Utusan Online - Utara |
- 89 pesawah terima wang ihsan
- 26 pemilik TOL terima pampasan RM2.27 juta
- 8 ditahan miliki senjata larangan
Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT Oleh ABD RAZAK OSMAN HASSAN MEH, Ramli Tayib, Rejab SUNGAI PETANI 15 April - Seramai 89 orang ahli pengasas Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah Bahagian Kuala Muda menerima wang ihsan RM500 setiap seorang bagi menghargai jasa mereka dalam industri penanaman padi di Kedah. Setiausaha Lembaga Penanam-penanam Padi Kedah Bahagian Kuala Muda, Hassan Meh berkata, wang ihsan yang diberikan kepada golongan pesawah itu begitu bermakna sekali kepada mereka. Setelah begitu lama menjadi ahli, akhirnya khidmat kami untuk memajukan industri penanaman padi dihargai. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan imbuhan ini kepada kami," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, di sini hari ini. Seorang penerima wang ihsan itu, Ramli Tayib, 87, dari Kuala Sungai Muda memberitahu, ini merupakan kali pertama dia menerima wang sebanyak RM500 itu. Saya sendiri tidak menyangka boleh menerima wang ini daripada kerajaan dan bersyukur dengan bantuan yang diberikan hari ini," jelasnya. Mohd. Rejab Salleh, 76, dari Kampung Sungai Bukit Meriam, Kota Kuala Muda pula berkata, dia terharu kerana jasa ahli-ahli Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah itu tidak dilupakan oleh kerajaan negeri. Tanaman padi merupakan sektor penting di negeri ini dan saya percaya industri penanaman padi bakal mengalami perubahan jika generasi muda bersama-sama dengan kami memajukannya," jelasnya. Dalam pada itu, ADUN Pantai Merdeka, Ali Yahya berkata, langkah yang diambil oleh Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah itu amat baik dalam menjaga kepentingan petani di negeri ini. Apa yang penting, ahli-ahli perlu diberi maklumat baharu tentang bidang pertanian melalui seminar atau forum khas anjuran Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah," katanya. |
26 pemilik TOL terima pampasan RM2.27 juta Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT KANGAR 15 April - Kerajaan negeri hari ini menyampaikan pampasan berjumlah RM2.27 juta kepada 26 pemilik tanah Lesen Menduduki Semasa (TOL) yang merupakan kumpulan terakhir penerima ganti rugi pengambilalihan tanah bagi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat Timah Tasoh. Menteri Besar, Azlan Man berkata, ia melibatkan pemilik tanah di lima kawasan iaitu Titi Tinggi, Beseri, Kurung Batang, Wang Besar dan Kuala Perlis dengan kawasan seluas 9.129 hektar. Pemberian pampasan oleh kerajaan ini kerana mengambil kira pemilik asal tanah ini telah mengusahakan pertanian sebagai sumber pendapatan sejak lebih 50 tahun,'' katanya pada sidang media selepas menyampaikan pampasan tersebut kepada pemilik tanah terlibat di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh bernilai RM260 juta ini akan membentuk laluan air dari Empangan Timah Tasoh ke Kuala Perlis sepanjang 22 kilometer dengan melibatkan pengambilan tanah di kawasan Wang Bintong, Kurong Batang, Kuala Perlis, Beseri dan Titi Tinggi dan dijangka siap tahun 2015. Azlan berkata, sekalipun sebahagian daripada pengusaha asal tanah TOL ini sudah meninggal dunia tetapi telah diwarisi kepada anak-anak mereka. Pemilik asal telah meneroka tanah ini yang asalnya hutan untuk diusahakan dengan pertanian tetapi tidak membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan hak milik kekal,'' katanya. Katanya, kerajaan pula akan mengambil semula tanah tersebut jika ia melibatkan keperluan bagi pelaksanaan projek yang bakal dinikmati oleh semua rakyat. Bagaimanapun, katanya, ini kerana mereka kehilangan sumber pendapatan apabila tidak boleh lagi mengusahakan pertanian. Beliau berkata, pemberian pampasan oleh kerajaan terhadap pemilik tanah TOL ini juga yang pertama berlaku di Perlis. Katanya, sekalipun tanah itu milik kerajaan tetapi kerajaan masih memberi pampasan kepada yang mengusahakannya. Azlan berkata, selain kerajaan juga ada memberi bantuan berupa tapak rumah baru kepada pemilik tanah TOL ini tetapi dalam jumlah yang kecil. Beliau berharap pelaksanaan tebatan banjir lencongan barat akan berjalan dengan lancar ekoran pembayaran pampasan untuk semua pemilik tanah di kawasan yang terlibat telah selesai. |
8 ditahan miliki senjata larangan Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT Ahmad Ibrahim (kanan) bersama pegawainya menunjukkan pistol yang dirampas daripada lelaki warganegara Myanmar dalam sidang akhbar di Alor Setar, Kedah, semalam. - Utusan/Safrizal Azmi ALOR SETAR 15 April - Seramai lapan lelaki termasuk seorang warganegara Myanmar ditahan dalam Op Cantas Khas kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan membabitkan senjata api, dalam empat tangkapan berasingan bermula 21 Mac lalu sehingga kelmarin. Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, berikutan penahanan kesemua lelaki berkenaan yang berusia 20 hingga 40-an itu, polis merampas dua pucuk pistol, sepucuk pistol tiruan, selaras senapang kayu buatan sendiri, sejumlah peluru, parang dan topeng muka, yang dipercayai untuk kegiatan jenayah. Beliau berkata, dalam tangkapan pertama pada 21 Mac lalu, polis menahan seorang lelaki warganegara Myanmar, di sekitar Alor Setar, kira-kira pukul 12.45 tengah malam. Susulan itu, dua rakannya yang merupakan lelaki tempatan ditahan dan sepucuk pistol, parang, topeng muka serta motosikal, dirampas. Polis sedang menyiasat pembabitan ketiga-tiganya dalam jenayah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini. Menurutnya, pada 2 April lalu, polis menahan seorang lelaki kerana memiliki senapang kayu buatan sendiri yang dipercayai boleh membunuh di Sik. Dia juga memiliki bahan keluli yang boleh menyebabkan letupan dan kita tahan suspek untuk siasatan," katanya. Tambah Ahmad, pada 9 April lalu, polis merampas sepucuk revolver dan tiga butir peluru ekoran penahanan tiga lelaki di kawasan Kuala Muda, kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan peras ugut. Kata beliau, pada kelmarin pula, seorang lelaki ditahan di kawasan Kuala Muda kerana memiliki sepucuk pistol tiruan. Siasatan percaya suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah di sekitar Sungai Petani dan Seberang Prai," katanya. Menurut Ahmad, Op Cantas Khas yang dijalankan pihaknya berjaya mengurangkan kadar jenayah di negeri ini termasuk gengsterisme selain menyelesaikan beberapa kes. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan