Isnin, 18 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penduduk dihantui masalah lalat

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

Penduduk menunjukkan kertas perangkap lalat yang dipenuhi serangga berkenaan hanya setelah 15 minit perangkap tersebut diletakkan di kawasan rumah mereka di Kampung Baru Chenderoh, Padang Rengas, Perak semalam. - utusan/ Hashim P. Mamat

PADANG RENGAS 17 Nov. - Penduduk Kampung Baru Chenderoh dekat sini terpaksa menjalani kehidupan harian dalam keadaan yang tidak selesa sejak setahun lalu ekoran masalah lalat yang dipercayai berpunca daripada ladang ternakan ayam di kampung berkenaan.

Selain masalah lalat yang banyak, mereka juga mendakwa terpaksa menghidu bau busuk najis haiwan dari ladang ternakan tersebut.

Mereka turut bimbang kemungkinan wujud penyakit yang berpunca daripada lalat.

Ekoran itu, seorang penduduk, Zulkafly Abd. Rahman,55, berharap agar pihak pengurusan ladang ternakan itu melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Masalah lalat paling teruk pada waktu siang sehingga apa sahaja makanan yang dihidang, pasti akan dipenuhi lalat," katanya.

Ahmad Daud Idris, 47, pula mendakwa tidak dapat tidur dengan selesa kerana dihurungi lalat.

Menurut Ahmad Daud, rumahnya antara yang terletak paling hampir dengan ladang ternakan ayam berkenaan iaitu kira-kira 500 meter.

"Masalah ini bukan baharu dialami oleh penduduk malah jika tak silap saya sudah setahun namun ia tidak juga diatasi.

"Saya harap pihak pengurusan ladang ternakan dapat berbincang dengan penduduk bagi mencari langkah penyelesaian terbaik untuk keselesaan bersama," ujarnya.

Seorang lagi penduduk Abdul Jalil Idris, 53, menegaskan, penduduk tidak menghalang pihak pengusaha ladang menjalankan ternakan di situ namun meminta mereka mengambil kira keselesaan penduduk kampung.

"Mereka (pengusaha) tidak boleh memikirkan soal keuntungan semata-mata. Keselesaan penduduk kampung juga harus diambil kira kerana mereka beroperasi di dalam kawasan kampung.

"Saya sarankan kepada pengusaha tersebut supaya membuat tinjauan keadaan penduduk kampung dan selami masalah yang kami dihadapi. Mungkin masalah lalat ini datang daripada ladang ternakan mereka.

"Kita bukannya mahu ladang ini ditutup, mereka boleh beroperasi seperti biasa cuma kami harap masalah lalat ini dapat diselesaikan kerana kami yakin ia berpunca daripada ladang ternakan berkenaan," katanya.

Belanjawan 2014 Kedah jadi tumpuan

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Mohamed Mustafa Ishak

ALOR SETAR 17 Nov. - Belanjawan 2014 Kedah yang pertama kali dibentangkan oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir selaku Menteri Besar sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selama tiga hari bermula esok, diharap dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri ke tahap lebih kukuh.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, belanjawan itu diharap membolehkan kerajaan negeri membuka lebih banyak ruang untuk menarik kehadiran pelabur luar dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah.

Kata beliau, ia juga diharap dapat menggerakkan kembali ekonomi negeri yang sejak kebelakangan ini berada dalam keadaan suram.

"Kita mengharapkan semoga belanjawan kali ini akan merangsang kembali pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang rancak pertumbuhan ekonominya dan pada masa sama dapat mengatasi masalah hutang yang ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Mustafa berkata, selain itu Belanjawan 2014 Kedah diharap dapat memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, prasarana dan bantuan kepada usahawan kecil.

Beliau percaya belanjawan yang bakal dibentangkan itu akan membantu kerajaan negeri memacu ekonomi dan dapat membuka kembali Kedah sebagai sebuah destinasi pelaburan serta pembangunan ekonomi penting di negara ini.

"Saya berharap kerajaan negeri dapat menjana pendapatan yang lebih baik daripada sebelum ini dengan adanya sektor baharu yang diberi penekanan seperti keusahawanan dan perniagaan kecil dalam meningkatkan lagi kegiatan ekonomi," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga wajar menyediakan peruntukan untuk program pengindahan Kedah, projek penebatan banjir dan juga kerja-kerja pengurusan sampah atau sisa dalam bandar yang merupakan perkara yang menjadi isu masyarakat.

Katanya, pembangunan semula sekolah agama yang terbiar diharap turut diberi perhatian dengan menyediakan peruntukan tambahan selain membuka peluang dan memperbaiki prasarana perniagaan bagi peniaga kecil di samping tidak melupakan sektor pertanian khususnya tanaman padi yang merupakan bidang sangat penting.

"Pembasmian kemiskinan, peningkatan prasarana, peluang perniagaan kecil, pembangunan sekolah agama dan peluang anak muda menceburi bidang ekonomi.

"Saya percaya ini satu bajet penting yang akan diberi tumpuan masyarakat kerana ini bajet pertama kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Mukhriz. Saya percaya beliau ada sesuatu untuk diketengahkan kepada rakyat," katanya.

Kerajaan negeri hargai peranan media membuat liputan berita

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Zambry Abd. Kadir bersama petugas-petugas Utusan Malaysia dan Kosmo! cawangan Perak ketika Malam Mesra Media 2013 bersama Menteri Besar di Ipoh, baru-baru ini.

IPOH 17 Nov. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menjalin hubungan baik dengan pihak media negeri ini bagi menghargai peranan mereka dalam memberi liputan mengenai negeri ini.

Menurutnya, pendekatan mesra dalam berinteraksi dengan media dilihat dapat merapatkan lagi hubungan baik antara agensi media serta kerajaan negeri, selain menjadi platform untuk berkongsi pendapat.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa bersikap terbuka terhadap semua media untuk menyampaikan maklumat dengan tepat.

"Kerajaan negeri tidak menyekat mana-mana media daripada membuat liputan majlis-majlis kerajaan negeri termasuk sidang DUN (Dewan Undangan Negeri)," katanya pada Malam Mesra Media 2013 bersama Menteri Besar di sini kelmarin.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Puhat Mat Nayan.

Majlis yang dihadiri kira-kira 200 pengamal media dari pelbagai agensi dan ia diserikan dengan pertandingan nyanyian karaoke, cabutan bertuah serta persembahan nyanyian lagu-lagu klasik.

Sementara itu, wartawan Bernama menguasai Anugerah Artikel Terbaik dengan Nordiana Barka dinobatkan pemenang tempat pertama bagi artikel bertajuk Masjid, Jambatan Baharu di Parlimen Gerik Bukti Janji Ditepati Kerajaan Barisan Nasional manakala tempat kedua dimenangi Zuhafizah Ahmad Zaki dengan artikel bertajuk Pelestarian Khazanah Alam di Royal Belum Ada Cabaran.

Tempat ketiga dimenangi wartawan akhbar Nanyang Siang Pau, Fong Kok Fwong.

Sementara itu, bagi kategori fotografi bertemakan pembangunan negeri Perak, jurugambar Bernama, Noraini Ahmad memenangi tempat ketiga.

Tempat pertama bagi kategori itu dimenangi jurugambar Sin Chew Daily, Teh Pek Ling manakala Liow Chien Ying dari Guang Ming Daily tempat kedua.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved