Utusan Online - Keluarga |
Posted: 17 Nov 2013 04:47 AM PST Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM FADZIL di hadapan kedainya yang terletak di Shah Alam. JIKA melihat kepada reka bentuk kek yang dihasilkan oleh Dill Cakes, pasti timbul kekaguman terhadap daya kreatif serta ketelitian perekanya yang sudah pasti seorang yang profesional. Selepas mencuba rasanya yang seimbang antara kek dan krim atau fondan, yang tidak terlalu manis dan lembut, sudah pasti juga anda mahu merasanya lagi. Kreativiti dan keenakan kek Dill Cakes kini menjadi pilihan serta sebutan ramai terutamanya pelanggan di dalam Internet. Walaupun lazimnya wanita yang lebih ramai terlibat dengan perusahaan kek, Dill Cakes menampilkan daya usaha seorang lelaki iaitu Fadzil Md. Salleh yang sudah berpengalaman lebih 10 tahun. Cerita Fadzil, pada awal membuka perniagaannya, ramai kalangan pelanggan tidak menyangka kek yang dihasilkan adalah hasil sentuhan tangannya mungkin kerana tanggapan klise yang mengaitkannya dengan wanita. Tambah mengagumkan, Fadzil yang hebat menghasilkan kek tiga dimensi itu sebelum giat menguruskan perniagaannya Dill Maju Enterprise ialah seorang pemuzik atau tepatnya pemain gitar kumpulan yang terkenal sekitar 1990-an iaitu Metropolitan yang terkenal dengan lagu Kau Boleh dan Di Sebalik Rahsia Cinta. Lagu Kau Boleh sering berkemundang di corong radio dan disiarkan di kaca televisyen terutamanya ketika Rashid Sidek menjulang Piala Thomas pada 1992. "Ramai terutamanya rakan-rakan yang terkejut dengan perubahan 360 darjah saya, daripada seorang pemuzik yang mengelilingi dunia menghiburkan orang ramai, kini menjadi pembuat kek. "Saya umpamakan perubahan ini macam orang yang sudah membuat keputusan untuk berhenti merokok. Jika dia mahu berhenti, dia boleh berhenti sekelip mata asalkan ada tekad. "Kita perlu jadi seperti air yang mudah dibentuk mengikut bekasnya, bukannya batu yang keras. "Sekarang, membuat kek adalah pekerjaan saya dan bermain muzik pula sekadar hobi waktu lapang," ujarnya ketika ditemui di kedainya yang terletak di Shah Alam. Bermula di kampung halaman, mereka kemudian sering membuat persembahan di hotel-hotel seluruh negara. Sekitar hujung 1990-an, rezeki mereka terbuka luas apabila dilamar Sony Music Entertainmnet (M) Sdn. Bhd. untuk menjadi artis naungan mereka dengan menggunakan nama kumpulan Metropolitan yang dianggotai enam orang. Antara lagu yang menaikkan nama Metropolitan, Kau Boleh dan Di Sebalik Rahsia Cinta yang kini masih sering kedengaran di corong-corong radio. "Ketika itu industri muzik kita lebih kepada rock manakala kami memainkan lagu-lagu bergenre pop. "Walaupun ia zaman rock, tetapi kami dapat bertahan dan mempunyai peminat sendiri," ujarnya yang juga boleh bermain alat-alat muzik lain seperti keyboard dan saksofon. Ujarnya, ketika itu, dia dan rakan-rakannya juga sering menjadi pemuzik iringan Aishah yang berada di bawah satu label kerana kumpulan The Fan Club yang sering mengiringi pelantun lagu Janji Manismu itu tidak biasa memainkan lagu Melayu. Fadzil kemudian mengembara bersama The Shiok! ke serata Asia seperti Jakarta, Singapura, Bangkok, Taiwan, Hong Kong dan China memenuhi tawaran bermain muzik di hotel-hotel lima bintang. Antara pemain muzik dari luar negara yang pernah menganggotai kumpulannya itu berasal dari Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Greece, Australia dan Kanada. Sedar tak sedar, lapan tahun dia dan rakan-rakannya di perantauan bermain muzik dan pada 2001 dia membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia. "Ketika itu tidak terfikir untuk pulang ke Malaysia. Dunia hiburan membuatkan seseorang itu tidak mempunyai masa untuk bersedih kerana ia sentiasa menyeronokkan. "Lagipun saya melakukan apa yang saya benar-benar suka ketika itu sebagai kerjaya. Namun saya sudah meletakkan sasaran akan pulang ke Malaysia pada 2001," ujarnya yang kemudian berumah tangga pada 2005 dengan cinta hatinya, Ruszia Yunos dan mempunyai tiga orang anak. Sepanjang berada di negara orang, dia sempat berkenalan dengan ramai chef di hotel tempat dia bekerja, sedikit-sebanyak menimbulkan minat terhadap dunia masakan. Cabang seni Pulang saja ke tanah air, dia mula merencana perjalanan hidupnya. Niat asal, Fadzil mahu membuka kedai kopi tetapi tidak meneruskan impiannya kerana memerlukan modal yang tinggi. Dia kemudian memilih untuk mendalami ilmu membuat roti dan kemudian kek melihat kepada permintaan orang ramai yang sentiasa ada dan Fadzil juga kebetulan gemar memasak. "Saya memilih membuka perniagaan kek kerana dahulu ia kurang dipelopori oleh orang Melayu. Lagipun, saya lebih cenderung untuk bekerja sendiri. "Bagi saya, membuat kek boleh dikatakan satu cabang seni juga. Ia memerlukan kemahiran dan kekreatifan seseorang untuk menghasilkan kek yang baik," ujarnya yang turut menjalankan perkhidmatan menyewa peralatan audio. Ceritanya, ilham menghasilkan hiasan kek datang dengan sendiri, sama seperti bermain muzik. Melihat kepada kek-kek yang pernah dihasilkan Fadzil, jelas dia mementingkan kekemasan dalam rekaan dan sentiasa memastikan isinya juga sedap. "Saya sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelanggan terutama dari segi rasanya kerana bagi saya ia yang paling penting," ujarnya yang hanya menerima tempahan bagi memastikan kesegaran kek. Bercerita tentang minatnya dalam bidang muzik, ujar Fadzil, sekarang ia sekadar hobi terutama ketika keluarganya berkumpul memandangkan dia datang daripada sebuah keluarga yang semuanya berbakat seni dan boleh bermain muzik. |
Posted: 17 Nov 2013 04:47 AM PST KISAH hidup saya ini pelik, tetapi inilah kenyataan. Rumahtangga yang saya idamkan bahagia hingga ke akhir hayat tapi hancur di tengah jalan. Suami yang diharapkan jadi pelindung dan pembimbing, memusnahkan segalanya. Namun apa yang berlaku bukan salah suami seorang. Inilah akibatnya bila minta nasihat pada orang yang salah, akhirnya penasihat musnahkan hidup saya.'' Itu cerita Juliana bila kami berbual. ''Saya sudah berkahwin lebih 25 tahun, semakin lama saya pertahankan perkahwinan ini semakin 'tawar' kehidupan saya. Pendapatan suami saya Affandi tak seberapa, kami ada anak lima orang, belanja rumah banyak, jadi untuk menyelesaikan masalah sering tak cukup duit, saya bantu dengan berniaga. ''Malangnya bila perniagaan berjalan baik, Affandi lepas tangan. Semua urusan rumah dan anak-anak diletak atas bahu saya. Katanya, oleh kerana saya hendak sangat beli rumah, maka dia hanya akan bayar ansuran rumah, bab lain itu urusan saya. ''Oleh kerana ketika itu saya suka sangat ada rumah sendiri, maka saya tak kisah, biarlah saya penat berniaga, jual nasi lemak, kuih muih, mi goreng dan sebagainya asalkan hidup kami bahagia. ''Tetapi perangai Affandi lain sikit, dia langsung tak mahu bantu saya berniaga bila tak bekerja, ataupun hantar saya ke pasar. Semua saya kena buat sendiri bermula ke pasar beli barangan berniaga, memasak dan seterusnya pergi menjual. ''Setiap kali saya minta bantuan, alasannya penat bekerja. Tetapi di rumah kerjanya cuma bertelefon dan SMS. Bila ditanya dia mengamuk. Akhir-akhir ini dia beli telefon lebih canggih. Saya syak dia bercinta. Kalau tidak kenapa sorok telefon bila terserempak saya. Akibatnya kami sering bergaduh. Lebih empat tahun dia tak pedulikan saya, tidur pun di ruang tamu. Saya malu pada anak-anak yang besar. ''Sikapnya membuat saya tercabar. Kerisauan membuat saya meminta nasihat teman-teman, akhirnya entah macam mana saya boleh terjumpa bekas tunang walaupun kami sudah berpisah lebih 30 tahun. Saya tak sangka ketika umur saya 50 tahun, kami boleh jadi kawan baik. Kerana dia baik saya ceritakan masalah, apa lagi dia pun beri nasihat. Saya tak tahu nasihatnya bukan untuk kebaikan tetapi menjahanamkan rumahtangga saya. ''Menurut Iskandar, dia masih mencintai saya dan hidupnya juga tak bahagia sebab tak dapat kahwin dengan saya. Saya percaya habis. Saya terpikat bila dia rajin bantu saya di gerai tak seperti Affandi. Ketika itu saya dengar semua nasihatnya. Tapi saya tak tahu baik Is ada makna. Dia berjanji jadikan saya isterinya selepas ceraikan isterinya. Saya percaya dan turutkan apa juga permintaannya. ''Tanpa saya sedari, dalam baik dia kenakan saya. Bukan sahaja minta duit saya setiap kali jumpa, malah pernah pinjam RM5,000 untuk selesaikan hutang keretanya. Ketika itu peliknya, saya ikut saja. ''Kerana saya memang rajin berniaga cari duit, suami pula rajin main SMS dan Facebook, kami bawa hal sendiri. Saya makin rapat dengan Is dan ikut nasihatnya supaya minta cerai. Katanya buat apa ada suami kalau tak pedulikan isteri. Dia suruh saya mengadu ke mahkamah syariah dan jamin suami saya tidak akan banyak soal selain ceraikan saya. Memang tepat, Affandi terus ceraikan saya. Selepas bercerai kami anak beranak menangis tanpa sebab. Saya pun tak tahu mengapa kami mudah sangat bercerai. ''Selepas itu saya ikut kata Is dalam semua urusan keluarga. Walaupun dia bekerja di KL tetapi sering ke tempat saya. . Nak jadikan cerita perniagaan saya maju. Saya mampu tanggung pelajaran anak-anak, dua bersekolah menengah, dua di kolej dan seorang bekerja. ''Namun angau saya pada Is menjadi-jadi. Kalau sehari tak jumpa saya macam nak pengsan. Saya mahu dia sentiasa di sisi. Anak-anak pula tak kisahkan perubahan saya. ''Sebaik saja habis idah iaitu pada Februari lalu, saya nikah dengan Is bersaksikan ayah, adik dan anak saya sendiri di sebuah surau di Sungai Buluh. Semua urusan Is bereskan. Semua berjalan pantas, hanya enam bulan lepas jumpa Is kami bernikah. "Janji Is dia akan ceraikan isterinya kerana mereka tidak sesuai lagi. Malangnya tiga bulan berlalu, dia tetap tinggal di KL dengan isterinya manakala saya di selatan. Is beritahu dia dan isterinya tengah kaunseling untuk bercerai. Dalam sebulan, cuma tiga atau dua kali Is bermalam di rumah saya. ''Saya rayu Is nak lihat sijil nikah tapi tak ada. Kerana tak puas hati saya bertanya dengan ustaz dan disuruh rujuk ke mahkamah syariah. Mahkamah suruh saya daftarkan perkahwinan. Saya rayu Is supaya daftar tapi dia berdalih. Setelah enam bulan berlalu Is masih tidak ceraikan isterinya. ''Dalam pada itu rahsia pernikahan kami sampai ke pengetahuan isterinya. Isteri Is telefon saya dan beritahu suaminya pembengis dan suka pukul. Saya tak percaya. Lagipun Is tak pernah pukul saya. ''Setelah tujuh bulan berlalu, atas desakan keluarga yang sering bertanyakan status kami, saya daftarkan perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah. Malangnya bila saya maklumkan kepada Is dia mengamuk sakan. Dalam telefon, dia ceraikan saya dengan talak satu. Bila datang jumpa saya, dia beri RM10 untuk nafkah. ''Terkejut sungguh saya dibuatnya. Rupa-rupanya anggota beruniform sepertinya perlu minta izin ketua jika berkahwin lebih daripada satu. Jika tidak boleh dikenakan tindakan tata tertib. ''Selepas diceraikan, saya jadi sasau. Tak dapat lihat wajah Is, tengok gambar pun jadilah. Akhirnya saya berubat dengan seorang ustaz dan diberitahu saya terkena ubat guna-guna. Patutlah saya jadi macam lembu dicucuk hidung, banyak duit habis untuknya sedangkan kami bertemu semula dan berkahwin dalam tempoh enam bulan. "Sejak diceraikan Oktober lalu, baru kini saya kembali normal. ''Saya tak kesal jadi janda sekali lagi tetapi yang menyakitkan hati, saya telah 'dikenakan' untuk kesenangan hidup Is.'' Demikian cerita Juliana tentang kehancuran rumahtangga yang dialaminya sebanyak dua kali. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan