Utusan Online - Mahkamah |
Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT Oleh JAMLIAH ABDULLAH WONG Ban Chong dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR aLOR SETAR 5 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki setelah didapati bersalah membunuh isterinya di Alor Mengkudu di sini, Februari tahun lalu. Tertuduh Wong Ban Chong, 55, turut dihukum penjara lapan tahun berkuat kuasa tarikh dia ditangkap selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan ke atas anak angkatnya dalam kejadian sama. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Mohd. Zaki dalam penghakimannya berkata, tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah ketika membela diri, telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Menurutnya, mahkamah menolak keterangan tertuduh yang mendakwa diserang oleh mangsa serta anaknya ketika berada dalam rumah tersebut dan terpaksa bertindak mempertahankan diri. "Keterangan tertuduh itu bagaimanapun gagal dibuktikan. Menurut keterangan saksi pendakwaan, tertuduh masuk ke dalam rumah secara agresif menerusi tingkap cermin di bahagian dapur. "Keadaan itu menyebabkan mangsa dan anaknya berasa takut dan lari keluar rumah bagi menyelamatkan diri kerana tertuduh bersenjatakan parang. Pembelaan tertuduh cuba mempertahankan diri tidak boleh diterima kerana menurut saksi, dia cedera ketika memecahkan tingkap cermin semasa memasuki rumah," katanya. Mengikut pertuduhan, Ban Chong didakwa membunuh Uug Siew Lin, 47, di rumah No. 269 di Taman Saga Jalan Alor Mengkudu dekat sini kira-kira pukul 12.17 tengah malam pada 17 Februari 2012. Tertuduh yang bekerja sebagai operator penyewaan jengkaut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Ban Chong juga dituduh di bawah Seksyen 326 kanun sama atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak angkat mangsa, Ch'ng Sheue Mei, 26, menggunakan parang di lokasi, masa dan tarikh sama. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ab. Rashid manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Afza Dahari. Ban Chong yang berkemeja-T warna hijau kelihatan tenang sebaik sahaja hukuman selesai dibacakan. Terdahulu Mohamad Afza memaklumkan, tertuduh tiada rekod jenayah dan kejadian berlaku kerana masalah rumah tangga yang sudah lama terpendam. "Tertuduh bukan seorang penjenayah dan kejadian itu amat dikesali," katanya. Dalam pada itu, Siti Aishah memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh. Seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan sementara pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi. |
Pegawai kanan Program E-Pendidikan Genius didakwa Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT KUALA LUMPUR 5 Ogos - Seorang bekas Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Tabung Kebajikan dan Pendidikan Program E-Pendidikan Genius mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan penipuan, pecah amanah dan cuba menipu wang berjumlah RM500,000, tujuh tahun lalu. Tertuduh, Raja Azman Shah Raja Alang Petra, 48, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin. Bagi tiga pertuduhan pertama, Raja Azman didakwa menipu pemilik-pemilik syarikat tertentu, Azlan Arshad 46; Ng Suat Hon, 58, dan Ahamad Nazim, 30. Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan cara memperdaya mangsa untuk melabur RM150,000, RM200,000 dan RM150,000 masing-masing ke dalam tabung kebajikan dan pendidikan yang sama. Tujuannya bagi menjalankan kerja-kerja Supply, Installation, Testing And Commissioning Services for IT Facilities yang melibatkan 812 buah sekolah di Perak, Negeri Sembilan dan Perlis. Perbuatan itu dituduh dilakukan melalui pengarah-pengarah operasi syarikat itu, Hishamsol Othman, 43, dan Zuraimi Abd. Rahim, 39. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat itu di Suite 17.2, Tingkat 17, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail, di sini antara September 2006 dan 30 Januari 2008. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama bagi ketiga-tiga pertuduhan menipu. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Raja Azman Shah juga didakwa bagi dua lagi pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menjadikan wang milik Suat Hon dan Azlan untuk kegunaan sendiri di tempat dan tarikh yang sama. Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda. Bagi pertuduhan keenam, dia didakwa bersubahat dengan Hishamsol dan Zuraimi menipu Suat Hon dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa dengan menyumbangkan wang sejumlah RM200,000 ke dalam tabung tersebut, syarikat mangsa boleh mendapat pengecualian cukai. Bagi pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 kanun tersebut dan dibaca bersama Seksyen 417 sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan