Utusan Online - Mahkamah |
Raja Nong Chik perlu fail jawapan pembelaan Nurul Izzah, pemilik portal dan wartawan, 16 Sept. Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT KUALA LUMPUR 19 Ogos - Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan yang telah dikemukakan oleh Nurul Izzah Anwar dan pemilik portal berita Malaysiakini bersama wartawannya yang disaman oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu di Mahkamah Tinggi di sini. Raja Nong Chik memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu pada 17 Julai lalu rentetan daripada tuduhan Nurul Izzah berhubung urus niaga pembelian 4.85 hektar tanah bernilai tinggi di Bukit Kiara. Peguam M. Reza Hassan yang mewakili Raja Nong Chik memberitahu pemberita, tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datin Yeoh Wee Siam ketika pengurusan kes itu di kamar hakim hari ini. Menurut Reza, Hakim Wee Siam juga mengesyorkan, jika pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu mahu menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah, boleh berbuat demikian melalui proses mediasi. Mahkamah juga menetapkan 17 September ini bagi lanjutan pengurusan kes itu. Reza berkata, Nurul Izzah, syarikat Mkini Dotcom Sdn. Bhd. dan wartawannya, Lu Wei Hoong yang dinamakan sebagai pihak defendan telah memfailkan pernyataan pembelaan masing-masing pada 2 September lalu. Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik selaku plaintif menyatakan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 4 Mei lalu telah mendakwa kononnya beliau terlibat dengan urusan pindah milik tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bukit Kiara yang telah diberikan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Beliau juga mendakwa, pernyataan fitnah kedua pula telah dibuat oleh Nurul Izzah, Malaysiakini dan wartawannya itu serta diterbitkan di laman web www.malaysiakini.com pada tarikh yang sama bertajuk, Nurul persoal RNC dalam urus niaga RM475 juta (Artikel Malaysiakini pertama). Pihak defendan seterusnya menurut plaintif, dengan niat jahat menerbitkan kenyataan fitnah ketiga yang merujuk kepada beliau bertajuk, Nurul queries Nong Chik's role in RM475mil deal (Artikel Malaysiakini kedua). Bekas menteri Kabinet itu juga menyatakan, perkataan-perkataan tersebut secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau. Menurut plaintif, pihak defendan menyatakan, perkataan-perkataan itu membawa maksud antaranya, beliau tidak jujur, terlibat dalam kegiatan rasuah dan tidak boleh dipercayai. Fitnah tersebut menurut plaintif menyebabkan, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik terjejas ekoran dipandang hina kerana kononnya telah terlibat dalam transaksi yang meragukan serta merugikan rakyat. Justeru itu, Raja Nong Chik selain menuntut ganti rugi teruk dan teladan, turut memohon perintah injunksi agar pihak defendan tidak menerbitkan sebarang perkataan fitnah serta perintah memaksa mereka membuat permohonan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui oleh beliau. |
4 lelaki didakwa curi barangan RM786,000 Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT EMPAT lelaki (tunduk kepala) yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada 26 Jun lalu di Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 19 Ogos - Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada Jun lalu. Zuki Omar, 33; Abd. Malik Ismail, 29; Ibrahim Abdullah, 23, dan Mohamad Asri Mat Jusoh, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus. Keempat-empat tertuduh secara bersama didakwa melakukan perbuatan tersebut setelah memecah masuk calet di resort milik Datuk Siti Hamidah Hamat, 55, kira-kira pukul 2 pagi, 26 Jun lalu. Dalam kejadian itu, mereka didakwa mencuri sebentuk cincin solitarie berlian seberat empat karat, rantai leher platinum bersama ibu loket berlian jenama Chopard, jam tangan platinum berlian jenama Chopard, cincin berlian bertulis 1673, telefon bimbit Samsung S4 dan mata wang Amerika Syarikat berjumlah AS$10,000 (RM33,000). Mereka turut dituduh mencuri gelang berlian, cincin zamrud, anting-anting platinum bertingkat tiga, anting-anting nilam biru bersama berlian, pasport antarabangsa, anak kunci peti deposit CIMB, barangan mekap, komputer riba, tablet Samsung Galaxy dan gelang swarovski milik mangsa. Dakwaan terhadap tertuduh-tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda. Mohd. Yusoff membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes. Dalam pada itu, Abd. Malik turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menjual barangan yang dicuri kepada seorang lelaki di Takbai, Thailand. Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Majistret Nik Habri Muhamad kemudian menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusoff dan Noor Dayana Mohamad. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan