Jumaat, 18 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bandar baharu RM100 juta

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

ABU Bakar Harun (tengah) bergambar bersama ketua-ketua kampung selepas Majlis Penyampaian Sistem Audio Kepada JKKK Parlimen Pekan di Pekan, Pahang, kelmarin.

PEKAN 18 Okt. - Felda memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi mewujudkan sebuah bandar baharu di persimpangan gugusan Felda Chini di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata, bandar baharu yang berkeluasan kira-kira 20 hektar itu kini masih di peringkat kajian oleh pentadbiran daerah Pekan.

"Kita sedang kenal pasti kawasan tanah sesuai di kawasan tersebut sebab kita bina bandar ini bukan di dalam Felda Chini tetapi di luar.

"Kalau dalam Gugusan Felda Chini memang mudah sebab kita mempunyai banyak tanah, tetapi ini di luar menyebabkan kita perlu cari tanah yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Sistem Audio Kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Pekan di Dewan UMNO Pekan di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; ADUN Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff dan ADUN Pulau Manis, Khairudin Mahmud.

Sebanyak 75 JKKK dari Parlimen Pekan masing-masing menerima satu set sistem audio sumbangan Yayasan Felda yang boleh digunakan dalam program atau majlis peringkat kampung.

Abu Bakar berkata, projek itu membabitkan pembinaan bercampur seperti perumahan generasi kedua dan bangunan industri serta perniagaan.

Menurutnya, pemilihan kawasan di luar gugusan itu kerana tidak mahu bandar baharu itu menjadi bandar mati.

"Kawasan projek bandar baharu ini terletak di jalan Kuantan-Muadzam Shah. Peneroka juga dapat memasarkan produk mereka di bandar ini dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan," katanya.

IAM sasar 177,520 pekerja mahir automotif

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

M. MADANI SAHARI (duduk baju merah) bergambar dengan pekerja bengkel kenderaan di Mentakab dan Temerloh yang menghadiri Program Peneraju Utama IAM dan Sistem Latihan Dual Nasional bagi zon pantai timur di Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 18 Okt. - Institut Automotif Malaysia (IAM) mahu melahirkan sebanyak 177,520 tenaga kerja mahir dalam bidang automotif menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M. Madani Sahari berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, pihaknya akan menyediakan latihan kemahiran meliputi pekerja tidak terlatih yang kini bekerja di bengkel-bengkel kenderaan di seluruh negara.

"Bidang automotif merupakan satu industri berteknologi tinggi dan sentiasa berkembang pesat. Kemajuan industri ini memasuki era baharu iaitu berasaskan teknologi kenderaan yang menggunakan tenaga efisien.

"Walaupun teknologi ini masih baharu dan sedang diterokai banyak pihak, tetapi negara yang berjaya menguasai teknologi tersebut akan menjadi peneraju dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Peneraju Utama IAM dan Sistem Latihan Dual Nasional bagi zon pantai timur yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin baru-baru ini.

Menurutnya, IAM merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang ditubuhkan sebagai pusat tumpuan dan koordinasi bagi pembangunan industri automotif tempatan.

Tambahnya, agensi itu yang terletak di Cyberjaya berperanan dalam industri automotif seperti cadangan dasar automotif, menguruskan pembangunan tenaga kerja, teknologi dan rantaian bekalan serta menyelaraskan aktiviti selepas jualan.

Buat masa ini katanya, industri itu menyumbang tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM25 bilion setahun.

Pakej perkelahan sambil bermain ikan kelah merah

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

PENJAGA santuari Kelah Taman Negara Sungai Relai, Roslan Abdullah menunjukkan ikan Kelah yang jinak kepada keluarga yang berkelah di Sungai Relau, Merapoh, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 18 Okt. - Hutan Lipur Sungai Relau, Merapoh di sini merupakan antara lokasi pelancongan menarik kerana menawarkan pakej perkelahan keluarga sambil bermain bersama ikan kelah yang jarang diperoleh di tempat lain.

Destinasi itu yang terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar Kuala Lipis dan tujuh kilometer dari pekan Merapoh, sememangnya tidak menjadi masalah untuk dikunjungi.

Hutan Lipur Sungai Relau mula dibuka kepada pelawat pada Ogos 1993 dan merupakan sebahagian dari Taman Negara Pahang (TNP).

Lokasi itu menjadi habitat kepada kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung serta 80 spesies kelawar.

Penguasa TNP Sungai Relau, Mohd. Zulfadli Zainor berkata, pihaknya melaksanakan program konservasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke atas lima spesies hidupan liar utama iaitu gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.

Katanya, antara destinasi yang perlu dikunjungi adalah Santuari Ikan Kelah, terletak di Sungai Juram sejauh 14 kilometer dari resort TNP Sungai Relau dengan menaiki pacuan empat roda.

Ikan kelah merah atau juga dikenali kelah bara akan muncul apabila loceng dibunyikan untuk menangkap makanan yang ditabur penjaga santuari ke permukaan air.

"Ikan kelah merah dan spesies lain yang dianggarkan berjumlah 3,000 ekor akan muncul dan membuatkan pelawat teruja serta mudah bermain dan menangkapnya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mereka yang ingin mengunjungi kawasan itu boleh menghubungi Mohd. Zulfadli Zainor di talian 013-3002503 atau Roslan Abdullah (019-2532582).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved