Jumaat, 18 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sasar 10 jutawan setahun

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 17 Okt. - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Perak yakin mampu melahirkan sekurang-kurangnya 10 orang usahawan Melayu di negeri ini yang bergelar jutawan setiap tahun.

Pengerusinya, Sabri Ahmad Tah berkata, sasaran itu bukan mustahil sekiranya usahawan Melayu mempunyai keazaman untuk memajukan perniagaan mereka.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, DPMM akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti syarikat-syarikat bumiputera yang berdaya saing untuk diketengahkan dan diberikan peluang mendapatkan projek yang lebih besar.

''Sebagai contoh, syarikat yang cergas dalam hartanah, wajar diberikan lebih banyak kontrak untuk membangunkan kawasan perumahan," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama Jawatankuasa DPMM Negeri Perak di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Naib Persiden DPMM, Datuk Ab. Rahim Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari.

Sabri yang baru mengambil alih jawatan Pengerusi DPMM Negeri Perak memberitahu, DPMM akan bekerjasama dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir bagi memantapkan lagi hubungan dan memajukan usahawan bumiputera.

Beliau berkata, DPMM masih dalam proses memperkemaskan pengurusan dan pentadbiran serta akan mengadakan mesyuarat agung pertama.

"Selepas itu DPMM akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar bagi mengukuhkan lagi kerjasama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, memandangkan DPMM baru digerakkan semula, keahliannya cuma 100 orang namun yakin jumlah itu mampu mencapai 1,000 orang tidak lama lagi.

"DPMM Perak digantung sebelum ini sehingga menyebabkan 500 orang ahlinya hilang arah tujuan.

"Namun kepemimpinan baharu DPMM akan berusaha menarik lebih ramai usahawan Melayu untuk menjadi ahli,'' katanya.

Kakak pulang dari Australia

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada ahli keluarga Mohd. Amar Mohd. Azizi menunggu di luar Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 17 Okt. - Kerana terlalu kasih kepada adik bongsunya, seorang kakak sanggup menempuh perjalanan lebih lapan jam dari Australia semata-mata mahu memberi semangat dan dorongan kepada kanak-kanak itu yang parah terkena tembakan oleh seorang anggota polis secara tidak sengaja, Isnin lalu.

Sejurus sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam, Nur Aqila Mohd. Azizi, 22, yang sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di University of Newcastle bergegas bertemu Mohd. Amar, 10, yang sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Mula-mula memeluknya (Mohd. Amar), saya tengok dia tak banyak bercakap dan keadaannya agak sedih. Tapi apabila saya ajak dia berbual, lama-lama dia nampak okay.

"Dia (Mohd. Amar) kena kuat (semangat) untuk hadapi semua ini dan jadi tanggungjawab saya dan ahli keluarga yang lain untuk berada bersamanya serta memberi semangat dan dorongan," katanya ketika ditemui di luar Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), HRPB di sini hari ini.

Selain Nor Aqila, bapanya, Mohd. Azizi Abdullah Halim, 48, dan ibunya, Salina Mohd. Nor, 48, serta beberapa ahli keluarganya yang lain turut dilihat berada di ruang menunggu tersebut sejak awal pagi.

Dalam kejadian Isnin lalu, Mohd. Amar yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Belanja, cedera parah terkena satu das tembakan dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang anggota polis.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika anggota berpangkat sarjan yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Taiping itu sedang mengosongkan senjata di tangga rumah mertuanya.

Dalam pada itu, menceritakan perasaannya sebaik sahaja mengetahui kejadian menimpa adiknya, Nor Aqila yang kini berada di tahun kedua di universiti tersebut berkata, hatinya tidak tenteram selagi tidak dapat bertemu Mohd. Amar.

"Beberapa minit selepas kejadian itu berlaku, sepupu telah memaklumkan perkara tersebut kepada saya. Ketika itu, hati saya tidak risau sangat kerana dia dikatakan hanya cedera di hidung.

"Bagaimanapun, apabila ayah beritahu ada peluru di kerongkong Mohd. Amar dan keadaannya parah, saya terus mengemas apa yang patut dan pulang," katanya yang amat rapat dengan adiknya itu.

Luah Nor Aqila yang masih tidak tahu bila akan pulang semula ke Australia, apa yang diharapkan kini hanyalah adiknya itu selamat menjalani pembedahan dan pulih seperti sedia kala.

Sementara itu, Mohd. Azizi berkata, dia sekeluarga belum memikirkan tindakan susulan berhubung kejadian menimpa anaknya sebaliknya hanya menumpukan pembedahan yang mungkin akan dilakukan terhadap Mohd. Amar, esok.

"Pagi tadi dia (Mohd. Amar) minta nak makan ayam goreng KFC (Kentucky Fried Chicken) dan bubur nasi. Alhamdulillah, dia makan dengan berselera sambil bermain permainan video di telefon bimbit.

"Cuma malam tadi tidurnya tidak lena dan sering terkejut. Mungkin kerana tidak selesa kerana ada benda (peluru) di kerongkong serta susah nak menelan air liur.

"Saya hanya golongan sederhana, tetapi saya dah cuba lakukan apa termampu untuknya (Mohd. Amar). Selebihnya saya serah kepada Allah," katanya sayu.

Polis tahan 3 lelaki, rampas pistol buatan sendiri

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

AHMAD Ibrahim (tengah) melihat wang tunai RM62,030 dan empat peket plastik mengandungi dadah semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kedah di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 17 Okt. - Polis menahan tiga lelaki yang memiliki rekod jenayah dan merampas sepucuk pistol buatan sendiri bersama tujuh butir peluru di Air Hitam, Kubang Pasu Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, serbuan dibuat di sebuah rumah kira-kira pukul 2 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Ketiga-tiga mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 41 tahun. Seorang daripada mereka memiliki rekod lampau membabitkan dadah manakala dua lagi melibatkan kes dadah serta jenayah.

"Kesemua suspek ditahan sehingga 21 Oktober ini untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ahmad, pada hari yang sama kira-kira pukul 2.40 petang, sepasukan polis dari jabatan itu turut menahan seorang lelaki dan seorang perempuan yang terlibat dalam pengedaran dadah di sebuah hotel, Jalan Putra di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis merampas empat peket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 23.8 gram, 150 biji pil disyaki dadah dan sebuah kereta jenis Honda Accord.

"Nilai keseluruhan barangan yang dirampas adalah RM168,000 termasuk wang tunai berjumlah RM62,030. Pemeriksaan polis juga mendapati pasangan itu mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah dan jenayah," katanya.

Ahmad berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 21 Oktober ini dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Ahmad, pihaknya turut menerima 19 kes berhubung pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang berurusan menggunakan internet sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, kes itu melibatkan kerugian hampir RM164,000 apabila peminjam perlu memasukkan wang kepada pemberi pinjaman sebagai deposit.

Katanya, walau bagaimanapun pemberi pinjaman tersebut gagal dihubungi setelah wang pendahuluan dimasukkan ke dalam akaun mereka.

"Saya sarankan orang ramai yang tinggal di negeri ini berhati-hati apabila ternampak poster berkaitan pinjaman wang tanpa lesen agar tidak terpengaruh bagi mengelak daripada tertipu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved