Utusan Online - Utara |
Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT Oleh MALINDA ABDUL MALIK PULAU PINANG 22 Ogos - Sebanyak 5,000 buah rumah bakal dibina JKP Sdn. Bhd. (JKP) di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan rakyat yang memerlukan kediaman mampu milik. Pengerusi JKP, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, rumah tersebut akan dibina di beberapa lokasi strategik seperti Nibong Tebal, Balik Pulau dan kawasan bandar. Menurutnya, sebanyak 2,000 rumah akan mula dibina tahun depan dan pihaknya berharap kerajaan negeri dapat memberi kerjasama bagi meluluskan projek itu. "Dalam hal ini kerajaan negeri harus bekerjasama kerana kita bina rumah dengan harga maksimum RM200,000 selain membina rumah kos rendah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Panggilan JKP di sini semalam. Pelancaran majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas yang turut dihadiri isterinya, Toh Puan Majimor Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif JKP, Datuk Adzmi Arifin. Zainal Abidin memberitahu, penubuhan pusat panggilan tersebut bertujuan memudahkan orang ramai khususnya pembeli menghubungi JKP bagi mendapatkan maklumat mengenai rumah yang ditawarkan dan membuat aduan mengenai projek mereka. |
Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR ZAMBRY Abd. Kadir melancarkan Jenama Perak Agro dan Pegro pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri di Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/Azli Adlan IPOH 22 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini melancarkan beberapa produk keluaran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) di bawah jenama Perak Agro dan Pegro yang mampu bersaing di pasaran. Antara produk berkenaan termasuklah kordial asam jawa, kordial rock melon, kordial mangga, kerepek daun kunyit dan kerepek daun kesum. Zambry berkata, Perak Agro adalah jenama yang digunakan bagi produk-produk makanan sementara Pegro dikhaskan untuk minuman keluaran Perak Agro Herba Sdn. Bhd. "Perak Agro akan membantu memasarkan produk-produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk diketengahkan tetapi tidak mampu dilakukan sendiri oleh pengusaha-pengusaha bumiputera ekoran kekurangan pengetahuan, pengalaman serta modal bagi meningkatkan jualan serta bersaing di pasaran. "Sebagai langkah merancakkan lagi aktiviti pemasaran produk-produk ini, SADC juga akan membuka kedai Perak Agro di Silibin yang sedang diubah suai dan memulakan operasi pada bulan Januari tahun depan bagi memasarkan produk segar serta hiliran," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran SADC serta melancarkan produk-produk berkenaan di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SADC, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman. Dalam pada itu, Zambry berkata, di bawah penjenamaan semula SADC, organisasi itu tidak lagi akan memfokuskan kepada pembangunan projek kelapa sawit semata-mata, sebaliknya mempelbagaikan cabang perniagaan berasaskan industri asas tani. Malah katanya, sumber-sumber pertanian yang berpotensi juga akan dibangunkan berdasarkan hasil kajian terhadap beberapa jenis tumbuhan tropika. |
Perda rancang ceburi bidang pembersihan Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT BUTTERWORTH 22 Ogos - Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (Perda) merancang untuk menceburi dua bidang baharu iaitu perniagaan daging kambing dan perkhidmatan pembersihan yang mampu menambah bilangan usahawan di bawah bimbingan agensi itu. Pengerusinya, Shabudin Yahaya (gambar) berkata, kedua-dua projek itu akan dilaksanakan di bawah anak syarikat Perda iaitu Perda Ventures Incorporated yang mampu menjana pendapatan kepada usahawan. Menurutnya, perkhidmatan pembersihan itu akan dimulakan pada awal tahun depan yang memberi tumpuan kepada projek berskala kecil dan besar yang diyakini mampu mendapat permintaan tinggi di negeri itu. "Apa yang kita jalankan ini adalah bagi mencetuskan idea dalam kalangan usahawan bimbingan Perda yang berminat menceburi bidang ini yang mampu mendapat permintaan tinggi. "Pada masa ini, kontrak pembersihan bangunan hanya dimonopoli oleh beberapa syarikat tertentu dan dengan adanya Perda, pastinya merancakkan lagi industri ini," katanya kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perda di sini hari ini. Yang turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Syukry Mohd. Salleh. Tambah Shabudin, pihaknya juga merancang untuk menceburi perniagaan daging kambing yang akan dimulakan pada penghujung tahun ini dengan membekalkan daging segar di pasaran. Jelasnya, Perda berpengalaman sejak 10 tahun lalu dalam penternakan kambing di ladangnya di Kubang Menerong dekat Tasek Gelugor. "Melalui perniagaan ini, kita akan melantik vendor yang akan memasarkan daging kambing segar di pasar-pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan di seluruh negeri. "Pembeli boleh mendapatkan bekalan secara terus di ladang di Kubang Menerong ataupun melalui sistem penghantaran ke rumah," ujarnya yang memaklumkan Perda akan mendapat bekalan kambing kira-kira 200 ekor setiap bulan daripada pembekal tempatan bagi menambah 200 ekor kambing sedia ada di ladang itu. Dalam pada itu, dalam aspek pembangunan modal insan, Perda merancang menambah jumlah pelajar dan peralatan di kolej miliknya, Perda-Tech di Nibong Tebal. Menurutnya, sehingga kini, terdapat hampir 500 pelajar mengikuti 12 kursus berkaitan kemahiran dan pemesinan di kolej itu dan pihaknya merancang menambah pelajarnya sekali ganda lagi. "Kita juga menyasarkan untuk menjadikan Kolej Perda Tech sebagai kolej universiti yang menawarkan lebih banyak kursus kepada pelajar. "Pada masa ini graduan lepasan Perda Tech amat laris di pasaran serta sering diintai pemain industri besar di negara ini kerana kemahiran dan pengalaman yang mereka miliki," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan