Utusan Online - Utara |
- Dua pengedar dadah diberkas
- 65 pertubuhan kebajikan terima bantuan Yayasan Sultan Azlan Shah
- 60 pelajar tahfiz al-Quran terima duit raya
Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT Oleh MALINDA ABDUL MALIK Hatta Md. Zin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua suspek dalam sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam. BALIK PULAU 2 Ogos - Polis terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah sebelum dapat memberkas dua pengedar dadah di kawasan setinggan Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas di sini kelmarin. Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pergi rumah suspek pada kira kira pukul 5 petang tetapi dua lelaki yang berada di dalamnya enggan memberi kerjasama menyebabkan mereka terpaksa memecahkan pintu. Pemeriksaan lanjut menemukan dadah jenis syabu dan heroin yang disembunyikan di dalam laci meja solek dalam rumah itu. Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM160,000 dan mereka dipercayai telah melakukan kegiatan haram di situ sejak setahun lalu. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md. Zin berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 53 tahun didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan. "Kita merampas syabu 475 gram (g), heroin 438g, satu botol kecil yang mengandungi cecair methamphetamine serta peralatan memproses dan membungkus dadah. "Selain itu, kita juga menyita barang kemas bernilai RM50,000 yang dijumpai di rumah suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurutnya, dadah yang diproses itu dipercayai untuk pasaran sekitar negeri ini. "Suspek kini direman sehingga 7 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya. |
65 pertubuhan kebajikan terima bantuan Yayasan Sultan Azlan Shah Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT Raja Dr. Nazrin Shah beramah mesra dengan sebahagian penerima dalam majlis penyampaian sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, kelmarin. - Utusan/Roy Azis Abd. Aziz IPOH 2 Ogos - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyampaikan sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah kepada 65 pertubuhan sukarela dan kebajikan terpilih di negeri ini semalam. Sumbangan tahunan yang diberikan sempena bulan Ramadan itu antara lain bertujuan memberi inspirasi dan semangat kepada pengurusan pertubuhan berkenaan dalam melaksanakan usaha murni demi manfaat dan kebaikan rakyat jelata. Yang turut berangkat adinda bongsu Raja Dr. Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia Sultan Azlan Shah; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Seri Mohd. Zahidi Zainuddin merangkap Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Azlan Shah serta Raja Kechil Tengah Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah. Yang turut hadir Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim. Antara pertubuhan sukarela dan kebajikan yang menerima sumbangan tersebut termasuklah Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Perak, Rumah Orang-Orang Tua Simee, Persatuan India Muslim Perak, The Society of Caring Hands Ipoh, Pertubuhan At-Taqwa Pengkalan Hulu dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Jaz Teluk Intan. Yang turut menerima sumbangan ialah Pusat Pendidikan Al-Barakah, Persekutuan Seruan Islam Perak, The Dementia Society and Daycare Centre Perak, Rose Virginie Good Shepherd Centre, Pusat Harian Kanak-Kanak Spastik dan Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia Negeri Perak. Sementara itu, Pengerusi Rumah Anak Yatim Ummu Salamah, Khairul Fatah Abd. Razak berkata, bantuan tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk memperbesarkan kediaman yang kini menempatkan 22 anak yatim itu di Gerik. Beliau berkata, sumbangan pertama kali yang diterima itu juga dimanfaatkan untuk pembinaan sebuah surau, dewan serbaguna serta asrama lelaki yang ketika ini hanya bersifat sementara. "Kesemua anak yatim berusia antara lapan hingga 17 tahun, jadi kita berhasrat untuk menambah lagi kemasukan anak yatim ke sana apabila pembinaan kemudahan baharu ini selesai," katanya. |
60 pelajar tahfiz al-Quran terima duit raya Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT SUNGAI PETANI 2 Ogos - Hampir 60 pelajar tahfiz al-Quran seluruh Kedah menerima sumbangan duit raya RM50 seorang dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Cawangan Kedah sempena Program Merakyatkan Seni dan Budaya Pengimarahan Ramadan di Pusat Bimbingan Tahfiz Al-Quran Aman Jaya, Sungai Lalang di sini, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain menyampaikan sumbangan kepada pelajar tersebut. Pengarah jabatan itu, Abdul Mutalib Abdul Rahman berkata, aktiviti itu sedikit-sebanyak mampu menceriakan pelajar tahfiz al-Quran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. "Tahun ini, kita memilih pelajar pusat pengajian tahfiz al-Quran untuk menerima sumbangan itu manakala RM1,000 kepada pihak pengurusan," katanya. Menurutnya, pelajar terbabit apabila keluar dari pusat pengajian itu kelak berupaya menjalankan khidmat bakti dengan sempurna kepada masyarakat. Sementara itu, Tajul Urus berkata, masyarakat Islam masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk cubaan pihak tertentu mengembangkan ajaran Syiah yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah. "Pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pentadbir pusat tahfiz boleh membantu memainkan peranan masing-masing dalam menangani hal-hal tersebut," katanya. Beliau meminta ibu bapa agar membuat pemantauan selepas anak masing-masing menamatkan pengajian di sekolah menengah bagi mengelak daripada bergaul dengan pengikut Syiah. Seorang penerima sumbangan itu, Muhamad Inaam Hasan Zainal Helmi, 16, dari Kampung Mak Liah Bongor daerah Baling berkata, dia gembira menerima duit raya sumbangan dari jabatan itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan