Utusan Online - Selatan |
- Sentiasa pantau pergerakan kongsi gelap
- Melaka cadang tubuh Muzium PDRM
- Empat tapak sampah akan ditutup beri laluan insinerator beroperasi
Sentiasa pantau pergerakan kongsi gelap Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT Oleh NURSURAYA ZULKIFLI JASIN 12 Sept. - Polis sentiasa memantau pergerakan kumpulan kongsi gelap yang dikenal pasti di daerah ini bagi memastikan tiada kes jenayah kekerasan melibatkan kumpulan ini berlaku. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, daerah ini tidak terkecuali mempunyai kumpulan kongsi gelap bagaimanapun pergerakan mereka tidak seaktif di kawasan lain. Menurut beliau, polis mempunyai rekod dan maklumat setiap ahli kumpulan tersebut dan akan segera bertindak melancarkan gerakan sekiranya mereka ini mengundang bahaya dan mengugat keselamatan awam. "Tidak dinafikan terdapat beberapa kumpulan samseng di daerah ini namun selagi mereka tidak menganggu-gugat, menimbulkan masalah dan mengancam keselamatan orang ramai kita tidak akan menahan mereka. "Ini bukan bermakna kita lepas tangan. Polis sentiasa memantau aktiviti mereka dan tidak akan sesekali memberi peluang kepada kumpulan terlibat sekiranya benar mereka melakukan jenayah di sini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Mesra Bersama Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kelmarin. Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran hampir 3,000 pengunjung daripada pelbagai kaum yang pertama kali diadakan di IPD berkenaan. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bemban, Datuk Ng. Choon Koon dan ADUN Rim, Datuk Ghazale Muhamad. Muhd. Nur Hishamuddin berkata, kes jenayah yang berlaku sepanjang musim perayaan mencatatkan penurunan di daerah ini berbanding tahun lalu dan merupakan terendah di negeri ini. "Antara faktor penurunan indeks jenayah di musim perayaan kali ini adalah gerak kerja yang dilakukan awal sebelum tiba musim perayaan. "Bagaimanapun kami mengharapkan kerjasama masyarakat setempat dalam menyampaikan sebarang maklumat kepada pihak polis dan secara tidak langsung menjalinkan hubungan yang positif antara satu sama lain," katanya. |
Melaka cadang tubuh Muzium PDRM Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT Shah Gzali Khan Shahadad bersalaman dengan sebahagian murid sekolah selepas perasmian Program Penghayatan Malaysiaku Berdaulat di Muzium Rakyat, Melaka, semalam. MELAKA 12 Sept. - Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang menubuhkan sebuah Muzium PDRM di negeri ini dalam masa terdekat. Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas berkata, walaupun sudah ada sebuah Muzium PDRM di Kuala Lumpur, pihaknya percaya penubuhan muzium sama di Melaka amat sesuai dengan statusnya sebagai negeri permuziuman serta menjadi daya tarikan pengunjung dalam dan luar negara. Menurutnya, penubuhan muzium itu juga selari dengan sejarah penubuhan pasukan polis di negeri ini yang telah wujud lebih awal iaitu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. "Menjadi kewajaran untuk diwujudkan sebuah galeri atau muzium polis di negeri ini dalam usaha memperkenal kepada orang ramai tentang sejarah, pengorbanan serta jasa bakti anggota keselamatan di zaman dahulu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Penghayatan Malaysiaku Berdaulat anjuran PDRM di Muzium Rakyat, di sini hari ini. Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama PDRM, Perzim dan Persatuan Penulis Melaka (Penama) itu dirasmikan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shah Gzali Khan Shahadad. Jelas Khamis, tapak sesuai yang dicadangkan untuk penubuhan muzium ini ialah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang lama di Banda Hilir berhampiran kawasan muzium-muzium lain di negeri ini. Ujarnya, usaha penubuhan muzium polis perlu disebabkan kebanyakan agensi badan beruniform di negara ini mempunyai muzium masing-masing di Melaka termasuk Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan terbaru Muzium Jabatan Penjara. "Penubuhan muzium ini nanti diharap dapat dijadikan sebagai pusat hentian bagi para pelajar serta orang ramai untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang berkaitan," katanya. Tambah beliau, perkara ini akan dilaksanakan selepas perbincangan lanjut antara pihak Kementerian Dalam Negeri dengan Kementerian Pelancongan bagi merealisasikan penubuhan muzium ini dalam masa terdekat. |
Empat tapak sampah akan ditutup beri laluan insinerator beroperasi Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT SEREMBAN 12 Sept. - Empat tapak pelupusan sampah terbuka di negeri ini akan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan Pusat Pelupusan Sampah Secara Berteknologi Tinggi yang menggunakan insinerator beroperasi sepenuhnya dekat Tanah Merah, Port Dickson. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini terma dan syaratnya telah diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kini menunggu projek itu dilaksana syarikat yang diberi kelulusan Kerajaan Pusat, Cypark Resources Bhd. (Cypark). "Kawasan di Tanah Merah ini berkeluasan 40.5 hektar dan akan menampung sampah dari kawasan Port Dickson, Seremban dan Rembau menggunakan teknologi tinggi yang kemudiannya menghasilkan tenaga diperbaharui," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau menjelaskan, syarikat Cypark itu juga dipertanggungjawabkan kerajaan membangunkan kawasan pelupusan sampah terbuka di Pajam dekat sini, menjadi pusat pengeluar tenaga diperbaharui solar dan biogas terbesar negara ini dan di Asia Tenggara yang kini dikenali sebagai Taman Tenaga Diperbaharui Bersepadu. Katanya, tapak berkenaan telah ditutup sebanyak 70 peratus serta telah menyaksikan penyambungan tenaga elektrik yang dijana melalui kuasa solar dan biogas dari tapak berkenaan ke grid kebangsaan Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Tapak ini akan ditutup sepenuhnya apabila beberapa pakej pembangunannya dapat disiapkan dalam tempoh terdekat," katanya. Tambah beliau, empat tapak pelupusan terbuka yang akan ditutup itu ialah di Pajam, Kuala Sawah, Bukit Palong dan Sua Betong, Port Dickson. "Kita dapati kesemua tapak pelupusan sampah yang ditutup sebelum ini berisiko tinggi serta bahaya, malah tiada pembangunan dapat dilakukan dalam tempoh 25 tahun akan datang," ujarnya. Sehubungan itu, katanya, sistem pelupusan berteknologi tinggi menggunakan insinerator di Tanah Merah itu kelak akan turut menyaksikan penghasilan tenaga biogas yang juga dapat memberikan aliran tenaga diperbaharui bagi kegunaan kawasan sekitar. "Empat kawasan tapak pelupusan sampah yang akan ditutup secara berperingkat pula akan dijadikan taman tenaga solar baharu yang mana dapat menghasilkan tenaga diperbaharui solar dan biogas untuk menjana tenaga elektrik kelak," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan