Ahad, 17 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


RM26 juta untuk hadapi banjir

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 17 Nov. - Sebanyak RM26 juta daripada RM40 juta yang diperuntukkan Kerajaan Pahang telah dibelanjakan bagi kerja-kerja penambahbaikan dan persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail berkata, kerja tersebut telah dilaksanakan di kawasan pesisir pantai tiga daerah seperti Rompin, Pekan dan Kuantan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di daerah terbabit.

Tambahnya, kerja-kerja mendalam Sungai Galing dan beberapa sungai lain di negeri ini telah dilakukan bagi mengelak tragedi berulang seperti mana berlaku pada tahun lalu.

"Langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan 30 peratus masalah banjir di negeri ini.

"Kta juga menggunakan sistem siren amaran banjir bagi kawasan penempatan berhampiran sungai supaya mereka boleh bertindak awal jika air sungai terbabit naik melebihi paras bahaya," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat akan digerakkan lebih awal jika banjir berlaku di kawasan terbabit bagi memindahkan mangsa terbabit ke penempatan sementara yang telah disediakan.

"Tumpuan juga akan turut diberikan di kawasan pedalaman dan Pulau Tioman kerana kita sentiasa mengambil langkah keselamatan setiap kali tiba musim tengkujuh yang sering berlaku pada akhir setiap tahun," ujarnya.

Dalam pada itu beliau meminta penduduk supaya tidak bimbang dengan wabak kencing tikus pada musim tengkujuh ini kerana kes tersebut adalah kecil.

"Cuma saya ingin menasihatkan supaya berwaspada dengan penyakit taun dan malaria kerana sering dilaporkan berlaku apabila tiba musim banjir," ujarnya.

Isu tanah wakaf masjid ke mesyuarat Exco

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Shahaniza Shamsuddin (duduk, dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Hasanin Ahmad ketika mengadakan lawatan ke rumah anak yatim Baitul Husna di Bukit Sekilau, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 17 Nov. - Isu pengosongan tanah wakaf masjid milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) membabitkan rumah kebajikan anak-anak yatim Baitul Husna Bukit Sekilau (BHBS) di Bukit Sekilau di sini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pihaknya akan berusaha bagi memastikan kebajikan penghuni rumah tersebut terbela.

Menurutnya, beliau akan mengusulkan perkara itu dalam mesyuarat Exco nanti dan berharap menemui jalan penyelesaian.

"Perkara ini akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat tersebut. Saya berharap nasib penghuni rumah ini mendapat pembelaan," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah berkenaan di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini, rumah tersebut dimaklumkan akan berpindah ke suatu lokasi yang masih belum ditentukan.

Setiausaha BHBS, Hasanin Ahmad berkata, pihaknya telah menerima sepucuk surat dari pihak Masjid Lama Bukit Sekilau yang memaklumkan bahawa kerja-kerja pembesaran masjid itu akan dibuat pada awal Januari tahun depan.

Shahaniza berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan ahli jawatankuasa masjid terbabit dan mereka akan mempertimbangkan untuk membenarkan semula rumah tersebut beroperasi selepas projek pembesaran masjid berkenaan selesai.

"Saya difahamkan dalam kawasan tanah wakaf ini masih terdapat ruang untuk didirikan sebuah bangunan bagi tujuan rumah kebajikan yang baharu tetapi perlu berbincang dengan bersama Muip untuk kelulusannya," ujarnya.

Hasanin ketika ditemui bersyukur apabila masalah tersebut mendapat perhatian pemimpin kerajaan negeri dan merasa terharu dengan sumbangan syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan pelbagai bantuan termasuk menyediakan tempat tinggal baharu kepada penghuni rumah kebajikan itu.

"Saya berharap masalah tempat tinggal penghuni terbabit dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan dan memudahkan kami melakukan pelbagai urusan nanti," katanya.

MPK sokong belia adakan aktiviti berfaedah

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Zulkifli Yaacob (berdiri tiga dari kiri) beramah mesra dengan masyarakat India pada Majlis Deepavali MPK di Wisma Belia, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 17 Nov. - Golongan belia yang mempunyai program tertentu dan mempunyai tapak yang sesuai di daerah ini dalam mengadakan aktiviti sihat diminta mengusulkannya kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk tindakan selanjutnya.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pihaknya sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan daripada golongan tersebut bagi menganjurkan aktiviti yang membawa faedah kepada mereka.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu mengalu-alukan cadangan dan idea golongan belia dan akan membantu jika terdapat lokasi yang sesuai bagi mengadakan aktiviti tersebut.

"Setakat ini, MPK hanya menerima beberapa cadangan seperti menggunakan tapak letak kereta di hadapan UTC (Pusat Transformasi Bandar) bagi kelab aksesori keretea dan tempat parkir bas di Pantai Cherating bagi tujuan sukan permotoran drift.

"Bagi kedua-dua cadangan tersebut, kita akan meluluskan tempat yang diminta bagi menjalankan aktiviti berkenaan kerana melihat mampu menjadi salah satu tarikan pelancong untuk datang ke daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Deepavali MPK di Wisma Belia di sini baru-baru ini.

Sebanyak 1,000 warga MPK hadir meraikan sambutan tersebut dan turut diadakan penyampaian hamper dan wang tunai kepada golongan fakir miskin, warga emas, pesakit kronik serta orang kurang upaya.

Menurutnya, MPK berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak pertubuhan belia yang ingin menganjurkan aktiviti seumpama itu bagi membendung gejala sosial di kalangan mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved