Utusan Online - Sukan |
Harimau Selatan memang ada kelas Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh NURUL HUDA HASSAN, MOHAMAD FAIZAL HASHIM, ISWAN SHAFIQ MAT ISA dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB Amri Yahyah (kiri) menanduk gol pembukaan Johor Darul Ta'zim dalam perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI KUALA LUMPUR - Pasukan yang menjadi tumpuan dalam saingan Liga Malaysia musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila mengutip tiga mata pada perlawanan pembukaan Liga Super selepas menumbangkan Perak 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam. Bermain di hadapan lebih 30,000 penyokong setia, skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras apabila Perak yang menampilkan ramai pemain muda berjaya bertahan dengan baik sebelum skuad kendalian Cesar Ferrando Jiminez itu memastikan kemenangan milik mereka. Gol pasukan JDT dijaringkan oleh bekas pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-38, manakala gol kedua diperolehi daripada pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa, dua minit sebelum permainan tamat. Harimau Selatan hampir mendapatkan gol pertama mereka menerusi bintang import, Pablo Aimar pada minit keenam namun sepakannya tersasar. JDT memperoleh gol pertama menerusi tandukan ke belakang Amri hasil sepakan sudut dari sebelah kanan pada minit ke-38. Masuk separuh masa kedua, tuan rumah terus memberi tekanan kepada Perak dengan Figueroa hampir menjaringkan gol kedua untuk JDT, namun tandukannya melepasi gawang. Bekas pemain Panathinaikos itu menebus kehampaan pada minit ke-88 apabila dia mudah menyepak masuk hasil hantaran cantik Safiq Rahim dari luar kotak penalti. Dalam satu lagi perlawanan, pemain import kelahiran Guinea, Mamadou Hady Barry muncul wira Terengganu apabila meledak dua gol pada minit ke-22 dan 66 bagi menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Walaupun ketinggalan terlebih dahulu apabila pelawat berada di depan melalui jaringan pemain antarabangsa Indonesia, Hamka Hamzah pada minit ke-17, namun Sang Penyu bangkit dengan penuh bergaya. Tidak sampai empat minit kemudian, tuan rumah memperolehi gol penyamaan apabila Barry bijak memperdayakan pertahanan PKNS melalui tandukan cantik. Dia menggandakan jaringan selepas mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Md. Remezey Che Ros hasil umpanan jauh tonggak pertahanan, Mazlizam Mohamad. Seperti mana pasukan jirannya, Kelantan juga bangkit daripada ketinggalan untuk mengutip tiga mata penuh apabila membenam cabaran pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Super musim ini, Sime Darby dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Beraksi di hadapan 25,000 penyokong setia, The Red Warriors bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat pada minit ketujuh hasil sepakan percuma Mohd. Fazdli Shaari yang gagal dijangkau Khairul Fahmi Che Mat. Bersambung babak kedua, Kelantan yang seakan-akan mendapat suntikan semangat daripada ketua jurulatih baharu, Steve Darby mengubah corak permainan lebih pantas sehingga beberapa kali mengancam kubu gol pelawat. Asakan bertali arus Kelantan itu akhirnya berjaya membuahkan hasil pada minit ke-60 apabila Mohammed Ghaddar yang berada didalam kotak penalti bijak menyudahkan hantaran Forkey Doe. Dia kemudian bertindak menjaringkan gol kemenangan pada minit-79 hasil sepakan penalti. Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berdepan sebarang masalah apabila menewaskan Sarawak 2-0 melalui penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Marlon Alex James pada minit ke-17 dan Christie Jayaseelan, minit ke-35. |
Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Paolo Rangel (kanan) dan Stilianos Pantelidis (dua, kanan) melakukan percubaan buat Selangor dalam perlawanan Liga Super menentang T-Team di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam. - MINGGUAN/AZLIZA HAILANI PETALING JAYA - Jika ada pihak meragui kemampuan Selangor pada musim ini, kemenangan 2-0 ke atas T-Team di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam membuktikan Red Giants ada ramuan tersendiri untuk menjadi antara pencabar utama Liga Super 2014. Ayam tambatan terbaru Selangor, Paolo Rangel yang merupakan bekas penyerang Perak menyumbangkan kedua-dua gol tuan rumah dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 15,000 penonton pada minit ke-63 dan 70 bagi memberikan permulaan baik kepada jurulatih baru, Mehmet Durakovic. Tanpa kehadiran Andik Vermansah, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri, Selangor tampak tetap berbisa dengan kehadiran pemain import Brazil, Junior Aparecido selain larian pantas S. Kunanlan sering kali mengancam kubu pertahanan T-Team sepanjang permainan. Biarpun mengasak berulang kali ke arah kubu T-Team melalui peluang terhidang yang dimiliki Rangel dan Junior, skuad kendalian Mohd. Azraai Khor boleh menarik nafas lega apabila mampu mengikat Red Giants seri tanpa jaringan pada babak pertama selepas hanya mampu bertahan di dalam kawasan sendiri. Namun, segala kebuntuan itu akhirnya dipecahkan apabila Selangor memperolehi jaringan pertama berpunca daripada situasi kelam kabut di dalam kotak penalti sebelum Rangel menanduk masuk ke dalam gawang T-Team ketika penjaga gol, Mohd. Shahril Sa'ari sekadar terpaku memerhati bola yang masuk. Kemasukan Abdul Hadi Yahaya yang menggantikan Abdul Shukor Jusoh, membuka ruang kepada Rangel untuk mendapatkan gol kedua selepas hantaran silang dari sebelah kanan tepat menuju di atas kepala pemain dari Brazil itu dan dia sekali membuktikan tandukannya cukup berbisa apabila mudah menewaskan Shahril tanpa dicabar oleh mana-mana pertahanan lawan. Tiga mata penuh dalam perlawanan pertama itu ternyata menceriakan Durakovic yang mengakui masih banyak lagi boleh diberikan oleh pasukannya ekoran beberapa pemain masih tidak diturunkan pada aksi sulung Liga Super. ''Persembahan yang begitu baik berjaya ditunjukkan oleh semua pemain walaupun kita mungkin boleh mendapatkan dua atau tiga gol lagi kerana banyak mencipta peluang, tiga mata yang lebih mustahak. ''Aksi pemain di bahagian sayap memberikan kelebihan kepada kami pada hari ini (semalam) kerana sentiasa mencipta gerakan berbahaya dan memberi tekanan kepada pertahanan lawan. ''Pasukan kita bukannya terdiri daripada pemain bintang cuma kerjasama berpasukan selain mempamerkan komitmen di atas padang menjadi kunci kejayaan kami pada petang ini, " katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan