Ahad, 19 Januari 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Dunia baru Chef Zubir

Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto FAIRUZ IZYANA AYUB

CHEF Zubir mementingkan kualiti, rasa dan persembahan makanan di restorannya.

BAGI penonton setia rancangan realiti televisyen, MasterChef Malaysia, pasti teringin bersua muka dengan para jurinya yang terdiri daripada pakar bidang masakan, apa lagi menikmati air tangan mereka.

Sejak disiarkan pada tahun 2011, komen daripada Zubir Md. Zain atau Chef Zubir yang merupakan antara juri rancangan tersebut sentiasa dinanti-nantikan, kerana banyak ulasannya memberi inspirasi kepada peserta dan penonton.

Chef Zubir bukan calang-calang orang. Dia merupakan Ketua Pasukan untuk pasukan Chef Malaysia yang sering mengharumkan nama negara dalam beberapa pertandingan masakan di luar negara.

Anak kelahiran Kulim, Kedah ini mengabadikan diri selama 26 tahun dalam dunia masakan di hotel dengan berkhidmat di pelbagai hotel lima bintang.

Antaranya Hotel Hyatt, Sheraton, Marriott, Hilton dan Grand Plaza Park Royal, sebelum menyertai Hotel Le Meridien Kuala Lumpur (LMKL) pada 2004 dan berkhidmat selama sembilan tahun sebagai Eksekutif Sous Chef di sana sebelum bersara tiga bulan lalu.

Persaraannya adalah untuk memberi tumpuan kepada restoran ketiganya iaitu Wangsa Grill By Chef Zubir yang terletak di Wangsa Melawati selepas Laman Grill By Chef Zubir di Shah Alam dan Kajang.

"Ia merupakan keputusan yang amat berat memandangkan saya berkhidmat dengan hotel LMKL sejak dari pembukaannya lagi dan ia umpama rumah kedua saya.

"Namun, saya tidak menyesal dengan keputusan ini kerana dapat lebih menumpukan perhatian kepada restoran-restoran saya," ujarnya sambil memberitahu dia perlu berada di ketiga-tiga restorannya secara bergilir-gilir setiap hari.

Cabaran

Menurut Chef Zubir, sebelum ini, dia tidak pernah terfikir untuk membuka restoran sendiri kerana risiko yang agak tinggi.

Namun, dia memberanikan diri membuka restoran sendiri tiga tahun lalu bermula di Shah Alam.

"Antara cabaran sebagai `restaurateur chef' iaitu chef yang menguruskan restoran sendiri berbanding pemilik restoran biasa ialah jangkaan dan harapan daripada pelanggan.

"Jika dapat memuaskan 80 peratus daripada pelanggan setiap hari sekalipun sudah cukup bagus kerana 'rasa' adalah suatu yang cukup subjektif.

"Saya sentiasa menerima maklum balas daripada pelanggan kerana ia amat penting. Sebagai pelanggan, mereka ada hak berbuat demikian.

"Bagi saya, macam mana hebat sekalipun seorang chef itu, kita perlu merendah diri kerana setiap maklum balas dan komen daripada mereka diambil sebagai sesuatu yang positif untuk memperbaiki apa yang perlu," ujarnya.

Namun, atas pengalamannya dalam bidang masakan, beliau sendiri tidak pernah mengadu mengenai hidangan dan masakan sesebuah restoran lain.

Ini kerana baginya cara masakan adalah sesuatu yang amat universal. Setiap orang mempunyai cara masakan yang berbeza dan dia menghormati gaya masing-masing.

Sambung Chef Zubir, cabaran lain dalam menguruskan restoran sendiri ialah proses mencari pekerja yang berkelayakan selain memantau pembinaan restoran tersebut dari awal.

Masa lapang

Selain hebat di dapur, Chef Zubir juga mempunyai kecenderungan yang sama ketika di jalan raya.

Pada waktu lapang, Chef Zubir gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson sama ada berseorangan atau dengan rakan-rakannya. Baginya, aktiviti itu dapat menghilang tekanan penat bekerja.

Bapa kepada empat orang anak lelaki ini turut gemar menghabiskan masa bersama-sama keluarga seperti menonton wayang.

Ditanya sama ada Chef Zubir gemar memasak ketika berada di rumah, ujarnya ia diserahkan kepada isterinya.

"Tanyalah mana-mana chef sekalipun, dalam dua peratus sahaja yang memasak ketika di rumah," ujarnya yang sangat sinonim dengan loghat utara.

Saya hamba bukan isterinya

Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST

"RAMAI orang percaya kegagalan pertama, bukan bermakna gagal untuk selamanya, tetapi berlainan sekali dalam perjalanan hidup saya ini, kerana nasib baik tidak menyebelahi saya. Kehidupan saya sama seperti pepatah Melayu `keluar dari mulut harimau masuk mulut buaya.'' Itu cerita Norhawa ketika kami bertemu baru-baru ini.

"Perkahwinan pertama saya gagal setelah 16 tahun berumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Bekas suami saya dulu bukan orang pandai sangat, cuma bernasib baik bermula daripada berniaga kecil-kecilan, akhirnya dia berjaya mendapat kontrak besar dan selang beberapa tahun, dia kemudian gelar dirinya `businessman'.

"Kejayaan sebagai peniaga berjaya yang memakan masa yang tak sampai 5 tahun membuat dia cepat lupa diri setelah bergaul dengan ramai orang bisnes, mulalah jadi ahli kelab dan mula kenal padang golf. Terkejut saya kerana perubahannya mendadak. Saya nasihatkan dia jangan ego sangat, tetapi niat baik saya dituduh konon saya doakan kegagalannya.

"Mana ada isteri suka suami gagal, tetapi itulah adat manusia, bila dah berjaya dia lupa onak dan duri yang dia tempuh dulu. Dia lupa pernah pinjam duit ayah dan emak saya, dia lupa pernah gadaikan barang kemas saya. Janji nak ganti, tetapi semuanya lebur.

"Kerana dia tak pernah pegang duit banyak, dia mula berbelanja sesedap rasa. Perempuan mata duitan mula ramai dekat. Akhirnya terjebak dan dia nikah tanpa pengetahuan saya. Tiba-tiba saya terima surat cerai kerana wanita itu tak mahu dimadu.

"Setahun saya memujuk supaya rujuk kembali, tetapi rayuan saya macam 'anjing menyalak bukit' dia tak peduli langsung. Masalah besar saya, sudahlah diceraikan, nafkah 4 orang anak tak diberi, genap setahun saya kena kosongkan rumah, sebab rumah kena lelong. Mana nak pergi, kerja tak ada, ketika itulah saya tebalkan muka jumpa pegawai Majlis Perbandaran untuk dapatkan rumah flat. Nasib dapat, saya pindah cuma bawa kain baju sebab semua barang dalam rumah tak boleh keluar.

"Untuk teruskan hidup saya bekerja jadi cleanner – sebelah pagi, kerja kedai buku sekolah – petangnya, dan malam – terpaksa cari kerja tambahan bantu jiran berniaga. Sebab anak-anak dah besar, mereka perlukan belanja dan tambang bas untuk ke sekolah.

"Begitulah hidup saya selama enam tahun. Tak ada cuti kecuali kalau tauke tutup kedai hari cuti umum. Ketika bekerja itulah saya jumpa ramai kenalan yang bersimpati dengan saya. Termasuk kakitangan Majlis Perbandaran, kerana setiap bulan bayar sewa flat.

"Kerana ramai kawan jugalah saya dapat mengumpulkan ramai orang untuk program MP di kawasan tempat saya tinggal. Di situlah saya kenal Darwis. Dia banyak minta bantuan saya dapatkan program untuk bisnesnya. Bermula perkenalan biasa akhirnya kami jadi rapat.

"Bila dah rapat, dia banyak ceritakan masalah rumah tangganya. Kata dia, isterinya terlalu mengongkong hidupnya, suka memaki hamun dia depan orang dan macam-macam lagi. Malah katanya, kalau tak percaya saya boleh lihat perangai isterinya dari jauh.

"Memang saya tak percaya, tetapi saya pelik tengok perangai Darwis bila dapat panggilan isterinya, serta-merta nada perbualannya berubah, jika sebelumnya ketawa gembira dengan kawannya, dia terus terdiam, menggangguk dan mengaku akan lakukan segera apa yang diperintah. Malah dia tinggalkan kami bila isterinya suruh segera balik.

"Pernah dia tinggalkan meeting bila isterinya suruh ambil anaknya sebab ketinggalan van sekolah. Biasanya dia minta saya tolong bereskan. Kerana simpati jugalah akhirnya saya terima lamarannya untuk berkahwin. Katanya dia perlukan bantuan saya untuk meneruskan perniagaannya. Mulanya saya tak setuju, tetapi akhirnya saya mengaku kerana simpati.

"Kami nikah di Songkhla, semua perbelanjaan Darwis tanggung dengan bantuan seorang 'pakar' yang jadi orang tengah nikahkan orang di Siam. Bila balik saya suruh dia beritahu isterinya dan daftarkan perkahwinan di Malaysia. Saya tak mahu sembunyikan perkahwinan kerana saya mahu dia jujur dengan isterinya yang waktu itu sudah 26 tahun berkahwin.

"Malangnya selepas itu saya jadi mangsa serangan isterinya melalui telefon, di tempat kerja, malah ketika bantu Darwis bekerja. Tak cukup itu, isterinya fitnahkan saya kepada semua kawan, jiran dan sesiapa sahaja yang saya kenal bahawa saya gilakan laki orang. Dia menjerit memaki hamun saya depan Darwis. Tetapi Darwis tak berani bertindak, sebab takut kena maki atau kena baling batu. Biasanya isterinya ditemani anaknya sekali.

"Kerana sering kena control, Darwis tak berani keluar rumah buat bisnes dengan saya sebaliknya dia arahkan saya siapkan kerja, termasuklah jumpa pegawai Majlis, cari job baru, buat proposal dan sebagainya. Bila kerja selesai, dapat cek saya masukkan dalam akaun bank Darwis. Kerana perniagaan tambah maju Darwis suruh saya berhenti kerja, dia janji akan beri saya gaji. Katanya saya kena bantu sebab isterinya suka kacau.

"Tetapi malangnya Darwis lain macam sikit, bila duit bertambah dia jadi tamak, dia tak beri saya gaji seperti dijanjikan sedangkan saya perlu duit kerana saya ada anak.

"Empat tahun lamanya saya berkahwin dengan Darwis, hanya dua tahun pertama hidup saya senang, selebihnya hidup saya bukan tambah senang, sebaliknya lebih susah. Sebab nama aja saya bekerja tapi Darwis tak bagi duit, lebih menderita bila saya kena serang dengan isteri dan anak-anak Darwis dituduh kikis duit Darwis. Kerana mereka tahu perniagaan Darwis tambah maju. Tetapi mereka tak tahu saya yang uruskan.

"Kerana sering tak berduit, saya terpaksa bekerja kembali untuk dapatkan duit, kerana saya ada tanggungan. Tapi Darwis marah kerana bila saya bekerja, saya tak buat kerja dia. Bila balik rumah saya, Darwis jadi bengis, dia marahkan anak-anak saya kerana dah besar panjang tak mahu cari kerja sambilan. Kerana sering dimarah, anak sulung saya lari dari rumah. Kata Along dia 'kesian' tengok saya bekerja siang malam macam hamba, bantu Darwis buat bisnes tanpa sebarang upah dan bekerja jadi pembantu kedai. Tapi yang menyakitkan hatinya, isteri Darwis tuduh saya kikis duit Darwis.

"Darwis juga bencikan anak ketiga saya. Dia kata sombong, malas buat kerja sambilan. Sedangkan anak saya pendiam dan berpenyakit. Saya beritahu Darwis saya perlukan duit untuk sara anak, tapi dia tak beri seperti dijanjikan. Jadi saya terpaksa bekerja.

"Kerana tidak lagi uruskan bisnesnya, perniagaannya mula merosot. Darwis naik angin dan bertindak tidak mahu langsung datang ke rumah saya. Dua sebab saya tak bantu Darwis lagi, pertama kerana tak tahan diserang isteri pertama dan dituduh mengikis duit Darwis. Sebab kedua kerana saya tak ada duit nak sara anak sebab Darwis tak beri duit.

"Kata Darwis dia tinggalkan saya sebagai hukuman kerana tidak bantu dia buat bisnes. Itulah juga tindakan dia nikah dengan saya dulu sebagai nak ajar isteri pertamanya yang suka memaki hamun dia. Bila dia kahwin lagi, barulah isteri pertama kembali menyayanginya. Jadi bila dia tinggalkan saya, maka saya akan bantu dia buat bisnes semula. Isteri mesti dihukum supaya ikut perintah suami. Kini sudah 4 bulan saya ditinggalkan.

"Di sini saya ambil kesempatan ingin beritahu isteri dan anak-anak Darwis, saya tak pernah ambil duit dia. Setiap projek yang saya uruskan dibayar atas nama syarikat Darwis, bukan nama saya. Tiga buah rumah Darwis, satu pun saya tak ambil. Dan bisnesnya kekal nama Darwis. Selama ini setiap kerja yang saya buat diberi upah RM50 saja bukan RM5,000. Saya bekerja macam hamba bukan sebagai pekerja apa lagi sebagai isteri.

"Jadi jangan tuduh saya kahwin dengan Darwis kerana hartanya, sebaliknya Darwis nikah dengan saya kerana nak ajar isterinya yang garang itu.'' Demikian cerita Norhawa panjang lebar tentang nasibnya yang ditimpa dua kali malang dalam berumah tangga.

www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved