Jumaat, 1 November 2013

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Deepavali penuh tradisi

Posted: 01 Nov 2013 06:34 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
gambar FATAH SULAIMAN

Dari kiri, Poonamjit Kaur Darshan Singh, Devia Haresh Kumar dan Manpreet Kaur Balwant Singh bergaya dengan sari tajaan Maya Fashion.

Esok, seluruh penganut Hindu bakal meraikan Deepavali, perayaan yang ditunggu-tunggu dan memberi makna tersendiri dalam kehidupan mereka.

Sebagaimana perayaan lain di negara ini, Deepavali atau lebih dikenali sebagai 'pesta cahaya' juga disambut meriah dengan pelbagai persiapan daripada menyediakan pakaian baru, menghias rumah hinggalah kepada juadah-juadah istimewa.

Deepavali juga sinonim dengan amalan-amalan tradisi yang kekal menjadi ikutan termasuk di kalangan generasi muda seperti tiga gadis cantik ini, Devia Haresh Kumar, 21, Poonamjit Kaur Darshan Singh, 18, dan Manpreet Kaur Balwant Singh , 20-an.

Bagi Devia, yang baru dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Sari Malaysia 2013 (Miss Saree Malaysia 2013) anjuran First Bollywood Studio, kemeriahan sambutan Deepavali sentiasa dinantikan setiap tahun untuk diraikan bersama kaum keluarga dan rakan-rakan.

Anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini berkata, persediaan untuk sambutan Deepavali selalunya dilakukan seminggu atau tiga hari lebih awal.

"Tidak meriah Deepavali tanpa kuih dan manisan yang disediakan sendiri oleh ibu. Kebiasaannya, saya akan membantu ibu membuat kuih seperti maruku dan sebagainya, beberapa hari sebelum Deepavali.

"Tidak tidur malam kerana menyiapkan kuih muih dan persiapan untuk sambutan Deepavali sudah menjadi kebiasaan setiap tahun," katanya sambil tersenyum manis.

Menurut Devia, menjadi rutinnya bersama adik-beradik yang lain melakukan aktiviti wajib pada pagi Deepavali.

"Pada sebelah pagi, sebelum pergi ke kuil ibu akan memasak tosai untuk dijamah oleh kami sekeluarga. Kemudian dalam beberapa minit kami akan mandi dengan menggunakan minyak kelapa. Rambut yang disaluti dengan minyak akan dibiarkan sekejap sebelum dibilas dengan air.

"Saat paling indah yang tidak akan dilupakan pastinya apabila dapat berkumpul dengan adik-beradik.

"Pada hari ini juga kami akan berkunjung ke rumah-saudara dan menghabiskan masa berbual serta menjamu selera," jelasnya.

Devia berkata, antara keunikan lain sambutan Deepavali, pelita akan dipasang di sekitar rumah bermula malam Deepavali lagi.

"Membuat 'kolam' dengan menggunakan beras yang diwarnakan dalam pelbagai warna menarik dan bentuk unik antara aktiviti yang akan dilakukan oleh kami sekeluarga," ujarnya.

Menurut gadis manis berambut panjang ini, tidak lengkap perayaan Deepavali jika kaum wanita mahupun lelaki tidak mengenakan pakaian tradisional pada hari tersebut.

"Kebiasaannya pada hari tersebut kami akan memakai pakaian tradisional seperti sari dan sut punjabi dengan pelbagai warna dan gaya yang menarik.

"Saya sendiri gemar memilih memakai sari pada hari tersebut kerana ia nampak cantik, ringkas dan mudah dipakai," jelasnya.

Bergelar Ratu Cantik Sari 2013, Devia mengakui gembira dan tidak menjangka apabila diumumkan sebagai pemenang walaupun pada permulaan pertandingan agak kekok untuk memakai sari dengan pelbagai teknik ikatan.

"Pandangan bahawa sari susah dipakai sebenarnya tidak betul. Selepas mempelajari lebih 70 teknik ikatan sari, saya rasa ia sangat mudah dipakai dan cantik apabila tersarung pada tubuh," katanya.

Sebagai peminat sari, Devia mempunyai misi untuk mempopularkan semula pemakaian sari kepada golongan muda di luar sana.

Sementara itu, sebagai pemenang kedua pertandingan, Poonamjit, mengakui tidak sabar untuk bergaya dengan sari baru pada Deepavali nanti.

Begitupun dia mengakui tidak mempunyai pengalaman memakai sari dengan betul sehinggalah menyertai pertandingan tersebut.

"Saya tidak tahu rupanya ada 80 jenis ikatan sari yang berbeza. Bagi saya sari adalah pakaian yang unik bagi kaum India. Selaku orang muda, saya berasa bertanggungjawab mengekalkan dan memperkenalkan cara pemakaian sari kepada golongan muda di negara ini.

"Apabila mengenakan sari rasa lebih bersemangat, bertambah cantik, seksi dan elegan untuk berjalan di khalayak ramai," jelasnya.

Poonamjit turut mengakui walaupun berketurunan Punjabi, tetapi apabila sambutan Deepavali dia juga turut mengenakan pakaian sari.

Sementara itu Manpreet Kaur yang juga Pengurus First Bollywood berkata, dengan adanya pertandingan Ratu Cantik Sari Malaysia 2013, diharap dapat memperkenalkan pemakaian sari kepada generasi muda sekali gus memelihara keistimewaan pakaian tradisional kaum India itu

"Percayalah, hanya lima minit diperlukan untuk memakai sari. Selain mudah dipakai, ia juga menjadikan wanita tersebut cantik, seksi dan elegan," jelasnya.

Jus pahit rahsia cantik

Posted: 30 Oct 2013 06:27 AM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
Gambar SYAHRIL AZMAN ZIN
Solekan & Dandanan ZUL BASTARI

TUTUR kata yang sopan ditambah dengan segaris senyuman manis terukir di bibir memberi persepsi awal bahawa gadis ini seorang yang mesra dan mudah didekati.

Telahan itu ternyata benar apabila Mariyah Yusoff, 29, yang merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat petroleum dan gas di ibu negara begitu sopan menutur kata sewaktu disapa.

Meskipun sibuk dengan kerjaya yang memerlukannya berjumpa dengan orang ramai dan pelanggan serta berkejar ke sana ke sini, Mariyah tetap ligat dan bersemangat.

Tidak lokek berkongsi rahsia kecergasannya, gadis ini memberitahu sentiasa menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan supaya kekal bersemangat dalam apa jua keadaan.

"Saya memang dikenali oleh rakan-rakan sebagai seorang yang sangat teliti tentang apa jua perkara yang membabitkan kesihatan, pemakanan, dan kecantikan.

"Penjagaan kesihatan, pemakanan dan kecantikan memang sudah menjadi agenda kehidupan saya. Sejak kecil lagi saya telah dilatih untuk tidak memandang remeh perkara seperti itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Puteri kepada pasangan suami isteri, Yusoff Othman dan Faridah Said ini menambah, amalan gaya hidup sihat yang diterapkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi memang berkesan dan membuatkannya tampil cergas bertenaga.

Jujur Mariyah mengakui, tidak lengkap harinya jika tidak melakukan sebarang aktiviti senaman sebelum keluar bekerja.

"Sudah menjadi rutin harian saya akan melakukan sit up sebanyak 200 kali setiap pagi selepas bangun dari tidur.

"Saya juga boleh dilabelkan sebagai 'kaki gym' kerana saya akan pastikan pergi ke pusat kecergasan tersebut empat kali seminggu," katanya.

Selain itu, dia juga mengakui turut mengamalkan minum segelas jus campuran buah-buahan dan sayuran hijau setiap pagi untuk memberikan keselesaan kepada perut dan rahsia mencantikkan kulit.

Kata orang 'alah bisa tegal biasa' kerana memang pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk mengambil campuran jus tersebut, namun lama-kelamaan tekaknya sudah boleh menerima minuman berkhasiat itu.

"Sebenarnya ibu saya yang amalkan minum jus campuran pegaga, ulam raja, strawberi, dan epal.

"Masa mula-mula nak minum, memang tekak saya tidak boleh terima sebab pahit dan susah untuk ditelan. Tetapi, selepas lebih setahun mengamalkannya, saya pelbagaikan bahan dalam minuman tersebut seperti kisarkan sekali pisang dan campurkan yogurt untuk hilangkan rasa pahit," katanya.

Ternyata petua yang diamalkan gadis berdarah campuran Siam-Melayu itu berkesan sehingga mampu memiliki kulit yang cantik, sentiasa lembap, licin dan mulus.

Tambahnya lagi, bagi memastikan tubuh badannya kekal langsing, dia juga tidak mengamalkan pengambilan daging dan makanan berlemak dalam menu dietnya, sebaliknya banyak mengambil suplemen dan vitamin C.

Minat bidang peragaan

Sudah namanya cantik, langsing dan tinggi lampai, gadis ini mengakui selain menyandang jawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan, dia juga tidak menafikan minatnya terhadap dunia peragaan sukar dipadam.

Mariyah berkata, rasa cinta terhadap dunia peragaan mula mekar ketika usianya menginjak ke angka 23 tahun.

Berkongsi rasa, gadis ini memberitahu di awal pembabitannya dalam bidang peragaan tidak mudah kerana mendapat tentangan daripada keluarga terutama kedua orang tuanya.

"Mereka takut untuk membiarkan saya masuk ke dalam dunia peragaan kerana beranggapan ketika itu bukanlah masa sesuai memandangkan saya sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya.

"Tetapi saya ini seorang yang suka mencabar diri dan saya nekad untuk libatkan dalam bidang peragaan secara sambilan dan hingga sekarang saya masih aktif menerima undangan untuk menjadi model sambilan," katanya.

Jelasnya, kini keluargannya mula menerima kecenderungan dan minatnya itu setelah dia berjaya membuktikan kerjaya dan minatnya boleh berkembang seiringan.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan mengapa tidak memilih kerjaya sebagai peguam, Mariyah memberitahu, kerjaya peguam bukanlah kerjaya impiannya sejak kecil.

"Memang waktu kecil apabila ditanya guru, saya akan beritahu ingin jadi peguam mungkin kerana dorongan dan cadangan daripada keluarga.

"Kemudian saya mengambil jurusan undang-undang di peringkat universiti atas saranan ibu bapa tetapi selepas itu saya mengambil keputusan untuk mencuba kerjaya baru yang lebih mencabar dan memerlukan saya berkomunikasi dengan lebih ramai orang," katanya.

Ingin berniaga

Berkongsi impian dan perancangannya pada lima tahun akan datang, gadis manis ini bercadang untuk memiliki sebuah agensi peragaan sendiri.

"Saya tidak mahu mensia-siakan minat terhadap dunia peragaan begitu saja sebab itu saya merancang untuk mengembangkan minat itu dalam bentuk perniagaan.

"Saya juga bercadang untuk membuka perniagaan menjual barangan berasaskan wanita dan mahu menghasilkan produk atas jenama sendiri suatu hari nanti," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved