Utusan Online - Sukan |
Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN Fandi Ahmad JOHOR BAHRU - Legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad telah membuat keputusan meletak jawatan sebagai pengurus pasukan yang ramai dibarisi pemain berstatus bintang, Johor Darul Takzim (JDT). Kenyataan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu yang dihantar menerusi emel kepada media di sini, semalam bagaimanapun tidak menyatakan tarikh ia berkuat kuasa. Fandi dan PBNJ masing-masing bersetuju membawa haluan sendiri selepas membuat pertimbangan teliti dan persefahaman bersama selain PBNJ ingin mencari pendekatan taktikal berbeza. Beliau yang pernah beraksi di Liga Belanda bersama Groningen FC, menyifatkan keputusan yang dibuat bukan sesuatu yang mudah, malah memeritkan, namun ia adalah penting demi masa depannya sebagai seorang jurulatih. Bola sepak adalah dunia saya dan saya tidak boleh hidup tanpanya. Ia juga memberi saya sebab untuk hidup sekali gus mahu menyumbang kepada bola sepak menerusi pengalaman yang ada dan mengikut kata hati iaitu menjadi jurulatih. Kegembiraan juga sebahagian daripada kehidupan dan tugas sebagai jurulatih bola sepak membuatkan saya gembira selama ini dan disebabkan itu saya sentiasa memilih untuk terus mencari kegembiraan tersebut. Sebagai seorang pemain saya sentiasa memberikan yang terbaik dan sebagai jurulatih juga saya mahu berterusan memberikan yang terbaik bila peluang itu datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Fandi juga berharap tiada pihak membuat spekulasi berhubung perkara itu kerana keputusan dicapai dengan persetujuan bersama selain keluarga beliau turut memainkan peranan dalam mencapai keputusan tersebut. Dalam pada itu, Fandi turut berterima kasih kepada Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang beliau berada bersama Johor Darul Takzim dan juga kepada peminat bola sepak Johor. Saya juga berasa kesal kerana tidak dapat menghadiahkan sebarang piala kepada peminat Johor. Ingin juga saya tegaskan bahawa kami sudah berusaha sebaik mungkin dalam setiap perlawanan yang diharungi. Bagaimanapun, saya percaya dengan komitmen serta sokongan Tunku Mahkota Johor dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri ini, Johor Darul Takzim mampu untuk meraih piala tidak lama lagi," katanya. Pada masa sama, Fandi mengharapkan yang terbaik buat pasukan, pemain dan peminat di Johor yang disifatkan sebagai sebuah negeri yang menarik dan telah menemukan beliau dengan ramai kawan yang sudah dianggap seperti keluarga. PBNJ dalam kenyataannya menyifatkan berita peletakan jawatan Fandi itu mendukacitakan buat mereka dan penyokong Johor, namun pihak persatuan sentiasa mendoakan yang terbaik buat bekas ketua jurulatih Johor Darul Takzim itu. Menurut PBNJ, Fandi merupakan seorang jurulatih yang cemerlang dan sentiasa berdedikasi dalam usaha membentuk pasukan yang mantap selain sudah banyak menabur bakti dalam pembangunan bola sepak di negeri ini. Pintu PBNJ sentiasa terbuka bagi Fandi dan beliau juga sudah dianggap seperti keluarga di sini. PBNJ juga sentiasa bersedia memberi sokongan dalam sebarang usaha yang bakal diceburi beliau pada masa akan datang. Jasa dan sumbangan Fandi terhadap projek bola sepak Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai PBNJ dan penyokong," kata kenyataan itu. |
Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT Oleh ZAZALI JAMIAN KUALA LUMPUR - Gergasi Asia seperti Korea Selatan, Pakistan mahupun India bukan lagi ancaman besar buat Malaysia dalam misi merebut satu slot ke Piala Dunia 2014 menerusi tiket Piala Asia yang akan membuka tirai di Ipoh, Sabtu ini. Bekas jaguh hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin sebaliknya, berpendapat, kekuatan Malaysia kini sebaris dengan kuasa-kuasa besar hoki Asia berkenaan, malah taktikal skuad kebangsaan pada anggapannya adalah yang terbaik untuk permainan hoki moden. Nor Saiful turut memberitahu, peluang Malaysia untuk ke Piala Dunia menerusi kejohanan itu nanti semakin cerah ekoran Korea Selatan sudah pun melepasi kelayakan apabila meraih slot secara automatik dari zon kelayakan benua Amerika. Malaysia menduduki senarai menunggu ketiga (berdasarkan kedudukan pusingan separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia) untuk mendapatkan slot ke Piala Dunia. Tambah Nor Saiful Zaini, pemain dalam pasukan kebangsaan juga perlu yakin dengan keupayaan mereka sekiranya mahu muncul juara Piala Asia buat kali pertama. "Corak permainan kita seakan sama digunakan oleh pasukan Eropah seperti Belanda dan Australia. "Gaya permainan kita lebih banyak mempamerkan aksi serangan dan ini membolehkan pasukan mendapatkan lebih banyak peluang bagi mendapatkan gol," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam. Ketika ini Korea Selatan telah menjadi pasukan dari Asia yang pertama layak ke Piala Dunia di The Hague, Belanda. Pasukan No. 1 Asia itu meraih slot automatik ke Piala Dunia menerusi ehsan daripada Kejohanan Pan Amerika yang menyaksikan Argentina muncul juara kejohanan tersebut. Malaysia kini berada dalam senarai kedua menunggu selepas Sepanyol bagi mendapatkan slot automatik ke Piala Dunia daripada benua lain. Sepanyol pula turut dikatakan berpeluang besar untuk melangkah ke Piala Dunia menerusi Kejohanan Eropah berikutan empat pasukan yang menyertai iaitu England, Jerman, Belanda dan Belgium sudah layak ke The Hague tahun depan. Tumpuan Malaysia kini lebih terarah kepada Piala Asia tanpa perlu mengharapkan simpati daripada slot benua lain. Sementara itu, Nor Saiful berharap pasukan kebangsaan dapat menyeimbangkan corak permainan yang digunakan terutama berkaitan pertahanan. "Memang corak permainan serangan yang digunakan skuad kebangsaan bagus untuk mendapatkan jaringan tetapi mereka perlu memberikan penekanan terhadap pertahanan juga. "Sekiranya pemain terlalu asyik untuk mendapatkan jaringan hingga membiarkan pertahanan terbuka mungkin boleh mendatangkan bahaya buat keputusan yang bakal diraih," kata Nor Saiful. Dalam kempen Piala Asia Malaysia diundi bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B menampilkan Korea Selatan, India, Bangladesh serta Oman. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan