Utusan Online - Kota |
- Peniaga pusat penjaja lega
- Syabas ceriakan sambutan hari raya tiga keluarga
- Gerak prihatin bantu golongan miskin sempena Aidilfitri
Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Pusat Penjaja Taman Maluri di Cheras, Kuala Lumpur berwajah baharu selepas DBKL melakukan kerja-kerja mengecat semula bangunan dua tingkat yang didakwa usang dan kurang dikunjungi pelanggan sebelum ini. - utusan/RUSHDI SALLEH KUALA LUMPUR 7 Ogos - Para peniaga di Pusat Penjaja Taman Maluri, Cheras di sini boleh menarik nafas lega selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja mengecat semula luar bangunan premis dua tingkat itu. Sebelum ini, peniaga mendakwa keadaan persekitaran serta bangunan yang usang dan suram menyebabkan gerai mereka kurang dikunjungi pelanggan. Menggunakan warna tema bendera Wilayah Persekutuan, pusat penjaja yang turut menempatkan kedai jahit, percetakan dan pakaian itu kini berwajah baharu dan ceria. Selain itu, jalan di bahagian belakang bangunan itu yang digunakan pengusaha gerai makan untuk melakukan kerja-kerja memunggah barang turut dilebar dan diturapkan semula oleh DBKL. Aktivis masyarakat yang juga penyewa di situ, Datuk Omar Awang berkata, mereka berterima kasih kepada DBKL yang mengambil tindakan selepas rungutan para penyewa disuarakan. Menurutnya, diharapkan pihak berkuasa tempatan itu juga dapat menyelesaikan masalah lot kedai kosong di situ. "Malah lubang besar di jalan keluar pusat penjaja yang menjadi kebimbangan peniaga dan pengunjung juga telah dibaiki,"katanya. Akhbar ini pada pertengahan Januari lalu melaporkan kekecewaan peniaga pusat penjaja tersebut apabila bangunan yang menjadi tempat mereka mencari rezeki di sini suram dan dipandang sepi oleh pihak bertanggungjawab. Turut ditimbulkan jalan di bahagian belakang bangunan yang digunakan untuk memunggah barang tidak dilebarkan biarpun sudah mendapat kelulusan, selain ruang letak kereta yang disediakan kepada pengunjung kini digunakan oleh penghuni sebuah kondominium berdekatan. Seorang peniaga Zalipah Omar, 53, turut memuji keprihatinan DBKL terhadap masalah yang disuarakan penyewa lain sebelum ini. "Sejak mula-mula dibangunkan, pusat penjaja ini masih dikekalkan cat lama yang sudah kusam dan pudar, malah bangunan ini kelihatan seolah-olah mati dan menimbulkan tanda tanya daripada orang ramai. "Dengan kerja-kerja mengecat semula bangunan ini dan kerja-kerja menurap kawasan tempat kereta jumlah pengunjung diyakini semakin bertambah,"katanya. Perasaan sama turut dikongsi pengusaha gerai makan Noraslinda Mohd. Asbair, 40,. Dia berkata cat bertema bendera Wilayah Persekutuan itu merupakan gabungan warna yang menarik dan mampu membantu perniagaan mereka. "Selama ini pelanggan kami hanya terdiri daripada pelajar dan pekerja pejabat berdekatan. Diharapkan dengan wajah baharu ini, lebih ramai yang akan berkunjung ke sini,"katanya.J Sementara itu, Azizi Khamis, 40, pula berkata, DBKL perlu memikirkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ruang letak kereta yang disediakan di pusat penjaja tersebut daripada terus digunakan penghuni kondominium berhampiran. "Langkah mengenakan caj bayaran meletak kenderaan juga sebagai cara yang baik untuk menyelesaikan masalah tersebut,"katanya. |
Syabas ceriakan sambutan hari raya tiga keluarga Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Sanusi Sulieman (dua dari kanan) menyampaikan hamper makanan dan pakaian kepada Hamidi Mazalan dan keluarga sambil diperhatikan oleh Priscilla Alfred dalam majlis sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. KUALA LUMPUR 7 Ogos - "Sekurang-kurangnya Hari Raya kali ini lebih ceria kerana masih ada pihak yang sudi membantu. "Tidak cukup dengan menyambung bekalan air, kami sekeluarga turut menerima sumbangan keperluan harian,". Itu luahan Shuraya Wahir, 34, salah seorang daripada tiga keluarga penerima sumbangan sempena hari raya daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas), baru-baru ini. Ibu kepada empat orang anak itu merupakan penerima bantuan daripada Tabung Budi anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka). Surirumah sepenuh masa itu berkata, mereka sekeluarga hanya mengharapkan pendapatan suami, Mohd. Azman Azmizan, 35, yang bekerja sebagai pembantu kedai. "Dengan pendapatan sebanyak RM950 sebulan hanya cukup digunakan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak. ''Kehidupan kami masih serba kekurangan sehingga menyebabkan pada suatu masa, bekalan air paip kami terpaksa dipotong,"katanya. Shuraya sekeluarga menerima sumbangan hamper makanan, pakaian hari raya untuk anak-anak dan wang tunai yang diserahkan sendiri oleh Pengarah Eksekutif Bahagian Perancangan Syabas, Sanusi Sulieman. Majlis turut dihadiri Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred. Menurut Sanusi, sebanyak 60 buah keluarga sekitar Lembah Klang dan Putrajaya terpilih menerima sumbangan yang kebanyakannya penerima bantuan Tabung Budi. ''Program ini merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syabas bagi memberi bantuan kepada pihak memerlukan tanpa mengira kaum dan agama. "Malah hampir setiap minggu kami akan memberi bantuan dan sehingga kini sebanyak 497 buah keluarga telah menerima manfaat melalui Tabung Budi sejak ditubuhkan tiga tahun lalu,"katanya dalam sidang akhbar di sini. Selain Shuraya, turut menerima sumbangan ialah Mohd. Hassan Abdul Jalil, 51, yang mempunyai seorang anak kurang upaya (OKU). "Dengan pendapatan sebanyak RM1,600 sebagai pemandu peribadi saya perlu menanggung seramai lima orang anak yang masih belajar dan seorang OKU selain sewa rumah sebanyak RM450 sebulan. "Sekurang-kurangnya bantuan ini memberi sedikit keceriaan kepada kami sekeluarga,''katanya. Perasaan sama turut dikongsi, Hamadi Mazalan, 42, yang tinggal di Kampung Cheras Baru. Bapa empat anak yang bekerja sendiri itu turut melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan pihak Syabas itu. |
Gerak prihatin bantu golongan miskin sempena Aidilfitri Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT HULU SELANGOR 7 Ogos - Warga emas dan anak-anak yatim di sekitar Kampung Kuantan dan Kampung Hulu Rening di sini menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh ceria apabila mereka mendapat perhatian daripada Pergerakan Era Malaysia (Gerak). Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyampaikan sumbangan baju raya dan barangan keperluan harian sempena Program Jelajah Bantuan Aidilfitri, baru-baru ini. Penyerahan itu disampaikan sendiri oleh Presiden Gerak, Datuk Mohd. Shukur Shamsudin. Mohd.Shukur yang juga Pengarah Urusan Era Group of Companies itu berkata, pihaknya menyelusuri kehidupan penduduk-penduduk miskin di kampung-kampung serta pedalaman semata-mata memberi sedikit keceriaan kepada keluarga tersebut. Menurutnya, beliau sendiri turun padang untuk mengenalpasti kediaman keluarga miskin di enam buah kampung sekitar daerah Hulu Selangor dan Rawang untuk memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada golongan sasar. "Kebanyakan mereka ini hidup dalam kemiskinan, serba kekurangan dan sangat memerlukan bantuan dari segi kewangan, barangan keperluan harian, pakaian sehinggalah untuk membaiki rumah, bumbung dan sebagainya," katanya ketika ditemui semasa mengadakan kunjungan ke kediaman lebih 20 keluarga di Kampung Kuantan dan Kampung Hulu Rening di sini. Yang turut serta dalam program itu ialah Imam Masjid Kampung Hulu Rening, Ismail Mohamad. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan