Utusan Online - Jenayah |
1,907 PATI ditangkap di Pulau Pinang tahun ini Posted: 30 Dec 2013 10:37 PM PST BUTTERWORTH 31 Dis. - Seramai 1,907 orang pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen sepanjang tahun ini di Pulau Pinang menerusi Ops 6P Bersepadu. Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Hasbullah Abdul Rashid berkata, daripada jumlah itu, 1,005 orang telah didakwa di mahkamah manakala selebihnya telah diambil tindakan usir dan dikenakan kompaun. "Kita mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 447 tangkapan pada tahun ini berbanding 397 tangkapan pada tahun 2012. Dari segi kutipan hasil pula kita berjaya memungut kompaun sebanyak RM3.08 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen Tahun 2013 peringkat negeri, di sini hari ini. Beliau berkata, kebanyakan pendatang asing tanpa izin yang ditangkap ialah dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh, dan antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen perjalanan serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan. Dalam pada itu, Hasbullah berkata, sebanyak 119,479 pas dikeluarkan oleh jabatan itu sepanjang tahun ini kepada warga asing. Ia meliputi pas pelajar, pas pengajian, pas lawatan kerja sementara, pembantu rumah dan pas di bawah enam sektor iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, perkilangan dan perladangan, katanya. - BERNAMA |
Guling: Polis tahan lelaki miliki bom buatan sendiri Posted: 30 Dec 2013 10:30 PM PST SHAH ALAM 31 Dis. - Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama-sama sebutir bom buatan sendiri di Taman Halaman, Ampang, Ahad lepas, yang dipercayai hendak diletupkan pada sambutan ambang tahun baharu. Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, bom berupa paip PVC dirampas dari suspek berumur 46 tahun ketika beliau sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10.25 pagi di sekitar lampu isyarat Taman Permai, Ampang. "Suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan polis apabila motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar sebuah kenderaan di Taman Halaman, Ampang. "Pemeriksaan yang dibuat ke atas beg silang suspek, polis menjumpai sebutir bom buatan sendiri berupa paip PVC yang mempunyai sumbu bersama mercun botol disyaki bahan letupan. "Siasatan mendapati suspek yang dalam keadaan khayal ketika ditahan memberitahu beliau belajar membuat bom menerusi Internet," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. Abd. Rahim berkata, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja di sebuah kedai peralatan sembahyang di Serdang hendak meletupkan bom itu pada sambutan ambang tahun baharu dan polis masih siasat sasaran tempat bom itu hendak diletupkan. Beliau berkata, pihaknya turut menyiasat kemungkinan sama ada bom itu akan digunakan untuk tujuan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. "Polis bimbang dengan isi kandungan bom itu yang dimampatkan dengan belerang, paku dan kaca yang boleh mendatangkan kecederaan serius dan berkemungkinan kematian apabila diletupkan," katanya. Abd. Rahim berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan samun. Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan