Isnin, 02 Jun, 2025

Jumaat, 13 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


400,000 pengakap digerak jika berlaku banjir

Posted: 13 Sep 2013 02:48 AM PDT

KOTA BHARU 13 Sept. - Kira-kira 400,000 anggota pengakap di seluruh negara akan digerakkan sebagai sukarelawan jika berlaku banjir terutama di Pantai Timur menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, ia adalah hasil kerjasama yang dijalinkan di antara pihaknya dengan persatuan tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini, anggota pengakap ingin membantu ketika bencana alam melanda bagaimanapun mereka tidak mengetahui cara-caranya.

"Agensi pengurusan bencana yang ada sememangnya sangat memerlukan bantuan sukarelawan seperti Pengakap yang mempunyai lebih 400,000 keanggotaan di seluruh negara.

"Anggota pengakap ini boleh kita letakkan di pusat pemindahan bagi urusan membantu yang lain termasuk khidmat kaunseling," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bengkel dan Seminar Pengurusan Bencana Alam Peringkat Kebangsaan Persekutuan Pengakap Malaysia 2013 di Kem Kijang di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Walk 4 Malaysia bukti semangat juang rakyat - PM

Posted: 12 Sep 2013 11:59 PM PDT

PUTRAJAYA 13 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan program Walk 4 Malaysia iaitu cabaran berjalan kaki sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut, Terengganu ke Putrajaya, sebagai cerminan semangat juang rakyat negara ini dalam mempromosi keamanan dan kedamaian.

Perdana Menteri juga melahirkan rasa kagum terhadap peserta, Mohd Noor Mat, yang mahu membuktikan kepada semua bahawa tiada cabaran yang dapat menghalangnya merealisasikan impian itu.

"Kita berasa kagum dengan hasrat dan dedikasi yang ditunjukkan beliau yang mahu membuktikan kepada semua bahawa tiada halangan mahupun cabaran, namun yang wujud hanyalah peluang," katanya ketika melancarkan Walk 4 Malaysia, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Najib juga berharap program itu dapat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Aktiviti berjalan kaki ini seharusnya dijadikan rutin harian kita kerana ia dapat meningkatkan tahap kecergasan individu dan produktiviti di tempat kerja," katanya.

Najib juga meluahkan penghargaan kepada kerajaan negeri Terengganu yang menganjurkan program itu serta agensi lain termasuk syarikat korporat yang menaja.

Jiwa kental dan hati waja yang mahu diterjemahkan Mohd Noor dalam Walk 4 Malaysia ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan jitu pihak berkenaan, katanya.

Walk 4 Malaysia merupakan cetusan idea Mohd Noor, 47, yang mahu menunaikan nazarnya susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada 24 Julai lepas.

Selain beliau, program 13 hari yang bermula 22 Sept ini di Dataran Kuala Besut akan disertai 40 yang lain dari Majlis Sukan Negeri Terengganu. Sepanjang perjalanan mereka akan singgah di 13 destinasi sebelum tiba di Putrajaya.

Pada majlis itu, Khairy menyerahkan Jalur Gemilang kepada Mohd Noor, bagi pihak Perdana Menteri.

Dalam sidang media kemudian, Khairy berkata generasi muda perlu mengambil iktibar dan inspirasi daripada kesungguhan bekas tentera itu yang sanggup mengharung cabaran untuk membuktikan rasa cinta kepada negara.

Sementara itu, Mohd Noor berkata beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan cabaran berkenaan.

"Saya bagi pihak orang kampung, wakil kepada rakyat Malaysia, saya berjanji bukan kepada Perdana Menteri, bukan kepada Menteri Besar Terengganu, saya berjanji dengan Allah S.W.T bahawa saya akan berjalan kaki dengan tabah dan ikhlas.

"Ini kerana negara ini amat memerlukan rakyat sendiri yang bangkit pada hari ini. Jatuhnya BN, hancurnya Malaysia," katanya dengan nada sebak.

Sebelum ini, Mohd Noor yang bertugas sebagai pembantu am rendah di Yayasan Islam Terengganu pernah berjalan kaki sejauh lebih 200 km dari Kuala Besut ke Kemaman.

Bapa kepada tujuh anak itu sering melakukan aktiviti berjalan kaki sebagai latihan kecergasan. - BERNAMA

Punggah bijih besi: 100 Nelayan tradisional berpiket

Posted: 12 Sep 2013 11:50 PM PDT

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 13 Sept. - Lebih 100 nelayan tradisional di daerah Bachok dan Semerak yang berpangkalan di Tok Bali berpiket secara aman di pinggir Terusan Semerak, dekat sini hari ini.

Mereka berpiket kerana membantah kegiatan memunggah bijih besi dari Pelabuhan Tok Bali di kawasan sekitar lima batu nautika dari pantai Tok Bali sehingga menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

Wakil nelayan terbabit, Mohd. Razi Mat, 32, mendakwa, kegiatan itu mengakibatkan nelayan terbabit kerugian kira-kira RM300,000 sebulan apabila pendapatan harian mereka turun daripada RM100 kepada RM50.

Malah dakwa beliau, ada ketikanya nelayan pulang tangan kosong apabila pukat mereka dilanggar tongkang syarikat perkapalan yang memunggah bijih besi di Kuala Tok Bali.

Beliau mendakwa, masalah tersebut telah dikemukakan kepada pelbagai pihak di peringkat Kerajaan Pusat dan negeri termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, namun masih gagal diatasi.

"Masalah besar yang kami hadapi sekarang adalah berkaitan kesan projek perkapalan di pelabuhan Tok Bali yang menyebabkan hasil tangkapan kami terjejas teruk.

"Ini termasuk kerosakan alat tangkapan ikan seperti pukat, bubu dan unjam yang dilanggar tongkang mengangkut bijih besi ke kapal besar yang berlabuh di kawasan operasi penangkapan ikan zon A yang menjadi lubuk rezeki kami sejak turun temurun," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved