Rabu, 16 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tanah rizab TNB 'diceroboh'?

Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 15 April - Sebidang tanah rizab milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Maluri, Cheras dekat sini didakwa diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan dijadikan tempat pembuangan sampah dan sisa binaan.

Tindakan itu mengakibatkan kawasan sekitar Pusat Penjaja Taman Maluri berhampiran tanah lapang itu sering dilanda banjir lumpur setiap kali hujan lebat.

Sehubungan itu, peniaga di kawasan berhampiran menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan itu.

Aktivis masyarakat, Datuk Omar Awang berkata, kerja-kerja tersebut dipercayai dilakukan secara haram tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan itu.

Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menjadikan tanah lapang yang merupakan bekas kawasan setinggan Sungai Kerayong itu telah berlarutan sejak tahun lalu.

Masalah sama sebelum ini turut berlaku di tanah milik Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga mengganggu penduduk sekitar yang terletak bersebelahan dengan tanah rizab TNB berkenaan.

Kegagalan pihak bertanggungjawab memantau dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan menyebabkan lori yang membawa sisa binaan konkrit bebas keluar masuk menggunakan laluan di situ.

Keadaan ini mengakibatkan kawasan di sini dicemari sisa konkrit dan debu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, seorang peniaga, Tushan Adnan, 60, pula berkata, sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan hanya memudaratkan peniaga dan pengunjung pusat penjaja di situ.

Setiap kali hujan lebat, banjir lumpur melanda kawasan belakang pusat penjaja ini.

Keadaan ini amat menyusahkan kami kerana terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan selepas itu," katanya.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Victor, 60, turut melahirkan rasa kecewa dengan masalah tersebut dan meminta DBKL segera bertindak.

Saya melihat pihak kontraktor yang membersihkan sampah di jalan raya di sini juga tidak tahan dengan sisa-sisa tanah yang jatuh dari lori-lori muatan besar itu sehingga mengotorkan kawasan sekitar.

DBKL perlu turun padang memantau kegiatan ini. Keselamatan dan keselesaan pengunjung dan peniaga perlu diutamakan," tegasnya.

Penduduk halang lori sampah

Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

HULU LANGAT 15 April - Penduduk di Kampung Pasir Baru, Semenyih di sini bertindak menghalang lori-lori sampah daripada menggunakan laluan di kampung itu untuk ke sebuah kilang pelupusan sampah yang didakwa menyebabkan masalah bau busuk dan kotor.

Difahamkan, kira-kira 100 penduduk bertindak sedemikian dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang yang menyebabkan pihak polis terpaksa mengawal keadaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati lori-lori berkenaan tidak berjaya melalui jalan tersebut, malah terpaksa berpatah balik ekoran sekatan tersebut.

Seorang penduduk, Zulkarnain Ahmad, 29, berkata, masalah tersebut sudah menghantui penduduk di situ sejak tahun 2006 berikutan pembinaan kilang pelupusan sampah berdekatan kawasan perumahan mereka.

Sewaktu kilang itu ditubuhkan, mereka menjanjikan bahawa kami akan diberikan pemeriksaan kesihatan dan elektrik percuma serta memastikan kutipan dan pembuangan sampah secara terkawal, namun sehingga hari ini, ia tidak dilunaskan.

Aduan telah banyak kali dilakukan, tetapi tidak diambil endah oleh pihak berwajib. Walaupun Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan satu laluan khas kepada lori terbabit, mereka tetap menggunakan laluan kampung ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, pihak MPKj tidak mendapatkan sebarang persetujuan daripada penduduk berhubung penubuhan kilang tersebut yang kini dilihat membawa pelbagai masalah kepada mereka.

Katanya lagi, pihak MPKj dan kilang tersebut turut berjanji untuk mengawal masalah berkenaan dengan cara menggunakan lori mesra alam bagi membawa sampah serta menyembur cecair setiap hari bagi menghilangkan bau busuk, namun tidak ditunaikan.

Sementara itu, rakannya, Zaiazrun Muzaini, 31, mendakwa, tapak pelupusan sampah baharu yang ditempatkan oleh MPKj kepada kilang terbabit pernah dipohon oleh penduduk supaya dijadikan pembangunan, namun ditolak.

Alasan mereka adalah tanah tersebut telah digazetkan sebagai tanah perkuburan dan merupakan kawasan tadahan air, namun kami bimbang kerana lokasi tersebut berhampiran dengan Sungai Kundur yang terlibat dengan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi.

Kawasan itu sepatutnya menjadi tempat pembuangan sisa pukal sahaja seperti kayu dan batuan, tetapi mereka didapati membuang sisa pepejal yang menyebabkan persekitaran berbau busuk serta terlalu kotor," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Yusri Mansur, 38, mahu campur tangan pihak berwajib terutama, Yang Dipertua MPKj untuk turun padang dan melihat sendiri masalah penduduk di situ.

Setakat ini, tiada seorang pun wakil dari pihak MPKj yang datang ke sini untuk bertemu dengan penduduk bagi membincangkan tentang permasalahan kami.

Baru-baru ini, kami ada dengar yang MPKj akan membuka satu lagi tapak pelupusan baharu tanpa berbincang dan mendapatkan persetujuan penduduk. Situasi ini sama seperti penubuhan kilang itu sebelum ini," katanya.

Lebuh raya BEE kurangkan kesesakan di KL

Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT

PEMBUKAAN Besraya Eastern Extension akan dapat mengurangkan kesesakan di jalan-jalan utama di sekitar ibu negara.

KUALA LUMPUR 15 April - Pembukaan laluan sambungan Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Besraya Eastern Extension (BEE) boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan utama di ibu kota di samping membantu menyuraikan trafik hampir 250,000 kenderaan sehari.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sambungan lebuh raya yang mula dibina sejak 27 Januari 2011 itu menghubungkan secara langsung Besraya, Jalan Istana, Jalan Lingkaran Tengah Satu (MRR1) dan Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Menurut beliau, sambungan lebuh raya itu dapat menyuraikan trafik sedia ada di MRR1 dan MRR2 serta mengurangkan kesesakan di Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Jalan Cheras dan Jalan Shamelin terutama pada waktu puncak.

Pada masa ini, pengguna dari Jalan Istana atau Pusat Bandar yang hendak ke Ampang dan Shamelin atau sebaliknya perlu mengikuti Jalan Sungai Besi, Bulatan Kampung Pandan, dan terus ke Jalan Perkasa atau Jalan Pandan 1 serta terpaksa pula melalui beberapa persimpangan berlampu isyarat.

Pembukaan BEE bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan daripada 20 kilometer kepada 10 kilometer, malah mengurangkan masa perjalanan dari kawasan barat Kuala Lumpur (Jalan Istana) ke timur Kuala Lumpur (MRR2) pada waktu puncak yang biasanya 45 minit kepada 10 minit sahaja," katanya ketika merasmikan pembukaan sambungan lebuh raya tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosnah memberitahu, pengguna akan dikecualikan daripada kutipan tol di Plaza Tol Loke Yew selama sebulan bermula tengah malam ini bersempena pembukaan sambungan lebuh raya tersebut.

Jumlah harga tol sebenar di Plaza Tol Loke Yew hanya akan diumumkan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, Syarikat Besraya (M) Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat konsesi bagi sambungan lebuh raya ini bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran tol selama satu bulan bermula hari ini sehingga 14 Mei ini," katanya.

Pembinaan sambungan lebuh raya sepanjang 12.3 kilometer yang menelan belanja RM700 juta itu telah melengkapkan keseluruhan Besraya sepanjang 28.9 kilometer.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved