Utusan Online - Keluarga |
Rakan sekerja jadi teman hidup Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT Oleh Shahrinnahar Latib PASANGAN Md. Sharif Shamsuddin dan Sharifah Syed Omar dikurniakan empat orang dan turut mempunyai dua orang cucu. SIAPA sangka pada mulanya berkenalan hanya sebagai rakan sekerja tetapi akhirnya bertukar menjadi pasangan suami isteri yang bahagia sehingga kini. Malah bagaikan satu suratan, hanya pada mulanya makan dan tengok wayang bersama, akhirnya lama kelamaan berputik cinta antara satu sama lain. Begitu permulaan percintaan usahawan terkemuka di Pahang iaitu Pengarah Urusan Asturi Metal Builders Sdn. Bhd., Datuk Md. Sharif Shamsuddin, 62, dan isteri, Datin Sharifah Syed Omar, 62, yang kini telah berumah tangga lebih 36 tahun. Mengimbas kembali kenangan itu, Md. Sharif mengakui mereka lebih fokus terhadap urusan kerja daripada sibuk memikirkan kisah cinta. Kisah bermula pada 1973 iaitu ketika saya dan dia baru bekerja sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) Sangkut di sebuah pejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Masa mula-mula dulu, kami hanya pergi makan-makan, tengok wayang dan keluar jalan. Pada masa itu, saya hanya pakai motosikal jenis Vespa, balik kerja..., dia pasti akan tumpang untuk pulang ke rumahnya. Pada mulanya, kami hanyalah rakan sepejabat tetapi lama kelamaan cinta mula berputik. Kini, saya sudah lebih 36 tahun berkahwin dengannya," katanya ketika ditemui S2. Beliau yang berasal dari Jerantut, Pahang, berkata, kira-kira empat tahun bercinta dengan Sharifah, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan. Keputusan bernikah diambil selepas melihat keserasian antara kami dalam pelbagai aspek terutama komunikasi," katanya. Md. Sharif yang pernah menyandang jawatan Pengurus Besar Yayasan Pahang itu berkata, semasa beliau membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai penjawat awam untuk membuka perniagaan, isterinya tidak bersetuju. Masa itu memang sukar bagi dia memberikan persetujuan, namun lama kelamaan dia merestui saya menjalankan perniagaan," katanya. Akuinya, sebab utama beliau menyukai isterinya adalah kerana dia merupakan seorang yang berterus terang dan tidak kedekut. Ini yang menyebabkan perkahwinan kami kekal sehingga kini. Isteri saya juga suka memasak. Dulu, saya tidaklah sebesar ini tetapi selepas kahwin tengoklah badan saya," katanya sambil ketawa. Bekerja sebagai ahli perniagaan ini banyak dugaan dan cabaran namun isterinya sentiasa memberi galakan serta sokongan untuknya berjaya. Saya bersyukur kerana perniagaan saya semakin maju dan alhamdulilah, saya mampu membawa isteri saya melancong ke seluruh dunia," katanya. Pasangan yang dikurniakan empat orang anak iaitu Fatiha, 35; Suraya, 34; Haidar,28; dan Alia, 25, turut mempunyai dua orang cucu. Kita perlu bijak meletakkan sempadan antara urusan kerja dan rumah tangga. Saya bersyukur kerana isteri amat memahami pekerjaan saya," katanya. Justeru beliau menasihati pasangan yang baharu berkahwin supaya mengambil berat hal isteri dan rumah tangga. Apa sahaja membabitkan rumah tangga, kita perlu tunjukkan kesungguhan. Yang penting, jangan mencampuri urusan kerja isteri. Itulah yang terbaik. Satu lagi adalah apabila kita buat sesuatu, ingat isteri kita. Contohnya, apabila saya mendapat untung, saya akan kongsi bersama isteri, jangan kedekut dengan isteri. Isterilah yang bersama kita dalam susah atau senang. Kalau boleh luangkan masa bersama keluarga dan berada di rumah sekurang-kurangnya untuk makan bersama," katanya. |
'Kata dua buat suami, mentua berubah' Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT RAMAI yang akan bersungut dan marah-marah bila bersuamikan anak emak, label yang sering kali mengundang pelbagai masalah dalam sesebuah rumah tangga. Yang menjadi mangsa sudah tentu isteri dan tempiasnya akan terkena pada anak-anak juga. Lelaki yang terlebih manja dengan emaknya sebenarnya boleh mengawal diri jika sudah berkeluarga, sesuai dengan fitrahnya sebagai ketua yang dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan. Tetapi kenapa kebanyakan anak emak ini tidak boleh mengubah perangai mereka apabila menjadi suami dan bapa? Apa yang tidak kena? Adakah mereka takut menjadi anak derhaka atau memang mereka tidak boleh hidup tanpa emak? Inilah topik yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah yang diceritakan sendiri oleh Maria ( bukan nama sebenar ) mengenai rumah tangganya dengan Suhaimi (bukan nama sebenar ) yang menghadapi masalah kerana Suhaimi terlalu bergantung pada emaknya. Ini kisah Maria. "Seluruh keluarga merestui pernikahan saya dan Suhaimi kerana suami saya seorang yang mempunyai ciri-ciri menantu idaman ibu dan ayah. "Apabila saya sudah sah menjadi isteri Suhaimi, semua keluarga memuji saya kerana bertuah. Sebabnya, semua sudah tersedia, saya hanya cuci kaki masuk rumah, itu kata orang. "Beruntung sungguh engkau Maria, mendapat suami yang bertanggung jawab," ibu memuji kehebatan menantunya, dan saya juga amat bersyukur dengan jodoh yang ditentukan Allah. "Selepas sebulan bernikah, terdapat sedikit perubahan dari segi sikapnya. Jika dahulu Suhaimi makan tengah hari di rumah, kini tidak lagi dan akan pulang lewat malam. "Saya tidak pernah bersungut atau bertanya kerana tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak diingini. "Selepas setahun, kami dikurniakan seorang anak dan dengan kehadiran si kecil, suami saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Syukur dengan perubahan itu dan saya terasa amat bahagia sekali. "Pada suatu hari, ibu mentua saya datang ke rumah dan minta kebenaran untuk menjaga cucunya. Oleh kerana saya seorang suri rumah sepenuh masa adalah tidak logik untuk saya menyerahkan si kecil yang baru berusia dua tahun kepada mentua. "Pelbagai alasan yang mentua saya berikan dengan maksud untuk mendapat hak penjagaan ke atas cucunya itu. "Pulang dari kerja, suami meminta saya berkemas dan berpindah ke rumah emaknya. Saya menjadi keliru dengan tindakannya tanpa terlebih dahulu berbincang. "Ikut saja apa yang saya cakap," itu perintah yang terucap dengan nada suaranya yang agak tegas. Saya mengadu kepada ibu dan bapa dan mereka menasihatkan saya supaya mengikut kehendak suami walaupun tindakan tersebut kurang disenangi mereka. "Dalam keadaan terpaksa kami berpindah, rumah kami tidak disewakan atau dijual tetapi dijadikan sebagai rumah rehat pada hujung minggu. Setelah beberapa bulan tinggal bersama, mentua saya nampak sikapnya yang suka melebihkan suami saya dalam semua perkara. "Tidak perlu saya jelaskan kerana semua sedia maklum apa yang dimaksudkan sehingga saya bosan tinggal sebumbung dengan mereka. "Akhirnya, saya tidak ada pilihan dan menyerahkan anak saya kepada mentua. Sesekali mereka akan menyerahkan kepada saya jika perlu. "Tidak molek untuk bermasam muka dengan mentua, bimbang tercetus pergaduhan yang boleh meruntuhkan rumah tangga kami, saya akur dengan keadaan. "Saya sentiasa berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah agar saya dapat lakukan sesuatu demi untuk menyelamatkan sebuah kehidupan yang amat saya hargai dan sayangi ini. "Setelah mendapat nasihat daripada mereka yang berpengalaman dalam kes-kes seperti ini, saya perlu banyak berdoa dan bersabar jika ingin menyelamatkan segala yang saya sayangi. "Saya juga perlu mengikut rentak mentua dalam semua perkara walaupun terdapat juga beberapa hal yang tidak menyenangkan hati saya. "Banyak bersabar, itu pesanan ibu dan ayah setiap kali saya mengadu mengenai masalah rumah tangga kami yang sering diganggu sehingga saya tidak berpeluang langsung menguruskan perbelanjaan, sebab semuanya di bawah bidang kuasa mentua. "Suatu hari jiran yang bersebelahan rumah kami bertandang ke rumah dan meminta kami untuk menjaga anaknya yang berusia tiga tahun ketika mereka keluar bekerja. "Oleh kerana mereka terlalu mengharapkan pertolongan maka kami bersetuju menjaga pada waktu pejabat sahaja dengan upah yang munasabah. "Kehadiran kanak-kanak tersebut telah menceriakan suasana kehidupan saya dan berpeluang untuk mengasuh kerana anak saya 'dikawal' oleh ibu mentua. "Manja dan keletah si kecil itu dengan saya menjadikan saya menyifatkan kanak-kanak itu seperti anak kandung saya. Ada hikmah yang Allah beri kepada saya di sebalik kejadian ini. "Walaupun anak saya di bawah kawalan ibu mertua, sebagai ibu kandung, saya mempunyai hak sehingga ada ketikanya berlaku pertengkaran kecil gara-gara tidak berpeluang langsung untuk menguruskan anak yang memerlukan perhatian sewajarnya. "Harapkan suami, dia langsung tidak mampu bersuara kerana menyebelahi ibunya yang asyik mengongkong hidup kami sehinggakan saya sudah mula rasa meluat dengan perangai mereka. "Pada suatu hari, anak saya terbiar keseorangan di dalam bilik, neneknya keluar tanpa memberitahu saya. Terdengar tangisan kuat dan saya meluru untuk melihat apa yang terjadi!.. "Saya menjerit sekuat hati apabila melihat anak saya terjatuh ke lantai. Sambil memangku si kecil, saya menangis kesal dengan apa yang terjadi dan terus membawa anak saya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan, bimbang terdapat kecederaan. "Sekali lagi terjadi pertengkaran antara saya dan ibu mentua sehingga saya mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibu dan ayah di kampung. Suami menghalang tindakan saya dan berjanji akan menyelesaikan masalah rumah tangga kami. Tapi saya kenakan syarat, kami perlu pindah dan tinggal sendiri di rumah yang telah ditinggalkan. "Saya beritahu suami, jika tidak saya tidak teragak-agak untuk minta cerai, itu muktamad. Setelah berbincang akhirnya tercapailah muafakat dan mentua minta maaf dengan perbuatannya yang melampau dan insaf dengan apa yang telah berlaku. "Sejak peristiwa itu, mentua tidak lagi mengongkong kami suami isteri dan anak saya kembali ke pangkuan saya seperti anak-anak lain. Yang penting, mentua sudah tidak lagi mengongkong kehidupan kami suami isteri. Syukur alhamdulillah. "Walaupun saya tahu perbuatan saya terhadap mentua agak keras tetapi saya buat semua untuk kebaikan rumah tangga kami dan untuk menyedarkan suami. Moga kebahagiaan yang saya nikmati ini berkekalan hingga ke akhir hayat." Begitu doa Maria menamatkan ceritanya. Alhamdulillah, itu yang mampu diucapkan apabila cerita Maria berakhir dengan bahagia. Kebanyakan cerita yang pernah saya tulis dan dengar semuanya berakhir dengan kesedihan. Syabas dan tahniah kepada Maria yang bertindak bijak menyelamatkan rumah tangga dan menyedarkan suami dan mentuanya. Ada kalanya, kita harus bertindak tegas untuk kebaikan daripada memendam rasa dan menderita hingga ke penghujung hayat. Saya berharap para mentua di luar sana akan lebih berhati-hati dalam tindak tanduk terhadap anak menantu. Biarkan mereka menjalani hidup mereka sendiri. Peranan kita sebagai orang tua adalah untuk menasihati dan memantau hidup mereka, tegur mana yang perlu demi kebaikan dan kebahagiaan mereka. Menutup kata sepatah kata buat renungan, "Alam rumah tangga berbeza dengan alam bercinta, ia lebih manis jika kena aturan hidupnya dan akan menjadi pahit bila tidak ada toleransi, komunikasi dan sikap sayang serta mengambil berat antara satu sama lain sebagai pelengkap hidup berumah tangga." Salam |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan