Isnin, 5 Ogos 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tingkat penguatkuasaan jenayah

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

HAKIKATNYA di Malaysia sudah tersedia 1,000 akta. Dan kita bukannya kekurangan undang-undang. Cuma soalnya, bagaimana tindakan undang-undang yang berkesan boleh menjadi teladan kepada rakyat.

Singapura, tetangga Malaysia misalnya memiliki sejumlah undang-undang yang kurang daripada 1,000 akta. Tetapi berkesan pula dalam hal menguatkuasakan undang-undang. Ini khasnya berkaitan keselamatan negara, sosial, sekuriti pelaburannya serta hubungan kesejahteraan rakyat di republik itu.

Dokongan inilah yang boleh didapati antaranya di Switzerland, Finland dan United Kingdom - yang mana jenayah berat dan serius memang berlaku, tetapi tidak sewenang-wenangya.

Berkongsi pandangan dengan penulis, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim menarik perhatian kepada satu perkara lain yang begitu penting.

"Kita di Malaysia tidak perlu 'terbeliak mata' dengan perihal hak-hak asasi manusia yang dilaung-laungkan oleh pihak di luar sana. Kita mesti berpegang kepada aras kejituan dengan negara sendiri sebenarnya telah berjaya menghindarkan diri dari terperosok ke lembah jenayah sebelum ini.

"Jika pendirian ini tidak dikuatkuasakan, maka bersedialah untuk melihat negara dalam kancah jenayah berat. Jika ini berlaku dalam tempoh tiga tahun mendatang ini, dikhuatiri keamanan tidak boleh dipulihkan lagi," kata beliau ketika ditemui penulis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak Jumaat lalu.

Rais yang juga Presiden UIAM berkata, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan SKMM mesti bertindak sebagai satu 'tungku' yang berupaya mengukuhkan lunas undang-undang sedia ada.

"Sekarang apabila trend membunuh ala koboi terjadi, maka akan ada sesuatu diutarakan, yang berkonsepkan 'cadangan' supaya dibuat undang-undang itu ini.

"Sebaik-baiknya kita sebagai pentadbir perundangan dan kehakiman mesti ada titik pertemuan supaya rakyat berasa yakin dengan tindakan penguatkuasaan, pengenaan hukuman dalam tempoh segera," kata beliau.

Dan oleh kerana bidang ini melibatkan undang-undang dan pentadbiran penguatkuasaan, ketidakwujudan Ordinan Darurat (EO) 1969 itu boleh diatasi dan disempurnakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Sekiranya nekad ditokok penyiasatan dengan hanya tertumpu pada Kanun Prosedur Jenayah (CPC), maka kita yakin kuasa untuk mereman seseorang yang disyaki penjenayah boleh dibuat sehingga 21 hari atau di bawah sebulan.

Tiada perlunya bagi proses reman lebih sebulan untuk siasatan dan di bawa ke muka pengadilan.

"Memang setelah diumumkan Akta Kesejahteraan Hubungan Ras dan sebagainya itu memang boleh dirancang, tetapi yang perlu adalah kembalikan rasa takut rakyat kepada konfiden yang 'jenayah koboi' ini perlu berhenti. Hal ini bukan hanya isu masalah berbeza pindaan akta atau kurang undang-undang," kata beliau.

Dalam soal ini, Rais menarik perhatian akan relevannya pelaksanaan sistem beat. Ia apabila keberadaan penguat kuasa daripada PDRM tampak di bandar-bandar. Antaranya, seperti anggota PDRM dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) beruniform berjalan dari kedai ke kedai mengikut kawasan dan bertanyakan hal atau ramah mesra kepada pekedai dan orang ramai. Keduanya, dengan mereka menaiki motosikal di bandar-bandar.

"Tapi yang berkesan mengikut sejarahnya adalah anggota keselamatan dalam berkumpulan secara bertiga berjalan dan menampakkan keberadaan mengawas," kata beliau.

Mengenai penyediaan kamera litar tertutup (CCTV), kata Rais, itu memang membantu, tetapi hanya relevan setelah kejadian jenayah berlaku.

"Berjuta-juta ringgit yang dibelanjakan dalam pemasangan CCTV ini perlu direalisasikan supaya menjadi butir pembuktian, bukan sebagai sumber atau video sahaja," katanya.

Dalam program pencegahan jenayah, kata beliau, hakim juga perlu berperanan khusus dalam bidang pencegahan ini, yakni menentukan setiap kes yang dijatuhi hukuman menjadi teladan untuk semua.

Dan bagi Rais, akhirnya, kuasa darurat jenayah (Emergency Criminal) perlu diberi semula kepada polis.

Kata beliau: "Apabila EO 1969 dan Akta Kediaman Terhad 1933 dimansuhkan, beribu-ribu penjenayah dilepaskan termasuklah dari Simpang Renggam, Taiping dan Kuala Lumpur.

"Soalnya sekarang, bekas penjenayah yang beribu-ribu ini apabila keluar dan dibebaskan telah tarik impak yang kuat. Anjing kalau tak makan tahi, sekurang-kurangnya hidu tahi. Yang merompak dulu, akan balik ke profesion merompaknya yang berhubung kait ala jenayah koboi tadi, bersama-sama sekutunya."

Dalam soal alat yang digunakan dalam melakukan jenayah, kata beliau lagi, selain kapak, parang besar dan besi keluli, yang paling berbahaya adalah pistol. Dalam 220 jenis jenayah berat, antaranya rompak dan pecah rumah, kesemuanya melibatkan senjata api sejak empat tahun lalu. Ini menunjukkan kebanjiran senjata api seperti pistol dan peluru yang berleluasa di negara ini, kata beliau.

"Persoalannya bagaimana begitu banyak ini? Nampak terwakil padanya model-model pistol baru. Ia bukan lagi Walter.32 atau .38 tapi yang 'bumper' macam yang digunakan dalam pembuatan filem-filem di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Dan ini sangat jelas yang punca lambakan pistol-pistol ini dari luar sana. Saya dapat maklumat masalah ini disebabkan berlaku pembolosan di sempadan utara tanah air, Sabah serta pantai Selat Melaka," katanya.

Kata Rais: "Masalahnya juga di sini berkaitan isu pemeriksaan ke atas lori-lori sayur dan ikan yang soal pengesanan metaliknya boleh dikatakan tidak berkesan.

"Apabila dibuat ke atas lori, alat itu memantul sebab tidak boleh dikesan. Jadi, setiap kali pemeriksaan, kena angkat bakul-bakul ke atas, dan baru diimbas (scan) seperti mana dilakukan di Mexico.

"Soalnya di sini, berapa tempoh masa hendak angkat beribu-ribu bakul ikan dan sayur atas lori-lori dari Thailand yang masuk ke negara ini.

"Dan isunya di sini, senjata api haram begitu banyak dan boleh didapati dengan mudah apabila banyak jenayah berat berlaku kebelakangan ini. Pihak berwajib mungkin tidak gemar ini disebut, tapi ini perlu disebut."

Untuk menangani masalah ini, bagi penggunaan senjata api kes rompakan, sebenarnya telah tersedia ada hukuman berat di bawah Kanun Keseksaan. Cuma, hendaklah pembuktiannya diperoleh dengan kental dan disegerakan penyelesaiannya ke muka pengadilan.

"Satu melalui undang-undang keselamatan, tapi saya setuju pencegahan diberi semula kepada polis yang berkaitan jenayah rompak, bunuh.

"Juga, beberapa akta di bawah Seksyen 27, Akta Polis yang dulunya dimansuhkan, perlu ditimbangkan semula penahanan yang lebih lama. Ini untuk tindakan tapi hal-hal profesionalisme pengisiannya mesti dijamin agar tidak tercabul hak asasi manusia," kata beliau.

Dalam soal ini, Rais menarik perhatian: "EO yang kita ada, Singapura pun masih gunakan beberapa peruntukannya. Namun, cara latihan mereka 100 peratus berbeza dengan kita," kata beliau.

Antaranya, negara ini masih tidak mewajibkan penjenayah yang dibebaskan dengan ikat jamin memakai Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) pada masa depan.

"Pencegahan jenayah kecil-kecilan boleh melibatkan pengawasan rapi, tetapi tidak dijalankan.

"Pentadbiran jenayah di negara ini perlu ditingkatkan 100 peratus. Tidak ada gunanya setiap kali berdepan dengan cabaran, kita tambah anggota dan peralatan sedangkan dari aspek peningkatan latihan, kita abaikan.

Barangkali benar dan tepat rumusan Rais. Soalnya kita masih ambil budaya tangkap muat atau ambil mudah, iaitu budaya 'tak apalah' dalam penguatkuasaan undang-undang.

Misalnya, membakar mercun yang seolah-olah suatu yang biasa. Setiap kali menjelang atau semasa sambutan Aidilfitri, Gong Xi Fa Chai dan Deepavali, merata kita dengar kejadian bakar mercun.

Tetapi PDRM anggap biasa sahaja.

Cuma, apabila masyarakat dapati 'kita' kurang penjagaan aspek penguatkuasaannya, maka di situlah muncul jenayah tambahan, sebelum merebak menjadi jenayah serius. Contohnya, letupan mercun yang disekalikan dengan tembakan ke atas manusia, bunyinya pasti sama.

Hal ini kita perlu ambil serius. Jangan sesekali penguatkuasaan jenayah 'dilewakan'.

Aidilfitri mengembalikan diri kepada fitrah

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

DARI JENDELA TOK KI

AIDILFITRI adalah bulan yang ditunggu selepas sebulan melalui madrasah Ramadan. Seperti juga ibadat-ibadat lain maksud yang dipedomankan oleh Islam supaya setiap umat Islam dapat membina jiwa kehambaan yang tinggi dan berperanan sebagai khalifah yang penuh hikmah.

Kehambaan yang tinggi membangun jiwa rukuk dan sujud yang tinggi juga. Ia mendukung maksud ketaatan, kepatuhan, keakuran dan ketundukan kepada Allah SWT. Dalam maksud yang luas tarbiyyah Ramadan mengukuhkan asas rohaniah dan membawa perubahan kepada diri.

Ramadan tidak saja amalan yang berifat rohaniah dan jasmaniah. Ada dorongan rohaniah yang menyebabkan manusia berubah dan ada dorongan jasmaniah yang menyebabkan manusia insaf.

Pengekangan hawa nafsu dari bersifat haiwani mempengaruhi tabiat, sikap dan tingkah laku. Kalau sebelum tarbiyyah ini terjadi, sikap sombong, angkuh, ego seseorang agak tinggi. Tetapi selepas melalui tarbiyyah Ramadan ia jadi berubah. Menginsafi betapa kerdil dirinya di sisi Allah dan menyedari bahawa puncak kebanggaan manusia ialah Allah Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat.

Justeru kesedaran dalaman diri manusia terlalu amat penting. Mengukur tarbiyyah Ramadan di lalui dengan jayanya adalah perubahan sikap dan tingkah laku yang ada pada diri. Daripada seorang yang kedekut dan bakhil, seorang yang bengis dan suka dipuji bertukar menjadi seorang yang pemurah dan suka bersedekah dan seorang yang penyayang dan membantu yang susah. Dari seorang yang pendendam dan hasad dengki bertukar menjadi seorang yang sabar dan sentiasa berhemah dalam melakukan sesuatu.

Tetapi bagaimana harus terjadi sedangkan ibadah ini dianggap sebagai rutin hidup yang hanya terhubung dengan Allah tetapi tidak terhubung dengan diri dan manusia atau diri dengan orang lain. Setiap tahun orang berpuasa, melakukan tarawih, bangun sahur, bertadarus dan solat sunat, wataknya tidak berubah. Dimensi hablumminallah ada tetapi dimensi hablumminannas tidak banyak berubah.

Selepas Ramadan dengan melalui segala macam cabaran wataknya tidak banyak berubah. Secara zahir produktiviti rohaniahnya tinggi dengan aktiviti ibadah yang banyak tetapi pada hakikatnya produktiviti amaliahnya masih rendah. Ia memerlukan muhasabah yang tinggi supaya ada upaya merenung ke dalam diri mengapa watak diri tetap sama dan perubahan tidak juga berlaku. Perubahan diri manusia bergantung kepada niat yang bersih dan ilmu yang memberi suluh supaya perubahan diri terjadi.

Kalau ada tekad untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan keyakinan yang sungguh-sungguh bahawa ibadat bukan hanya ritual, ikut-ikutan dan turut-turutan semata tetapi ia suatu proses mengukuhkan rohani supaya perubahan diri itu bermula dari dalam.

Apabila hati dan niat mahu berubah ikhlas kerana Allah kerana sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri seperti gelojoh, ego, sombong, pendendam, tidak ada jiwa pemaaf adalah dibenci oleh Allah, maka dengan sendirinya ahli ibadah ingin kembali kepada diri yang fitrah.

Inilah maksud Aidilfitri sebenarnya iaitu diri yang menang dalam pertarungan dengan hawa nafsu, diri yang berjaya dibebaskan daripada belenggu sifat-sifat mazmumah (terkeji) kepada sifat-sifat mahmudah (terpuji).

Jika ini berlaku di saat merayakan Aidilfitri, fitrah diri akan kelihatan seolah-olah kita baru dilahirkan dengan sifat dan sikap baru dan menjadikan watak dan amal kita sesuatu yang sangat bermakna.

Takbir dan tahmid yang dilafazkan, kesediaan menerima maaf dan saling memaafkan, memperbanyakkan ziarah, meraikan golongan miskin dan daif adalah gambaran awal memahami bahawa Kebesaran Allah itu terlihat dalam tingkah laku kita menyantuni yang tidak bernasib dan rasa syukur yang tinggi terhadap rahmah dan nikmah yang kita terima.

Sekiranya bawaan ini diperkukuh dengan ilmu yang membawa kepada keinsafan, ibadah yang mengukuh rohani bakal terpancar perubahan diri dalam bentuk amal dan perbuatan yang benar-benar bermakna.

Aidilfitri diharapkan menjadi sempadan zaman silam yang dilalui dengan pekerti mazmumah yang jelik dengan pekerti mahmudah yang ramah dan menjadikan diri kita orang yang dekat dengan Allah (taqarrub Ilallah) dan hampir dengan manusia.

Penulis mengambil kesempatan ini memohon maaf zahir batin sekiranya penampilan Tok Ki selama ini menyinggung perasaan. Bacalah apa yang tersirat moga ia memberi manfaat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved