Utusan Online - Utara |
- Peranti penyisih penyu wajar diperluas
- Kerabat Sultan Kedah tonton filem Tanda Putera
- MADA pulihkan tanah sawah jerlus
Peranti penyisih penyu wajar diperluas Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR BERUAS 12 Sept. - Jabatan Perikanan merancang memperluas penggunaan peranti penyisih penyu (TED) sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara negara utama yang melaksanakannya di rantau ini. Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, projek yang kini di peringkat percubaan itu hanya dipasang nelayan secara sukarela melibatkan lapan unit di Kemaman, Terengganu. Namun, katanya, masih belum terdapat perancangan mewajibkan penggunaan TED kerana pihaknya masih lagi melihat kepada tahap penerimaan dalam kalangan nelayan sepanjang tempoh percubaan tersebut. "Penggunaan TED pada pukat tunda bukan sahaja boleh menyelamatkan penyu yang terperangkap dalam tempoh masa kurang tiga minit, malah peranti ini juga telah diuji agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat. "Penggunaan TED pada pukat tunda udang musim tengkujuh turut membuktikan hasil tangkapan tidak terjejas, bahkan lebih bersih dengan pengasingan sampah sarap sekali gus berupaya menjimatkan penggunaan bahan api," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan 'Program Kenali Penyu, Sayangi Penyu 2013' anjuran bersama Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pasir Panjang, Segari, dekat sini hari ini. Yang turut hadir, Pengurus Loji Janakuasa Lumut Malakoff, Abdul Rahman Hussin. Dalam majlis itu, Ahamad Sabki yang mewakili Jabatan Perikanan turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Abdul Rahman bagi pihak Malakoff untuk tujuan pembangunan program pemeliharaan penyu. Beliau juga melepaskan seekor penyu ke laut yang julung kalinya dipasang dengan peranti satelit di negeri ini bagi tujuan pengesanan serta pengumpulan data migrasi termasuk dari aspek habitat dan pemakanannya. Dalam pada itu, Ahamad Sabki berkata, pemeliharaan spesies penyu penting memandangkan hidupan tersebut merupakan satu-satunya spesies yang menjadi petunjuk kepada kestabilan ekosistem marin. Menurut beliau, penyu amat menggemari rumpai laut yang hidup dalam zon kualiti air bersih selain suhu yang optimum. "Pendaratan penyu secara tidak langsung sekali gus menunjukkan sumber ikan kita berada dalam keadaan sihat sekali gus membantu pendapatan para nelayan. "Di Segari misalnya, setiap tahun kira-kira 90 ekor penyu akan mendarat di sini. Kita juga mempunyai beberapa pusat penetasan penyu seperti di Pulau Pinang, Perak dan Melaka," katanya. |
Kerabat Sultan Kedah tonton filem Tanda Putera Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT Tunku Annuar Sultan Badlishah, Toh Puan Bendahara Noor Suzana Abdullah (lima dari kiri) Mukhriz Tun Mahathir dan Norzieta Zakaria (empat dari kiri), Shuhaimi Baba (dua kiri) dan barisan pelakon semasa Tayangan Perdana Tanda Putera di Wisma Darulaman, Alor Setar, Kedah, kelmarin. ALOR SETAR 12 Sept. - Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dan isteri Toh Puan Bendahara Kedah, Datin Seri Noor Suzana Abdullah berkenan berangkat menonton tayangan perdana filem Tanda Putera di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini semalam. Tayangan perdana filem Tanda Putera yang dimulakan pada pukul 9 malam itu merupakan anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Kedah (Bidara). Yang Dipertua Bidara, Datin Norzieta Zakaria berkata, keberangkatan Tunku Bendahara dan isteri menambah seri program tayangan perdana filem Tanda Putera yang julung kali dianjurkan Bidara dan memperlihat sokongan beliau terhadap industri perfileman negara ini. "Perjuangan atas semangat cintakan negara seperti yang telah ditunjukkan oleh begitu ramai pemimpin terdahulu membuatkan kita berjaya menikmati kemakmuran." Jerit perih dah pahit getir perjuangan mereka mesti diambil peduli malah perlu dicontohi," katanya ketika berucap dalam majlis itu. Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan lain-lain jemputan. Tayangan perdana sesi pertama malam semalam dikhaskan untuk tontonan tetamu diraja dan orang kenamaan, manakala hari ini tayangan sesi kedua pula akan diadakan pada pukul 3 petang dengan menjemput pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pelajar universiti di dewan berkapasiti 1,800 orang itu. Menurutnya, setiap usaha murni yang dibuat dalam usaha untuk menyemarakkan semangat cintakan sejarah akan melalui cabaran daripada golongan yang tidak mahukan keamanan malah mahu memutar belit fakta sejarah. "Bagi kami di Bidara sebagai ibu, anak dan isteri yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kestabilan kami percaya bahawa sejarah mengajar manusia, walau seperti mana sekalipun perlu ditonjolkan agar menjadi sempadan," jelasnya. Dalam pada itu, Mukhriz yang ditemui selepas tayangan perdana itu berkata, filem Tanda Putera terbukti filem yang mengingatkan semua kepada sejarah negara ini. "Filem ini jauh sekali daripada sebuah filem yang rasis dan saya syorkan kepada semua pihak menontonnya supaya kita memahami latar belakang sejarah negara, di saat getir apa pengorbanan pemimpin terdahulu untuk jamin apa yang kita nikmati sekarang," katanya. |
MADA pulihkan tanah sawah jerlus Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH ALOR SETAR 12 Sept. - Seluas 3,018 hektar tanah sawah jerlus di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat dipulihkan dengan penambahbaikan sistem saliran di kawasan berkenaan sejak tahun lalu. Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, pemulihan tanah jerlus berkenaan merupakan program jangka panjang yang diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melibatkan kawasan sawah seluas 8,107 hektar. "Buat masa ini sebahagian kerja pemulihan yang menelan kos sebanyak RM3.77 juta hampir siap dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi peringkat MADA di sini hari ini. Othman berkata, tindakan jangka pendek pemulihan tanah jerlus di dalam MADA dimulakan pada tahun lalu bagi kawasan sawah seluas 854.7 hektar dengan kos RM996,000 dan tindakan berkenaan dapat memulihkan 567.3 hektar kawasan sawah yang terjejas. Menurut beliau, secara keseluruhan program jangka panjang pemulihan berkenaan melibatkan anggaran kos sebanyak RM64.68 juta. Katanya, program itu merangkumi pembatalan dua musim penanaman padi iaitu Musim 2/2013 dan Musim 1/2014 serta pemberian bantuan wang ihsan melibatkan 3,877 peladang dengan keluasan kawasan 6,791 hektar. "Selain itu, pembinaan dan pembaikan infrastruktur dan sistem saliran membabitkan skop kerja pembinaan atau pemulihan infrastruktur saliran, pembuangan enapan di parit-parit utama, meninggikan ban saluran air, pembinaan stesen pam saliran termasuk pengambilan balik tanah. "Program itu juga merangkumi penyediaan tanah sawah selepas pemulihan tanah jerlus termasuk melaksanakan kerja-kerja meracun dan putaran tanah," ujarnya. Dalam pada itu Othman berkata, keluasan serangan haiwan perosak, penyakit utama padi dan rumpai mencatatkan penurunan pada Musim 1/2013 berbanding musim sama tahun lalu. Katanya, sehingga pertengahan bulan lepas, jumlah kawasan serangan haiwan perosak siput gondang emas menurun daripada 3,974 hektar kepada 445 hektar dan serangan tikus daripada 3,808 hektar kepada 1,187 hektar. "Serangan penyakit karah padi juga menurun daripada 412 hektar kepada 18 hektar manakala keluasan kerosakan akibat padi angin pula dapat dikurangkan daripada 5,948 hektar kepada 1,005 hektar. "Kita sedang menjalankan penyelidikan terperinci mengenai punca penurunan berkenaan termasuk mungkin disebabkan penggunaan benih padi baharu kerana masalah dalam industri padi sentiasa berubah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan