Utusan Online - Selatan |
- JPAM lancar Ops Bantu VII
- Pastikan pelabelan makanan import dipatuhi - Dr. Ismail
- Degil punca kemalangan meningkat - Polis
Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR SULAIMAN Keling (kanan) melancarkan pelepasan kenderaan Ops Bantu VII dalam Majlis Pelancaran Ops Bantu VII 2013 di ibu pejabat JPAM negeri, Seremban, kelmarin. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID Ketua Pengarahnya, Datuk Sulaiman Keling berkata, pelaksanaan Ops Bantu VII itu bakal melibatkan seramai 7,200 anggota JPAM seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. "Tempoh pelaksanaannya terbahagi pada dua fasa iaitu 1 hingga 7 Ogos bagi fasa pertama, manakala 11 hingga 13 Ogos bagi fasa kedua. "Sepanjang operasi ini, anggota kami akan melakukan rondaan bagi membantu pengguna jalan raya yang mengalami kecemasan dan kesusahan ketika dalam perjalanan pulang dan balik ke kampung yang melibatkan 97 laluan di jalan Persekutuan termasuk negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Bantu VII 2013 di ibu pejabat JPAM negeri, di sini semalam. Menurutnya, inisiatif rondaan itu secara tidak langsung membolehkan anggota untuk mengurangkan masa ke lokasi kecemasan sekali gus membolehkan bantuan disalurkan dengan pantas dan efisien kepada pengguna jalan raya. "Sebanyak 124 kenderaan operasi akan digunakan sepanjang operasi yang dijalankan selama 10 hari ini melibatkan 53 motosikal dan 71 kenderaan pacuan empat roda. "Segala bantuan yang dihulurkan adalah secara sukarela dan pengguna tidak akan dikenakan sebarang bayaran," ujarnya. Tambah beliau, pengguna jalan raya yang ingin mendapatkan bantuan hanya perlu menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlakunya kecemasan di laluan terbabit. "Ops Bantu ini telah dijalankan oleh JPAM sejak 2010 dan kini sudah masuk edisi yang ketujuh pelaksanaannya. "Bagi tahun ini kita telah menjalankan Ops Bantu yang keenam pada bulan Februari lalu ketika sambutan Tahun Baru Cina dan terlibat dengan 1,319 kes berkaitan," ujarnya. Jelas Sulaiman, antara bantuan yang disalurkan semasa rondaan termasuk membantu kes kemalangan, memberi rawatan awal kepada mangsa kemalangan, membantu mengawal kesesakan lalu lintas dan membaiki kenderaan yang mengalami kerosakan kecil. "Kita juga membantu menukar tayar pengguna kenderaan yang menghadapi masalah, membantu pengguna kenderaan yang kehabisan bahan api selain membantu mengalihkan bangkai haiwan di jalan raya," katanya. |
Pastikan pelabelan makanan import dipatuhi - Dr. Ismail Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT MELAKA 2 Ogos - Pengusaha pasar raya di negeri ini diingatkan supaya memastikan pelabelan khususnya makanan yang diimport menepati kehendak yang ditetapkan di bawah Peraturan Makanan 1985 bagi menjamin keselamatan pengguna. Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Ismail Ali berkata, sepanjang Ops Raya 2013 yang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri sejak 22 Julai lalu, kebanyakan pasar raya melakukan kesilapan yang sama. Menurutnya, makanan import yang tidak mempunyai alamat pengimport dan pembekal dari dalam negara boleh mendatangkan masalah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ke atas pengguna. "Jika tidak ada label pengimport dan pembekal, adalah sukar bagi kita mengambil tindakan ke atas pihak terbabit jika ada barangan import didapati tercemar dan menjejaskan kesihatan orang awam. "Saya harap semua pengusaha pasar raya dapat ambil tindakan sewajarnya di samping memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan kualitinya terpelihara," katanya semasa ditemui selepas mengetuai Ops Raya 2013 di salah sebuah pasar raya di Peringgit, di sini semalam. Katanya, tindakan sita akan dikenakan terhadap kesalahan itu selain memberi nasihat kepada pengusaha supaya mencari pengimport makanan terbabit untuk memulangkan kembali makanan atau membuat pelabelan semula. Yang hadir sama, Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan negeri, Dass Kandunni. Dr. Ismail berkata, fokus utama operasi itu ialah untuk menguatkuasakan akta yang diperuntukkan dan menekankan aspek keselamatan makanan. Menurutnya, tumpuan utama operasi itu diberikan pada pengusaha pasar raya, pasar mini dan kedai runcit dalam memastikan mereka mengikut peraturan ketika ramai umat Islam membuat persediaan Aidilfitri. Beliau berkata, sepanjang operasi 10 hari lalu pelbagai jenis kesalahan pelabelan dikesan membabitkan nilai keseluruhan RM7,136.91 dengan jumlah sebanyak 899 barangan disita di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin. "Jumlah penyitaan makanan itu termasuk 1,989 jenis barang melibatkan jumlah nilai sitaan sebanyak RM15,005.42 sepanjang operasi dijalankan," jelasnya. Tambahnya, antara kesalahan yang diambil tindakan ialah makanan yang kemik atau berkarat, pembungkus rosak, makanan berkulat, rosak atau serangga dan makanan telah tamat tarikh luput. |
Degil punca kemalangan meningkat - Polis Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT MELAKA 2 Ogos - Kadar kemalangan jalan raya sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri di negeri ini tidak dapat dikurangkan jika pengguna masih berdegil dan tidak mematuhi peraturan sepanjang Ops Selamat dijalankan. Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kempen Ops Selamat yang diadakan tahun lalu menyaksikan kadar kemalangan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding pada 2011 iaitu sebanyak 642 kes. "Ini menunjukkan sikap pengguna jalan raya di negeri ini masih memadu secara laju dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas termasuk mendengar nasihat sepanjang Ops Selamat diadakan. "Bagi musim perayaan tahun ini tidak lama lagi, saya amat berharap pengguna jalan raya lebih bersikap waras dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi merealisasikan pengurangan kemalangan tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Ops Selamat 2013 peringkat negeri, di sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Fadhil Hassan; Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD), Anuar Abdullah dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Phang Ah Lek. Ghee Lye berkata, antara punca utama kemalangan berlaku adalah kecuaian pemandu yang memotong di garisan berkembar, tidak memastikan keadaan selamat sebelum memotong dan jarak pemanduan yang rapat dengan kenderaan di hadapan. "Jika pemandu lebih berhemah dan mematuhi arahan serta nasihat saya yakin Ops Selamat musim perayaan ini akan dapat mengurangkan kadar kemalangan," ujarnya. Di samping itu, beliau turut meminta orang ramai yang ingin pulang ke kampung menitikberatkan aspek keselamatan rumah masing-masing bagi mengelak berlakunya jenayah pecah rumah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan