Sabtu, 3 Ogos 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Warga kota mula balik kampung

Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

ORANG ramai terutamanya golongan pelajar mula membanjiri TBS-BTS di Cheras, Kuala Lumpur untuk menaiki bas untuk balik ke kampung masing-masing semalam. - UTUSAN/MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Wajah anak-anak yang pulang dari sekolah hari ini lebih ceria daripada kebiasaan. Pertama kerana hari ini adalah tanda bermulanya cuti selama seminggu; kedua kerana demam balik kampung semakin dirasakan.

Ya. Walaupun Hari Raya Puasa akan hanya disambut lima hari lagi, sebahagian warga kota mula meninggalkan rumah masing-masing hari ini untuk kembali ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri bersama orang tua.

Tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) hari ini mendapati, kelompok terawal yang meninggalkan Kuala Lumpur ialah pelajar sekolah, universiti dan kolej dan kebanyakan mereka menaiki bas.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Awaludin Sudarman, 19, berkata, dia telah membeli tiket bas lebih awal.

"Saya beli tiket lebih awal kerana takut kehabisan dan tidak mahu berebut-rebut pada saat akhir. Saya akan balik ke kampung di Muar, Johor selama seminggu untuk beraya di sana.

"Lama tidak dapat balik ke kampung dan merindui keluarga tersayang dan saya tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri pada kali ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Pelajar kolej swasta, Nur Fara Izwana, 20, juga bercadang bercuti di kampungnya di Muar, Johor selama enam hari.

"Saya terpaksa balik ke kampung lebih awal kerana tidak dapat bercuti lama. Persiapan hari raya pula dibuat secara sederhana seperti Aidilfitri sebelum ini," ujarnya.

Mohd. Faez Wan, 18, pula berkata, pulang hari ini lebih selesa kerana keadaan tidak terlalu sesak jika dibandingkan orang ramai yang mahu balik ke kampung pada saat akhir.

"Ia pengalaman baharu saya pulang berhari raya selepas beberapa bulan belajar di sebuah kolej swasta di ibu kota. Tiket saya telah beli seminggu lalu dan akan bertolak pada pukul 6 petang hari ini," jelasnya.

Pelajar Maktab Perguruan Bahasa Antarabangsa, Nurul Farekhah Suhaimi, 20, berkata keputusannya untuk balik kampung lebih awal adalah tepat.

"Balik awal adalah keputusan yang tepat bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Di samping itu, apabila pulang awal berhari raya, bolehlah saya membantu keluarga membuat persiapan sempena Syawal," ujarnya.

Jangan amal dan sebar ajaran Syiah di Selangor - Sultan

Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT

SHAH ALAM 2 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan agar ajaran Syiah tidak diikuti, diamal atau disebarkan di negeri itu.

Baginda bertitah, ini kerana ajaran Syiah ternyata berbeza dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Titah baginda, penyebaran ajaran yang jauh menyimpang daripada ajaran agama Islam sebenar akan mengelirukan rakyat dan boleh membawa keadaan huru-hara jika tidak dibendung.

"Beta dapati ajaran Syiah telah mula disebarkan di negeri Selangor oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Beta khuatir fenomena ini boleh menjadi barah yang menular di dalam senyap dan kemungkinan akan mengakibatkan negeri Selangor dan Malaysia akhirnya mengalami nasib yang sama dengan beberapa negara Islam lain yang bergolak," titah baginda ketika merasmikan Masjid Taman Subang Perdana di sini hari ini.

Justeru itu, Sultan Sharafuddin menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dan jangan cuba mencetuskan suasana tidak aman di Selangor.

"Beta amat memandang berat perkara ini kerana beta tidak mahu berlakunya perselisihan dan pergaduhan di kalangan umat Islam di Selangor," titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, semua pihak seharusnya bersyukur kerana negeri Selangor terus kekal aman dan makmur sebagaimana yang dinikmati sekarang.

Oleh itu, titah baginda, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi itu janganlah disia-siakan dengan anasir-anasir negatif yang boleh membawa ketidakselesaan dan perpecahan.

"Sebaliknya kita harus sentiasa berusaha dan berazam untuk terus mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang ada serta mengambil iktibar negara-negara Islam di luar sana, banyak yang bergaduh sesama sendiri dan telah hilang nikmat keamanan," tegas baginda.

Pergaduhan: Polis buru enam suspek

Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT

Mohd. Adnan Abdullah menunjukkan gambar enam suspek (dari kanan), A. Puspanathan, M. Valinathan, M. Kartikgasu, S. William Gary, S. George Stanely dan C. Rajamuniandy bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki dalam satu pergaduhan pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 2 Ogos - Polis sedang memburu enam suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan bersenjata sehingga menyebabkan seorang lelaki mati ditembak di sebuah kedai makan di Batu 6, Jalan Meru, Klang dekat sini pada 27 Mei lalu.

Keenam-enam suspek dikenali sebagai C. Rajamuniandy, 31, beralamat di Nombor 120, Lorong Melati 8, Melintang, Perak; M. Kartikgasu, 28, di Nombor 34, Jalan Mempari, Taman Bayu Perdana, Klang; M. Valinathan, 28, Nombor 26, Jalan Meranti, Taman Meru, Klang dan A. Puspanathan, 30, di Nombor 29, Taman Sri Meru, Klang.

Dua lagi yang diburu ialah S. George Stanely, 29, dan S. William Gary, 24, masing-masing beralamat di Nombor GG 2, Kampung Bertuah Bidor, Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua suspek dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 149 kanun yang sama.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menyalurkannya kepada polis agar kesemua suspek dapat segera diberkas," kata beliau.

Dalam kejadian pukul 1 pagi pada 27 Mei lalu, seorang lelaki berusia 28 tahun maut ditembak manakala seorang lagi cedera parah diserang 10 lelaki bersenjata parang dan pistol di sebuah kedai makan di Batu 6, Jalan Meru.

Sebelum diserang, dua mangsa terbabit bersama 18 lagi rakan sedang berkumpul sambil minum arak di kedai makan tersebut sempena menyambut hari jadi salah seorang daripada mereka.

Sementara itu, dalam satu kes lain, Mohd. Adnan memberitahu, pihaknya sedang mencari seorang suspek yang terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah tempat cuci kereta di Jalan Bukit Kapar 2, Klang pada 1 Januari lalu.

Dalam kejadian itu kata beliau, dua lelaki mendapat kecederaan serius di pergelangan tangan dan jari.

"Suspek dikenali sebagai G. Seva Shangar, 26, atau nama panggilannya Shankar Bukit Kapar yang beralamat terakhir di Nombor 33, Jalan Datuk Kaya Kecil 2, Taman Mutiara off Pekan Kapar, Klang.

"Walaupun kita telah menahan empat orang dan kesemuanya telah dituduh di mahkamah sebelum ini, tetapi kita masih memerlukan kerjasama suspek dalam kes tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved