Utusan Online - Pahang |
- KBRB sebarkan mesej keamanan
- Kaji semula sistem undi rumah
- Kes denggi di Pahang meningkat 106 peratus
Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT Oleh AHMAD ZAKKI JILAN Jalur Gemilang dikibarkan oleh peserta Kayuhan Keamanan Sedunia Kelab Berbasikal Reborn Raub 2014 ketika melalui di salah sebuah bandar di Manila, Filipina, baru-baru ini. KUANTAN 14 April - Sememangnya agak luar biasa bagi sebuah kelab berbasikal yang kecil dan kurang dikenali berjaya menganjurkan program kayuhan sejauh lebih 400 kilometer di empat negara ASEAN dalam tempoh tiga tahun penubuhannya. Sejak ditubuhkan pada 24 Ogos 2011, Kelab Berbasikal Reborn Raub (KBRB) sudah menjelajah ke Thailand, diikuti Singapura dan Kemboja sebelum ke Filipina baru-baru ini. Kejayaan KBRB itu didorong oleh matlamat serampang dua mata penubuhannya yang bertujuan memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang menyokong keamanan, selain membantu melahirkan masyarakat ASEAN yang berkongsi prinsip sama dengan negara ini. Presiden KB RB, C. Thevendran berkata, sejak kelab ditubuhkan, aktiviti berbasikal untuk keamanan merupakan antara acara tahunan yang semakin mendapat sambutan bukan sahaja penggemar aktiviti berbasikal tetapi juga masyarakat yang cintakan keamanan. Untuk tujuan itu, KBRB mengambil langkah proaktif menganjurkan Program 1Malaysian Peace World Cycling Tour KBRB To 1ASEAN". Program ini bermula dengan kayuhan di Thailand pada 2012 dengan disertai 20 peserta Malaysia dan 10 peserta dari wilayah Songkhla. Perjalanan dua hari dari Sadao ke Hat Yai dan Songkhla adalah sejauh 153 kilometer. Di Singapura pada tahun berikutnya pula, sejauh 86 kilometer dilalui peserta 23 peserta Malaysia dan 20 peserta Singapura. Di republik itu, selain berbasikal, peserta mengambil inisiatif melakukan lawatan ke tempat-tempat yang lazim dilawati pelancong seperti Merlion, selain bandar raya Singapura itu sendiri, kata beliau. Ujar Thevendran, begitu juga kayuhan di Kemboja yang semakin mendapat tempat apabila disertai 21 peserta Malaysia dan 35 (Kemboja). Sejauh 100 kilometer dilalui peserta sepanjang dua hari kayuhan bersejarah itu. Para peserta juga diberi peluang melawat Phnom Penh, Siem Reap dan Angkor Watt bagi tujuan menyebarkan mesej keamanan rakyat Malaysia kepada negara luar. Di Filipina baru-baru ini pula, sejauh 70 kilometer dilalui oleh 50 peserta melibatkan 35 orang dari Filipina dan 15 (Malaysia). Di negara tersebut, kayuhan bermula di kawasan pelancongan tanah tinggi iaitu Tagaytay dan melalui beberapa lokasi menarik termasuk 15 tempat, antaranya Silang, Dasmarinas, Bacoor City, Pasay, Laspinas serta Baclaran. Misi kayuhan berakhir di Kedutaan Malaysia, Manila di Jalan Tordesillas, Makati City. Acara simbolik bertukar-tukar bunga mawar di antara peserta Malaysia dan Filipina sebelum memulakan kayuhan di Tagaytay, Filipina, baru-baru ini. Kayuhan yang bermula pada 7 pagi itu berakhir lima jam kemudian dengan para peserta kayuhan disambut oleh Duta Besar Malaysia, Datuk Mohd. Zamri Mohd. Kassim. Uniknya, misi kayuhan keamanan itu turut mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Peace Loving Family (GPLF). Bagi salah seorang peserta, Muhammad Syukri Addenan, 24, acara kayuhan itu disifatkan sangat unik kerana selain tujuannya untuk kesihatan, berbasikal juga boleh menjadi landasan untuk menunjukkan kepada dunia luar bahawa wujudnya perpaduan dan keamanan dalam kalangan rakyat. Dalam setiap acara kayuhan di setiap empat negara ASEAN yang dijelajah, terdapat peserta pelbagai kaum terlibat. Ini menunjukkan bahawa ikatan sesama rakyat Malaysia itu sangat erat. Malah peserta dari negara hos juga diundang untuk turut sama menyertai kayuhan. Ini pula boleh mengukuhkan hubungan dua hala, katanya yang mengikuti keempat-keempat misi kayuhan sebelum ini. Sementara itu, peserta Filipina, April Sarmiento, 27, pula berkata, inisiatif yang diambil KBRB sangat baik dalam mempromosi sesebuah negara itu selamat dikunjungi. Saya baru mengetahui bahawa 2014 adalah Tahun Melawat Malaysia semasa berbual dengan salah seorang peserta. Ternyata semangat yang ditunjukkan peserta Malaysia melambangkan negara itu selamat dikunjungi. Inilah masa dan ketikanya peserta dari Filipina mencungkil rahsia keamanan yang ada di Malaysia dan kita semua boleh mempromosinya di negara sendiri. Saya kira ini sudah cukup baik untuk diteruskan, kata April. Dalam pada itu, Mohd. Zamri berkata, pihaknya sentiasa menyokong setiap acara yang bertujuan mempromosikan negara sebagai destinasi selamat dikunjungi, selain membantu mengukuhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Manila. Misi kayuhan sebagaimana yang dijayakan KBRB sememangnya wajar disokong kerana berjaya menunjukkan bahawa bukan sahaja berbasikal itu aktiviti riadah yang menyihatkan tetapi berupaya menjalinkan hubungan baik antara dua negara melalui penyertaan Malaysia dan Filipina, ujar Mohd. Zamri yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta. Matlamat KBRB seterusnya ialah kayuhan keamanan ke Indonesia pada November ini sebelum ke Vietnam, Laos dan Brunei pada 2015. Malah, KBRB turut menyasarkan kayuhan ke Perth, Australia pada 2016. |
Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD KUALA LIPIS 14 April - Kerajaan diminta mengkaji semula sistem pengundian untuk skim perumahan mampu milik dan menetapkan 30 peratus kuota kepada belia bumiputera. Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Mohd. Farid Mohd. Noor berkata, langkah itu perlu memandangkan majoriti belia bumiputera antara golongan yang paling sukar untuk memiliki rumah terutama di kawasan bandar. Memandangkan harga rumah yang tinggi berbanding pendapatan rendah golongan terbabit maka sewajarnya penetapan kuota perlu dilakukan bagi mendapat pembiayaan daripada pihak bank. Kegagalan memperoleh pembiayaan misalnya akan menyebabkan sesetengah belia berkenaan yang terpilih melalui undian terbuka terpaksa membatalkan hasrat untuk memiliki rumah, sekali gus membuka ruang kepada orang lain untuk membelinya," katanya di sini semalam. Menurut Mohd. Farid, tanpa penetapan kuota itu kemungkinan kekosongan berkenaan akan diisi oleh golongan bukan bumiputera. Sudah banyak berlaku projek perumahan swasta membabitkan lot rumah kos rendah dan sederhana di bandar yang diperuntukkan kepada bumiputera, tetapi kemudian diisi oleh bukan bumiputera dengan alasan mereka membuat tempahan awal," katanya. Sehubungan itu, katanya, penetapan kuota tersebut adalah relevan serta sebagai jaminan jika pembeli dipilih menerusi undi gagal meneruskan hasratnya, rumah tersebut tetap diisi oleh pembeli lain dalam kalangan bumiputera juga. Sistem kuota tidak bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik kerana sememangnya rata-rata mereka tergolong dalam golongan ini adalah bumiputera. Sebaik-baiknya Pemuda UMNO juga berharap kuota yang lebih besar diberikan kepada bumiputera, namun kita memahami dan menghormati perasaan rakan daripada pemimpin parti komponen yang turut menjaga kebajikan kaum masing-masing," katanya. |
Kes denggi di Pahang meningkat 106 peratus Posted: 14 Apr 2014 12:29 PM PDT NOROL Azali Sulaiman (kiri) memberi penerangan mengenai tempat pembiakan jentik-jentik kepada penduduk selepas melancarkan Gotong-royong Perdana Perangi Denggi Peringkat Negeri Pahang di Sungai Isap Perdana, Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI KUANTAN 14 April - Kes demam denggi yang berlaku di negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga Khamis lalu dilaporkan meningkat sebanyak 106 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, ini berikutan sebanyak 348 kes denggi berlaku dalam tempoh tersebut untuk tahun ini berbanding 169 kes tahun lalu. Menurut beliau, bagaimanapun kes denggi di negeri ini menunjukkan trend penurunan yang agak konsisten iaitu antara minggu ke-10 hingga ke-14. Pada minggu ke-10 iaitu 2 Mac hingga 8 Mac sebanyak 30 kes berlaku manakala minggu ke-14 iaitu 30 Mac hingga 5 April, 22 kes berlaku. Selain itu, jumlah kes mingguan yang tertinggi adalah pada minggu keempat dan minggu ketujuh yang masing-masing mencatatkan bilangan sebanyak 40 kes," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Gotong-Royong Perdana Perangi Denggi Gempur Aedes Peringkat Negeri di Sungai Isap Perdana di sini semalam. Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Abu Bakar Awang Ngah. Menurut Norol Azali, dalam tempoh yang sama juga sebanyak 18 kawasan wabak denggi dikesan di negeri ini iaitu 16 kes berlaku di taman perumahan dan dua di tanah rancangan Felda. Kuantan mencatatkan paling banyak kawasan wabak iaitu lapan, diikuti Jerantut (empat) dan masing-masing satu di Temerloh dan Raub," katanya. Tambah beliau, sebanyak 4,399 premis telah diperiksa dan didapati 80 daripadanya dikesan membiakkan jentik-jentik aedes. Sebanyak 76 kompaun bernilai RM500 setiap satu telah dikeluarkan terhadap premis tersebut manakala 24 Notis Seksyen 8 pula terhadap premis yang berpotensi membiakkan nyamuk aedes," katanya. Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri juga telah melaksanakan langkah pencegahan dan kawasan kes demam denggi dengan melakukan semburan kabus ke atas 286,654 premis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan