Jumaat, 1 November 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Busana muslimah kontemporari

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Rekaan yang menggabungkan pelbagai pilihan warna yang terang.

BAGI menyuntik gaya muslimah yang moden dan kontemporari, pereka muda Rico Rinaldi membawakan rekaan yang dekat dengan hati para peminat busana tersebut.

Beliau yang menerima beberapa anugerah termasuk Piala Seri Endon 2009, Malaysia Batik Accessories Design Of Yayasan Budi Penyayang 2006, Paco Rabanne Black Fashion Culture Desingn 2007 dan banyak lagi kembali dengan rekaan yang lebih unik dan anggun.

Rekaan terbaharu ini mendapat inspirasi daripada penyanyi terkenal, Yuna Zarai yang memiliki aura keceriaan dan seorang wanita yang berani menghadapi setiap cabaran dalam hidupnya.

Tampil dengan busana rekaan moden dan gaya urban, Rico memilih padanan warna blok dengan pelbagai pilihan warna yang memikat hati.

Penggunaan material linen tulen dengan kombinasi fabrik syifon dihasilkan dengan potongan berkonsepkan muslimah dan abstrak, sesuai untuk aktiviti berbentuk kasual dan santai.

Bagi menambah seri dan kelainan setiap rekaan, Rico menggunakan tambahan manik pada bahagian leher dan tangan bagi menaikkan seri dan gaya anggun si pemakai.

Selain itu, rekaan ini turut menggunakan gabungan dua warna terang seperti merah dan oren yang sesuai dipakai untuk majlis kasual, pakaian ke pejabat, baju santai pada waktu petang dan juga ke majlis keramaian.

Kesemua jenis rekaan ini sesuai untuk digayakan oleh semua peringkat umur.

Bertuah jadi isteri muda yang disayangi

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Poligami mungkin satu perkara yang paling ditakuti oleh wanita terutama mereka yang sudah berusia.

Kebimbangan mereka kerana takut ditinggalkan suami yang beralih kasih kepada wanita muda yang cantik dan lebih menggoda.

Namun soal jodoh ini bukan kerja manusia walau sehebat mana sekalipun seseorang itu merancang untuk masa depannya.

Keinginan seorang wanita adalah mahu sentiasa disayangi dan dibelai oleh suami tersayang yang diharap akan menjadi tempat bergantung hidup hingga ke akhir hayat.

Beruntung jika disayangi suami hingga ke hujung nyawa walaupun hidup bermadu, tetapi sedih jika ada yang menjadi sebaliknya dan dibiarkan menderita sepanjang hayat kerana suami tidak berlaku adil.

Minggu ini saya terpanggil memaparkan satu kisah yang berlaku di depan mata beberapa minggu lalu ketika saya singgah menemani seorang teman menjamu mata di sebuah butik barang kemas ternama.

Secara kebetulan hujung minggu, tentunya butik barang kemas itu dipenuhi ramai orang tetapi masih ada ruang untuk saya dan teman meninjau-ninjau yang berkenan di mata.

Waktu ketika itu lewat petang. Teman saya itu sekadar mahu melihat saja kerana secara kebetulan kami ada urusan berhampiran butik tersebut.

Melangkah masuk ke butik itu, saya terpandang gelagat seorang lelaki dan wanita di hujung kaunter yang agak tersorok.

Si lelaki berusia awal 60-an dan wanita muda yang cantik itu dalam lengkungan umur pertengahan 20-an. Mereka sedang membelek sesuatu.

Lama saya perhatikan gerak geri mereka yang dilayan penuh mesra oleh dua orang petugas di butik berkenaan yang saya nampak sudah biasa dengan mereka.

Sesekali pasangan itu bergurau senda dengan petugas berkenaan sambil mencuba barang-barang yang ditunjuknya.

Saya agak yakin mereka ini adalah pasangan suami isteri kerana melihat gaya dan aksi mereka yang sangat manja antara satu sama lain.

Walaupun lelaki itu nampak lebih berusia dengan sebahagian rambutnya sudah beruban, tetapi naluri saya tetap mengatakan mereka suami isteri.

Sekali pandang tidak nampak mereka ini secocok untuk menjadi pasangan suami isteri kerana nampak seperti anak dan bapak.

Saya membiarkan teman saya itu meninjau barang kemas yang ada di situ dan saya berpura-pura membelek telefon dan membaca majalah kerana tidak mahu mereka perasan dengan tumpuan saya melihat gelagat mereka.

Ketika seorang petugas melintas berhampiran, saya dengar dia berbisik kepada rakannya, "itu isteri muda dia."

Sah tekaan saya betul. Namun keyakinan saya tentang pasangan ini telah disahkan oleh salah seorang petugas di situ yang berbisik dengan kata-kata, 'mereka itu suami isteri. Isteri muda kak!."

Selepas dia berkata, kami tersenyum. Ada makna di sebalik senyumannya itu dan saya pasti petugas itu nampak yang saya asyik memerhati pasangan tersebut sejak saya mula masuk.

Saya nampak wanita muda itu memilih pelbagai jenis barang kemas, gelang tangan, rantai leher dan cincin.

Taip kali mengenakan di tubuhnya dia akan menunjukkannya kepada suaminya itu dengan pertanyaan, "suai tak bang? Cantik tak?"

Beberapa kali bertanya saya tidak mendengar jawapan daripada suaminya melainkan senyuman lebar yang diberikan.

Malah si pelayan juga tidak jemu-jemu mengeluarkan pelbagai barang lagi seperti yang diminta oleh wanita itu.

Akhirnya di atas kaunter melambak dengan barang kemas yang dipilih dan dicuba oleh wanita itu. Pelanggan keliling mula perasan akan kehadiran pasangan ini.

Masing-masing mula memberi tumpuan dan ada yang menjuihkan bibir. Adatlah kalau perempuan melihat wanita muda bersama lelaki tua.

Hampir sejam memilih dan mencuba barangan kemas yang diingini, akhirnya saya nampak beberapa barang kemas diketepikan oleh wanita muda itu.

Sambil tersenyum dia bertanya suaminya, " boleh yang ini bang?"

Dengan senyuman yang dilempar dan wajah yang tentunya menyejukkan mata si suami, mana lelaki yang tidak cair.

"Ikut suka sayanglah...ambillah, tidak ada masalah," itu jawapan yang saya dengar. Saya nampak wanita cantik itu tersenyum puas sambil memegang lengan suaminya.

Mungkin perasan orang keliling yang melihat aksi mereka, si lelaki agak malu-malu, tetapi tidak pula melepaskan tangannya daripada isteri kesayangannya itu.

"Saya nak yang ini," perlahan si wanita itu menunjukkan seutas rantai tangan, sebentuk cincin dan rantai leher kepada petugas wanita yang tersenyum lebar kerana umpannya mengena. Lumayan pula itu.

Dalam pada menunggu si gadis yang melayan mereka menguruskan resit bayaran dan sebagainya saya perhatikan, pasangan itu terus berbual, manja dan mesra.

Malah suaminya nampak sangat memanjakan isterinya itu sambil menunjuk ke beberapa buah kaunter cermin berhampiran seolah-olah bertanya apa lagi yang diingini oleh isterinya.

Hampir dua jam melihat aksi pasangan itu saya dimaklumkan yang mereka keluar daripada butik barang kemas itu dengan membeli barang-barang bernilai puluhan ribu ringgit menggunakan kad kredit.

Bayangkan, jika jumlah itu hanya untuk sekali beli bagaimana dengan barang-barang kemas yang mereka pernah beli sebelum ini.

Dan tentunya juga si lelaki itu seorang yang kaya dan ada kedudukan. Jika tidak, masakan mampu berbelanja besar begitu hanya untuk membeli barang kemas isteri mudanya.

Nampak sangat sayangnya kepada isteri cantiknya itu tidak berbelah bagi dan sanggup berbelanja besar untuk menambat hati si isteri.

Dalam hati saya, bertuahnya badan, sudahlah cantik, dapat pula suami penyayang dan melayan semua permintaan.

Lalu saya tertanya-tanya juga dalam hati, adakah lelaki itu melayan isteri pertamanya sama seperti dia melayan isteri mudanya seperti yang saya nampak?

Jika jawapannya ya, Alhamdulillah tetapi jika tidak, sedihnya hati saya. Apa pun saya berdoa agar lelaki itu memberi layanan adil kepada isteri pertamanya juga jika dia masih berpoligami.

Itu antara kisah benar yang saya saksikan sendiri yang mana menjadi sebahagian daripada rencah hidup manusia.

Untung baik, bahagia derita manusia semuanya kerja Allah.

Namun tidak semua wanita akan melalui saat manis seperti yang dilalui wanita muda di dalam cerita ini.

Mereka nampak sangat bahagia, terutama wanita muda itu, mana tidaknya, pakaian, barang kemas dan tas tangan berjenama menjadi miliknya sekali gus meletakkan dia sebagai isteri muda yang disayangi dan bertuah.

Tapi kita jangan ada simpan perasaan cemburu sebab setiap orang, Allah telah tentukan jalan hidupnya. Kita perlu reda dan belajar untuk mensyukuri nikmat Allah.

Menutup catatan, pesanan saya, kasih sayang bukan datang dengan harta benda tetapi dari hati yang telus dan ikhlas menerima seseorang sebagai pelengkap hidup untuk sama-sama bersusah senang sehingga ke penghujung usia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved