Utusan Online - Selatan |
- Penjara mendidik bukan mendera
- Dadah musnahkan kehidupan Amir, Mat dan Murty
- Struktur semula persatuan nelayan
Penjara mendidik bukan mendera Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN Banduan diberi penerangan tentang cara memandikan jenazah dalam kursus pengurusan jenazah di Institut Pemulihan Dadah Jelebu, baru-baru ini. JELEBU 31 Okt. - Kehidupan di sebalik jeriji besi selalunya dikisahkan orang awam sebagai 'dunia gelap' dan sudah tidak punya harapan lagi untuk meneruskan masa hadapan yang lebih baik. Malah ada yang beranggapan, sesiapa sahaja yang diperintah menerima hukuman penjara itu akan terus dilabel sebagai banduan dan apabila bebas kelak tidak ada siapa yang berani menggajikan mereka apatah lagi mendampingi orang awam. Apa pun, itu hanya persepsi yang harus ditolak biarpun ada dalam kalangan bekas banduan yang kembali kepada 'kerja asal' dan sukar dipulihkan. Apa yang jelas, sebenarnya kehidupan dalam jeriji besi itu bertujuan membentuk sahsiah diri, mendidik banduan melewati kesilapan yang pernah mereka lakukan serta kembali ke dalam masyarakat sebagai insan yang baik. Penguasa Penjara di Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Amer Shariffudin Mat Nor berkata, banduan sendiri perlu ada kehendak dan kemahuan untuk berubah kerana tembok batu dan jeriji itu dilihat penghalang dalam kehidupan mereka jika terus berdegil. "Kita berikan mereka ilmu, didikan agama serta tanggungjawab sebagai manusia yang baik. Kita tidak mahu apabila banduan ini bebas kelak, masyarakat terus mencemuh kerana diri mereka sendiri tidak mahu berubah. "Banduan yang menjalani hukuman di institusi pemulihan ini bukan sekadar menjalani hukuman penjara tetapi diberikan pelbagai kemahiran agar mereka mampu berdikari kelak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Amer Shariffudin berkata, di institusi pemulihan itu terdapat sebanyak 500 orang banduan yang kebanyakannya terlibat dengan kes dadah. "Benar apabila kita sebut penjara, orang awam beranggapan banduan ini meringkuk dalam bilik kecil, dikurung dan sebagainya. "Itu silap, mereka kita didik dengan pelbagai ilmu, diberikan modul kerohanian dan aspek agama. Dalam masa yang sama, banduan akan mengikuti pelbagai kursus kemahiran," tegasnya. Jelas beliau, institusi pemulihan ini disediakan kemahiran seperti bengkel pertukangan kayu, anyaman rotan, kimpalan dan jahitan. "Ada juga banduan yang terlibat dalam pertanian dan penternakan. Kita ada projek penternakan lembu, kambing dan ikan air tawar. Projek nanas kita mendapat kerjasama daripada Lembaga Nanas Malaysia," tegasnya. Kata Amer Shariffudin, sebagai penguasa, beliau dibantu oleh 200 anggota dan pegawai yang akan sentiasa memberikan nasihat, panduan dan teguran kepada semua banduan. "Bukan mudah untuk membawa seseorang yang tegar dalam kes dadah ini untuk kembali ke pangkal jalan. Ini memerlukan banyak kesabaran. Apa yang kami lakukan di sini ialah melayan mereka seperti 'ahli keluarga' sebagai pendekatan ke arah perubahan yang lebih baik. "Dalam masa sama, kami bertegas melaksanakan peraturan dan undang-undang dalam penjara ini. Itu tidak akan kami kompromi," katanya. Apa pun, katanya, amat mengecewakan apabila ada banduan yang bebas tetapi kembali ke dalam penjara. "Ada yang degil dan tidak mahu ikut nasihat. Yang masuk semula ke penjara ini, itu adalah banduan yang tidak serik dengan hukuman. Ada juga yang insaf dan kini hidup dengan lebih berjaya," kata beliau. |
Dadah musnahkan kehidupan Amir, Mat dan Murty Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Ilmu agama dan nilai-nilai murni kehidupan turut diterapkan ke dalam diri setiap banduan dengan harapan mereka mampu menjadi insan berguna kepada keluarga, masyarakat dan agama. JELEBU 31 Okt. - "Saya telah mengazankan anak sulung yang baru berusia 12 hari di hadapan mahkamah. Saya insaf dan tidak mahu lagi terlibat dengan dadah". Amir (bukan nama sebenar) yang kini berusia 28 tahun adalah antara penghuni penjara di Institut Pemulihan Dadah Jelebu meluahkan perasaan itu di hadapan wartawan Utusan Malaysia sewaktu mengimbas kekesalannya kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. "Saya dihukum penjara lapan tahun dan menerima 20 sebatan kerana terlibat menjual dadah. Saya tidak dapat melihat anak saya membesar. Saya kesal," katanya dalam nada sedih. Amir memulakan kisah hitamnya dengan memberitahu, dia mula mengenal dadah pada usia 15 tahun. "Pada masa itu, saya ingin mencari sesuatu 'projek' yang boleh menambah wang saku. Oleh kerana dadah ada permintaan yang tinggi dan projek 'wang cepat', maka saya memberanikan diri menjual dadah itu kepada rakan-rakan," kata anak kedua daripada lima beradik ini. Tambahnya, selepas melihat sambutan yang baik, dia mencuba pula dadah yang dahulunya hanya untuk tujuan dijual kepada rakan-rakan sebaya. "Bila cuba kali pertama, terasa 'melayang'. Semakin hari bertambah khayal dan seronok. Saya tidak boleh berpatah balik kerana dadah sudah melekat dalam diri saya. "Akhirnya ibu dan ayah saya mengetahui perkara ini dan mereka begitu kecewa. Anaknya sudah terjebak dalam kancah dadah," ujarnya. Ketika itu, katanya, dia ' melihat' ibu dan ayahnya merampas segala kemewahan hidup yang diperoleh hasil penjualan dadah ini. "Saya marah, menengking kepada ibu dan ayah. Saya selalu katakan yang saya sudah dewasa dan tidak mahu mereka mencampuri urusan kehidupan saya," jelasnya. Pada 2007, Amir bertunang dan melebarkan aktiviti penjualan dadah sehingga ke sempadan Thailand. Pada tahun 2009 pula, dia mendirikan rumah tangga walaupun isterinya tahu yang dia terlibat dalam kegiatan dadah. "Saya hidup cukup mewah dan kerana bimbang kegiatan ini dihidu, saya mula bekerja dan menerima tempahan membaiki peralatan elektrik sebagai mengaburi perhatian pihak berkuasa," ujarnya. Jelas Amir, ibarat pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, dia dan isteri akhirnya ditahan pihak berkuasa ketika sedang mengedar dadah. "Kami berdua direman 10 hari dan paling menyedihkan ketika itu isteri saya mengandung enam bulan. Selepas tamat tempoh reman, isteri saya dibenarkan pulang dan ibu saya hampir pengsan selepas mahkamah menjatuhkan saya hukuman mati. "Alhamdulillah, selepas rayuan, hukuman dikurangkan dan kini saya berada di Jelebu untuk menjalani hukuman itu. Inilah akibat terlalu tamak dan mahu mencari wang dengan mudah. Isteri saya telah membuat tuntutan cerai dan kami sah bercerai pada awal tahun ini," katanya. Katanya, walaupun hidup dalam jeriji besi, dia telah menerima didikan dalam aspek kemahiran dan agama untuk menjadi insan yang lebih baik. Sementara itu, seorang lagi penghuni, Mat, 23 (bukan nama sebenar), menjelaskan dia bukan tidak mahu belajar dari kesilapan namun ditahan untuk kali ketiga akibat terpengaruh dengan rakan-rakan lama. "Sudah tiga kali saya ditahan atas kesalahan yang sama dan masih mengambil dadah kerana tertekan. "'Bila tiada siapa yang mahu memberikan saya kerja dan orang ramai menjauhkan diri daripada saya. Tiada jalan lain selain mencari semula rakan lama. Akhirnya saya terjebak sekali lagi," katanya. Bagi Murty, 46 (juga bukan nama sebenar), dari Rawang pula, dia ditahan untuk kali ketiga akibat penyalahgunaan dadah dan menjadikan alasan terpengaruh dengan rakan lama sebagai sebab utama kembali menagih. "Bila di penjara saya selalu menyimpan hasrat untuk menjadi insan yang baik jika dibebaskan nanti. Namun, saya gagal dan mula menghisap dadah apabila bertemu dengan rakan lama. "Saya memperoleh pelbagai ilmu di sini termasuk belajar menjahit pakaian dan menternak lembu," katanya. Menurutnya, dia akan dibebaskan Disember ini dan merancang untuk memulakan kehidupan baharu. "Saya akan berpindah ke kawasan baharu dan menghabiskan masa bersama tiga cucu yang masih kecil," katanya. |
Struktur semula persatuan nelayan Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Oleh NURSURAYA ZULKIFLI Hasan Rahman (kiri) menyampaikan kunci kepada wakil LKIM Melaka sebagai simbolik penyerahan bangunan dan kemudahan awam yang dinaik taraf dengan kos RM5.8 juta di Jeti Kuala Sebatu, Sungai Rambai, Jasin, Melaka, kelmarin. JASIN 31 Okt. - Persatuan nelayan di negeri ini akan melalui proses penstrukturan semula supaya pengurusannya lebih cekap dan tersusun sekali gus membawa imej baharu kepada persatuan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, persatuan itu akan disusun mengikut daerah dan cawangan masing-masing bagi memudahkan segala urusan berkaitan nelayan. Menurutnya, persatuan yang sedia ada ketika ini terbahagi kepada dua iaitu Persatuan Nelayan Melaka Selatan dan Melaka Barat yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Negeri Melaka. "Sudah tiba masanya untuk kita menubuhkan persatuan nelayan mengikut daerah iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah dengan jumlah ahlinya yang lebih kecil dalam sesebuah persatuan. "Penyusunan yang bakal dilaksanakan ini dilihat lebih sistematik dan berbeza dengan situasi sekarang sebagai contoh nelayan dari Sungai Rambai hingga ke Bukit Rambai diuruskan oleh Persatuan Nelayan Melaka Selatan. "Hal ini memperlihatkan pentadbiran kita nampak seperti tidak tersusun kerana terlalu ramai ahli di bawah satu persatuan yang sama berbanding perubahan yang bakal dilaksanakan nanti tampak lebih teratur," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bangunan dan Kemudahan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Jeti Kuala Sebatu, Sungai Rambai, di sini semalam. Walau bagaimanapun, Hasan berkata, struktur baharu persatuan nelayan itu dijangka dilakukan selepas memperoleh semua senarai daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). "Usaha mengadakan perubahan bertujuan memudah dan melicinkan pentadbiran merangkumi aktiviti nelayan, khidmat nasihat bagi permasalahan dihadapi serta kebajikan nelayan supaya lebih terbela," katanya. Tambahnya, menerusi rombakan berkenaan di setiap daerah akan mempunyai cawangan-cawangan persatuan nelayan yang lengkap dengan struktur jawatankuasa pembangunan nelayan selain mencadangkan Jeti Kuala Sebatu sebagai lokasi persatuan di daerah Jasin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan