Jumaat, 23 Ogos 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Johor rangka pelan strategik - MB

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

NUSAJAYA 22 Ogos - Kerajaan negeri akan memperkenalkan pelan pertumbuhan strategik ekonomi berdasarkan kekuatan dan sumber yang terdapat di setiap daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, pelan tersebut dapat memperlihatkan usaha mewujudkan keseimbangan pembangunan di seluruh negeri, selain membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah.

"Tujuh daerah dikenal pasti hala tujunya untuk dibangunkan iaitu Johor Bahru sebagai pusat perdagangan dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa serta Muar akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan warisan serta pertanian, selain perindustrian berasaskan kayu.

"Batu Pahat pula bakal dijadikan pusat perindustrian kluster tekstil dan pertanian; Kluang (industri pembuatan, perkayuan dan pertanian moden); Segamat (destinasi agro dan eko-pelancongan, tanaman dusun dan pertanian) manakala Kota Tinggi dan Mersing (lokasi pelancongan berasaskan pantai dan pulau)," katanya semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, kerajaan negeri juga sentiasa memantau prestasi dan perkembangan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri bagi memastikan semuanya berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, beberapa anak syarikat termasuk Johor Corporation (JCorp) mengambil langkah proaktif memulihkan sektor perhotelannya termasuk membuat perubahan struktur pengurusan serta menubuhkan jawatankuasa pentadbiran khas bagi memperbaiki keadaan kewangan semasa.

"Pemantauan daripada jawatankuasa itu dibuat sejak awal tahun ini dan langkah-langkah yang diambil menampakkan pertumbuhan aliran tunai yang baik.

"Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan kadar penginapan pada bulan Jun lalu yang meningkat kepada 71 peratus berbanding 49 peratus pada Disember 2012," katanya.

Sidang DUN Johor kemudian ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Nafi laut Mersing dicemari sisa industri

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

NUSAJAYA 22 Ogos - Kerajaan negeri menafikan dakwaan sesetengah pihak pencemaran laut di sekitar kepulauan Mersing berpunca daripada pembuangan sisa industri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa menjalankan pengawasan kualiti air marin di enam stesen di sepanjang pantai Mersing.

Beliau berkata, pemantauan itu melibatkan kawasan Teluk Mahkota, Tanjung Leman, Pantai Sri Pantai, Teluk Gorek, Pantai Air Papan, Kuala Sungai Mersing dan Pulau Setindan.

"Jarak pulau di perairan Mersing dari tanah besar melebihi lima kilometer dan berdasarkan rekod JAS, terdapat 13 punca industri di daerah itu dengan tujuh daripadanya melepaskan sisa dan enam premis lagi tidak menghasilkan sisa.

"Premis berkenaan melepaskan sisa terawat ke dalam sungai dan tidak mengalir terus ke laut. Sehubungan itu, pelepasan sisa industri bukan punca yang menyebabkan pencemaran paras logam berat yang tinggi seperti didakwa sesetengah pihak," katanya semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ayub berkata, piawaian bagi kualiti air marin adalah dua mikrogram per liter sedangkan paras kualiti ar marin di stesen pantai Mersing itu hanya di bawah satu mikrogram.

"Jelas sekali kajian pihak berkenaan berkaitan pencemaran air laut sebagai dakwaan yang tidak berasas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak menggalakkan pembinaan pusat pengumpulan hasil tani berbentuk kekal kerana dikhuatiri penggunaannya hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, kebanyakan pusat pengumpulan sedia ada berbentuk sementara dan mudah alih seperti menggunakan kanopi supaya boleh dipindahkan ke kawasan lain sekiranya diperlukan.

"Penubuhan kemudahan itu bertujuan membangunkan rangkaian infrastruktur pasaran ke arah meningkatkan keberkesanan pengedaran bekalan makanan negara dalam pengurusan rantai bekalan makanan.

"Kita amat mengalu-alukan cadangan untuk mewujudkan pusat pengumpulan tanaman di Sagil, Ledang yang akan dilaksanakan sekiranya terdapat permohonan dan keperluan daripada para petani di kawasan itu serta lokasi yang sesuai untuk dibangunkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved