Utusan Online - Johor |
Bantu asnaf menjelang Aidilfitri Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN ABDUL Halim Suleiman menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Puteri Wangsa, Ulu Tiram di Johor Bahru, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 6 Ogos - Seperti tahun-tahun sebelumnya, Crest Exotic Sdn. Bhd. dan Gerbang Tebrau Sdn. Bhd. terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan kali ini seramai 1,300 orang menerima sumbangan berupa duit raya dan barangan lain. Pengarah Urusan Crest Exotic Sdn. Bhd., Rohsawal Nizam Abd. Ghafar berkata, sumbangan diberikan sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut kurang seminggu dari sekarang. Beliau berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikatnya kepada golongan kurang berkemampuan dalam usaha untuk meringankan bebanan mereka yang memerlukan untuk menyambut hari lebaran. "Program yang dianjurkan ini merupakan program tahunan syarikat dengan penganjuran kali ini sudah masuk edisi ke-13 dan diharap sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat menceriakan kehidupan mereka pada musim perayaan tahun ini. "Sebagai sebuah syarikat swasta, kita perlu turut serta memainkan peranan dalam membantu golongan kurang bernasib baik," katanya kepada selepas Majlis Iftar dan Pemberian Sumbangan Bersama Anak Yatim Dan Fakir Miskin, di sini semalam. Sumbangan kepada semua penerima disampaikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan Gerbang Tebrau Sdn. Bhd., Zuraimi Khamis. Turut diraikan adalah penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puteri Wangsa, Ulu Tiram serta para pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth. Majlis itu turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Wangsa. Menurut Rohsawal, biarpun sudah masuk ke tahun 13 penganjuran, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan tradisi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira masa. |
Mengesan status halal sembelihan Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN DR. MOHD. Azraai Kassim dan Dr. Rubiyah Yusof menunjukkan model teknologi Sistem Pemprosesan Ayam Halal Automatik di UTM di Skudai, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 6 Ogos - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengorak langkah ke depan dengan membangunkan teknologi Sistem Pemprosesan Ayam Halal Automatik (Sycut) bagi mengesan status halal atau sebaliknya dalam penyembelihan ayam secara automatik. Teknologi yang melibatkan kos RM1 juta itu dicipta khas bagi memastikan bekalan ayam menepati syarat halal ladang ternakan manakala penyembelihannya sah dan halal. Ketua penyelidiknya, Prof. Datin Dr. Rubiyah Yusof berkata, inovasi berkenaan merupakan inisiatif terbaharu untuk mengesan ayam yang disembelih itu halal atau sebaliknya sebelum dipasarkan. Beliau berkata, sistem mesra pengguna tersebut dirangka berasaskan sistem jaringan web untuk mengawal dan memantau setiap tahap penyembelihan sah serta halal mengikut syariat Islam. "Sistem dikenali Sycut ini dilengkapi dengan kamera yang berfungsi untuk mengesan kesan sembelihan pada ayam sama ada haiwan itu disembelih mengikut hukum syarak atau tidak. "Sekiranya ayam tersebut tidak betul cara penyembelihannya atau tidak menepati hukumnya iaitu memutuskan halkum dan esofagus di leher ayam tersebut, maka lampu merah akan menyala pada sistem atau mesin tersebut," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Pemangku Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim. Rubiah berkata, kaedah lama secara manual bagi mengesan haiwan sembelihan sama ada sah atau sebaliknya mengambil masa lama, selain memerlukan tumpuan manusia yang adakalanya berlaku kesilapan. "Dengan penggunaan sistem ini, kita hanya memerlukan satu saat untuk mengesan haiwan sembelihan sama ada halal atau sebaliknya, malah menjimatkan masa, kos dan tenaga manusia," katanya. Tambahnya, sistem berkenaan telah dipatenkan pada tahun lalu dan diguna pakai di Pusat Pemprosesan Ayam Az-Zain di Semenyih, Selangor. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan