Sabtu, 18 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Apa dosa pelatih GiatMara!

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh Azman Anuar
azman.anuar@utusan.com.my

APA yang patut dilabelkan kepada pemimpin yang seolah-olah tidak pentingkan pendidikan untuk anak bangsa? Kenapa Kerajaan Negeri Selangor tergamak hendak menutup GiatMara Selayang pula? Siapakah sebenarnya di belakang tabir tindakan kerajaan negeri ini?

Apabila di pandang belakang tentang perjuangan mempertahankan institusi pendidikan di negara ini, masyarakat Cina nampaknya lebih baik daripada Melayu.

Pemimpin kerajaan pakatan pembangkang Selangor sekarang tidak seperti masyarakat kaum Cina yang sanggup bermati-matian mempertahankan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) walaupun hanya tinggal 10 orang murid. Agenda untuk menutup sahaja sekolah tersebut tidak mungkin berlaku. Kaum Cina juga tak malu-malu minta bantuan dana kerajaan untuk pendidikan SJKC.

Di sebaliknya, pemimpin Melayu yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor sekarang pula yang beria-ia mahu menutup sebuah lagi institusi kemahiran untuk anak Melayu!

Apa masalah sebenar pada pemimpin kerajaan Selangor hingga Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak hantar surat mengarahkan pengurusan pusat latihan kemahiran GiatMara di Taman Selayang Baru mengosongkan pusat latihan itu dalam tempoh setahun.

Beginikah sikap pemimpin Melayu di sebelah sana apabila mendapat semula kepercayaan rakyat. Nampaknya, bertambah menjadi-jadi usaha untuk 'mengganggu' dan melemahkan apa sahaja institusi modal insan yang berkaitan dengan Kerajaan Pusat.

Kalau masalah tanah yang diduduki tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri yang dipimpin pakatan pembangkang sekarang, maka keluarkan sahaja arahan baharu secara rasmi bagi membolehkan GiatMara memohon untuk terus kekal di lokasi berkenaan. Bukan susah. Itupun kalau pemimpin Melayu pakatan pembangkang Selangor ikhlas ingin membantu dan memajukan pusat tersebut.

Jika GiatMara Taman Selayang Baru tidak mahu 'diselamatkan', ini adalah kali kedua kerajaan Selangor menutup pusat GiatMara di negeri itu. Sebelum ini pusat GiatMara di Merbau Berdarah, Sabak Bernam turut diarahkan tutup pada pertengahan tahun 2012.

Benar atau secara kebetulan tindakan Kerajaan Selangor mewujudkan pelbagai halangan kepada pembinaan dan penyewaan pelbagai kolej pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di negeri itu, tetapi ia memperlihatkan seolah-olah mereka anti-Mara.

Sikap anti-Mara ini jelas dapat dilihat sejak beberapa tahun lalu apabila Kerajaan Negeri Selangor enggan membenarkan pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan di Serendah, Selangor.

Malah perkara mengejutkan apabila Kerajaan Selangor turut cuba merampas tanah milik YBK itu hingga menyebabkan UiTM yang sepatutnya dibina di tapak berkenaan dipindahkan ke Jasin, Melaka. Kalau pembinaan UiTM di Serendah tidak disekat lebih dua tahun lalu, mungkin kini ia sudah beroperasi.

Inilah bezanya antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan pakatan pembangkang. Kerajaan BN boleh bertolak ansur untuk membantu anak-anak bangsa yang tercicir demi memberikan mereka kemahiran.

"Malangnya, pakatan pembangkang pula menggunakan undang-undang untuk kepentingan mereka sendiri. Saya tahu tapak itu adalah milik kerajaan negeri dan bukan milik GiatMara, tetapi sebagai sebuah kerajaan prihatin dan mahu membangunkan modal insan, mereka sepatutnya boleh bertolak ansur seperti yang diamalkan oleh kerajaan BN sebelum ini," kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN), Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini.

Semasa pentadbiran BN sebelum ini, kerajaan negeri tidak mengenakan bayaran sewa bangunan kepada GiatMara atas prinsip institusi latihan itu berperanan membangunkan modal insan dan pendidikan rakyat.

Banyak lagi isu lain dalam bidang pendidikan di bawah kerajaan negeri yang bagaikan 'tikus membaiki labu' seperti isu bangunan asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan isu pengurusan Universiti Selangor (Unisel).

Kerajaan Selangor dilihat banyak bermain politik dan menyalahgunakan kuasa, dan akhirnya rakyat yang rugi.

Masyarakat Melayu yang memahami kewujudan pusat latihan GiatMara selama 20 tahun itu akan menggelengkan kepala dengan tindakan terbaharu ini. Tutup memang mudah, tetapi untuk mewujud dan membinanya semula terpaksa mengambil masa yang lama lagi.

Apa masalah dan dosa institusi latihan ini yang banyak membantu memajukan anak Melayu di Selangor? Mengapa kerajaan negeri sangat memusuhi Mara?

GiatMara ialah tempat pelatih mendapatkan kemahiran dalam bidang mekanikal, pengangkutan, seni bina, percetakan, elektrikal, pembuatan, komputer & teknologi maklumat, elektronik/mekatronik, fabrik, dandanan rambut dan persolekan, kulinari dan hospitaliti.

Penganalisis sosio ekonomi, Rohami Shafie berkata terdapat tiga objektif penubuhan GiatMara iaitu melahirkan tenaga mahir negara; mewujudkan usahawan; dan membantu membasmi kemiskinan.

"Kalau melihat kepada objektif pertama, penutupan GiatMara tanpa sebab yang kuat, menyebabkan peluang kepada golongan generasi muda bumiputera yang tidak dapat memasuki universiti akan semakin terbantut.

"Bukan semua ratusan ribu lepasan SPM setiap tahun dapat memasuki universiti. Dengan adanya GiatMara, golongan ini dapat bersaing dalam dunia kompetitif dengan terlibat dalam bidang yang diminati.

Tanpa sebab munasabah?

"Malangnya apabila ditutup, apa akan terjadi kepada generasi muda bumiputera yang tidak dapat memasuki universiti ini?" kata Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Rohami berpendapat GiatMara sewajarnya dinaiktarafkan sebagai sebuah institut kemahiran tinggi yang memberi kerjaya cemerlang kepada pelajarnya dan bukannya ditutup tanpa sebab munasabah.

Apa akan terjadi kepada nasib mereka ini kerana diketahui umum golongan bumiputera masih ketinggalan dalam pendidikan kemahiran. Ini sekali gus boleh menggagalkan visi negara untuk menjadi sebuah negara maju jika rakyatnya tidak mempunyai kemahiran tinggi.

Maka, kita terpaksa mengimport warga negara asing yang separa mahir untuk bekerja di negara kita. Akhirnya, bukan sahaja rakyat dan negara mengalami kerugian besar dari segi peluang pekerjaan dan ekonomi, tetapi juga bakal mendatangkan pelbagai masalah dari sudut sosial apabila warga asing menguasai pasaran industri berteraskan teknikal dan vokasional.

Melalui kemahiran tinggi, diharapkan para pelajar GiatMara dapat menjadi usahawan berjaya pada masa akan datang. Objektif kedua GiatMara ini kata Rohami, akan meramaikan usahawan bumiputera berteraskan kemahiran teknikal dan vokasional.

"Sepatutnya, usaha ini disokong sepenuhnya kerana jika golongan bumiputera gagal dalam bidang keusahawanan, ia bakal mengundang permasalahan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

"Peluang untuk bumiputera mempertingkatkan kemahiran teknikal dan vokasional tidak boleh disekat sama sekali. Jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera sememangnya besar tetapi akan jadi lebih parah jika generasi muda bumiputera tidak diberikan pendedahan ilmu pengetahuan berteraskan kemahiran.

"Ilmu kemahiran yang dipelajari di GiatMara boleh membantu mereka menjadi usahawan berjaya. Sewajarnya mereka disokong dan diberikan bantuan yang lebih besar untuk berjaya dalam bidang keusahawanan. Dan bukannya disekat peluang mereka untuk maju ke hadapan dalam bidang keusahawanan.

"Sesuatu yang amat malang sekali apabila peluang untuk sesuatu kaum memajukan ekonominya disekat. Kaum bumiputera akan semakin ketinggalan berbanding bukan bumiputera ketika negara bergelar negara maju. Adakah ini yang kita mahukan?" soal Rohami yang juga Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, UUM.

Malaysia perlu melahirkan masyarakat keusahawanan dan bukan setakat masyarakat yang berkerjaya makan gaji sahaja kerana ia merupakan keperluan masa hadapan.

Objektif ketiga, terang-terangan bertujuan untuk membasmi kemiskinan. Maka, salah satu usaha besar untuk membantu membasmi kemiskinan bumiputera adalah dengan memberi ilmu kemahiran agar mereka boleh berdikari dalam membina kerjaya masing-masing.

"Tiada guna negara kita menjadi maju tetapi jurang pendapatan antara yang kaya terlalu besar berbanding yang miskin. Kaum yang kaya pula dikuasai oleh satu kaum minoriti sahaja manakala yang miskin pula ialah golongan majoriti. Malang sekali jika Malaysia bergelar negara maju dalam keadaan sebegini," komen Rohami.

Secara keseluruhan, penutupan GiatMara merupakan satu tindakan yang bakal mengagalkan wawasan untuk mewujudkan tenaga kerja mahir dan usahawan berjaya dan berdaya saing dalam kalangan bumiputera.

Jika institusi ini mahu ditutup tanpa tindakan susulan dengan membina institusi kemahiran yang lebih baik, maka ia merupakan tindakan ke belakang yang merugikan banyak pihak walhal dunia zaman sekarang berkehendakan tenaga kerja mahir.

Ubah cara kita berbelanja

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

DALAM isu membabitkan kepentingan pengguna, tidak ramai yang berani ke depan seperti yang sering dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Oleh sebab itu, asal sahaja timbul isu berkaitan kepenggunaan, ramai yang menantikan reaksi CAP. Begitu juga dalam isu kenaikan harga barang ketika ini yang dilihat semakin menekan pengguna. Ketika sebahagian besar daripada kita memilih menyalahkan kerajaan ekoran kenaikan harga barang, Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris pula mempunyai pandangan berbeza. Katanya, beban kenaikan harga barang itu boleh dielakkan sekiranya pengguna bijak mengatur perbelanjaan dan paling utama bersederhana dalam kehidupan.

Sebagai contoh, saya sendiri memakai baju yang berharga cuma RM30, malah kasut saya pun masih sama yang saya pakai sejak lebih tiga tahun lalu," katanya. Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL di pejabatnya di Jalan Masjid Negeri, Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini, S. M. Mohamed turut berkongsi pelbagai isu mengenai kepenggunaan. Antaranya berkenaan subsidi kerajaan, penguatkuasaan undang-undang berkaitan pengguna dan banyak lagi.

MINGGUAN: Bagaimana tuan melihat isu kenaikan harga barang ketika ini?

S. M. MOHAMED: Masalah kenaikan harga ini adalah fenomena global dan tidak hanya berlaku di Malaysia. Oleh sebab kita turut bergantung kepada barangan import, maka kesan inflasi itu turut dirasai rakyat di negara ini. Tetapi masalahnya kita dalam melihat isu kenaikan harga ini selalunya akan menuntut supaya gaji turut dinaikkan. Jika begini keadaannya, isu melibatkan kenaikan harga barang ini tidak akan berakhir. Sedangkan kita sebagai pengguna sebenarnya boleh mengelak daripada merasai tekanan daripada kenaikan harga barang ini. Sebagai contoh dengan merubah cara pemakanan kita.

Saya melihat budaya rakyat Malaysia gemar memakan makanan yang sebenarnya tidak diperlukan tubuh badan. Antaranya terlalu kerap minum kopi dan teh serta mengambil ayam dan daging dalam kuantiti yang terlalu banyak. Sepatutnya mereka melebihkan pengambilan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang pastinya lebih murah. Namun yang lebih penting ialah kawalan perbelanjaan dalam kalangan setiap rakyat itu sendiri. Saya melihat rakyat Malaysia suka berbelanja untuk perkara-perkara yang tidak diperlukan mereka. Kita juga sering membazir dalam mengadakan majlis-majlis seperti perkahwinan, sambutan perayaan atau meraikan ulang tahun. Sedangkan majlis-majlis seperti ini boleh dibuat secara sederhana. Malah dalam Islam sendiri pun ditekankan supaya kita tidak membazir.

Saya ambil juga contoh rakyat kita apabila makan di restoran-restoran, mereka akan pesan lebih daripada dua atau tiga jenis makanan. Adakah tidak boleh mereka makan hanya satu jenis makanan? Begitu juga apabila mereka pesan minuman, mesti mahu minuman yang manis dan berperisa. Apakah tidak boleh untuk mereka pesan hanya air kosong atau air suam? Tetapi itulah, air kosong dan air suam sekarang pun perlu bayar sehingga 50 sen dan ini sangat tidak wajar. Dalam situasi seperti hari ini, kita perlu mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap perbelanjaan dalam semua aspek kehidupan kita. Jadi kenapa masyarakat tidak ubah cara hidup mereka terlebih dahulu. Bukan hanya pandai mengkritik dan menyalahkan kerajaan setiap kali berlakunya kenaikan harga barang.

Maksudnya ada yang tidak kena dengan cara hidup dan budaya berbelanja masyarakat kita?

S. M. MOHAMED: Masalahnya kebanyakan rakyat Malaysia, apabila berbelanja, kita bukan membeli barang keperluan, tetapi membeli barang keterlaluan. Setiap kali berbelanja, kita isi peti sejuk sampai penuh. Kita selalu beranggapan apabila kita beli barang dalam kuantiti yang banyak, kita dapat berjimat dalam berbelanja. Tapi persoalannya, adakah kita benar-benar menggunakan barangan yang kita beli dalam kuantiti yang banyak itu?

Sepatutnya pengguna membeli barangan makanan yang diperlukan mereka dalam sehari. Tidak perlu beli sekali gus sehingga berhabis antara RM300 hingga RM400 kerana pada akhirnya tidak semua yang mereka beli itu akan digunakan. Jika mereka simpan di dalam peti sejuk pun, untuk tempoh yang lama, makanan itu juga sudah tidak elok dan tidak berkhasiat lagi kepada tubuh badan. Kami juga selalu menggalakkan orang ramai supaya masak dan makan di rumah. Ini jauh lebih menjimatkan berbanding makan di restoran-restoran selain dapat memastikan makanan lebih berkhasiat. Seperkara lagi yang kami perhatikan ialah strategi pasar raya dalam mempengaruhi pengguna untuk berbelanja dalam kuantiti yang besar. Pasar raya selalunya akan menyediakan troli yang besar, jadi secara psikologinya pengguna akan berbelanja lebih untuk mengisi troli mereka itu.

Bagaimana pula dari sudut kerajaan?

S. M. MOHAMED: Kerajaan juga perlu mengambil langkah drastik dalam mengekang faktor yang boleh meningkatkan harga barang. Antaranya dengan tidak lagi mengeksport hasil pertanian dan laut negara kita. Dengan cara ini, kita dapat memastikan harga bekalan makanan itu sentiasa rendah kerana sentiasa mencukupi bagi menampung permintaan dalam kalangan rakyat tempatan. Kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan industri pertanian supaya lebih banyak bahan makanan dalam negara dapat dihasilkan seterusnya mengurangkan harganya di pasaran.

Barangkali sudah tiba masanya kerajaan menumpukan usaha menggalakkan pertanian bandar (urban agriculture). Di kebanyakan negara maju seperti di London dan New York sekali pun, pertanian bandar ini bukan lagi perkara luar biasa. Jadi rakyat negara ini sepatutnya sudah mula ke arah itu. Meskipun mereka tinggal di apartmen atau kondominium, mereka masih boleh bercucuk tanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri, sekali gus menjimatkan perbelanjaan mereka.

Bagaimana dengan tindakan peniaga yang sering mengambil kesempatan menaikkan harga barang?

S. M. MOHAMED: Kerajaan perlu memanggil semua pihak yang terlibat terutama dalam industri peruncitan dan sektor makanan dan meminta mereka memberi penjelasan mengapa perlu menaikkan harga barangan. Peniaga restoran juga mempunyai pilihan untuk tidak menaikkan harga makanan mereka. Sebagai contoh, mereka boleh mengurangkan kuantiti makanan jika tidak mampu menampung kenaikan harga barang. Misalnya mengurangkan saiz seketul ayam berbanding saiz sebelum kenaikan harga barang makanan itu supaya harganya dapat dikekalkan. Ini juga dapat mengelak daripada lebih banyak sisa makanan dibuang setiap hari.

Harga barang biasanya akan naik menjelang musim perayaan, bagaimana pandangan tuan?

S. M. MOHAMED: Sudah menjadi perkara biasa di negara ini menjelang musim perayaan harga barangan makanan akan melambung tinggi. Ini berlaku disebabkan banyak perkara termasuk peniaga yang mengambil kesempatan dengan menyimpan barangan makanan tertentu. Tidak lama lagi bakal menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan kita sudah pun menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai kekurangan barangan makanan tertentu antaranya bawang putih. Kita tahu keadaan ini berlaku disebabkan pihak tertentu menyimpan atau menyorok barang makanan tersebut menyebabkannya tidak mencukupi di pasaran. Jadi bila tidak mencukupi tetapi permintaan daripada pengguna meningkat, mereka akan mengambil kesempatan menaikkan harga dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Jadi bagaimana perkara ini dapat diatasi?

S. M. Mohamed: Sebab itu kita selalu tekankan, penguatkuasaan terhadap akta-akta berkaitan pengguna itu sangat penting. Kerajaan perlu sentiasa turun padang memastikan akta itu benar-benar dikuatkuasakan, jadi tidak ada pihak yang boleh mengambil kesempatan. Apatah lagi Akta Kawalan Harga pula hanya untuk beberapa barangan makanan sahaja, bukan untuk semua. Dalam isu Akta Antipencatutan misalnya, akta itu memang wujud, tetapi seolah-olah tidak dikuatkuasakan. Ini yang kita persoalkan. Kalau tidak ada penguatkuasaan, untuk apa akta itu diwujudkan?

Mungkinkah pengekalan subsidi dapat membantu mengekang kenaikan harga barang?

S. M. Mohamed: Dalam setiap jemputan sesi dialog antara CAP dengan kerajaan terutama Kementerian Kewangan berkenaan subsidi, kita selalu tegaskan supaya kerajaan memansuhkan semua subsidi yang diberikan selama ini. Bagi CAP, kerajaan telah memberi pendidikan yang salah kepada rakyat berhubung pemberian subsidi. Oleh sebab sistem itu juga, masyarakat hari ini dilihat terlalu bergantung kepada subsidi sehingga menyebabkan mereka berharap akan mendapat lebih banyak lagi daripada kerajaan.

Sebab itu apabila kerajaan berhasrat menarik balik subsidi walaupun sedikit, rakyat akan melenting dan marah sebab mereka selama ini sudah terlalu selesa dengan subsidi yang diberikan kerajaan. Sedangkan jika kita lihat, subsidi itu tidak disalurkan dengan cara betul. Sebab bila kita tengok semula, tidak banyak pun subsidi yang diberikan kerajaan itu yang benar-benar diterima oleh rakyat atau golongan sasaran. Jadi mereka sebenarnya tidak perlu marah-marah apabila kerajaan mahu menarik balik subsidi kerana selama ini pun mereka tidak mendapat manfaat daripada subsidi itu secara menyeluruh.

Sebab itu, kami berpandangan kerajaan harus memikirkan kaedah bagaimana bantuan untuk mengurangkan beban rakyat itu boleh disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk, bukan hanya menerusi subsidi. Misalnya menggunakan peruntukan subsidi itu untuk meningkatkan sektor pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sebagainya. Bagi kita, masyarakat selama ini telah disalahfahamkan mengenai subsidi.

Dalam masa sama, masyarakat hari ini juga tidak boleh memikirkan mengenai kepentingan kita pada hari ini sahaja. Tetapi turut memikirkan kehidupan anak-anak kita serta generasi akan datang. Mereka juga perlu jaminan kehidupan yang baik dan jika kita tidak berhati-hati dalam mengurus sumber negara seperti petroleum, apa yang tinggal untuk anak-anak kita nanti sedangkan mereka juga memerlukannya.

Apa nasihat kepada pengguna dalam situasi kenaikan harga ketika ini?

S. M. Mohamed: Bijak kawal perbelanjaan, cuba elakkan berhutang dan hiduplah secara bersederhana.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved