Utusan Online - Utara |
- Haram kerana sekutukan Allah
- Premis perniagaan milik MPSP terus terbiar
- Tiga stesen minyak disita kes seludup minyak bersubsidi
Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST Oleh SAFINA RAMLI ALOR SETAR 17 Jan. - Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) Kedah menegaskan bahawa adalah haram bagi umat Islam menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kerana tindakan itu jelas sebagai satu cubaan untuk menyekutukan Allah. Pengerusi YPP1M Kedah, Sabri Osman berkata, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah satu perkara yang tidak logik dan tidak wajar disokong oleh umat Islam di negara ini. "Adalah haram hukumnya bagi orang Islam menyokong penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam dan kami minta rakyat negara ini agar jangan menyokong perkara tersebut. "Kalau mereka masih ingin menggunakan juga kalimah Allah, mereka perlu mengucapkan kalimah syahadah terlebih dahulu dan kita tidak ada masalah jika mereka mahu menggunakan kalimah Allah selepas itu. "Orang bukan Islam memang jelas telah menyekutukan Allah dan tidak munasabah untuk mereka menggunakan kalimah Allah," katanya kepada pemberita di Bangunan Tunku di sini semalam. Sabri yang juga pengasas Madrasah Al-Ulum Al-Diniah Al-Osmaniah Pondok Tanjung Kapur, Jitra di sini berkata, kerajaan juga tidak perlu berlembut lagi dengan golongan bukan Islam yang terus mendesak untuk menggunakan kalimah Allah. "Bukan masanya lagi untuk terus berlembut dengan golongan ini, saya sendiri sudah dua kali bercakap mengenai perkara ini. "Kami minta kerajaan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang termaktub dan sekiranya tiada tindakan diambil maka kerajaan boleh disifatkan lemah dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah," ujarnya. Tambah beliau, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam juga tidak seharusnya menjadi isu politik kerana ia melibatkan soal akidah umat Islam di negara ini. "Soal akidah kita tidak boleh sentuh dan saya minta agar orang politik jangan mengambil kesempatan dalam isu ini. "Pemimpin politik tanpa mengira parti perlu bersatu dan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini agar tidak ada lagi golongan bukan Islam yang berani menghina agama Islam," jelasnya. |
Premis perniagaan milik MPSP terus terbiar Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST MOHAMAD Saud menunjukkan kayu bumbung yang terbiar dan rosak di lot kedai milik MPSP di Taman Bertam Indah di Pulau Pinang, semalam. KEPALA BATAS 17 Jan. - Usaha pelbagai pihak, termasuk kerajaan untuk melahirkan golongan peniaga dan usahawan kecil bumiputera tidak akan tercapai jika kemudahan yang disediakan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Perkara itu dapat dilihat apabila lot kedai yang dibina oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Taman Bertam Indah di sini bukan sahaja terbiar, tetapi turut tidak diselenggarakan. Lebih mengecewakan, peniaga yang berjaya memperoleh lot kedai di situ tidak menjalankan perniagaan mereka dengan memberi pelbagai alasan termasuk lokasinya tidak sesuai untuk perniagaan. Keadaan itu menyebabkan ramai peniaga kecil lain yang amat memerlukan lot kedai untuk menjana pendapatan melalui perniagaan tidak berkesempatan berbuat demikian. Bagi meneruskan kelangsungan hidup, mereka terpaksa memulakan perniagaan di kaki lima dan tepi jalan tetapi keadaan itu tidak bertahan lama selepas diusir MPSP kerana menjalankan perniagaan di tempat yang tidak dibenarkan. Tinjauan Utusan Malaysia bersama Yang Dipertuan Majlis Belia Daerah (MBD) Seberang Perai Utara, Mohamad Saud ke lot kedai itu mendapati, premis tersebut ditutup hampir 10 tahun lalu kerana mempunyai pelbagai masalah terutama dari segi penempatan peniaga. "Kita difahamkan selain lokasinya yang tidak sesuai terdapat masalah perebutan lot kedai antara beberapa pihak antaranya persatuan penduduk taman berkenaan, peniaga yang mendapat sokongan ahli majlis dan peniaga yang ditaja pihak-pihak tertentu. "Perbalahan berpanjangan ini menyebabkan masing-masing memulau antara satu sama lain hingga menyebabkan premis dengan sebanyak 20 buah lot kedai itu akhirnya tidak lagi beroperasi," katanya. Mohamad menambah, sikap tidak bertanggungjawab itu dan kurangnya penyelenggaraan daripada MPSP akhirnya menyebabkan banyak kemudahan di situ rosak termasuk sebahagiannya menjadi mangsa vandalisme. Malah, menurutnya, disebabkan terlalu lama terbiar premis itu kini dijadikan lokasi untuk kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah dan maksiat. "Bagi memastikan kedai di sini beroperasi semula, MPSP perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga terbabit termasuk membatalkan kelulusan yang diperoleh mereka. "Peluang sepatutnya diberikan kepada peniaga yang benar-benar berminat untuk menjalankan perniagaan di sini atau memberi kebenaran kepada pihak lain seperti pertubuhan belia untuk dijadikan pusat kegiatan mereka termasuk bagi yang berminat menjalankan perniagaan," katanya. |
Tiga stesen minyak disita kes seludup minyak bersubsidi Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST KHAIRUL Amin Talib (dua dari kiri) memerhatikan pegawai penguat kuasa memasang pelekat sita pada pam sebuah stesen minyak di Simpang Empat, Kangar, Perlis, kelmarin. - BERNAMA KANGAR 17 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Perlis (PPDNKKP) menyita tiga buah stesen minyak pada bulan ini dalam usaha membanteras kes penjualan minyak bersubsidi untuk diseludup ke negara jiran. Pengarahnya, Khairul Amin Talib berkata, dua kes yang melibatkan stesen minyak di Kangar dan Arau telah pun dihadapkan ke mahkamah. ''Terbaru sebuah lagi stesen minyak di Simpang Empat disita dan PPDNKKP kini sedang menjalankan siasatan lanjut sebelum pihak terbabit dihadapkan ke mahkamah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Khairul Amin berkata, pihaknya juga sedang mengumpul maklumat untuk mengadakan serbuan terhadap beberapa buah lagi stesen minyak yang didapati bersubahat dalam penjualan minyak bersubsidi bagi tujuan penyeludupan. Beliau berkata, stesen minyak di Arau disita pada 3 Januari dan selepas dibuka semula pada 7 Januari, ia menunjukkan perbezaan jualan petrol yang ketara. ''Sebelum tindakan, jualan petrol di stesen minyak itu mencatat sebanyak 19,135 liter sehari manakala selepas tindakan, ia hanya 12,261 liter di mana purata jualan harian menurun sebanyak 6,874 liter," katanya. Katanya, kes yang melibatkan stesen minyak di Repoh pula ialah pada 27 Disember dan dibuka semula pada 2 Januari. Khairul Amin berkata, sebelum tindakan itu, jualan minyak sehari di stesen tersebut berjumlah 26,644 liter sedangkan selepas tindakan, ia mencatat 16,371 liter sehari, iaitu purata jualan minyak sehari menurun 10,273 liter. Dalam kes terbaru di Simpang Empat pada 13 Januari lalu, ia melibatkan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun kerana dikesan mengisi minyak sebanyak 400 liter ke dalam tangki kereta jenis Proton Iswara yang diubah suai. Selain itu, kata Khairul Amin, sebanyak 21,589 liter Ron 95 di stesen minyak tersebut disita dan nilai rampasan pula berjumlah lebih kurang RM56,000. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan