Utusan Online - Johor |
Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD MOHAMED Khaled Nordin (tengah) dan Md. Jais Sarday (kiri) serta Md. Hasidin Zaini (kanan) bersama Tokoh Guru 2014, Ho Kee Liong Nee (tiga dari kiri) dan Deraman Mahat (tiga dari kanan) sewaktu majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2014 di MRSM, Pontian, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI PONTIAN 23 Mei - Golongan pendidik diseru memainkan peranan secara proaktif dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar yang kini didapati semakin pudar. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, didikan di sekolah diyakini mampu mengembalikan semangat cinta dan menyayangi negara. "Di sekolah warga guru boleh didik mereka tentang pentingnya negara iaitu dengan menanamkan semangat nasionalisme, patriotisme dan menghormati apa sahaja tentang tempat, negeri dan seterusnya negara mereka dilahirkan. "Kebimbangan tentang semangat nasionalisme yang kian pudar dalam generasi muda memang ada ini kerana lepasan sekolah yang berada dalam masyarakat sudah cukup berani melakukan perkara-perkara yang menghina negara sendiri. "Ini kerana mereka terperangkap dengan pergeseran politik, sedangkan tidak mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan mereka sehingga ada yang sanggup untuk menukar bendera, lambang, jata dan apa juga yang berkaitan negara," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Pontian, dekat sini semalam. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Md. Hasidin Zaini. Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar berkata, pencapaian pendidikan di negara ini cukup progresif dengan banyak kejayaan diraih di peringkat nasional mahupun antarabangsa, namun perlu dipertingkatkan. Beliau berkata, ada yang mengaitkan kejayaan itu kerana kurikulum bersepadu, sistem sekolah yang teratur, guru terlatih dan banyak faktor lain. "Namun bagi saya, sistem pendidikan kita tidak akan mempunyai rekod cemerlang jika kita tidak mempunyai barisan warga guru yang berdedikasi dan ikhlas. Apa juga sistem teknologi mahupun imbuhan, tanpa wibawa guru semuanya tidak membuahkan sebarang kejayaan," katanya. Mohamed Khaled berkata, tugas guru kini tidak seperti 40 tahun lalu dengan tahap kehormatan dan darjat guru sangat tinggi di mata masyarakat. "Namun hari ini kita berada pada zaman yang berbeza, kita berada dalam zaman teknologi yang serba canggih. Cara komunikasi antara kita juga kini telah berubah dengan adanya sistem teknologi maklumat. "Kini generasi muda yang merupakan para pelajar lebih gemar memilih untuk berkomunikasi dalam media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan sebagainya," katanya sambil menyeru guru-guru agar menguasai media sosial bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelajar. |
Fesko52 jadi platform asah bakat berniaga Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT KEMPEN derma darah antara aktiviti yang diadakan sempena Fesko52 yang akan berakhir pada 26 Mei ini di Dataran UTM, Skudai, Johor. JOHOR BAHRU 23 Mei - Penganjuran Festival Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-52 (Fesko52) merupakan platform bagi golongan mahasiswa untuk mengasah kebolehan mereka dalam bidang perniagaan serta pengurusan majlis. Pengarah Programnya, Muhd. Aliff Nazzrull Dzulfakar berkata, lebih 200 mahasiswa terlibat secara langsung dengan festival yang bermula sejak kelmarin hingga Isnin ini, manakala kira-kira 50 mahasiswa turut membuka gerai jualan di Dataran UTM. Beliau berkata, selain merupakan aktiviti tahunan sempena konvokesyen universiti tersebut, festival itu turut berupaya membudaya dan melahirkan usahawan baharu, khususnya dalam kalangan penuntut UTM. "Penglibatan mahasiswa dalam festival ini bukan sahaja dapat melatih tentang ciri-ciri kepimpinan, malah mampu memupuk sifat keusahawanan apabila mereka berinteraksi dengan pengunjung dan pembeli. "Secara tidak langsung mengajar mereka bagaimana cara terbaik untuk berinteraksi dengan masyarakat pelbagai lapisan dan bagaimana menguruskan kewangan perniagaan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Fesko52 menyasarkan kehadiran melebihi 60,000 pengunjung dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan, antaranya pertandingan nasyid kontemporari, festival makanan 1Malaysia, sukan ekstrem, pencarian bakat, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma. Muhd. Aliff berkata, Fesko52 yang bertemakan "Sains, Teknologi dan Inovasi" itu menerapkan konsep aktiviti pembelajaran sambil berhibur dan menerusi kaedah tersebut, golongan mahasiswa dapat mempelajari ilmu sains teknologi secara santai agar lebih mudah menarik generasi muda. "Selain itu, hiburan yang disediakan bukan hanya hiburan kosong, malah terdapatnya pengisian menerusi penganjuran program seperti Forum Malam Cahaya Ilmu dan Perintis Ummah UTM," katanya. Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut tentang penajaan boleh menghubungi talian 016-6851789 manakala 017-7931400 bagi gerai korporat. Info terkini juga boleh didapati menerusi laman Facebook iaitu www.facebook.com/Festivalkonvoutm. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan