Utusan Online - Jenayah |
Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT KUCHING 23 Ogos - Penglibatan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dalam kegiatan jenayah dilihat semakin membimbangkan apabila kes-kes jenayah membabitkan golongan berkenaan kini semakin meningkat. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,570 kes kanak-kanak terlibat dengan jenayah dan Johor mencacatkan kes tertinggi iaitu 420 diikuti Kedah (414) dan Selangor (356). Katanya, daripada jumlah tersebut lelaki Melayu mencatatkan penyumbang paling banyak dalam kes jenayah di negara ini iaitu seramai 1,805 orang diikuti lelaki India (212) dan lelaki Cina (195). "Keadaan ini dilihat semakin parah apabila kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah pada usia tersebut meningkat sebanyak 6,018 kes sepanjang tahun lalu berbanding 5,547 kes yang dicatatkan pada 2011. "Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka terlibat dengan jenayah bersabit harta benda iaitu sebanyak 2,742 kes diikuti penyalahgunaan dadah (1,096) dan bersabit dengan manusia seperti membunuh (762) dilaporkan bagi tempoh dua tahun lalu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Padungan di sini hari ini. Mengulas lanjut Rohani berkata, kesibukan ibu bapa dengan tugas dan tanggungjawab kerja menjadi faktor utama peningkatan kadar jenayah melibatkan kanak-kanak sejak kebelakangan ini. Katanya, keadaan itu menyebabkan kanak-kanak merasakan diri mereka tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa dan penjaga masing-masing. "Keadaan ini merupakan satu kebimbangan pada negara apabila golongan muda menjadi penyumbang kepada indeks jenayah, jadi semua pihak harus bersama-sama dengan kerajaan dalam mengatasi masalah ini. "Di peringkat kementerian, kami telah melaksanakan pengurusan pemulihan melibatkan pelbagai institusi dan pencegahan di peringkat komuniti yang bertujuan memelihara serta melindungi kanak-kanak daripada terus terjerumus dalam kegiatan jenayah," katanya. |
Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT Oleh ANGELINA SINYANG Mohan Singh Tara Singh menunjukkan barang yang berkaitan dengan kes samun dan rompak dalam sidang akhbar di IPD Cheras, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 23 Ogos - Tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng Geng 08 merupakan antara 18 penjenayah ditahan dalam Op Cantas Khas di daerah Cheras dalam tempoh seminggu ini. Dalam operasi bermula Sabtu lalu sehingga hari ini, polis telah melakukan 250 pemeriksaan melibatkan 30 kawasan bebas dan selebihnya di premis-premis. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, seramai 70 lelaki dan lapan wanita terdiri daripada pelbagai bangsa turut menjalani proses pemeriksaan dokumentasi. Beliau berkata, polis turut merampas barang-barang dipercayai dicuri, dadah dan senjata daripada suspek iaitu tiga motosikal, kereta (dua), lori (satu) selain parang (lima), pisau (dua), buku lima (satu) dan ganja (1.44 gram). "Hasil Op Cantas Khas tersebut, kami berjaya menyelesaikan kira-kira 20 kes jenayah dan narkotik melibatkan pelbagai kesalahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Cheras, di sini hari ini. Mengulas mengenai Geng 08 yang ditangkap, Mohan Singh berkata, ketiga-tiga suspek ditahan oleh anggota dari Cawangan Kereta Peronda dan Cawangan Pencegahan Jenayah IPD Cheras pada pukul 5.30 petang semalam dalam sebuah kereta BMW di Jalan Lee Tam Loy, Taman Taynton View, Cheras. Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek membawa ganja seberat 1.44 gram dalam kereta dinaiki, manakala ujian air kencing mengesahkan mereka positif dadah jenis methamphetamine dan THC. Katanya, siasatan mendapati suspek adalah anggota Geng 08 yang aktif menjalankan kegiatan memeras ugut dan meminta wang perlindungan daripada pekerja di tapak pembinaan di sekitar Cheras. Selain anggota Geng 08, Mohan Singh berkata, penjenayah lain yang turut ditahan ialah seorang lelaki yang terlibat menyamun sepasang suami isteri di Jalan 2/125, Desa Petaling pada Selasa lalu. "Polis merampas sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Unser yang dilaporkan hilang, satu komputer riba, sebilah parang, kunci kenderaan dan pelbagai kad mesin pengeluaran automatik (ATM) daripada lelaki tersebut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan