Utusan Online - Hiburan |
Posted: 19 Jan 2014 11:22 AM PST CATE BLANCHETT LOS ANGELES 19 Jan. - Filem pembanterasan jenayah, American Hustle dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Screen Actors Guild 2014 yang berlangsung di Hollywood, semalam. Pelakon kelahiran Australia, Cate Blanchett membawa pulang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem arahan Woody Allen iaitu Blue Jasmine, sementara Matthew McConaughey memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Dallas Buyers Club. Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula diraih pelakon filem Dallas Buyers Club iaitu Jared Leto, manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menjadi milik Lupita Nyong'o menerusi filem seram 12 Years a Slave. Drama bersiri Breaking Bad menggondol Anugerah Drama Terbaik dan Siri Komedi Terbaik menjadi milik filem Modern Family. Filem American Hustle yang menceritakan tentang operasi Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada era 1970an, berjaya menenangi tiga anugerah pada Anugerah Golden Globes, baru-baru ini, selain turut dicalonkan dalam 10 kategori pada Anugerah Oscar yang akan berlangsung pada 2 Mac ini. - AFP |
Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI Bella Dally LIMA tahun melayari hidup sebagai anak seni sebenarnya bukan satu tempoh masa yang panjang. Tempoh berkenaan selalunya masih dianggap fasa 'hijau' bagi seseorang anak seni. Begitu juga dengan pemilik nama Bella Dally ini kerana ramai yang masih belum mengenali dirinya biarpun sudah banyak berlakon dalam drama-drama tempatan. Bukan tidak berbakat cuma limpahan populariti dan gemerlapan sebagai anak seni masih belum dikecapi oleh Bella. Pertama kali bertemu, nyata personanya cukup kuat. Ditambah dengan sikapnya yang merendah diri membuatkan gadis berusia 23 tahun ini bertambah manis. "Saya sedar masih ramai yang belum mengenali diri saya. Kalau nak diikutkan perkara tersebut langsung tak memberikan persepsi negatif kepada diri saya sendiri. "Tidak ada tekanan dan tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan dalam tempoh ini. Saya hanya menjaga kerja yang diamanahkan oleh pengarah dan selebihnya saya serahkan pada penonton. "Bukan soal popular yang menjadi keutamaan tetapi apa yang lebih penting kualiti yang saya berikan setiap kali terlibat dalam mana-mana drama lakonan saya. "Cuma terpulang kepada individu itu sendiri untuk merencanakan jalan mereka. Apa yang mereka mahu, mereka berhak lakukan," jelas Bella. Tolak Nazim Seperti yang diketahui ramai hubungan cinta antara Bella dan pelakon Nazim Othman bukan lagi rahsia. Enggan mendedahkan perjalanan cinta yang sudah tiga tahun terjalin itu, Bella bagaimanapun tidak menafikan Nazim merupakan raja yang sedang bertahta dalam hatinya ketika ini. Walaupun begitu dia sebenarnya berat mulut untuk terus berbicara tetang rasa cinta, bimbang disalah tafsir untuk meraih populariti melalui cara ini. Akui Bella, dia kurang gemar jika kisah cintanya bersama lelaki berkenaan berterusan digembar-gemburkan di dada-dada akhbar mahupun menjadi perhatian masyarakat. "Cukuplah anda tahu saya sudah tiga tahun mengenali Nazim dan hubungan kami baik-baik sahaja," tegas pelakon yang berasal dari Sabah ini lagi. Bagi Bella bukan dia berahsia dengan ceritera cintanya namun ada perkara yang perlu disimpan sendiri di dalam lubuk hati tanpa perlu memberitahu kepada semua orang. Tambahan pula Bella enggan dituduh menumpang populariti Nazim jika acap kali bercerita tentang lelaki berkenaan kepada umum. "Saya tak suka kalau orang mengenali dan menggelar saya teman wanita Nazim. Saya tak perlu publisiti dengan cara itu kerana saya mampu berdiri sendiri. "Kalau peminat mahu kenal saya biarlah melalui lakonan-lakonan saya dan kerjaya saya sahaja. Tak perlu kisah lain untuk popular. "Kalau orang lain saya tak pasti. Semua orang berhak menentukan jalan mereka sendiri," tambahnya lagi. Pilih Kasih Memulakan perjalanan seni melalui program Pilih Kasih lima tahun lalu dia sendiri tidak pernah menyangka perjalanan hidupnya akan sampai ke tahap ini. Jika tidak ada keberanian untuk menyertai uji bakat program berkenaan mungkin nama Bella Dally tidak wujud sebagai salah seorang pelakon baru yang perlu diberi perhatian. Baginya, Pilih Kasih telah membuka jalan seluas-luasnya untuk dia mencari ilmu, menimba pengalaman dan memberikan rezeki kepada dirinya. Sehingga kini wajahnya sudah menghiasi hampir 50 buah drama termasuk Friday I'm In Love, Miss Octopus, Kalimah Jiwa dan Vanila Coklat. "Waktu mula-mula dulu memang saya hanya diberi peranan pembantu sahaja. Saya tak pernah ralat jauh sekali merungut. Semua itu merupakan pengalaman pertama dan pelajaran buat saya. "Tahun demi tahun peranan saya mula berkembang dan diberi watak utama dalam banyak drama bersiri sehinggalah peminat mula mengenali saya dengan lebih dekat. "Mungkin perjalanan kerjaya seni saya tak berapa pantas jika nak dibandingkan dengan orang lain. Tapi itu tak menjadi masalah besar. "Saya sendiri tak mahu naik terlalu cepat tapi bakat tak seberapa. Kalau boleh biarlah kedua-duanya seiring dan menjadi memori manis untuk dikenang nanti," ujarnya. Kematangan Melewati hari-harinya Bella tidak menafikan yang dia kini lebih matang tentang hidup. Soal peribadi ditolak ke tepi dan dia tidak mahu mencampur-adukkan hal tersebut demi kelangsungan kerjayanya. Menjelaskan perkara berikut, Bella tidak menafikan ada ketikanya dia tersepit setiap kali mendapat tawaran berlakon daripada banyak produksi. Ada yang menawarkannya bayaran yang terlalu murah dan tak setimpal dengan apa yang perlu diberikan kepada naskah tersebut. Enggan menyalahkan mana-mana pihak, dia menganggap perkara tersebut sebagai asam garam yang perlu dilalui oleh orang baru seperti dirinya. "Saya bukan memilih tetapi jangan rendahkan harga saya sampai tahap yang tidak boleh diterima akal. Memang tak dinafikan ada produksi yang menawarkan harga begitu. "Saya tahu nilai saya dan saya hanya bekerja dengan mereka yang menghargai bakat saya. Sebab itu saya pernah menolak beberapa tawaran sebelum ini," ujarnya. Selain itu, Bella juga berpegang kepada prinsip untuk tidak tamak dengan mengambil banyak tawaran dalam satu-satu masa. Dia masih ingat satu masa dahulu terpaksa berkejar-kejar ke dua lokasi berbeza akibat pertembungan jadual yang akhirnya menyusahkan semua pihak. "Jangan tamak bila terima rezeki," katanya ringkas. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan