga murah untuk kegunaan nelayan dan stesen minyak serta tidak bersubsidi untuk industri. Dari pandangan pengguna macam kita, diesel ini sama sahaja dari segi kualiti tetapi yang menyebabkan perbezaan harga ialah cukai yang dibayar ketika keluar dari depot.

Kalau diesel bersubsidi untuk nelayan dan stesen minyak ini pergi ke industri siapa yang tahu? Adakah kita hendak tempatkan semua pegawai kita di semua stesen minyak? Ada lebih 3,600 buah stesen minyak di seluruh negara. Itu belum cakap jeti, pelabuhan dan sempadan. Di sempadan, mereka seludup melalui motosikal dan kereta yang diubah suai tangkinya. Ada lori tangki yang kononnya hendak diesel bersubsdi ke jeti milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) tetapi melencong ke destinasi lain seperti kilang. Ada yang sampai ke jeti dan bubuh diesel ke dalam bot nelayan tetapi dimasukkan semula ke dalam tangki lain di situ. Begitu juga dengan stesen minyak, kononnya tempah minyak tetapi dihantar ke kilang. Sekiranya kerajaan ingin menstruktur semula sistem. pengagihan minyak bersubsidi ini, saya amat alu-alukan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved