Isnin, 30 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kewangan Negeri Sembilan kukuh

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

Oleh Ainol Amriz Ismail
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 29 Dis. - Pengurusan kewangan yang berhemah kerajaan negeri telah membawa pengiktirafan daripada Jabatan Audit Negara melalui Anugerah Empat Bintang bagi Indeks Akauntabiliti 2012 yang diterima pada tahun ini.

Keputusan itu diperoleh melalui agensi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kehakiman Syarie negeri, Majlis Daerah Rembau dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).

Perkembangan ini memberikan gambaran betapa pengurusan yang cekap yang mana dalam tahun berakhir 31 Disember 2012, kedudukan Akaun Hasil Disatukan Negeri telah meningkat sebanyak RM21.96 juta kepada RM228.45 juta.

Malah, sehingga 13 Disember tahun ini, jumlah Akaun Hasil Disatukan Negeri atau rizab semasa kerajaan negeri adalah berjumlah RM483.85 juta.

Berdasarkan keupayaan itu, kerajaan negeri akan terus mengekalkan sumber utamanya iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil, yang mana pada tahun 2014, dijangka kutipan yang diperoleh itu adalah sebanyak RM352.626 juta, RM152.519 juta (hasil cukai), RM126.505 juta (hasil bukan cukai) manakala RM73.602 juta (terimaan bukan hasil).

Angka ini diperakui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) yang mana sebahagian besar hasil cukai diperoleh melalui cukai tanah dengan anggaran pada tahun 2014, kerajaan akan memperoleh RM144.833 juta.

"Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan secara puratanya berjaya mengutip lebih daripada 90 peratus cukai tanah.

"Ini berdasarkan kutipan dari tempoh Januari hingga November tahun ini, kerajaan negeri berjaya mengutip RM106.1 juta iaitu kira-kira 89.9 peratus daripada anggaran 2013. Angka ini terus meningkat pada penutupan akaun 31 Disember ini," katanya di sini hari ini.

Maka di atas sikap tanggungjawab rakyat dan syarikat swasta di negeri ini dalam melaksanakan cukai tanah amat dihargai kerajaan negeri, seiring dengan apa yang diperkatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - "pembayaran cukai adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dan mereka yang telah membayar cukai adalah rakyat yang bertanggungjawab dan mempunyai semangat patriotik serta taat setia kepada negara."

Dalam pada itu juga, bagi memastikan pengurusan kewangan yang baik dan teguh pada tahun hadapan, kerajaan dilihat dapat meningkatkan hasil bukan cukai sebanyak RM38.347 juta atau 43.5 peratus kepada RM126.505 juta.

Kata Mohamad lagi, sebahagian besar terimaan bukan cukai ini disumbangkan oleh terimaan premium tanah yang setakat ini sering melepasi sasaran yang ditetapkan setiap tahun.

"Dalam tempoh Januari hingga November tahun ini, terimaan premium tanah adalah berjumlah RM78.674 juta dan terimaan ini melebihi anggaran belanjawan 2013 iaitu RM22.480 juta.

"Ini bermakna kerajaan negeri telah berjaya mencatatkan lebihan kutipan sebanyak RM56.194 juta atau 250 peratus lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan 2013. Kita menjangkakan dalam penutupan akaun 31 Disember ini, angka itu juga akan meningkat," tegasnya.

Tambah Mohamad, peningkatan premium tanah pada setiap tahun jelas membuktikan proses pindah milik, pemberi milikan dan pertukaran syarat tanah yang efektif.

"Kesannya boleh dilihat pada tahun ini yang mana pembangunan yang rancak telah berlaku di negeri ini dalam pelbagai sektor dan paling pantas ialah perumahan dan komersial," katanya.

Bagi terimaan bukan hasil pula, untuk tahun hadapan, dianggarkan berjumlah RM73.602 yang mana antara sumbernya adalah daripada pemberian kerajaan pusat.

Apa pun kata Mohamad, adalah tidak benar mengatakan negeri ini bankrap ataupun dicemuh sebagai gagal menguruskan kewangan dengan baik.

"Tohmahan yang dibuat hanya untuk memburukkan kerajaan negeri yang terbukti berjaya menguruskan kewangan dengan baik, sekali gus dapat mensejahterakan rakyat, malah keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) bertambah kukuh," tegasnya.

UMNO Rasah pergiat kempen penerangan GST kepada masyarakat

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

FAUZIAH Abu Zarim (berdiri, kanan) memberi penerangan dalam Majlis Taklimat GST dan Program Kembali ke Sekolah anjuran UMNO Bahagian Rasah di Labu dekat Rasah, Negeri Sembilan, kelmarin.

RASAH 29 Dis. - UMNO Bahagian Rasah akan mempergiatkan kempen penerangan mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh kerajaan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketuanya, Datuk Hasim Rusdi berkata, kempen penerangan itu bertujuan memberi pemahaman kepada rakyat mengenai tindakan kerajaan memperkenalkan cukai berkenaan yang dijadualkan bermula 1 April 2015.

Beliau yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata, pemahaman itu sangat penting kerana dasar mengenai GST masih baharu di negara ini walaupun telah dilaksanakan di lebih 160 negara di dunia.

"Pada masa ini terdapat pihak yang cuba memesongkan fikiran masyarakat dengan membuat pelbagai dakwaan dan tohmahan mengenai GST dengan tujuan mendapatkan sokongan peribadi.

"Kita tidak boleh membiarkan perbuatan ini terus berlarutan begitu sahaja dan kerana itu UMNO Bahagian Rasah akan turun padang bagi memberi penjelasan mengenai GST," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Taklimat GST dan Program Kembali ke Sekolah anjuran UMNO Bahagian Rasah di Labu semalam.

Taklimat GST itu disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Kastam II (Unit Tugas-Tugas Khas GST), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Fauziah Abu Zarim.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rasah, Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Hassan Datuk Ayop dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Hapsah Hamid.

Hasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu memberitahu, UMNO Bahagian itu bercadang mengadakan taklimat kepada kumpulan masyarakat yang lebih kecil seperti peringkat Dewan Undangan Negeri dan cawangan parti.

"Kita akan mendapatkan kerjasama Jabatan Kastam bagi membolehkan para pegawai mereka yang pakar dalam hal-ehwal GST untuk memberikan penerangan tersebut.

"Selain memberi penerangan, orang ramai juga boleh bertanya atau mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan GST," katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 200 keluarga menerima bantuan beg sekolah daripada UMNO Bahagian tersebut sempena musim persekolahan baharu yang akan bermula minggu depan.

'Kader Za'aba' sudah ada dalam pendidikan N. Sembilan

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

SEREMBAN 29 Dis. - Pada tahun 2005, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sekolah merupakan tapak semaian dan pelaburan jangka masa panjang dalam kecemerlangan pendidikan.

Hari ini, apa yang diperkatakan oleh Mohamad itu bukan impian kosong apabila sudah ramai golongan cerdik pandai, ilmuan dan pemikir lahir daripada dasar pendidikan yang diilhamkannya.

Ini bukan sahaja tumpuan pelajar tadika, sekolah rendah dan menengah, bahkan lepasan universiti selepas begitu ramai graduan kelas pertama lahir dari negeri ini.

Maka tidak hairanlah dasar Lembah Ilmu yang sentiasa 'basah' di bibir dan bicara Mohamad, kini berubah menjadi senyuman apabila golongan cerdik pandai itu kini bertebaran mengisi kekosongan pelbagai jawatan sama ada peringkat kerajaan mahupun swasta bertaraf industri antarabangsa.

Buktinya, bilangan pelajar Negeri Sembilan yang mendapat ijazah kelas pertama telah bertambah daripada seorang pada tahun 2005 kepada 150 orang (2011).

Lebih mengejutkan pada tahun ini, 174 orang anak negeri ini yang belajar di dalam dan luar negara memperoleh ijazah kelas pertama - sesuatu kejayaan yang luar biasa.

Malahan kata Mohamad, pelajar yang dihantar melanjutkan pelajaran di Asia Barat tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam bidang perubatan, kini sudah pun kembali ke negeri ini untuk menabur bakti kepada rakyat.

Oleh itu, impian melahirkan 'kader Za'aba' seperti mana hebatnya ilmuwan dan cendekiawan sekitar tahun 60-an dahulu, kini bertapak semula dan Negeri Sembilan sudah pun mempunyai barisan modal insan untuk berkhidmat dalam mana-mana sektor di negara ini.

Apa pun kata Mohamad, semua kejayaan ini adalah atas usaha semua pihak, sama ada pelajar, guru, pentadbir dan paling utama ibu bapa kerana bersama-sama mahu melihat pendidikan itu sebagai pelaburan yang menguntungkan.

Kegigihan ini jugalah telah menyaksikan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), selain Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), telah berjaya menempatkan negeri ini dalam kelompok lima terbaik negara.

"Di samping akademik, kerajaan juga menitikberatkan soal pendidikan sahsiah, keagamaan dan kerohanian. Banyak sekolah, kolej dan universiti berasaskan keagamaan ini telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam semua peringkat peperiksaan.

"Di peringkat sekolah rendah, kerajaan telah melaksanakan Kelas Agama Petang, yang dijadikan asas dan kekuatan jati diri pelajar untuk memahami asas agama Islam dengan lebih sempurna dan baik, sehingga menyaksikan kemampuan pelajar mengkhatamkan al-Quran dalam jumlah yang besar," katanya.

Apa yang pasti, kata Mohamad, kerajaan sentiasa memastikan pendidikan agama dan akademik dilakukan serentak agar anak negeri ini tidak berhadapan kejutan dalam saingan pasaran pekerjaan kelak, malah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil turut memberikan keputusan yang baik dalam peperiksaan kebangsaan.

Tambahan pula, pada masa hadapan, saingan dalam sektor pendidikan ini akan lebih mencabar sebaik sahaja Komuniti ASEAN dilaksanakan, yang mana rakyat negara ini perlu bersaing dengan bijak pandai dari negara serantau untuk mendapatkan pekerjaan terutama dalam industri antarabangsa.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail memuji pendekatan Lembah Ilmu yang diilhamkan Mohamad di negeri ini dan melihat sebagai keputusan bijak.

Ini kerana katanya, melalui Lembah Ilmu itu dasar pendidikan negeri ini telah dapat diperluaskan, sekali gus terbukti sudah melahirkan kelompok cerdik pandai yang suatu ketika dahulu mengangkat nama Negeri Sembilan sebagai lubuk ilmuwan, pemikir serta penyumbang tenaga kerja dalam negara.

"Melalui dasar ini juga, jelas menampakkan kegigihan kerajaan negeri meningkatkan pembangunan sekitar, bukan sahaja dalam soal infrastruktur tetapi kemudahan lain untuk kehendak dan keperluan penduduk berhampiran.

"Ini secara langsung dapat meningkatkan ekonomi persekitaran Lembah Ilmu, wujudnya taman perumahan baharu, sektor perniagaan dikembangkan dan taraf kehidupan yang lebih baik," ujarnya.

Menurut Asma, USIM sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan pemasaran pendidikan untuk menjadikan kawasan seperti di Nilai, Enstek, Sendayan, Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan Port Dickson sebagai zon pendidikan.

"Bagi pihak USIM sendiri, permintaan kemasukan diterima dengan baik, bukan sahaja dalam kalangan pelajar tempatan tetapi juga antarabangsa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved